Artikel Popular

Thursday, July 19, 2012

Berkhatan: Orang Islam dan Yahudi Bersatu

KHAMIS, 19 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Untuk melihat orang Islam dan Yahudi bersatu, seperti "jauh panggang dari api," meskipun bukannya bererti tidak pernah wujud sama sekali.  Bahkan, di Israel sendiri, orang Yahudi dan Islam bergembleng tenaga dalam protes kenaikan sara hidup pada tahun lalu.  Tidak kurang juga orang atau cerdik pandai Yahudi yang bersimpati terhadap umat Palestin; selain yang terkenal, iaitu Noam Chomsky, salah seorang ialah Peter Beinart yang banyak menulis dalam The Daily Beast

Hal yang jarang-jarang berlaku, kini berlaku di Jerman apabila para pemimpin komuniti Yahudi dan Islam bersatu mengkritik keputusan mahkamah yang mereka takuti bahawa berkhatan merupakan kesalahan yang boleh didenda di negara itu.  Hanya 10 peratus, menurut Spiegel International Online, budak lelaki Jerman yang berkhatan, tetapi isu, sama ada ibu bapa sepatutnya boleh memutuskan jika anak-anak mereka menjalani amalan itu masih memecahbelahkan.

Kumpulan berpengaruh rabbi Eropah dilaporkan baru-baru ini menggunakan bahasa yang keras untuk mengkritik keputusan mahkamah Jerman melarang pengkhatanan budak laki-laki. Jika keputusan itu dilaksanakan, presiden kumpulan itu menegaskan, "maka saya tidak lihat masa depan orang Yahudi di Jerman." Bagi mereka, keputusan mahkamah itu merupakan serangan terburuk terhadap kehidupan orang Yahudi selepas Holokaus.

Mahkamah Jerman  itu, ulas Giles Fraser dalam The Guardian, menolak identiti dan sejarah yang mengutamakan konsep liberal pilihan, tetapi lebih kepada betul dan salah. Fraser keturunan Yahudi, kini paderi Kristian, berkhatan semasa beliau berumur lapan tahun, menegaskan bahawa kumpulan orang Islam dan Yahudi dapat difahami berasa terperanjat.

Walau bagaimanapun, Canselor Jerman, Angela Merkel campur tangan terhadap keputusan mahkamah itu, dan berjanji bahawa komuniti Yahudi dan Islam di Jerman bahawa mereka bebas mengamalkan khatan terhadap budak lelaki, meskipun mahkamah melarang amalan itu, membangkitkan keprihatinan tentang kebebasan beragama.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...