Artikel Popular

Friday, July 6, 2012

"Obamacare" Terus Meletup: Berapa Kuat, Berapa Lama?

JUMAAT, 6 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Meskipun genap seminggu Mahkamah Agung Amerika Syarikat membuat keputusan bahawa  Affordable Care Act atau dikenali juga "Obamacare" adalah sah di sisi Perlembagaan, perdebatan atau polemik masih belum reda, yang lebih  tertumpu pada hakim dan penghakiman, dan  politik.  Kecuali Fareed Zakaria antaranya, yang menulis dalam The Washington Post yang tidak terjebak dalam isu tersebut, sebaliknya beliau menegaskan  kebaikan penjagaan kesihatan, tetapi berasa bimbang akan kos untuk melindungi insurans  20 juta hingga  30 juta orang.  

Seperti yang pernah dikatakan sebelum ini, keputusan Mahkamah Agung itu yang menyaksikan Ketua Hakim, John Roberts memihak kepada empat hakim liberal, memang memeranjatkan banyak pihak, terutamanya Republikan.  Parti itu bersama-sama calon Presiden, Mitt Romney  menjangkakan bahawa pelan atau pembaharuan penjagaan kesihatan "dibunuh" di Mahkamah Agung, dan dengan itu, membolehkan mereka menggasak Presiden Barack Obama habis-habisan kerana kononnya memperkenalkan dasar yang silap dan membuang masa beliau selama dua tahun semata-mata untuk memperkenalkannya.  Bahkan, sebelum keputusan dibuat, Romney  "membuka champagne" sambil menyindir Obama yang kononnya resah dan gelisah menunggu keputusan.

Keputusan yang di luar jangkaan itu merupakan kemenangan kepada Demokrat, terutamanya  Barack Obama yang bernasib baik, dan Nancy Pelosi yang ketika diluluskan ialah Speaker Dewan Perwakilan, yang berusaha tanpa mengenal penat lelah.  


Sebaliknya,   Republikan yang dalam dunia kesakitan,  mengugut untuk memansuhkan "Obamacare," biarpun dengan 51 undi di Dewan Senat. Romney juga mengambil pendirian yang sama jika beliau dipilih sebagai Presiden.  Sementara beberapa orang gabenor Republikan menegaskan bahawa mereka tidak melaksanakan pelan penjagaan kesihatan itu di negeri masing-masing.  Bahkan, Republikan berbangga dengan derma yang mencurah-curah selepas keputusan Mahkamah Agung itu, iaitu AS$4.6 juta dalam masa 24 jam. 

Namun, menurut analisis The Huffington Post, anggota Republikan dalam Kongres mungkin tidak gembira tentang keputusan Mahkamah Agung yang mengesahkan Affordable Care Act, tetapi banyak anak mereka yang berasa gembira: mengambil kesempatan daripada  perlindungan ibu bapa. 

Bagi John Roberts yang dianggap misteri dan mistik,  wujud dakwaan bahawa beliau beralih kumpulan, seperti yang dilaporkan oleh CBS News, dan kebocoran ini mencetuskan tanda tanya. Beliau digasak habis-habisan oleh  puak sayap kanan yang sebelum ini meletakkan harapan pada beliau. Namun, James Poulos yang menulis dalam Forbes, merumuskan bahawa "Roberts mengkhianati puak konservatif, tetapi memusnahkan Obama."  Dakwaan bahawa Roberts beralih kumpulan dan berlaku kebocoran diragui oleh Jack Goldsmith yang menulis dalam The New Republic

Pendedahan yang juga tidak kurang memeranjatkan datangnya daripada Paul Campos yang menulis dalam Salon bahawa Roberts menulis kedua-dua pendapat tentang "Obamacare."  W.W. yang menulis dalam The Economist memberikan tafsiran  yang lebih memihak kepada Roberts yang menampakkan wibawa beliau: seni peperangan.  Selain itu, beliau dikatakan mengutamakan kesopanan berbanding dengan ideologi.


