Artikel Popular

Tuesday, July 17, 2012

Greece Gering Dunia Derita

SELASA, 17 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Semasa di  Turki baru-baru ini, selain untuk tujuan pelancongan, saya ingin mendapatkan sedikit sebanyak maklumat bukan sahaja tentang negara itu, bahkan juga tentang Eropah, khususnya Greece dan negara-negara lain di benua itu  yang dilanda krisis hutang.  Ketika bersiar-siar Istanbul sebaik-baik tiba dari Kuala Lumpur, saya berpeluang membaca akhbar Hurriyet Daily News & Economic Review  edisi hujung minggu (8-9 Mei) dengan tajuk utama tentang krisis di sebuah negara tidak asing lagi:  “Greek Drama Goes to the Global Stage.”  Krisis hutang yang melanda  Greece dan ekonomi “pinggir” lain untuk beberapa minggu lalu menerobos tahap global pada hari Jumaat kerana pasaran masih belum yakin bahawa, sama ada Athens atau Brussels mampu melegakan keadaan huru-hara itu.  Sehari  selepas saham Amerika Syarikat menanggung kerugian yang besar, penanda aras Bursa Saham Istanbul, indeks ISE-100  menjunam sebanyak 5.5 peratus, hilang 3076 mata dalam satu hari.
            Jelas akhbar itu, tatkala para pemimpin Eropah berusaha pada hari Jumaat untuk meyakinkan pasaran bahawa krisis hutang Greece tidak akan merebak ke negara lain dan euro tergelincir, mata wang bersama, pasaran di seluruh dunia menanggung kerugian yang besar.  Perancis, Italy, dan Portugal meluluskan bahagian masing-masing daripada pelan penyelamat bernilai 110 bilion euro atau AS$140 bilion untuk mengelakkan Greece dari ambang kemungkiran ketika 16 pemimpin dari negara yang menggunakan euro menuju untuk menghadiri mesyuarat di Brussels.
            Di bawah judul lain, “Analysts Say Crisis Goes Global” akhbar itu memetik pandangan pandangan Mohamed El-Erian dari Pacific Investment Management Co. dan Dan Fuss dari Loomis Sayles & Co., yang berkata “krisis hutang Eropah mungkin merebak ke seluruh dunia kerana para pelabur berasa bimbang bahawa kerajaan meminjam terlalu banyak untuk memulihkan ekonomi mereka.”  Akhbar itu juga memetik data Bank of America-Merrill Lynch bahawa  negara Eropah yang menanggung hutang perlu mengumpulkan hampir dua trilion euro dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk membiayai semula bon yang matang dan membiayai defisit.  Data itu menunjukkan bahawa Italy menanggung bil yang besar, diikuti oleh Sepanyol.  Greece memerlukan 152.6 bilion euro, manakala Portugal dan Ireland masing-masing perlu mengumpulkan kira-kira 80 bilion euro.
Liputan  Hurriyet Daily News & Economic Review  itu sealiran dengan liputan kebanyakan media  dunia yang berkisar tentang krisis hutang Greece dan beberapa buah negara lain di Eropah.  Setelah berbulan-bulan bergelut dengan krisis yang semakin lama semakin sukar dibendung, lalu pada hujung April, krisis itu mengancam  sebahagian besar, kalaupun tidak seluruh dunia.  Bayang-bayang ngeri keruntuhan Lehman Brothers  mula menghantui  kerana  kemungkiran Greece boleh membawa impak yang serupa: penularan atau kontagion.  Sebagaimana runtuhan pada pertengahan September 2008,  kemungkiran Greece mempunyai kesan yang serupa terhadap kewangan  dan keyakinan ekonomi global.  Maka, ada yang mengingatkan jika para penggubal dasar di Berlin fikir bahawa kos menyelamatkan Athens adalah tinggi, mereka sepatutnya mempertimbangkan kos potensi membiarkannya muflis.
