Artikel Popular

Wednesday, July 25, 2012

UK Terjebak dalam Kemelesetan Curam Berganda

KHAMIS, 26 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ekonomi United Kingdom, seperti yang dilaporkan antaranya oleh The Guardian,  The Independent, dan The Telegraph, menguncup 0.7 peratus untuk suku kedua tahun 2012, lebih teruk daripada yang dijangkakan, dan terburuk dalam masa 50 tahun.  

Meskipun angka ini merupakan anggaran awalan dan mungkin disemak semula, ini menunjukkan bahawa ekonomi UK kini menguncup tiga suku tahun berturut-turut, menjadikannya tempoh paling lama kemelesetan curam berganda untuk negara itu sejak rekod suku tahun bermula pada tahun 1955.  Kemelesetan curam berganda yang terakhir adalah pada tahun 1970-an apabila ekonomi lumpuh di tengah-tengah kenaikan harga minyak dan mogok pelombong, tetapi berlanjutan  hanya dalam dua suku tahun.

Kemerosotan ini menyusuli 0.3 peratus kejatuhan pada suku pertama tahun 2012 dan 0.4 peratus dalam suku akhir tahun 2011.  Output pembinaan jatuh sebanyak 5.2 peratus antara suku pertama dan suku kedua tahun 2012, manakala pengeluaran perindustrian jatuh sebanyak 1.3 peratus dan output sebanyak 0.1 peratus.

Larry Elliott dalam ulasannya menegaskan bahawa strategi pengurangan defisit yang diperkenalkan oleh  Canselor George Osborne, musnah, yang menggunakan dasar monetari untuk merangsangkan ekonomi.  Hanya beberapa lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dalam laporannya menyatakan bahawa ekonomi UK  muram dan "pemulihan tertegun."  IMF juga mengingatkan UK supaya merangsangkan perbelanjaan demi menyelamatkan ekonomi dan mengelakkan kemelesetan yang panjang. 

Perdana Menteri David Cameron yang mendakap erat pada jimat-cermat dan menegaskan bahawa langkah ini tidak akan berakhir pada tahun 2020, yang ditafsirkan oleh George Eaton, sebahagian  "pengakuan kegagalan."   Eaton dalam reaksinya terhadap kemelesetan curam berganda, menegaskan bahawa "jangan kata kami tidak memberikan amaran."

Dengan kemelesetan curam berganda itu, jelas bahawa langkah jimat-cermat yang dilaksanakan membawa padah.  Namun, setakat ini, kerajaan David Cameron belum lagi bersedia untuk melepaskan  dakapan erat itu, seakan-akan mahu "hidup semati" dengan jimat-cermat. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...