Artikel Popular

Tuesday, April 30, 2013

Hilang dalam Manifesto: Orang Politik Tidak Dapat Membela Nasib Rakyat!

SELASA, 30 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tatkala Pilihan Raya Umum ke-13 hanya tinggal kurang dari seminggu, pelbagai harapan diberikan dan janji ditaburkan kepada para pengundi khususnya dan rakyat jelatannya amnya.  Tidak kurang orang politik yang berjanji untuk mengurangkan defisit belanjawan, tetapi pada masa yang sama, mengamalkan politik populis dengan menaburkan atau menjanjikan  pelbagai habuan kepada rakyat seandainya mereka menang kelak.

Sekurang-kurangnya dari segi ekonomi, adakah orang politik boleh dipercayai?  Para pengundi di United Kingdom mempunyai jawapan yang kita di Malaysia boleh menjadikannya sebagai ikhtibar atau pegangan.  Menurut tinjauan pendapat yang dijalankan oleh YouGov, yang dipetik oleh +The Guardian, para pengundi memberitahu bahawa orang politik tidak dapat membela nasib mereka. 

Tinjauan itu mendapati bahawa hanya 22 peratus pengundi Konservatif dan 27 peratus pengundi Demokrat Liberal fikir dasar yang betul dapat memulihkan taraf hidup dalam beberapa tahun akan datang.  Kebanyakan pengundi, terutamanya penyokong pakatan hilang kepercayaan terhadap keupayaan tindakan  kerajaan yang segera untuk memulihkan taraf hidup kepada tahap yang dilihat sebelum keruntuhan perbankan.

Kepercayaan, sama ada kerajaan mempunyai kuasa, apatah lagi dasar, untuk memulihkan taraf hidup juga kelihatan merupakan satu isu yang paling menentukan mana parti yang akan kembali semula.

Monday, April 29, 2013

Hilang dalam Manifesto: Tindakan Afirmatif

ISNIN, 29 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pilihan Raya Umum ke-13 kurang dari seminggu.  Pada hari Isnin depan, pihak yang menang dan yang tewas dapat diketahui, demikian juga pada hari itu, kerajaan baru akan terbentuk. Setakat ini, meskipun  wujud cacamarba pada hari penamaan calon 20 April lalu, setiap pihak, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) yakin bahawa mereka akan meraih kemenangan. 

Bagi Najib Razak, kekalahan, seperti yang dipetik oleh +Al Jazeera,  akan membawa malapetaka terhadap Malaysia.  Sementara Anwar Ibrahim yang kokok berderai-derai seolah-olah kemenangan menyebelahi beliau dan Putrajya dalam genggamannya,  tetapi memeranjatkan terpaksa bergayut  di bawah ketiak  Yusuf al-Qardawi, sekali gus mendedahkan bahawa pemimpin PR ini tidak mampu berdiri di atas kaki sendiri.

Selain usaha memartabatkan atau mendaulatkan bahasa Melayu hilang dalam manifesto BN dan PR, tindakan afirmatif juga mengalami nasib yang sama: akan lenyap tidak kira mana-mana parti yang akan menang kelak.  Agak menarik, liputan media asing tentang pilihan raya kali ini, tertumpu terhadap tindakan afirmatif yang sering didakwa  memberikan keistimewaan  orang Melayu dan kaum bumiputera sambil mengorbankan orang Cina dan India, seperti yang dibahaskan dalam +The Economist, sebagai   dasar yang tanpa kesudahan. Justeru, pilihan raya pada Mei ini merupakan tanda titik tolak.

Mengkritik sistem itu, menurut majalah itu lagi, merupakan ketukan utama kempen pembangkang dalam pilihan raya yang diadakan 5 Mei ini, iaitu kali pertama sejak merdeka yang pembangkang mempunyai sedikit peluang untuk mengalahkan parti pemerintah BN, yang diterajui oleh Umno.  "Kedua-duanya, iaitu kerajaan dan pembangkang bersetuju bahawa sistem diskriminasi sepatutnya dimasuhkan, tetapi kerajaan takut kehilangan undi Melayu yang kuat."

Phillippa  Stewart yang menulis dalam Al Jazeera tentang pilihan raya kali ini, turut menyentuh tindakan afirmatif yang memberikan pelbagai keistimewaan kepada orang Melayu dan kaum bumiputera sambil menjadikan orang Cina dan India warganegara kelas kedua. Namun, Stewart mungkin lupa bahawa warganegara kelas kedua itu, iaitu orang Cina jauh lebih kaya daripada kaum bumiputera. 

Jika diteliti kedua-dua tulisan itu, jelas bahawa orang Melayu dan kaum bumiputera dianggap punca segala kejahatan dan kecelakaan yang berlaku di negara ini sehingga menyebabkan orang Cina dan India didiskriminasikan.  Mungkin secara kebetulan The Economist yang  menganjurkan debat tentang tindakan afirmatif yang dilaksanakan di Amerika Syarikat, mengesyorkan dasar sosial itu dihapuskan dan kerajaan sepatutnya buta warna.


Friday, April 26, 2013

Jimat-cermat Terus Memburu Mangsa

JUMAAT, 26 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


United Kingdom dilaporkan terselamat daripada kemelesetan curam ganda tiga apabila ekonomi negara itu tumbuh 0.3 peratus bagi suku pertama tahun 2013, mengatasi jangkaan.    Berita gembira ini dijangkakan meredakan tekanan politik terhadap Canselor George Osborne yang begitu gigih melaksanakan langkah jimat-cermat.

Namun, sebuah lagi negara anggota Kesatuan Eropah, iaitu Sepanyol mencatatkan kadar pengangguran tertinggi,  iaitu mencecah 27.2 peratus pada suku pertama tahun ini.  Dengan kadar yang pecah rekod itu dan tidak dijangkakan, perhatian tertumpu pada langkah jimat-cermat yang dilaksanakan di Sepanyol dan kebanyakan negara dalam Kesatuan Eropah.  

Dengan lebih enam juta orang tanpa pekerjaan di Sepanyol dan nasib yang sama menimpa 3.2 juta orang di Perancis, maka jimat-cermat dipersalahkan. Seperti yang dibahaskan oleh Phillip Inman Giles Tremlett, pengangguran memecah rekod di kedua-dua negara, iaitu Perancis dan Sepanyol sebagai impak pemotongan perbelanjaan kerajaan dan runtuhnya keyakinan pengguna memaksa majikan memecat beribu-ribu orang pekerja.