Anggota zon euro dibenarkan meminjam sesuka hati dan berbelanja seolah-olah tiada hari esok, sentiasa menyembunyikan akibat elok-elok.  Sebagaimana banyak negara, kerajaan Greece  bergantung pada wang yang dipinjam untuk belanjawannya.  Namun begitu, kemelesetan menyukarkan usaha tersebut kerana hasil cukai merosot, sedangkan bayaran kebajikan mula meningkat.  Krisis hutang Greece menjadi hal kepada  semua negara kerana jika Greece mungkir atau menghempaskan euro, nescaya ini akan menghantar kejutan yang sungguh besar dalam seluruh pasaran modal global. Krisis ini  dengan kesan domino   boleh merebak melampaui Greece, Sepanyol, dan Portugal apabila Ireland, Italy, dan United Kingdom turut tersenarai.  
Krisis hutang Greece  boleh  melumpuhkan institusi kewangan di Jerman, yang mempunyai AS$36 bilion hutang Greece, dan Perancis, yang mempunyai AS$54 bilion.  Dijangkakan bahawa  bank-bank kedua-dua negara itu  yang dianggarkan memegang hingga 70 peratus hutang Greece akan mencatatkan penurunan nilai.  Jika pendedahan bank berkenaan cukup besar, nescaya bank itu boleh jatuh muflis.  Terbenam dalam euro, dan dengan itu, tidak lagi boleh mengawal mata wangnya sendiri, Greece tidak boleh memilih jalan mudah untuk menyelesaikan hutangnya dengan menurunkan nilai mata wang.  Pilihannya ialah sama ada negara itu mesti memotong perbelanjaannya dengan ketara atau mungkir terhadap pinjamannya yang akan merosakkan dengan teruk bank-bank Jerman dan Perancis yang banyak menanggung  hutang Greece. Inilah satu sebab Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mengambil sikap berdiam diri terhadap krisis Greece.  Berurusan dengan Greece adalah secara tidak langsung menyelamatkan bank-bank Perancis dan Jerman.  Perancis memahami keadaan ini sejak mula-mula lagi, tetapi Jerman seakan-akan tidak.
Keadaan mula semakin terus-menerus tidak terkawal apabila agensi penarafan kredit Standard and Poor’s menurunkan gred hutang kerajaan Greece kepada taraf junkPenurunan  gred  itu mencetuskan panik dalam pasaran.  Krisis hutang euro semakin dalam kerana penularan merebak dari Greece ke Sepanyol. Apabila agensi penarafan kredit itu menurunkan gred negara lain, risiko keruntuhan bon dari negara zon euro yang lemah semakin bertambah. Tatkala usaha dilakukan untuk menenangkan reaksi terhadap krisis Greece itu, agensi penarafan itu menurunkan gred penarafan Sepanyol daripada AA+ kepada AA, menjadikan pasaran semakin kucar-kacir. Standard and Poor’s juga  menyatakan bahawa nilai euro KDNK Greece mungkin tidak kembali pada tahap 2008 hingga tahun 2017, bermakna negara ini tidak mempunyai harapan untuk keluar daripada kesusahannya.  Takut jatuh muflis, Greece terpaksa memohon bantuan Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak 120 bilion euro.  Namun begitu, penentangan politik di Jerman dan keortodoksan IMF di Washington  menuntut pakej penyelamat disertai dengan pemotongan perbelanjaan sektor yang keras demi meyakinkan semula para pelabur antarabangsa bahawa boleh mempunyai keyakinan kredit semula. 