Yang menyebabkan kelangsungan Affordable Care Act, seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Agung bahawa orang yang tidak membeli insurans kesihatan dikenakan cukai yang merupakan bidang kuasa Kongres, dan bukannya penalti, yang mencetuskan perdebatan.  Republikan yang menerima keputusan mahkamah itu dengan hati yang rawan, masih ingin bergembira kerana dianggap cukai, manakala Demokrat kelihatan dalam kepayahan dan menafikannya cukai, sebaliknya adalah penalti.


Republikan yang "naik geram," menyerang tanpa usul periksa bahawa Presiden Obama mengenakan cukai yang tinggi, tetapi dakwaan ini dari segi fakta  dipersoalkan oleh Derek Thompson dalam The Atlantic yang memetik Ezra Klein.  Hujah Thompson,  dua daripada tiga Presiden Republikan menandatangani kenaikan  cukai yang lebih besar berbanding dengan "Obamacare."


Sebenarnya, Republikan, dan terutamanya Romney berkemungkinan besar tersadung jika terus-menerus  menyerang "Obamacare," kerana Romney sendiri memperkenalkan pelan penjagaan kesihatan di Massachusetts ketika beliau menjadi gabenor. "Mandat individu sebagai cukai dalam Affordable Care Act, maka mandat individu juga  di Massachusetts."




Tatkala Republikan begitu ghairah membangkitkan cukai, kempen Romney menolak perlindungan kesihatan itu cukai, seperti yang dijelaskan oleh penasihat kanan kempen, Eric Fehrnstrom dalam wawancara dengan MSNBC, "Bekas Gabenor Massachusetts 'tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah bahawa mandat ialah cukai'." Fehrnstrom nampaknya bersetuju dengan Pentadbiran Obama bahawa mandat individu untuk membeli insurans kesihatan adalah penalti dan bukannya cukai.  "Berikutan penjelasan itu, laluan yang Mitt Romney perlu untuk berjalan," menurut pemerhatian Alexander Burns, "kecil sedikit."


Jelas Burns, oleh sebab Romney sendiri memperkenalkan mandat insurans kesihatan di Massachusetts, maka kempen beliau mengelakkan daripada menyatakan secara eksplisit, sama ada mandat sama dengan cukai.  "Keadaan berubah apabila Fehrnstrom terpijak secara langsung ke atas periuk api politik yang dipasang oleh MSNBC."


Walau bagaimanapun, mungkin untuk mengawal kerosakan, Romney mengemukakan komen  yang bercanggah dengan penasihat kanan kempen beliau itu:  "Mandat individu yang terkandung dalam undang-undang penjagaan kesihatan Presiden Barack Obama adalah sesungguhnya, cukai dan bukannya penalti terhadap mereka yang enggan membeli perlindungan insurans."  Dengan melakukan putaran yang besar terntang mandat individu,   Romney dilihat memilih untuk sehaluan dengan Republikan, meskipun terpaksa bercanggah dengan penasihat kanan kempennya yang dalam wawancara itu memberitahu bahawa Romney sependapat dengan Rumah Putih: penalti dan bukannya cukai.


Akan tetapi, pegawai kempen Obama, menurut The Washington Post,  melihat komen Romney pada hari Rabu itu dalam kenyataan mereka menegaskan bahawa Republikan "bercanggah dengan kempennya sendirinya, dan dengan dirinya sendiri."  "Pertama," tegas jurucakap kempen Obama, Danny Kanner, "Romney mencampakkan penasihat atasannya di bawah perut bas dengan mengubah pendirian kempennya dan menyebut penalti penunggang percuma dalam undang-undang penjagaan kesihatan Presiden Obama yang menghendaki mereka yang mampu membeli insurans adalah cukai."  Kedua tambah beliau, "Romney bercanggah dengan dirinya sendiri dengan mengatakan mandat Massachusetts yang  beliau perkenalkan adalah bukan cukai, tetapi beliau menyebut mandat individu yang beliau perkenalkan di negeri itu adalah cukai yang beliau sebut berulang-ulang kali sebelum ini."


