Artikel Popular

Wednesday, July 25, 2012

Bulan yang Panjang

RABU, 25 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Bulan Mei 2010 yang lalu, bagi Nick Clegg, sesungguhnya bulan yang panjang.  Setelah muncul sebagai dalang politik akibat parlimen yang tergantung,  ketua Demokrat Liberal itu membentuk kerajaan campuran dengan Parti Konservatif, dan seterusnya beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.  Namun begitu, tiba-tiba  kerajaan campuran dalam kacau-bilau apabila  kurang tiga minggu dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, David Laws daripada Demokrat Liberal meletakkan jawatannya akibat skandal perbelanjaan. Danny Alexander juga daripada Demorkat Liberal yang menggantikan beliau dituduh mengelakkan daripada membayar cukai laba modal atas jualan rumahnya di London dengan melabelkan cara berbeza rumah pertama dan rumah kedua untuk memaksimumkan tuntutan perbelanjaan dan menimumkan bayaran cukai.  Walau bagaimanapun, Clegg menolak tuduhan itu. 
Belum pun  reda dengan masalah dalaman dan masih lagi dalam tempoh berbulan madu, Nick Clegg terpaksa menempuh ujian yang cukup besar apabila pada 31 Mei lalu, komando Israel menyerang flotila yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin dalam misi bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza.  Serangan yang menyebabkan sekurang-kurangnya  sembilan  orang terbunuh dan 30 orang cedera  dikutuk oleh masyarakat dunia.
Sebaik-baik sahaja tersebar berita serangan kejam Israel itu, Clegg juga menjadi tumpuan kerana beliau  pernah menulis artikel yang mendesak komuniti antarabangsa melakukan sesuatu jika Israel tidak menamatkan kepungan di Gaza itu.  Blog berita The Sauce yang menyiarkan sebuah artikel  yang menyatakan    tekanan terhadap Clegg   memuncak  - menuntut beliau menunaikan segala kata beliau sebelum ini.  “Persoalan petang ini,” tulis artikel itu, “apabila beratus-ratus orang penunjuk perasaan menuju ke Downing Street menuntut tindakan kerajaan adalah sama ada Nick Clegg akan berdiam diri membiarkan dirinya diaibkan dengan tolak ansur seterusnya dengan tuan Konservatifnya yang baru.”
Apabila Perdana Menteri, David Cameron menyatakan serangan itu “tidak boleh diterima” dan Setiausaha Luar, William Hague berkata kehilangan nyawa “yang amat dikesali”  tidak dapat dipastikan sama ada Nick Clegg yang masih berdiam diri berpuas hati dengan kedua-dua kenyataan itu. 
Dalam artikel yang diterbitkan dalam  akhbar Independent  Robert Fisk yang mengkritik para pemimpin Barat yang amat pengecut untuk menolong menyelamatkan nyawa, bertanya di manakah ahli politik kita?  Di manakah Cameron?  Di manakah Clegg?  Mengapakah kita tidak mendegar kata-kata yang berani daripada Tetuan Cameron dan Clegg semalam? 
Mungkin boleh ditambah di sini, apakah setelah berkuasa Clegg tidak lagi  seberani ketika beliau menulis artikelnya dahulu?
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Julai 2010, sebagai "penyendal.")

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...