Apabila Kesatuan Eropah dan IMF mula-mula berbincang pakej penyelamat AS$60 bilion untuk Greece, ini dianggap mungkin cukup untuk meredakan pasaran Eropah yang panik.  Kemudian, Jerman “buat hal” dengan melengah-lengahkannya, dan para pelabur berebut-rebut mencampakkan bon Greek dan bon dari negara yang menghadapi masalah kewangan, iaitu Portugal dan Sepanyol.  “Kini,” tulis editorial The New York Times, “Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan, IMF memaklumkan sebanyak AS$160 bilion diperlukan sepanjang tiga tahun untuk menampung hutang Greece dan menggantikan pembiayaan swasta yang memakan belanja yang banyak yang tidak menggalakkan.”  Dalam  “The Cost of Delay” pada 29 April editorial itu mengingatkan bahawa Greece memerlukan wang pada 19 Mei apabila kira-kira AS$12 bilion bon kerajaan cukup tempoh.  Dan, jika ahli politik Eropah berhalangan semula, nescaya situasi boleh berputar tanpa kawalan dengan pantas.  “Ini bukannya persoalan amal jariah, sebaliknya demi pemeliharaan sendiri Eropah.”
Walau apa-apa pun sokongan dihulurkan kepada Greece, dipercayai bahawa usaha ini tidak cukup untuk mengekang krisis kewangan di negara lain yang lemah ekonomi di Eropah.  Portugal, Sepanyol, dan Ireland bergelut dengan kucar-kacir fiskal yang teruk.  Daripada menunggu keadaan menjadi tidak terkawal, maka dicadangkan Kesatuan Eropah dan IMF sepatutnya bertindak pantas dengan sama-sama menyediakan pakej kewangan yang mencecah AS$1 trilion yang perlu siap sedia untuk diluluskan segera jika diperlukan.  Pasaran kewangan Eropah yang kopak-kapik, dan kebolehpercayaannya yang kopak-kapik, tidak boleh membiarkan banyak minggu berlaku seperti minggu sebelum ini. 
Jangan harap euro akan mengubah haluan pada bila-bila masa yang terdekat.  Para pemimpin Eropah gagal dengan teruk untuk menyokong mata wang supaya meningkat dengan cara tepat pada masanya, bahkan dengan peragaan dramatik penyelesaian.  Krisis masa kini dilonggokkan oleh kebimbangan para pelabur bahawa Greece mungkin mungkir terhadap beban hutang kedaulatannya, yang mengalih perhatian terhadap anggota zon euro lain yang berhutang, iaitu Portugal, Ireland, Italy, dan Sepanyol yang bersama-sama Greece dikenali PIIGS.  Ketakutan yang membadai tentang siri kemungkiran hutang seakan-akan domino yang boleh menghumbankan semjula Eropah ke dalam kemelesetan. Tulis Michael Schuman dalam majalah Time, “We’re Euroseptic” baru-baru ini. 
Schuman juga pesimistik terhadap penyelesaian  krisis hutang yang melanda, meskipun Kesatuan Eropah bersetuju menyediakan dana penyelamat yang hampir berjumlah AS$1 trilion.  Euro hampir-hampir tidak dapat menarik nafas sebelum meneruskan kejatuhan yang perlahan.  Hal ini demikian hujah beliau, “dana yang besar tidak menyelesaikan mana-mana masalah yang mendasari Eropah.  Hutang masih wujud, dan PIIGS terus-menerus terpaksa  berhadapan dengannya, apa-apa jua wang teoritikal yang mungkin dijanjikan oleh negara jiran yang kaya.” 
Greece, dipercayai muflis pada hakikatnya dan dengan pistol Eropah diacu di kepalanya, komited dengan sendirinya untuk tahun berjimat-cermat apabila pada awal Mei negara itu menandatangani urusan pelan penyelamat kewangan dengan Kesatuan Eropah dan IMF.  Wujud konsensus bahawa ekonomi Greece telah pecah dan memerlukan pembaharuan struktur yang besar.  Kerajaan kini komited  mengawal sektor awam, termasuk pencen dan faedah sosial popular; meningkatkan cukai penggunaan kepada kadar yang tertinggi; dan menggalakkan pembaharuan cukai, dalam usaha untuk menyusutkan pasaran gelap yang sangat besar, mengurangkan pengelakan cukai dan meningkatkan terimaan kerajaan. 
