Artikel Popular

Saturday, July 7, 2012

Masih 8.2 Peratus: Obama Pengsan, Romney Melompat

SABTU, 7 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Seperti biasa Jumaat pertama setiap bulan, terutamanya untuk bulan Mei, Jumaat semalam, sekali lagi kelihatan kejam terhadap Presiden Barack Obama yang hanya masih empat bulan lagi untuk menentukan nasib untuk penggal kedua. Laporan pekerjaan membimbangkan beliau kerana kadar pengangguran yang masih tinggi tidak menunjukkan tanda untuk turun sebelum November ini.

Seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Buruh Amerika Syarikat pada pukul 8.30 malam (waktu Malaysia), ekonomi negara itu hanya menambah 80,000 pekerjaan baru pada Jun, kurang sedikit yang  dianggarkan, iaitu 100,000 pekerjaan yang dipetik daripada Bloomberg.   

Dengan pengangguran  kekal pada kadar 8.2 peratus, pastinya tidak baik bukan sahaja untuk ekonomi Amerika, tetapi juga dari segi politik   untuk penjawat kini yang menghadapi perlumbaan dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2012.   Lebih membimbangkan lagi, seperti yang ditegaskan oleh Catherine Hollander dalam National Journal, pemulihan ekonomi lebih perlahan daripada yang difikirkan. "Tidak berubah," tulis Ezra Klein dalam Wonkblog, "dalam ekonomi ini, berubah sedikit atau tidak berubah, tidak cukup baik." 

Sementara Jared Bernstein menegaskan bahawa suku tahun kedua (April - Jun) yang secara purata mewujudkan 75,000 pekerjaan  berbanding dengan dalam tiga bulan pertama tahun yang mewujudkan 226,000 pekerjaan sebulan.  Dan beliau menambah, "malangnya pada tahun pilihan raya yang sangat sengit, penggubal dasar besar kemungkinannya menyasarkan antara satu sama lain berbanding dengan menyasarkan pasaran pekerjaan."

Kadar pengangguran yang tinggi boleh menganjak rentak kepada Mitt Romney, yang dijangkakan merupakan calon Presiden daripada Republikan.  Laporan pekerjaan itu meletakkan beliau dalam keadaan yang kukuh semula.  Romney dalam ulasan tentang laporan terbaharu itu, menggasak Obama, "kadar tinggi yang tidak boleh diterima dan menunjukkan dasar yang dilaksanakan oleh Presiden tidak berkesan."  Tinjauan pendapat bulan lalu mendapati lebih separuh mereka yang dikaji tidak bersetuju dengan cara Presiden Barack Obama menangani ekonomi. 

Obama dan Romney  masih bertarung dalam Affordable Care Act, sama ada cukai ataupun penalti, yang menampakkan perputaran haluan Romney, mereka  terjebak dalam satu lagi pertarungan, iaitu ekonomi, atau secara lebih khusus,   pekerjaan.  Sementara Romney mendakwa "dasar Obama gagal,"  manakala Obama pula menegaskan bahawa "melangkah ke laluan yang betul."  Beliau menegaskan bahawa ekonomi mewujudkan 4.4 juta pekerjaan dalam masa 28 bulan lalu.  


Walau bagaimanapun, ekonomi zombi mengacam Obama.  Selepas Perang Dunia Kedua, tidak ada Presiden Amerika yang berjaya mempertahankan kedudukan apabila kadar pengangguran lebih 7.4 peratus. Bagi Obama, tiga musim panas untuk penggal pertama beliau, nampaknya tidak bertimbang rasa terhadap beliau dari segi ekonomi, trend ini lebih penting dalam laporan pekerjaan bulan Jun. Mungkin sesuatu yang meredakan beliau, seperti yang ditunjukkan dalam tinjauan pendapat Gallup pada pertengahan bulan lalu, tentang masalah ekonomi, rakyat Amerika  menyalahkan Presiden George W. Bush berbanding dengan Obama. Bahkan, tinjauan pendapat penjejakan harian Gallup menunjukkan bahawa Obama dan Romney bersaing rapat sejak minggu ketiga April hingga pertengahan minggu lalu, Obama mula mendahului  pesaingnya. Justeru, David Lauter dalam analisisnya menegaskan bahawa "impak laporan pekerjaan terhadap Pilihan Raya Presiden adalah minimum."


Memang diakui, seperti yang ditunjukkan oleh kajian Pew Research Center bahawa ekonomi dan Pilihan Raya Presiden menjadi minat orang ramai. Dalam kajian lain oleh Pew pada awal bulan lalu menunjukkan tanggapan orang awam bahawa berita ekonomi semakin teruk.  Dan, ini pastinya boleh menjadi buruk kepada Obama yang ketika itu mendahului Romney.

Namun, agak sukar untuk mengatakan bahawa Romney mempunyai cukup kekuatan untuk menyerang Obama dengan bermodalkan laporan pekerjaan terbaharu kerana beliau sendiri menerima kritikan daripada para pemimpin puak kanan dalam perniagaan dan media kerana mengambil pendekatan selamat, dan  persengketaan beliau dengan Rupert Murdoch yang kelihatan semakin dalam.  Selain itu,  tempoh bulan madu antara Romney dengan puak konservatif dipercayai  berakhir

Romney, seperti yang dibahaskan oleh Michael Hirsh dalam National Journal, seakan-akan diragui kewibawaannya untuk benar-benar menjadi peneraju. Beliau diperhatikan terjebak dalam perangkap cukai, manakala kempen beliau, seperti yang dikiaskan oleh John Dickerson, "kotak penalti," iaitu masih bertungkus-lumus untuk memahami mesej tentang penjagaan kesihatan seminggu selepas keputusan mengejut Mahkamah Agung, terutamanya pendirian Ketua Hakim, John Roberts. Sebaliknya, Obama mengambil tindakan menyerang terhadap undang-undang penjagaan kesihatan, manakala berikutan keputusan Mahkamah Agung, anggota Demokrat dalam Senat dapat mengumpulkan  dana AS$2.5 juta dalam masa tiga hari - menandakan kejayaan menggembleng sokongan.

Tatkala Romney terhuyung-hayang diasak bertalu-talu  oleh kempen Obama berhubung dengan penglibatan beliau dalam Bain Capital yang didapati menyumberluarkan pekerjaan ke China dan India,  aset luar pesisir milik beliau yang didedahkan oleh Vanity Fair  dan  Associated Press, dianggap  sebagai liabiliti kempen.  Pendedahan itu dimanfaatkan oleh kempen Obama untuk menyerang Romney: Adakah anda mempunyai akaun bank luar pesisir?  Sementara David Axelrod, penasihat kanan kempen Obama mengambil peluang dengan membangkitkan pelaburan luar pesisir oleh Romney: Segi Tiga Bermuda.

Medan pertarungan semakin luas, dan masing-masing terpaksa memikul liabiliti: Obama dengan kadar pengangguran yang tinggi, manakala Romney dengan perisytiharan bahawa mandat kesihatan ialah cukai.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...