Sama ada cukai atau penalti, siapa peduli, tulis Ezra Klein dalam Wonkblog, sebagai komen terhadap kenyataan Romney itu.  Bagi Klein, "kedua-duanya tidak berbeza dari segi kos yang perlu ditanggung oleh individu yang terlibat."  Perputaran haluan Romney itu  membawa risiko politik yang jelas, iaitu kelemahan terbesar beliau sebagai ahli politik adalah bahawa orang ramai semata-mata tidak mudah percaya beliau mempunyai set teras keyakinan yang membimbingnya.  "Sementara Fehrnstrom memusnahkan seluruh garis serangan Republikan dalam Kongres terhadap Obama," tegas Michael Tomasky dalam The Daily Beast, "Romney melakukan pembohongan cukai besar yang pastinya menghantuinya."


Lebih memeranjatkan editorial  dalam The Wall Street Journal yang mengkritik dolak-dalik Mitt Romney dan percanggahan beliau dengan penasihat kanan kempennya tentang cukai dan penalti.  Pemilik akhbar ini, Rupert Murdoch menyokong Romney, menggunakan seluruh medianya untuk menyerang Obama, tetapi beliau pernah menggasak Romney dan  mencadangkan bahawa beliau  memerlukan pasukan baru. Jika Mitt Romney gagal ke Rumah Putih, tulis editorial itu, titik tolak ialah keputusan beliau pada hari Isnin untuk membebaskan Presiden Obama menaikkan cukai terhadap golongan kelas menengah.


Setelah mengkritik Romney dengan panjang lebar, antaranya lambat memberikan respons segera terhadap serangan pasukan Obama dan tidak mengambil kesempatan daripada kepincangan Obama dari segi pemulihan ekonomi adalah lemah untuk kali ketiga dalam masa tiga tahun, editorial itu menegaskan,  "Romney berjanji dengan Republikan bahawa beliau orang yang terbaik untuk menewaskan Presiden Obama.  Setakat ini, Romney mengecewakan mereka."  Romney siang-siang lagi melepaskan peluang untuk beliau mencipta kemenangan.


Walau bagaimanapun, akhbar milik Murdoch itu silap, bahas Michael Tomasky dalam tulisan yang lain, "masalah bukan terletak pada staf Romney.  Beliau mempunyai staf yang baik.  Mereka pintar dan berdisiplin daripada setiap yang saya lihat.  Masalahnya ialah Romney.  Beliau jelas menghantar Eric Fehrnstrom ke sana untuk mengatakan memang penalti.  Kemudian, beliau, Romney, bukannya orang lain, menyerah ke kanan dan memutuskan untuk berundur dari situ."


Selain perputaran haluan,  Mitt Romney membuat keputusan yang mungkin  mengejutkan,   seperti yang dipetik daripada National Journal, "mengisytiharkan genjatan senjata terhadap penjagaan kesihatan."  Semakin jelas bahawa beliau membuat keputusan untuk memberikan tumpuan terhadap ekonomi sambil mengorbankan yang lain, bahkan isu yang boleh diketengahkan demi faedah politiknya.


Namun, tidak semudah itu, perputaran haluan atau dolak-dalik Romney, sama ada cukai ataupun penalti, dijangkakan tindak-tanduk beliau itu menghantui beliau hingga November ini.  Seandainya Romney tidak melakukan perputaran haluan yang memperlihatkan kedaifannya dan berkemungkinan besar menyempitkan peluang beliau untuk ke Rumah Putih, sebenarnya tangan kedua-duanya, iaitu Obama dan Romney, seperti yang dibahaskan Michael Scherer dalam Time, terikat dengan pelan penjagaan kesihatan.  Kedua-duanya kelihatan terpaksa bertungkus-lumus untuk merungkaikannya. Namun,  gara-gara silap perhitungan, Romney mengikat lagi tangannya, manakala Obama mula melonggarkan ikatan itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...