Namun begitu, gelombang baru jimat cermat dijangkakan berhadapan dengan risiko mengasak seluruh Kesatuan Eropah ke dalam tempoh pertumbuhan yang rendah yang dibuat-buat  kerana ekonomi baru sahaja mencuba untuk pulih daripada kemelesetan yang berlaku pada tahun lalu yang berpunca daripada krisis perumahan dan kewangan yang besar yang bermula di Amerika Syarikat.  Pertumbuhan negatif atau rendah akan memburukkan lagi kadar penggangguran yang telah pun tinggi dan meletakkan tekanan baru terhadap perbelanjaan kerajaan, di samping terhadap bank sendiri, dan menyebabkan sukar bagi setiap orang untuk mengurangkan hutang mereka.
Jean-Paul Fitoussi,  Profesor  Ekonomi di  Institut d’Études Politiques di  Paris dipetik sebagai berkata: “Bagaimana Greece boleh  mengurangkan hutangnya jika berlaku deflasi?  Deflasi meningkatkan beban hutang, dan oleh itu, kita mengikuti putaran berbudi ini yang mencampakkan kita ke dalam neraka.  Ekonomi yang tidak ada kena mengena dengan kebaikan boleh membunuh ekonomi.”
Angel  Gurria, Ketua Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD)  membandingkan krisis Greece dengan virus ebola:  “Macam ebola.  Apabila anda sedar anda menghidapinya anda terpaksa potong kaki anda demi untuk terus hidup.”   Meskipun disedari bahawa Greece bergelut dengan krisis dan tidak mampu menyelamatkan dirinya sendiri, namun  para pemimpin Eropah  seolah-olah mengambil pendirian “acuh tak acuh.”  Sesungguhnya, lebih banyak perbincangan, tetapi tiada tindakan, meskipun banyak pihak  mengingatkan bahaya krisis ini bukan sahaja melanda Greece, bahkan dijangkakan membadai  negara-negara lain.  Bahkan,  panik yang mula mencengkam Eropah tentang kemungkinan Greece mungkir terhadap hutangnya, dan penularan merebak dengan pantas ke ekonomi yang sedang susah payah di benua itu belum lagi menyedarkan Herman Van Rompuy, Presiden Majlis Eropah.  Beliau dilaporkan berkata pada 28 April bahawa “tiada persoalan” hutang Greece disusun semula.  Beliau juga berkata para pemimpin zon euro akan berjumpa bulan depan untuk mempertimbangkan bagaimana untuk mengaktifkan program pemberian pinjaman bersama yang mereka cadangkan dengan IMF untuk menyokong Greece.  Jean-Claude Trichet, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) dikatakan menyampaikan mesej yang hampir serupa bahawa kemungkiran Greece “keluar dari soalan.” 
Perilaku tenang Tuan Trichet dan Tuan Van Rompuy menurut pemerhatian  The Economist  tidak dikongsi oleh pasaran.  Pasaran masih melihat risiko kemungkiran Greece adalah tinggi.  Dalam makalah “On the Edge of the Abyss”  majalah itu mencadangkan para pemimpin Eropah bertindak pantas untuk menghentikan penularan pasaran Greece daripada merebak. Para pelabur tidak kelihatan yakin bahawa kerajaan zon euro akan mampu menggembleng keazaman politik untuk menempa persetujuan.  Jerman, sebagai anggota euro yang terbesar, adalah penting untuk mana-mana usaha untuk menyelamatkan Greece, tetapi masih terketar-ketar.  “Cancelor Angela Merkel,” The Economist mengingatkan “jika sekadar berdiam diri dan  memerhatikan Greece tergelongsor ke dalam kemungkiran, penularan pasti merebak dengan pantas ke negara Kesatuan Eropah yang lebih besar  yang menanggung hutang, beliau akhirnya dipersalahkan kerana mencetuskan kebakaran besar yang lebih teruk merentas Eropah, termasuk krisis baru perbankan.” 