Walau bagaimanapun, Stephen King mengingatkan jangan berdoa untuk pemulihan kerana  kedua-duanya, iaitu Keynesian dan pendukung jimat-cermat  tidak mampu menghadapi realiti baru yang suram tentang dunia yang mengalami pertumbuhan yang perlahan.


Thursday, April 25, 2013

Berapa Kerap Suami Isteri Sepatutnya Bersetubuh

KHAMIS, 25 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Beberapa hari lalu, +The Wall Street Journal muncul dengan persoalan yang lazim, tetapi bukan merupakan isu kritis untuk pasangan suami isteri, iaitu tentang kekerapan bersetubuh.  Elizabeth Bernstein,  kolumnis akhbar itu membangkitkan, apa yang terjadi jika si suami mahu, tetapi isteri enggan dengan mengemukakan pengalaman pasangan Chris Mower dan Afton yang sebelum setengah tahun berkahwin, Mower, si suami semakin berasa bimbang kerana mereka tidak cukup mengadakan hubungan seks.  Keadaan ini semakin teruk minggu demi minggu.

Apabila Mower cuba membincangkan masalah tersebut dengan isterinya, jelas Elizabeth, dia menukar subjek.  Si suami cuba berbisik, tetapi si isteri tidak mempedulikannya.  Mower yang menjejak kehidupan mereka dalam buku nota, memberitahu bahawa dia cuba memulakan hubungan seks, tetapi merosot.  Mereka merancang untuk bersetubuh, tetapi tidak disempurnakan. "Untuk saya untuk berasa elok tentang diri saya," jelas Mower, "saya memerlukan isteri saya untuk bersetubuh dengan saya.  Kalau tidak, saya fikir dia tidak mencintai saya."

Walau bagaimanapun, hujah Elizabeth, pasangan suami isteri adalah luar biasa dari segi kesediaan mereka untuk bercakap secara terus terang tentang sumber lazim rasa tidak gembira tentang perkahwinan, iaitu perbezaan jangkaan tentang seks.  Mereka muncul dengan penyelesaian yang mereka percaya dapat menyelamatkan perkahwinan mereka dan ingin pasangan lain tahu.

Elizabeth yang juga memetik pandangan pakar yang semakin percaya bahawa hubungan seks merupakan pengalaman emosi untuk lelaki berbanding dengan untuk wanita.  Lelaki cenderung melahirkan perasaan dengan tindakan, bukannya dengan kata-kata. Tidak sepreti kebanyakan wanita, mereka mungkin tidak bersembang hati ke hati dengan setiap orang daripada kawan rapat mereka kepada pemandu bas, dan mereka selalu mengehadkan dakapan dan kasih sayang  fizikal kepada keluarga terdekat mereka.

Namun, Emma Gray yang menulis dalam blog +The Huffington Post meragui bahawa keinginan bersetubuh itu hanya muncul pada pihak suami.  Bagi Emma, The Wall Street Journal ingin anda mengetahui bahawa lelaki yang berkahwin memerlukan seks, tetapi keinginan mereka tidak kesampaian, kemungkinannya kerana isteri mereka keberatan. Wanita yang berkahwin juga, hujah beliau ingin mengadakan hubungan seks.




Soros Bermain Api

KHAMIS, 25 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sejak awal lagi, krisis zon euro yang masuk tahun ketiga, mendapat perhatian +George Soros, hartawan terkenal.  Beliau juga tidak jemu-jemu, meskipun kadangkala naik berang, menggesa Canselor Jerman +Angela MerkeI bertindak menyelesaikan krisis yang berlarutan itu.  Baru-baru ini, Soros menggasak Jerman dan mendesak negara itu meninggalkan euro demi masa depan mata wang bersama itu.

Desakan Soros itu, walau bagaimanapun, mencetuskan kontroversi, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan Hans-Wenner Sinn dalam The Guardian dan Project Syndicate, iaitu beliau bermain dengan api. Meskipun para pelabur mengalu-alukan desakan bahawa Jerman perlu memilih menyokong bon euro atau meninggalkan euro, hujah Sinn, jika Soros betul, dan Jerman terpaksa membuat pilihan, banyak orang Jerman pasti mengutamakan untuk meninggalkan euro.  Parti politik baru di Jerman akan menarik lebih banyak sokongan, dan sentimen mungkin beranjak.  "Euro sendiri akan berakhir," tulis Sinn, "lagipun, memang tugas utama untuk memecahkan penguasaan Bundesbank  dalam dasar monetari.

Akan tetapi, Sinn mengingatkan, Soros silap, sejak dari mula lagi beliau tidak mempunyai asas undang-undang untuk mengemukakan tuntutannya. Lebih teruk lagi, bahas Sinn, adalah Soros tidak mengiktiraf sifat sebenar masalah zon euro.  Krisis kewangan yang berlaku sekarang hanya simpton kesatuan monetari  semata-mata yang mendasari penyakit, iaitu negara anggota di selatan kehilangan daya saing.







Kepercayaan terhadap Kesatuan Eropah Terhakis

KHAMIS, 25 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Tinjauan pendapat  menunjukkan kepercayaan terhadap Kesatuan Eropah yang dilanda krisis, pada tahap paling rendah.  Data daripada Eurobarometer yang dipetik menunjukkan kepercayaan terhadap projek Eropah jatuh lebih pantas jika dibandingkan dengan kadar pertumbuhan.  

Sejak krisis bermula, kepercayaan terhadap Kesatuan Eropah jatuh daripada +10 kepada -22 mata  di Perancis,  +20 kepada -29 mata di Jerman, daripada +30 kepada -22 mata di Italy, daripada +42 kepada -52 mata di Sepanyol, daripada +50 kepada +6 mata di Poland, dan daripada -39 kepada -49 mata di United Kingdom.

Kemerosotan keyakinan  di Jerman, hujah Phillip Inman memburukkan lagi krisis euro.  Bukti menunjukkan bahawa ekonomi yang sangat berkuasa di zon euro terheret ke dalam kemelesetan.  Sementara beberapa buah negara di zon euro bukan sahaja bergelut dengan krisis kewangan, tetapi juga krisis politik, seperti yang diperhatikan oleh Michael Sivy, seperti yang berlaku di Perancis, Italy, dan Sepanyol, manakala negara di selatan Eropah dijangkakan tidak dapat mengelakkan daripada  Kemelesetan Besar.



