Artikel Popular

Friday, July 13, 2012

Bain Capital: Senjata Makan Tuan?

JUMAAT, 13 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ketika Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat hanya tinggal kurang empat  bulan lagi,  pengubah permainan semakin jelas. Daripada beberapa isu yang termasuk dalam senarai, seperti perkahwinan sejenis, kaum imigran, penjagaan kesihatan, pencukaian,  dan pekerjaan, namun yang jelas,   Bain Capital nampaknya mula mencorakkan pilihan raya kali ini

Tatkala kempen Romney gagal memanfaatkan sepenuhnya "bulan jatuh ke riba," iaitu kegagalan dasar ekonomi Presiden Barack Obama dan kadar pengangguran yang masih tinggi, kempen Obama menterbalikkan meja dengan mengheret Mitt Romney bersama-sama Bain Capital ke tengah gelanggang.  Bedilan bertalu-talu terhadap Bain, seperti yang diperhatikan oleh Ginger Gisbon, "membimbangkan Republikan."  Agak mengejutkan bahawa  Romney yang mempunyai kekuatan atau kelebihan untuk bertarung di medan ekonomi,  kelihatan mula mengundur, menurut tinjauan pendapat Pew terbaharu.  

Pendedahan demi pendedahan dilakukan terhadap Bain Capital yang pernah diterajui oleh calon Republikan itu, bukan sahaja oleh kempen Obama, tetapi juga oleh media:  The Washington Post, The New York Times, The Huffington Post,  Mother Jones,  Vanity Fair, dan The Associated Press.  Tatkala kempen Romney tidak berupaya mempertahankan hujah, satu lagi pendedahan yang besar, kini dilakukan oleh The Boston Globe tentang tarikh  sebenar Romney meninggalkan Bain Capital, yang dipetik dan/atau diulas  antaranya oleh The Atlantic,  Politico,  The Daily Beast, The New Yorker, The Washington Post,  The Huffington Post, The New Republic, The Boston Phoenix,   The Guardian, dan The Week, tetapi  perkara yang dibangkitkan itu dinafikan oleh kempen Romney


Menurut dokumen Securities and Exchange Commission (SEC) yang dikemukakan oleh Bain Capital  yang dipetik oleh The Boston Globe, Romney kekal "pemegang saham tunggal, pengerusi lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif, dan presiden" firma berkenaan, meskipun beliau berkata beliau meninggalkan Bain Capital pada tahun 1999 untuk menerajui Sukan Olimpik di Salk Lake City. Juga, menurut akhbar itu lagi, borang pembentangan kewangan Massachusetts yang Romney kemukakan pada tahun 2003 menyatakan bahawa beliau masih memiliki 100 peratus Bain Capital pada tahun 2002.  Dan borang  pembentangan kewangan yang Romney nyatakan menujukkan beliau menerima sekurang-kurangnya AS$100,000 sebagai "eksekutif" Bain pada tahu  2001 dan dan 2002, terasing daripada perolehan pelaburan. 

Bain Capital dan kempen Romney menegaskan bahawa pengemukaan SEC itu menunjukkan Romney sebagai orang yang bertanggungjawab ketika tiga tahun berikutnya mempunyai makna yang sedikit, dan merupakan hasil teknikal perundangan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bain Capital pada hari Rabu yang dipetik oleh akhbar itu, "Mitt Romney bersara daripada Bain Capital pada Februari 1999.  Beliau tidak terlibat dalam pengurusan dan aktiviti pelaburan Bain Capital, atau dengan mana-mana syarikat portfolio, sejak masa itu.

Bekas Pesuruhjaya SEC, Roberta S. Karmel, yang dipetik oleh The Boston Globe, "Anda tidak kata laporan yang dikemukakan kepada SEC tidak bermakna.  Ini fakta dalam pengemukaan SEC." 

Selain pendedahan oleh akhbar itu, The Huffington Post turut melaporkan bahawa testimoni Mitt Romney sendiri pada tahun 2002 melemahkan dakwaan Bain Capital tentang tarikh beliau meninggalkan firma itu. Dalam testimoni itu Romney mengakui beliau menduduki lembaga pengarah LifeLike Co., pembikin anak patung yang merupakan pelaburan Bain ketika itu. Romney segara konsisten menegaskan bahawa beliau terlalu sibuk mengatur Sukan Olimpik tahun 2002 untuk mengambil bahagian dalam perniagaan Bain antara tahun 1999 dengan masa sukan itu.  