Walau bagaimanapun, Angela Merkel akhirnya  bertindak menghentikan  krisis yang dalam di zon euro dengan berjanji Jerman menyokong pakej pelan penyelamat Greece yang kontroversial.  Meskipun beliau bertindak, ketakutan bahawa gelombang kejutan daripada krisis hutang Greece merebak ke ekonomi  lain yang tenat di benua itu menjadi-jadi selepas agensi penarafan kredit, Standard and Poor’s menurunkan gred penarafan Sepanyol.  Akibatnya, keruntuhan secara banyak-banyak dalam nilai bon kerajaan yang dikeluarkan oleh negara zon euro yang lemah kini menjadi semakin nyata, dan mengancam pemulihan yang lemah di seluruh Kesatuan Eropah.  Justeru, penegasan Merkel:  “Ini persoalan kestabilan euro. Kita tidak boleh mengetepikan tanggungjawab ini.  Kepercayaan terhadap Greece mesti dipulihkan.   Jerman akan memainkan peranannya, tetapi Greece juga mesti memberikan sumbangan,” gagal membendung ketakutan. 
“Wall Street mabuk,” ada antara komen yang menarik ketika tercetusnya krisis pada tahun 2008, nampaknya berulang lagi: pasaran lintang pukang.  Meskipun selepas krisis yang buruk berlaku beberapa gangguan terhadap pasaran saham, seperti sondolan selesema babi dan landaan ribut pasir Dubai, tetapi badai Greece adalah yang paling teruk.  Boleh dikatakan sepanjang bulan Mei pasaran saham dunia tidak dapat menarik nafas.  Setelah berbulan-bulan menyaksikan larian lembu jantan dengan penuh kekaguman, tiba-tiba muncul lenggok beruang dari Greece yang mengancam. 
Sepanjang bulan Mei akibat krisis hutang Eropah,  gambaran yang mewarnai pasaran saham, dari New York ke Eropah ke Asia yang seakan-akan jatuh bebas semula, antaranya “saham jatuh bergolek,” “saham menjunam”, “saham Asia menjunam,” dan “Dow merosot.”   Pada 6 Mei, Purata Industri Dow Jones (Dow) jatuh hampir 1000 mata  atau sembilan peratus, jatuh ke paras di bawah 10,000 mata untuk kali pertama sejak awal Februari, sebelum mengurangkan separuh kerugiannya dalam 30 minit kemudian.  Akhirnya, Dow ditutup pada 10,514 mata, jatuh sebanyak 348 mata atau 3.2 peratus.  Meskipun kejatuhan yang cukup besar disedari berpunca daripada perniagaan “tangan gemuk,”  iaitu peniaga tersilap masuk data, namun keadaan ini mencetuskan panik edan ketakutan di Wall Street  bahawa kegawatan menyerang semula.  Dow yang menguasai wilayah 11,000 mata ke atas  pada pada 12 April lalu – kali pertama dalam tempoh 18 bulan, dan seakan-akan  bersiap sedia untuk memasuki wilayah 12,000 mata, tetapi akibat kejatuhan berterusan, akhirnya ditutup   pada 10,193.39 mata pada 21 Mei lalu. 
Demikian dengan Bursa Malaysia apabila  FBM KLCI   pada hari itu ditutup pada 1285.73 mata.  Sejak awal tahun ini indeks berkenaan  memperlihatkan peningkatan demi peningkatan, misalnya ditutup pada 1324.22 mata pada 9 Februari, seterusnya menguasai wilayah 1330 mata ke atas dengan mantap, bersiap sedia untuk memasuki wilayah 1350 mata bila-bila masa,  turut dirempuh krisis hutang Eropah. Pertumbuhan ekonomi 10.1 peratus pada suku pertama 2010 dan pengukuhan nilai ringgit  terpaksa tunduk terhadap  krisis  itu.
