Artikel Popular

Saturday, July 28, 2012

Berapa Banyak Wang yang Anda Benar-benar Perlukan untuk Gembira?

SABTU, 28 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Memang wang bukan segala-galanya, tetapi banyak orang yang terpaksa membanting  tulang, bermandikan keringat, dan memerah otak demi wang.  Memang betul wang tidak semestinya menjanjikan kebahagiaan, tetapi pesan orang tua-tua, "hina besi kerana karat, hina manusia kerana miskin." Selain itu, setiap orang mengalami ekonomi yang berbeza, maka tidak mudah untuk menentukan  kegembiraan seseorang.

Robert Glatter, MD, yang menulis dalam Forbes cuba mengupas berapa banyak wang  diperlukan untuk menjadikan seseorang itu gembira.  Tegas beliau, pastinya wujud hubungan antara gaji anda dengan kegembiraan; orang yang menikmati kehidupan yang lebih baik selalunya berasa gembira berbanding dengan orang yang hidup dalam kemiskinan

Pendapatan tambahan, menurut Glatter biasanya tidak membawa kepada kegembiraan tambahan apabila seseorang itu telah mencapai "piawai keselesaan."  Pastinya "piawai keselesaan" itu berbeza antara kota, negeri, dan negara yang seseorang itu diami.

Memetik Elizabeth Dunn dan Michael Norton yang menulis dalam The New York Times pada awal bulan  ini, Glatter menjelaskan bahawa di Amerika Syarikat, piawai jatuh kepada kira-kira AS$75,000.  Para penyelidik di Princeton mengkaji data tinjauan pendapat Gallup daripada hampir 500,000 isi rumah Amerika Syarikat dan mendapati pendapatan keluarga yang tertinggi berkait dengan mood yang lebih baik dalam kehidupan sehari-harian.  Walau bagaimanapun, kesan positif wang tidak mempunyai kesan terhadap kegembiraan dan mood  orang  selepas AS$75,000 dicapai.

Elizabeth dan Norton, menurut Glatter, menjelaskan bahawa berasaskan penyelidikan mereka dengan sampel rakyat Amerika, fikir bahawa kehidupan akan gembira dengan pendapatan mereka yang berlipat ganda (daripada AS$25,000 kepada AS$55,000) tidak menterjemahkan ke dalam mana-mana kegembiraan yang boleh diukur.  (Wang yang berganda tidak membawa kegembiraan yang berganda.)

Akan tetapi, menurut data Elizabeth dan Norton, orang yang memperoleh AS$55,000 hanya sembilan peratus lebih berasa puas hati berbanding dengan orang memperoleh AS$25,000.  Kegembiraan sembilan peratus mungkin sukar untuk diukur, dan lebih baik daripada sifar peratus, dan bukannya 100 peratus yang mungkin anda jangkakan daripada pendapatan tambahan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...