Wednesday, April 24, 2013

Kegawatan Kewangan Berpunca daripada Banker Ketagih Dadah

RABU, 24 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Krisis kewangan global memasuki tahun keempat jika diambil kira daripada keruntuhan Lehman Brothers pada pertengahan September 2008, meskipun krisis subprima berlaku lebih awal.  Sejak itu, ulasan demi ulasan dikemukakan mengapa krisis kewangan itu berlaku, baik dalam akhbar dan majalah, mahupun jurnal dan buku.

Hingga kini, orang masih mengemukakan punca krisis kewangan itu, dan yang terbaharu oleh Profesor David Nutt yang menegaskan bahawa kegawatan kewangan berlaku kerana terlalu banyak banker mengambil dadah, seperti yang dipetik oleh Rob Williams dalam The Independent.

Geraint Anderson yang menulis dalam blog The Guardian, yang  bersetuju dengan hujah David Nutt sambil memetik Presiden George W. Bush yang pernah berkata, "Wall Street mabuk" tentang krisis kewangan tahun 2008 itu.


Tuesday, April 23, 2013

Jauh Berjalan Luas Pengalaman

SELASA, 23 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Monday, April 22, 2013

Makroekonomi Hilang Keajaiban

ISNIN, 22 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Ratu Elizabeth pernah mengemukakan soalan yang sukar dijawab: "Mengapa tidak seorang pun yang melihat luluh kredit berlaku?"  Soalan yang kemudian dipetik secara meluas, secara tidak langsung, mempersoalkan kebijakan dan kewibaan ahli ekonomi, penggubal dasar, dan bahkan para pemimpin dunia yang seakan-akan lalai, sehingga tercetusnya krisis kewangan tahun 2008 - 2009 dan kemelesetan global. Kapitalisme dan globalisasi juga turut menjadi sasaran yang membayangkan bahawa kedua-dua itu turut dilanda krisis, dan bahkan dijangkakan berakhir.

Teori ekonomi, seperti fundamentalisme pasaran turut diragui, manakala Thatcherisme dicadangkan dikembumikan bersama-sama tuannya,  Margaret Thatcher.  Bekas Perdana Menteri British ini, ialah jaguh jimat-cermat, yang beliau dapat saksikan keruntuhan dasar itu sebelum beliau meninggal dunia.

Seterusnya, seperti yang dibahaskan oleh Robert J. Samuelson  dalam The Washington Post, yang merujuk persidangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini, tentang "Rethinking Macro Policy II."    Makroekonomi, tegas beliau, ialah kajian tentang seluruh ekonomi, tetapi persoalannya, berapa banyak dasar "makro" dapat mewujudkdan dan melindungi kemakmuran.  

Sebelum krisis kewangan 2008 - 2009, wujud keyakinan yang amat besar bahawa "makro" mampu melakukannya, hujah Samuelon.  "Kini, dengan 38 juta orang menganggur di Eropah dan Amerika Syarikat, dan pemulihan lemah atau tidak wujud, maka makroekonomi berselarak dan buruk."

Dalam kalangan ahli ekonomi, jelas beliau, tidak wujud konsensus tentang, misalnya tentang jimat-cermat yang sering diperdebatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.  Demikian juga tentang kadar faedah yang menghampiri sifar dan "peredaan kuantitatif" dapat memacu pemulihan.  "Orang ramai keliru kerana ahli ekonomi berpecah belah."

Ahli ekonomi, seperti yang dibahaskan oleh  Heidi Moore, "mengingatkan kita  bukan tuhan," dengan merujuk  skandal data Rogoff-Reinhartt.  Walau bagaimanapun, ahli ekonomi Harvard yang dikritik, antaranya oleh Paul Krugman,  Dean Baker, Matthew O'Brien, dan Mike Konczal,   dan dibahaskan, tetap mempertahankan dapatan mereka:  apabila hutang kerajaan lebih 90 peratus, nescaya pertumbuhan  menjadi terbalik.


Carta: Orang Asing Miliki Amerika

ISNIN, 22 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Hakikatnya, Amerika Syarikat masih dianggap ekonomi terbesar di dunia, meskipun disaingi oleh China yang kini menduduki tempat kedua selepas menyingkirkan Jepun.

Dalam pada itu, Joe Weisenthal menunjukkan bahawa orang asing menguasai ekonomi Amerika Syarikat, dengan memetik BEA Presentation.