Akan tetapi, dalam testimoni yang diberikan kepada akhbar Internet itu, Romney mencatatkan bahawa beliau secara tetap berulang-alik ke Massachusetts:  Beberapa lawatan sosial dan lawatan perniagaan yang membawa saya pulang ke Massachusetts, mesyuarat lembaga pengarah, upacara kesyukuran, dan sebagainya.

Mother Jones, sekali lagi melalui tulisan David Corn, mendedahkan dua hari bahawa Romney melabur berjuta-juta dolar dalam firma di China yang menghasilkan keuntungan daripada penyumberluaran Amerika Syarikat. Corn memetik perisytiharan yang dibuat oleh Romney pada Februari lalu, "Kita tidak akan membiarkan China mencuri pekerjaan dari Amerika Syarikat," tetapi dengan pelaburan ini, beliau cuba membuat duit daripada syarikat asing yang bergantung pada firma Amerika yang menyumberluarkan pembuatan di seberang laut. 

Seperti yang diketahui, Romney pernah berkhidmat sebagai Gabenor Massachusetts, tetapi beliau memilih untuk mewar-warkan kepimpinannya di Bain Capital.  Hal ini demikian, kerana selain semasa beliau sebagai gabenor, kadar pengangguran di negeri itun adalah tinggi, dan yang lebih penting, beliau melaksanakan penjagaan kesihatan, yang pastinya tidak disenangi oleh Republikan dan menyukarkan mereka untuk menyerang "Obamacare" kerana wujud "Romneycare." 


Justeru, sebagai alternatif beliau menggembar-gemburkan kejayaannya di Bain Capital.  Seperti dibahaskan oleh Michael Kinsley dalam Los Angeles Times, Romney ingin memperlihatkan dirinya sebagai ahli perniagaan yang berjaya, dan layak menerajui negara, berbanding sebagai seorang gabenor.  Dalam tulisan itu, Kinsley lebih memihak pada Romney, terutamanya dari segi penyumberluaran dan mengkritik Obama.


Namun, tindakan yang kononnya ingin bermegah-megah dengan Bain Capital membawa padah. Firma  seakan-akan sedang retak dan berkemungkinan runtuhannya menghempap dirinya, sebagaimana runtuhan Wall Street menghempap McCain dalam pilihan raya yang lalu. Romney sentiasa memperlihatkan dirinya dikelilingi oleh hartawan, dengan sumbangan mega yang diusahakan oleh Karl Riove,  tetapi tidak dapat dipastikan mereka dapat menyelamatkan beliau daripada dihempap oleh runtuhan itu.  


Presiden Barack Obama yang pada mulanya memasuki gelanggang pertarungan dengan menggalas bagasi, menegaskan bahawa Bain merupakan permainan adil. "Oleh sebab 'kad panggilan utama' Romney untuk Rumah Putih ialah pengalamannya dalam sektor swasta, maka penting untuk para pengundi mengetahui sebenar-benarnyha apakah apakah kerjanya di Bain terlibat," tegas Obama dalam wawancara CBS News - seakan-akan memulangkan paku buah keras. Beliau menari mengikut rentak gendang yang pada mulanya dipalu dengan begitu bersemangat oleh Romney. Namun, kini paluan itu semakin lemah, sebaliknya tarian semakin rancak. 


Dalam wawancara dengan Politico, Paul Begala juga menyentuh "kad panggilan"  yang menggambarkan Romney ingin menunjukkan hebat dalam dunia dalam perniagaan, dan tidak galang gantinya. Beliau tidak menyebut rekodnya di Massachusetts. Begala juga mengkritik Romney kerana lambat memberikan respons berhubung dengan Bain Capital dan keengganan beliau melaporkan penyata cukai pendapatannya.  Begala memberitahu serangan terhadap Bain Capital tidak akan berakhir, bahkan selepas pilihan raya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...