Artikel Popular

Monday, July 9, 2012

Kalau Nak Tidur Tidurlah Mata

ISNIN, 9 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




"Kalau nak gugur, gugurlah nangka/ jangan ditimpa si ranting pauh/ kalau nak tidur, tidurlah mata/ jangan terkenang si orang jauh."  Apabila tiba waktu tidur, seperti yang dinasihati oleh pantun, tidurlah selena-lenanya, tidurlah sepuas-puasnya, jangan difikirkan apa-apa sahaja, hatta yang indah sekalipun, apatah lagi yang teruk, yang buruk.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan harian seseorang, sama ada yang baik ataupun yang buruk, sama ada indah ataupun yang teruk menyebabkan orang itu sukar untuk tidur, bahkan akan terbawa-bawa dalam tidur: terkenang akan kekasih, teringat akan tugas yang belum selesai.  Segala-galanya terbawa-bawa dalam mimpi, yang kadangkala menyebabkan individu berkenaan terjaga daripada tidur. 

Senario mimpi buruk, diperkatakan oleh John Cloud dalam Time, dan ahli sains mencari cara baru untuk mengawal mimpi itu.  Teori Freudian primitif menyatakan bahawa mimpi menunjukkan keinginan seksual yang tidak terbalas, manakala satu teori baru menyatakan bahawa mimpi dan mimpi buruk bukannya simpton sekunder kesakitan mental, sebaliknya ialah masalah psikologi utama.  Dalam kata lain, mimpi itu sendiri boleh menyebabkan kesakitan mental dan bukan sebaliknya.  

Untuk memahami masalah mimpi buruk, Cloud  menemui bekas tentera Amerika Syarikat dan bukannya ahli sains.  Sesetengah tentera Amerika yang pernah berkhidmat di Iraq dan Afghnistan yang beliau temui, bermimpi berlumuran dan takut.  Beliau menemui Ryan Stocker  yang mengalami mimpi buruk kronik selepas kembali ke tempatnya, Pennyslavania setelah ditempatkan kali kedua di Iraq.  Bagi Stocker, mimpi buruk kebanyakannya tentang ditempatkan di Iraq untuk kali ketiga.  Antara kajian yang dirujuk oleh Cloud adalah berkaitan dengan 168 orang mangsa penyalahgunaan seksual yang dilaporkan mengalami mimpi buruk  kronik.

Dalam tulisan Cloud itu dimuatkan juga kuiz mimpi buruk yang hanya ingin mengetahui berapa buruk mimpi anda.

Sementara Melanie Haiken yang menulis dalam Forbes menegaskan bahawa kurang tidur dan stres boleh memendekkan usia seseorang, dengan memetik kajian sel darah dan kajian stres kronik. Dalam tulisan yang lain, Melanie menyatakan lima makanan  yang dapat membantu seseorang tidur.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...