Sunday, April 21, 2013

Bom dalam Rumah

AHAD, 21 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Pada  tahun 2009, seperti yang pernah diumumkan, terdapat 3.2 juta pemegang kad kredit di Malaysia.  Secara purata, peratusan pemegang kad kredit yang diisytiharkan muflis  hanya 0.04 peratus daripada jumlah pemegang kad kredit utama  dalam masa lima tahun.   Atau hanya 405 orang pemegang kad kredit, suatu jumlah yang kecil daripada yang difikirkan.  Walau bagaimanapun, pemegang kad kredit sering dinasihatkan supaya berhemat atau bijak menggunakan kemudahan ini:  bom di dalam saku yang boleh meletup.
            Selain hutang kad kredit, yang menjadi perhatian  ialah hutang isi rumah yang  agak tinggi.  Seperti dimaklumkan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz  pada Januari lalu,  “jumlahnya mencecah RM577 bilion atau 74.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat November  berbanding RM561.5 bilion atau 78.1 peratus KDNK pada Ogos 2010. Hutang isi rumah ini adalah kira-kira 50 peratus daripada jumlah hutang, masih pada tahap hati-hati.” Pada akhir 2009,  hutang isi rumah berjumlah RM516.6 bilion atau 76.6 peratus KDNK, berbanding dengan 63.9 peratus KDNK pada 2008.  Dari 2005 hingga 2008, seperti yang dilaporkan,  jumlah isi rumah secara purata kira-kira 67 peratus.  Hutang kad kredit pula RM26.7 bilion daripada hutang isi rumah pada akhir 2009 dan berjumlah RM23 bilion pada 2008.
Di Malaysia, selain ah long atau lintah darat, orang ramai sering dihubungi oleh pihak bank yang menawarkan pinjaman peribadi.  Tidak ketinggalan,  pengeluar kad kredit yang juga menawarkan pinjaman tunai, sama ada pelanggan  boleh mengeluarkannya di ATM yang disenaraikan,  ataupun dengan mengirimkan “Ready Cash Form” kepada pelanggannya.  Tawaran demi tawaran seperti ini, pastinya akan menggoda sesiapa sahaja.  Sekali dua mungkin mereka tidak mempedulikannya, tetapi akhirnya tumbang juga apabila  pintu hati mereka sentiasa diketuk.  Akibatnya, seperti kata peribahasa,  “hutang berbaris” atau “hutang biduk belum langsai; hutang pengayuh tiba pula.” 
Hutang isi rumah yang tinggi merupakan fenomena global yang sukar dibendung. Ekonomi Eropah, misalnya,  dikatakan lemah dan semakin lemah.  Banyak isi rumah terpaksa membayar balik hutang dan bukannya berbelanja.  Keadaan ini diperburukkan lagi oleh produktiviti yang rendah, iaitu 24 peratus lebih rendah daripada Amerika Syarikat.
Pertumbuhan di Barat,   dirangsangkan oleh kredit yang mudah dan penggunaan,  runtuh semasa krisis kewangan 2008.  Sebaliknya, pertumbuhan di Timur, dirangsangkan simpanan dan pengeluaran, terus stabil.  Namun, jika diperhatikan betul-betul, hakikat budaya simpanan yang diamalkan oleh orang Asia merosot di banyak tempat. Kelahiran golongan kelas menengah di bandar-bandar  mewah Asia,  ternyata bahawa gaya hidup mereka tidak jauh berbeza dengan kelas menengah di Barat. 
“Dengan pertolongan bank-bank yang begitu ghairah memperkembang perniagaan mereka,” tulis Owen Matthews dan Alexandra A. Seno dalam “Special Edition:  Issues 2011”  Newsweek, “berpuluh-puluh juta pengguna merentas pasaran sedang muncul mengambil gadai janji rumah, kad kredit, pinjaman kenderaan.”  Disubahatkan oleh wang plastik yang mudah, generasi di Asia dikatakan mendapati sungguh seronok “berbelanja sebelum memperoleh pendapatan.” 
Negara-negara Asia Tenggara yang merupakan satu rantau Asia yang mempunyai tahap kredit peribadi yang tinggi, kini 77 peratus KDNK.  Sementara lebih separuh bahawa hutang adalah daripada gadai janji rumah dan pinjaman kereta, jumlah besar selebihnya ialah hutang kad kredit dan pembiyaan pengguna yang lain.  Di Hong Kong, baki hutang kad kredit purata kini lebih tinggi daripada di Eropah Barat.  Bank of International Settlements, menurut  Matthews dan  Seno,  memberikan amaran seawal tahun 2008  bahawa ledakan hutang yang pesat di Asia dan pasaran sedang muncul yang lain menimbulkan “risiko baru terhadap kestabilan kewangan.”
Persoalan  tersebut  memperkukuhkan lagi anggapan bahawa hutang meningkat pada setiap tahap, daripada pengguna kepada syarikat kepada bank kepada negara keseluruhan.  Jawapan untuk semua masalah, baik bagi  pengguna, syarikat, mahupun negara ialah kumpul lebih banyak hutang.  Pengguna yang beria-ria membeli-belah menggunakan kad kredit; bagi yang ingin cepat kaya, baik pengguna mahupun syarikat, gunakan wang yang dipinjam. 
Newsweek  dalam keluaran yang sama, mengandungi makalah William Underhill, “Can Anglo-Saxons Really Stop Spending?” yang bermula, “sepatutnya, para pengguna yang cuai di dunia maju dalam perasaan penuh keinsafan” kerana perbelanjaan mereka yang mengikut nafsu  terhadap rumah dan barang pengguna turut menyumbang kepada malapetaka kewangan 2008. Rakyat Amerika dan British, tegas Underhill, gemar berbelanja. Untuk beberapa tahun, rakyat Amerika hanya menyimpan sebanyak dua atau tiga peratus pendapatan mereka, jika dibandingkan dengan 10 peratus atau lebih di negara Eropah dan Asia.  British pula, terpaksa menanggung  beban hutang peribadi yang besar.  Pada tahun 2008, hutang isi rumah purata mencecah 183 peratus pendapatan boleh guna tahunan, tahap tertinggi bagi mana-mana ekonomi utama.
Fiil lama sukar berubah,  meskipun mungkin serik untuk seketika.  Seperti  yang sering dikatakan, manusia mempunyai memori yang pendek; demikian juga dengan pengalaman pahit untuk menyelesaikan hutang yang bertimbun. Nafsu untuk berbelanja sukar dikawal, bahkan kalau dicuba, nescaya nafsu  itu semakin meronta-ronta.  Hidup mati bersama-sama hutang, bersama-sama bom  di dalam saku.  Bagi rakyat Amerika, bahas Underhill, meskipun hutang peribadi merosot pada suku ketiga 2010 sahaja, jatuh AS110 bilion atau satu peratus, tetapi kemorosatan itu adalah akibat perampasan ruma dan kemungkiran hutang kad kredit.  “Tidak mungkin petunjuk  tabiat kewangan peribadi yang semakin baik.”  Statistik itu gagal menunjukkan siapakah sebenarnya yang mempunyai simpanan yang kian meningkat.  Di Amerika jika dibandingkan dengan negara maju lain, isi rumah kaya mampu menyimpan, manakala isi rumah miskin terbenam dalam hutang. Seluruh generasi pengguna, bahas Underhill lagi, “membesar dengan idea kepuasan pengguna segera dan budaya kredit yang muncul bersama-samanya.” Wujud sesuatu dalam budaya Amerika atau British yang menjadikan orang ramai pemboros selama-lamanya dan berasa gembira hidup dengan hutang keliling pinggang.
