Artikel Popular

Wednesday, July 4, 2012

Pasaran Gagal, Model Punah

RABU, 4 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Mary Schapiro, Pengerusi Securities and Exchange Commission baru-baru ini memberitahu Kongres bahawa rakyat Amerika hilang kepercayaan pasaran saham.  Para pelabur mempunyai "keprihatinan tentang integriti pasaran," dan pasaran Amerika Syarikat kini diancam dengan "keengganan (bagi pihak pelabur) untuk memasuki pasaran semula."

Hampir empat tahun lalu, iaitu tatkala Amerika Syarikat dilanda krisis ekonomi pada tahap "jatuh bebas," Alan Greenspan, bekas Pengerusi Rizab Persekutuan mengaku di hadapan Jawatankuasa Pengawasan Dewan bahawa beliau terlalu mempercayai kuasa pembetulan sendiri pasaran bebas dan gagal menjangkakan kuasa pemusnahan sendiri pemberian pinjaman gadai janji sewenang-wenangnya.  Beliau juga mengakui kecatatan pasaran bebas yang beliau anuti dengan taksubnya. 

Sejak krisis ekonomi  melanda dan dunia hampir-hampir terjebak ke dalam Kemelesetan Besar,  sesetengah ahli ekonomi dan para pengulas hilang kepercayaan terhadap pasaran dalam erti kata bahawa pasaran tidak boleh dibiarkan bebas sebebas-bebasnya, sebaliknya memerlukan campur tangan kerajaan, iaitu kawal selia.  Andaian bahawa ketika kemelesetan kerajaan tidak patut campur tangan kerana dalam jangka panjang, pasaran akan seimbang dengan sendirinya turut dipersoalkan dan diragui.  Memetik John Maynard Keynes, "dalam jangka panjang, kita semua mati."

Walau bagaimanapun, Robert J. Samuelson yang menulis dalam The Washington Post tidak mentafsirkan apa yang berlaku dalam konteks pasaran, sebaliknya beliau memerhatikan bahawa "kita hidup dalam model dunia yang punah."  Mengapa para pemimpin dunia tidak mudah menyelesaikan ekonomi global yang menggerutup adalah kerana model ekonomi yang Amerika Syarikat, Eropah, China bergantung sedang runtuh.  Model berbeza, tetapi kerosakan yang berlaku adalah serentak dan saling membekalkan  antara satu sama lain. Akibatnya adalah bahawa pemulihan global mengendur, manakala pesimisme dan ketidakpastiaan meningkat.

Melampaui pasaran ialah ekonomi sebenar yang di mana-mana sahaja kelihatan muram. Di zon euro yang dilanda krisis,  kadar pengangguran meningkat kepada 11.1 peratus pada bulan Mei, manakala pengangguran dalam kalangan belia mencecah 22.6 peratus. Sementara  sektor pembuatan terjejas, iaitu PMI yang diukur oleh Markit pada 45.1 bulan Jun, mengulangi angka Mei, yang telah pun teruk sejak Jun 2009.  Kedua-dua itu dianggap berita buruk bukan sahaja untuk zon euro, tetapi juga untuk Eropah. "Kucar-kacir sebenar untuk zon euro," ulas R.A. dalam The Economist.

Merentas Atlantik, sektor pembuatan Amerika Syarikat juga  merosot apabila pada Jun, indeks aktiviti pembuatan jatuh kepada 49.7 daripada 53.5 Mei, terendah sejak Jun 2009, sekali lagi selepas kemelesetan berakhir. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...