Ketika Greece  bergelut dengan krisis hutang dan kesakitannya kian tidak tertanggung,  Paul Krugman menulis  pada bulan April  untuk kolumnya dalam The New York Times. Dalam kedua-dua makalah itu secara keseluruhannya beliau menyalahkan penggunaan mata wang bersama, euro, dan krisis itu bukannya berpunca daripada hutang awam yang tinggi.  Tanpa menafikan hutang awam negara itu adalah tinggi, iaitu 113 peratus KDNK,  tetapi hujah beliau dalam makalah pertama, “Learning  From Greece,”  negara lain juga berhadapan dengan tahap hutang yang serupa tanpa mengalami krisis, misalnya Amerika pada tahun 1946.  Nisbah hutang Amerika dengan KDNK jatuh bukan kerana hutang merosot, tetapi kerana KDNK meningkat, kira-kira berganda dari segi dolar dalam satu dekad.  “Malangnya,” tegas Krugman, “Greece tidak boleh mengharapkan prestasi yang sama dengan Amerika.  Mengapa” kerana euro.”  Tambah beliau lagi, “Tidak seperti Amerika, Greece akan melihat beban hutangnya diperburukkan oleh deflasi.
Seterusnya,   dalam  “The Euro Trap”  Krugman  menegaskan hakikatnya tiga tahun lalu tiada sebuah negara yang kini dalam atau hampir krisis dilihat terbenam dalam kesusahan kewangan yang dalam.  Bahkan, Greece pada tahun 2007 mengalami defisit belanjawan yang tidak  berapa tinggi sebagai bahagian KDNK jika dibandingkan dengan defisit Amerika pada pertengahan tahun 1980-an, manakala Sepanyol pula mengalami lebihan belanjawan.  Dan, semua negara ini menarik aliran masuk yang besar modal asing, terutamanya kerana pasaran percaya bahawa keanggotaan dalam zon euro menjadikan bon Greek, Portugis, dan Sepanyol pelaburan yang selamat.  Kemudian, tercetus krisis kewangan.  Aliran masuk modal kering; hasil menjuman dan defisit meningkat; dan keanggotaan dalam euro yang menggalakkan pasaran menyayangi negara yang mengalami krisis secara bukan secara bijak, tetapi terlalu wajar, berubah menjadi perangkap.
“Ciri perangkap ini,” tulis Krugman, “ketika tahun wang mudah, upah dan harga di negara yang mengalami krisis meningkat lebih pantas jika dibandingkan dengan negara lain di Eropah.  Kini, wang itu tidak lagi datang mencurah-curah, negara berkenaan perlu mendapatkan semula kos sejajar.”  Beliau menyalahkan penggunaan  mata wang bersama, euro: “Apabila menyertai euro,  kerajaan Greece, Portugal, dan Sepanyol menafikan diri mereka  sendiri hak untuk kelakukan perkara buruk, seperti mencetak wang dengan banyak; tetapi mereka juga menafikan keupayaan untuk respons terhadap peristiwa.  Dan, apabila krisis melanda, kerajaan perlu mampu bertindak.  Inilah yang arkitek euro lupa – dan kita semua perlu ingat.”
Ahli ekonomi yang terkenal, seperti Joseph Stiglitz dan Nouriel Roubini dilaporkan melahirkan rasa ragu-ragu terhadap kelangsungan euro dari sudut tafsiran yang ketat ECB tentang bidang kuasanya untuk mengekalkan inflasi yang rendah, tanpa mengambil kira akibat pertumbuhan yang rendah dan peningkatan pengangguran di negara yang dipaksa melakukan potongan yang dalam dari segi perbelanjaan awam.  Profesor David Blanchflower, bekas ahli jawatankuasa dasar monetari Bank England berkongsi pandangan yang sama, berkata bahawa adalah “gila” untuk negara yang menanggung hutang yang besar, seperti Greece, Sepanyol, Portugasl, dan Britain untuk memasuki “lingkaran kemusanahan” dengan memotong perbelanjaan yang boleh membawa kepada pertumbuhan yang lebih rendah dan lebih banyak potongan.
Mungkin akibat krisis hutang Eropah banyak lagi negara akan menyertai kelab  PIIGS, dan dunia mungkin terjebak dalam kemelesetan “curam berganda.”
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Julai 2010, kecuali jadual tidak dapat diterbitkan kerana masalah teknikal.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...