Rakyat Amerika dikatakan mempunyai reputasi yang buruk kerana hidup di luar kemampuan mereka, menimbunkan hutang. Hutang isi rumah negara itu berjumlah AS$11.4 trilion pada akhir Disember 2010, jatuh sebanyak AS$155  bilion atau 1.3 peratus  daripada jumlah pada akhir September.  Menurut laporan Rizab Persekutuan New York, para pengguna telah mengurangkan kira-kira AS$1.08 trilion hutang mereka sejak mencecah tahap tertinggi pada suku ketiga 2008.  
Namun,  isi rumah Kanada, menurut Businessweek, mempunyai nisbah hutang dengan pendapatan yang lebih tinggi daripada isi rumah Amerika, untuk kali pertama dalam masa 12 tahun.  Di Kanada, pada suku tahun ketiga 2010, nisbah hutang pasaran kredit isi rumah dengan pendapatan boleh guna peribadi meningkat kepada 148.1 peratus daripada 143.4 peratus kerana pendapatan jatuh sebanyak 1.5 peratus.  Sementara di Amerika Syarikat, hutang menunjukkan 147.2 peratus daripada pendapatan boleh guna isi rumah.  
Hutang isi rumah, menurut  OECD Factbook 2010, mencecah lebih 120 peratus pendapatan boleh guna di United Kingdom, Kanada, Amerika Syarikat, Jepun, dan Ireland sebelum tercetusnya krisis pada tahun 2008.  Pada tahun 2009, Ireland yang paling tinggi, dengan hutang isi rumah  176 peratus pendapatan boleh guna.  
Laporan  McKinsey tentang Debt and Deleveraging, memaklumkan  tahap hutang rumah negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China pada tahun 2008.  Hutang isi rumah China meningkat daripada empat peratus KDNK  pada 2000 kepada  12 peratus KDNK pada 2008, dengan majoriti hutang ini dalam bentuk gadai janji. Hutang isi rumah India meningkat daripada dua peratus KDNK pada 2000 kepada 10 peratus KDNK pada 2008; Rusia daripada satu peratus KDNK kepada 10 peratus KDNK; dan Brazil, daripada enam peratus KDNK kepada 13 peratus KDNK.  Tahap hutang isi rumah negara BRIC ini jauh lebih rendah  jika diibandingkan dengan Amerika Syarikat, yang hutang isi rumahnya 72 KDNK  peratus pada 2000 dan 97 peratus KDNK  pada 2008.  Menurut laporan itu lagi, banyak lagi ruang untuk pertumbuhan bagi pengguna di negara BRIC.
Korea Selatan pula, hutang isi rumah meningkat sebanyak 6.9 peratus pada 2010, peningkatan  secara ketara jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.  Pada akhir Disember, institusi kewangan mempunyai  722.8 trilion won (AS$642 bilion) pinjaman belum bayar untuk sektor isi rumah, menurut Korea Credit Bureau.  Angka ini termasuk 124.1 trilion won pinjaman isi rumah tidak bercagar, meningkat 19.4 peratus daripada jumlah tahun sebelumnya, dan 311.5 trilion won dalam pinjaman gadai janji, meningkat 9.5 peratus.
Dalam kes Kanada, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengingatkan bahawa hutang isi rumah yang tinggi boleh menjelaskan pertumbuhan.  Dan, kerajaan pusat nampaknya sedar akan masalah yang kita membusut ini.  Pada awal tahun ini, Menteri Kewangannya, Jim Flaherty mengubah tempoh maksimum bagi kebanyakan gadai janji dari 35 tahun ke 30 tahun. “Kami mahu mengingatkan rakyat Kanada bahawa kami tidak memudahkan andaian hutang berlebihan oleh sesetengah mereka pada kadar faedah yang sangat rendah kerana ini akan membawa kepada kesusahan dalam jangka sederhana dan jangka panjang. 
Manusia dilahirkan bebas, dan dia di mana-mana sahaja dalam rantai.  Kata pembukaan Jean-Jacques Rousseau,  dalam karyanya  yang mengundang perdebatan yang penuh semangat tanpa kesudahan sejak penerbitan pertamanya,   The Social Contract  pada tahun 1762. Kini, orang mengungkapkannya semula, “manusia dilahirkan bebas, tetapi di mana-mana sahaja  dalam hutang.”  Di negara kaya, memperoleh kad kredit pertama merupakan rite of passage yang lebih penting untuk kehidupan harian berbanding dengan seseorang itu membuang undi pertama.  Membeli rumah pertama biasanya perlu berhutang yang jumlahnya beberapa kali lebih besar daripada pendapatan tahunan peminjam berkenaan.  Ulas  The Economist dalam “A Special Report on Debt:  Repent at Leisure”  pada pertengahan tahun lalu.  Hutang mungkin menjadi beban dan bukannya rahmat kerana orang ramai atau syarikat  meminjam untuk mengekalkan keinginan tahap keinginan perbelanjaan mereka.  Satu lagi alasan ialah optimisme, iaitu mereka percaya pulangan atas wang yang dipinjamkan lebih besar daripada kos khidmatan hutang berkenaan (cost of servicing the debt).  Pemiutang pula percaya bahawa pendapatan penghutang meningkat; kalau tidak, bagaimana dia mampu membayar hutang bersama-sama faedah.
Hutang, tambah The Economist  lagi,  selalunya dianggap sebagai isu moral, di samping isu ekonomi.  Dengan memetik Margaret Atwood dalam buku eseinya, Payback:  Debt and the Shadow Side of Wealth, majalah itu menegaskan bahawa dalam tempoh 100 tahun lalu, pertarungan moral lebih memihak kepada penghutang.  Muflis tidak lagi distigmakan, tetapi sekadar hanya  nasib malang.  “Apa para  pengguna meminjam di luar kemampuan mereka, kesalahan dilemparkan terhadap amalan  peminjaman  yang longgar dan bukannya terhadap peminjaman yang tidak bertanggungjawab.”  Dengan kata lain, jangan salahkan mangsa.  Kerajaan pula menggalakkan lebih banyak orang ramai menjadi pemilik rumah, dan dengan itu, terpaksa berhutang.  Seperti yang sering didengar,  jika tidak berhutang, mana mampu memiliki rumah, kereta,  menanggung pengajian anak-anak, dan bahkan untuk  berkahwin.
Taraf hidup, tegas Christopher Swann dan James Pethokoukis dalam The New York Times pada Oktober lalu, boleh menjadi korban utama krisis hutang.  Untuk satu dekad, golongan kelas menengah yang terjebak dalam pendapatan yang beku menjadi semakin teruk terjerumus ke dalam hutang.  Bayaran untuk mengurangkan beban hutang bukanlah mudah. Meskipun mereka menulis pengalaman Amerika, tetapi pengajaran yang serupa boleh diterapkan untuk tempat-tempat lain apabila tahap hutang tidak terkawal.  Dengan  kadar hutang 123 peratus pendapatan isi rumah, tulis Swann dan Pethokoukis “pada kadar simpanan semasa hampir enam peratus pendapatan boleh guna, untuk mengurangkan hutang kepada 100 peratus pendapatan boleh guna akan mengambil masa selama empat tahun.” 
Pada kulit hadapan edisi khas Newsweek yang dipetik di atas terpampang, “The Key to Power,”  dengan mukadimah, “Untuk negara, syarikat, dan pengguna, persoalan kritikal dalam tahun mendatang ialah: Mampukah anda menangani hutang anda?”  Untuk pengguna sekurang-kurangnya, jawapannya adalah sukar kerana sikap mereka terhadap hutang berakar umbi dalam sejarah bertapak kukuh dalam sikap nasional, dan pengguna di Malaysia, tidak terkecuali.  Seperti arak, ledakan hutang cenderung membangkitkan rasa sangat gembira.  Dan, lazimnya, ledakan akan disusuli oleh dentuman. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, April 2011.)



