Artikel Popular

Tuesday, July 31, 2012

Perang Udara di Negeri Berayun

SELASA, 31 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012 hanya tinggal 100 hari lagi, tetapi sebilangan  pengundi masih belum dapat membuat keputusan.  Dan, dalam tempoh ini, menurut The Washington Post, Presiden Barack Obama dan pencabarnya daripada Republikan, Mitt Romney serta sekutu mereka akan membelanjakan beratus-ratus juta dolar untuk meraih sokongan golongan pengundi berkenaan.

Jika Mitt Romney menggunakan lawatannya ke Israel untuk mendapat sokongan pengundi Yahudi di Amerika Syarikat, Obama juga bermain di atas pentas yang sama dengan meluluskan bantuan ketenteraan yang baru bernilai AS$70 juta. Tentang Iran, Romney  cuba memperlihatkan perbezaan beliau dengan Obama, tetapi Presiden Amerika itu bertindak pintar dengan menghantar beberapa orang penting dalam pentadbirannya ke negara itu.

Tinjuan pendapat demi tinjauan pendapat dikeluarkan yang secara keseluruhannya menunjukkan persaingan sengit antara kedua-dua calon Presiden itu.  Yang terbaharu, The Economist menunjukkan  setakat 26 Julai, Obama mendahului 46.4 peratus berbanding 45.1 peratus untuk Romney.  Sebelum ini, tinjauan pendapat NBC News/Wall Street Journal menunjukkan Obama mendahului Romney sebanyak enam mata, iaitu 49 peratus berbanding dengan 43 peratus, meningkat daripada tiga mata sebelum ini, 47 peratus berbanding dengan 44 peratus.  

Harry J Enten cuba menganalisis beberapa tinjauan pendapat yang membolehkan  beliau merrumuskan bahawa kedudukan Romney lebih teruk daripada Obama dari segi ukuran penting penerimaan.  Sementara tinjauan pendapat USA Today-Gallup menunjukkan bahawa kedua-dua calon  menghadapi masalah yang sama, iaitu tidak disukai oleh rakyat Amerika.  Namun, sesetengah tinjauan pendapat dipersoalkan kerana berkemungkinan terpencong ke arah Obama dan persampelan berlebihan untuk Demokrat, seperti yang melibatkan tinjauan pendapat Pew Research Center.

Selain tinjauan pendapat, Pilihan Raya Presiden kali ini menyaksikan perang udara, iaitu pertarungan iklan antara kempen Obama dengan kempen Romney yang digerakkan oleh super PAC masing-masing.  Memang tidak dinafikan bahawa begitu banyak wang yang dicurahkan oleh kedua-dua kempen untuk periklanan, tetapi keberkesanannya, seperti yang dibahaskan oleh John McCormick dalam Bloomberg, gagal menggerakkan para pengundi.  

Bahkan, serangan bertalu-talu kempen Obama terhadap Bain Capital tidak dapat memberikan jawapan yang muktamad tentang keberkesanannya, meskipun disokong  pendedahan demi pendedahan oleh media dan  pengulas,  seperti tulisan Luke Johnson dalam Financial Times yang menegaskan bahawa Romney tidak ada kredibiliti. Bahkan, dikatakan bahawa serangan itu tidak berkesan.

Walau bagaimanapun, Doug Schoen yang menulis dalam Forbes,  mengakui iklan negatif  terhadap  Romney menjadi memandangkan beberapa tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Obama mendahului Romney. Kedua-dua belah pihak, iaitu kempen Obama dan kempen Romney menggunakan iklan negatif antara satu sama lain.  Demikian tinjauan pendapat Reuters/Ipsos menunjukkan serangan terhadap sejarah pembabitan Romney dalam Bain Capital dan keengganan beliau mendedahkan penyata cukai pendapatannya didapati berkesan.

Memang, dalam politik wajar diserlahkan  negatif pihak lawan.  Akan tetapi, Dole McManus yang menulis dalam Los Angeles Times, menegaskan bahawa tindakan seperti itu lebih memberikan kepada Obama berbanding dengan Romney.  Hal ini demikian kerana kegagalan  atau kesilapan Obama telah pun diketahui umum, dan dengan itu, sia-sia sahaja ditonjolkan dalam iklan.  Sebaliknya, Romney kurang dikenali, maka Obama melalui iklan, cuba mentakrifkan Romney mengikut kehendaknya sendiri, dan usaha ini didapati berkesan, seperti iklan America the Beautiful

Romney, menurut Dona Brazile, terpaksa bertarung dengan "fakta yang degil."  Fakta yang akan menghantui beliau sehingga November ini. Pastinya  fakta ini digunakan oleh kempen sebagai "tebusan" terhadap Romney.  Dan seperti yang dibahaskan oleh Maureen Dowd, bahawa Romney gemar berahsia,  seperti penyata cukai pendapatannya yang kini menjadi perhatian dan desakan umum, yang cuba dikiaskan oleh Robert L. Borosage, "calon yang berpintu pagar."

Perang udara yang dinyatakan itu banyak tertumpu di negeri yang menjadi medan pertarungan, atau seperti yang dinyatakan oleh Paul Begala dalam The Daily Beast.  Negeri yang menentukan  kemenangan Obama memang jelas, tegas Begala, demikian juga negeri yang memihak kepada Romney.  Kedua-duanya, iaitu Obama dan Romney masing-masing memperoleh 48 peratus undi, maka bakinya empat peratus pengundi di negeri berayun, iaitu Virginia, Florida, Ohio, Iowa, New Mexico, dan Colorado yang melibatkan 916,643 orang pengundi. 

Paul Begala yang juga penasihat kanan super PAC  pro-Obama, iaitu Priorities USA Action, menegaskan bahawa agenda berpandangan ke hadapan adalah penting dan bukannya berbangga dengan pencapaian masa lalu.  Untuk meraih angka bertuah 916,643 itu, tegas Begala lagi, "parti-parti politik, kempen, dan super PAC akan berbelanja lebih AS$2 bilion.  Secara terperinci, AS$2181.87  untuk seorang pengundi, atau Mitt Romney mungkin menyebutnya, perubahan poket."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...