Friday, April 19, 2013

Pertumbuhan: Negara Kaya Terhegeh-hegeh, Negara Membangun Pesat

JUMAAT, 19 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan terbaharunya, Global Financial Stability Report, seperti yang dipetik oleh +The Guardian,  mengingatkan bahawa ekonomi dunia menghadapi risiko krisis kewangan yang lebih teruk.

Sementara itu, dalam World Economic Outlook yang dikeluarkan pada 16 April,  IMF mengkritik langkah jimat-cermat United Kingdom yang banyak membawa keburukan terhadap ekonomi negara itu. Carta harian +The Economist, yang memetik laporan itu menunjukkan bahawa tinjauan pertumbuhan ekonomi di Barat muram, dengan output di seluruh dunia dijangkakan tumbuh sekadar lebih sedikit daripada tiga peratus pada tahun 2013.

Namun, negara kaya dijangkakan mencatatkan pertumbuhan yang lebih daripada pertumbuhan global, iaitu hanya berkembang sekadar 1.2 peratus.  Sebaliknya, pertumbuhan dalam pasaran sedang muncul akan melebihi lima peratus, dengan Asia dan Afrika Sub-Sahara memacu pertumbuhan, masing-masing tujuh peratus dan 5.6 peratus.



Kajian: Orang yang Terkenal dan Kaya Pendek Umur

JUMAAT,  19 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Orang yang terkenal, daripada +Marilyn Monroe kepada +Michael Jackson, meninggal dunia  pada usia yang muda; demikian juga pelakon, James Dean.  Presiden John F. Kennedy yang terkenal dan kaya juga meninggal dunia pada usia yang muda, termasuk adiknya, Robert Kennedy, dan anaknya, John F. Kennedy, Jr.

Kajian  yang dipetik oleh Lindsay Abrams dalam The Atlantic, menunjukkan bahawa orang yang terkenal dan kaya pendek umur.  Para penyelidik di Sydney meneliti umur dan punca kematian yang dilaporkan dalam 1000 obituari yang diterbitkan berturut-turut dalam The New York Times, dari tahun 2009 hingga 2011.


Thursday, April 18, 2013

Upah Minimum

KHAMIS, 18 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Berikutan ketidaksamaan pendapatan yang semakin melebar antara golongan kaya dengan golongan miskin, maka kewujudan golongan kelas menengah dan upah minimum semakin mendapat perhatian.  Presiden Barack Obama dalam ucapan State of The Union pada tahun ini, antaranya tertumpu pada dasar upah minimum.

Sementara di negara kita, kerajaan mulai tahun ini memperkenalkan dasar upah minimum, manakala Pakatan Rakyat dalam manifestonya menjanjikan peningkatan upah minimum.  Baru-baru ini, kerajaan British dilaporkan, mengumumkan bahawa upah minimum negara akan meningkat sebanyak 12 peratus sejam, kepada 6.31 paun sterling untuk orang dewasa dan sebanyak lima peratus, kepada 5.03 paun sterlilng untuk pekerja yang berumur antara 18 hingga 20 tahun, mulai Oktober ini.

Carta harian,  +The Economist  menunjukkan beberapa buah negara di dunia, meningkatkan upah, iaitu selain Britain, ialah Amerika Syarikat, dengan upah minimum persekutuan akan meningkat sebanyak 24 peratus, berpotensi membantu kira-kira 15 juta orang pekerja.

Wednesday, April 17, 2013

Penerbangan Tambang Murah

RABU, 17 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Penerbangan tambang murah semakin menjadi kelaziman di peringkat global.  Bagi penduduk Malaysia khususnya dan Asia Tenggara amnya,  +Air Asia, sememang tidak asing lagi.  Nama syarikat penerbangan lain, antaranya Malindo Air  dan Jetstar.

Melalui carta hariannya+The Economist, menunjukkan bahawa penerbangan tambang murah menjadi kelaziman, sering  diratapi, ciri percutian dan perjalanan perniagaan di seluruh dunia.  Di lapangan terbang British misalnya, lebih 50 peratus penumpang tahun lalu berasak-asak dalam penerbangan tambang murah.  Negara lain yang turut menunjukkan penerbangan tambang murah popular ialah Filipina, dengan  Cebu Pacific, Rusia, Jepun, dan China.


Tuesday, April 16, 2013

Pilihan Raya Kudap-kudapan

SELASA, 16 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan berlangsung pada 5 Mei ini, turut mendapat liputan media asing, misalnya +The Economist dalam keluaran terbaharu.  Melalui makalah yang ditulis di Singapura itu, majalah berkenaan menyatakan bahawa inilah kali pertama kerajaan menghadapi kemungkinan sebenar kalah.  Bahkan, jika tidak kalah sekalipun, dan keanehan itu masih memihak kepada kerajaan, pilihan raya ini mempunyai impak yang mendalam terhadap politik Malaysia.

Najib Razak yang menerajui Barisan Nasional,  menurut majalah itu, dibantu oleh ekonomi yang kuat, mengagihkan kudap-kudapan, iaitu bantuan kewangan untuk keluarga miskin, peningkatan gaji untuk penjawat awam, dan menjanjikan perumahan mampu milik dan lebuh raya baru.

Yang menarik, makalah itu menjangkakan bahawa, sama ada Najib Razak ataupun Anwar Ibrahim akan berakhir kerjaya politik selepas pilihan raya ini.  Jika prestasi BN lemah, beliau akan diketepikan daripada UMNO.  Bagi Anwar pula, seperti yang beliau akui sendiri, kekalahan bermakna berakhirnya kerjaya politiknya.


Monday, April 15, 2013

Ramah terhadap Pelawat Asing: Malaysia di Tangga ke-56

ISNIN, 15 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Para pemimpin Malaysia selalu berbangga dan mewar-warkan bahawa negara ini menjadi daya tarikan pelancong asing. Kempen atau promosi di luar negara untuk menarik para pelancong asing.  Dalam pada itu, Malaysia juga terkenal dengan sikap kasar pemandu teksi, dan bahkan, ada pelancong asing menjadi mangsa rogol mereka.

Dari segi keramahan penduduk tempatan terhadap pelawat asing, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia, yang turut dipetik oleh The Huffington Post, Malaysia menduduki tangga ke-56, di belakang Thailand (ke-13), Singapura (ke-16), dan Filipina (ke-26), manakala Indonesia (ke-114), didahului oleh Kemboja (ke-100) dan Vietnam (ke-108).

Laporan yang melibatkan 140 buah negara itu, menunjukkan bahawa Iceland paling ramah, diikuti oleh New Zealand, Maghribi, Macedonia, dan Austria.  Negara lain yang tersenarai 10 teratas ialah Senegal (keenam), Portugal (ketujuh), Bosnia dan Herzegovina (kelapan),  Ireland (kesembilan), dan Bukina Faso (ke-10), manakala Bolivia adalah paling bawah diikuti oleh Venezuela, Rusia, Kuwait. Latvia untuk senarai lima negara paling bawah.

Kota Mega yang Berkembang Pesat

ISNIN, 15 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kota-kota di Asia kelihatan berkembang pesat.  Seperti yang ditunjukkan oleh Joel Kotkin dan Wendell Cox  dalam +Forbes, tujuh kota mega terbesar di dunia, bertempat di Asia, berasaskan pembundaran data penduduk terkini yang dikeluarkan bulan lalu oleh Demographia.  Kota terbesar masih kawasan Tokyo-Yokohama, yang didiami 37 juta penduduk, diikuti oleh Jakarta, Seoul-Incheon, Delhi, Shanghai, dan Manila.

Saturday, April 13, 2013

Bagaimana Remaja di AS Berbelanja?

SABTU, 13 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak remaja, pastinya banyak perkara yang mereka perlu fikirkan, antaranya pendidikan, masa depan, dan dengan siapakah anak itu berkawan, bergaul. 

Dalam The Atlantic, +Derek Thompson  muncul dengan makalah yang boleh dikatakan menarik, iaitu tentang bagaimana remaja di Amerika Syarikat berbelanja, yang mungkin dapat dimanfaatkan oleh ibu bapa serta penggubal dasar di negara kita.  Thompson yang memetik laporan yang dikeluarkan oleh Piper Jaffray, menunjukkan bahawa remaja di negara itu banyak berbelanja untuk pakaian (21 peratus), makanan (18 peratus), dan aksesori/penjagaan peribadi (10 peratus). 

Golongan remaja juga banyak berbelanja kasut (sembilan peratus) dan lapan peratus masing-masing untuk kereta dan elektronik.  Untuk muzik dan wayang gambar (tujuh peratus), permainan video (enam peratus), dan konsert dan acara (enam peratus).  Untuk buku, remaja di negara itu hanya berbelanja sebanyak dua peratus, iaitu sama dengan untuk perabot, manakala lain-lain tiga peratus.  


Friday, April 12, 2013

Empayar Global Baru

JUMAAT,  12  April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

(Para pembaca yang dihormati, makalah ini tidak lengkap kerana masalah teknikal. Mohon maaf.  -  Zulkifli Salleh)






Thursday, April 11, 2013

Hilang dalam Manifesto: Bahasa Melayu

KHAMIS, 11 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Saya mendapat berita bahawa Parlimen Malaysia dibubarkan pada 3 April ketika kenderaan yang membawa kami sekeluarga keluar dari tempat letak kereta di Pasar Baru, Bandung.  Ketika itu, anak bongsu saya yang bersama-sama ke sana, menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kawannya di Kuala Lumpur.  Selepas sarapan di hotel tempat saya dan keluarga menginap, iaitu Grand Pacific, saya sempat membuka Facebook yang mula tersebar berita bahawa kemungkinan Parlimen dibubarkan pada hari itu.

Namun, saya tidak berasa apa-apa keterujaan tentang pembubaran Parlimen kerana, sama ada dibubarkan atau tidak, tempohnya akhir berakhir juga pada hujung bulan ini.  Maksudnya, sekadar  menghitung detik dan ketika sahaja. 

Di peringkat negeri pula, selain Dewan Undangan Negeri Sembilan yang mencipta sejarah, iaitu terbubar dengan sendirinya, tidak ada usaha di negeri lain untuk membubarkannya, bahkan di negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat (PR), iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor, hanya bertindak "tunggu dan lihat."

Pulang ke tanah air, saya sempat menonton siaran langsung pelancaran manifesto Barisan Nasional (BN) oleh Pengerusinya, Najib Razak.  Sebagaimana, manifesto, PR, aku janji BN juga lebih cenderung memberikan habuan kepada rakyat dengan "menabur dedak, hampas kelapa, atau hampas sagu."  Kedua-dua pihak terjebak dalam pertarungan politik populis.  Di pihak PR, mereka menuduh manifesto BN itu "memplagiatkan" manifesto mereka, lalu liputan Bloomberg tentang pelancaran manifesto BN mendapat perhatian yang meluas.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya hanya mengumumkan pada 10 April bahawa Pilihan Raya Umum akan berlangsung pada 5 Mei dan penamaan calon pada 20 April, bendera, kain rentang, papan iklan, sepanduk BN dan PR kelihatan lebih awal lagi. Kedua-dua belah pihak juga mendabik dada tentang kehebatan manifesto masing-masing, seolah-olahnya manifesto mereka "turun dari langit", iaitu tanpa cacat celanya.  Pendek kata, manifesto lebih banyak tertumpu pada aspek kewangan, tetapi mengabaikan aspek yang penting: pembinaan bangsa yang tidak dapat tidak, bahasa Melayu menjadi tonggaknya.

Bercakap tentang manifesto yang begitu banyak menjanjikan habuan kepada rakyat, saya tertanya-tanya akan usaha kedua-dua pihak, iaitu BN dan PR, untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang kedaulatannya pada tahap "hidup segan mati tak mahu."  Saya dapat mengesani bahawa bahasa Melayu  tenggelam dalam kedua-dua manifesto, iaitu tidak dipedulikan.  Hal ini demikian, kerana medan pertempuran utama ialah habuan kewangan. 

Semasa mengikuti siaran langsung pelancaran manifesto BN, saya sedar bahawa Najib menyatakan usaha untuk memperkasa bahasa Melayu dalam pendidikan.  Namun, bersama-sama bahasa Inggeris, sains, dan matematik, seolah-olahnya membayangkan bahasa usaha memperkasa  bahasa Melayu tidak akan sempurna tanpa melibatkan bahasa Inggeris khususnya.

Pendek kata, kita dapat menjangkakan bahawa tidak wujud politik bahasa dalam Pilihan Raya Umum ke-13.  Fikiran dan minda pengundi khususnya, dan rakyat amnya, dibentuk oleh Najib Razak dan Anwar Ibrahim dalam acuan politik populis dengan bermacam-macam habuan atau ganjaran kewangan.

Saya terdorong untuk membangkitkan isu bahasa Melayu dalam manifesto kerana saya tertarik dengan laporan Time tentang politik bahasa yang berlaku di Quebec, wilayah yang golongan majoriti bertutur dalam bahasa Perancis, yang melancarkan perang terhadap bahasa Inggeris.  Tidak seperti di Quebec, para pemimpin Melayu, baik dalam BN, mahupun PR, tidak mempunyai keazaman untuk memulihkan kedaulatan bahasa Melayu.  

Dengan kata lain, kedua-dua belah pihak, terutamanya Najib Razak dan Anwar Ibrahim masih "bernaung di bawah ketiak"  Dr. Mahathir Mohamad. Mereka hanya membiarkan bahasa Melayu terus musnah, angkara Mahathir sejak  satu dekad pemerintahannya, iaitu sejak tahun 1993 hingga 2003: zaman surut bahasa Melayu.

Wednesday, April 10, 2013

Krisis Euro: Soros Terus Lanyak Jerman

RABU, 10 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Hartawan terkenal, +George Soros,  adalah antara individu yang tidak jemu membicarakan krisis zon euro yang berlaku lebih tiga tahun. Dalam tulisannya dapat dikesan bahawa beliau mengharapkan Jerman memainkan peranan penting untuk menyelesaikan krisis tersebut, dan dalam pada itu, beliau mengkritik Canselor +Angela MerkeI yang bersikap bena tak bena untuk menyelesaikannya.  Bahkan, semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos pada tahun lalu, Soros bertelagah dengan Angela Merkel.

Dalam tulisan terbaharunya, yang diterbitkan dalam The Guardian dan Project Syndicate, bagaimana menyelamatkan Kesatuan Eropah, Soros memberikan kata dua kepada Jerman, sama ada menerima bon euro atau meninggalkan euro.  Krisis euro, menurut pemerhatian beliau, telah pun mengubah Kesatuan Eropah daripada persekutuan sukarela untuk kesamaan negara menjadi hubungan pemiutang-penghutang yang daripada situ tidak mudah untuk mencari jalan keluar.  

Beliau dilaporkan  menggesa Angela Merkel agar mempertimbangkan langkah untuk meninggalkan euro.  Bagi beliau, prospek mata wang tunggal itu lebih baik tanpa Jerman, anggota dominan zon euro.

Dalam syarahan di Frankfurt, pusat kewangan Jerman, peniaga dana lindung nilai itu memberitahu negara terkaya Eropah itu yang pergi terlalu jauh ketika pelan penyelamat Cyprus, sendiri menjunam ke arah kemelesetan dan sepatutnya, sama ada meninggalkan euro atau mengubah pendiriannya selama ini yang menentang bon euro, iaitu bentuk hutang kedaulatan yang bermakna setiap pinjaman negara anggota dijamin oleh seluruh zon euro.

"Keutamaan pertama saya," jelas Soros, "ialah bon euro; keutamaan kedua saya ialah Jerman meninggalkan euro."  Maka, tegas beliau, terpulang kepada Jerman untuk memutuskan, sama ada bersedia untuk membenarkan bon euro ataupun tidak.

Tentang Eropah, ulas Stefan Kornelius, Angela Merkel, tidak ada pilihan, dan kerana desakan serta kepentingan politik, beliau tidak boleh lagi terus terhegeh-hegeh. 


Tuesday, April 9, 2013

Orang Kaya-raya Sembunyi Kekayaan di Luar Pesisir

SELASA, 9 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Rahsia orang kaya-raya di seluruh dunia menyembunyikan kekayaan mereka akhirnya terbongkar, seperti yang didedahkan oleh The Guardian dan The Huffingfton Post. Berjuta-juta rekod dalaman bocor daripada industri kewangan luar pesisir Britain, mendedahkan kali pertama identiti beribu-ribu orang pemegang kekayaan tanpa nama dari seluruh dunia, daripada presiden kepada plutokrat, anak perempuan diktator terkenal dan hartawan British dituduh menggelapkan aset daripada bekas isteri.

Kebocoran dua juta e-mel dan dokumen lain, terutamanya dari tempat berlindung luar pesisir Kepulauan British Virgin, mempunyai potensi untuk mencetuskan kejutan gelombang seismik seluruh dunia terhadap perdagangan luar pesisir yang melambung. 

Rekod rahsia itu diperoleh oleh International Consortium of Investigative Journalists, (ICIJ), mendedahkan antaranya doktor, doktor gigi Amerika dan penduduk kampung kelas menengah Greece, di samping keluarga dan sekutu pemerintah kuku besi yang lama berkuasa, penipu Wall Street, hartawan Eropah Timur dan Indonesia, eksekutif korporat Rusia, pengedar senjata api antarabangsa.

Britain, menurut James Ball, negara utama dalam skandal luar pesisir.

Nota:  ICIJ akan mendedahkan ahli politik Malaysia yang memiliki syarikat luar pesisir.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...