Artikel Popular

Wednesday, July 4, 2012

Paul Krugman Lancar Manifesto

RABU, 4 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Krisis ekonomi nampaknya terus berpanjangan, terutamanya di zon euro yang sektor pembuatan merosot dan kadar pengangguran tinggi, dan Amerika Syarikat yang menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), "pemulihan suam-suam kuku."

Namun, para pemimpin dan penggubal dasar masih terhegeh-hegeh atau kalaupun mereka cuba menyelesaikannya, mereka memilih petua yang salah.  Misalnya, di Eropah memilih pelaksanaan jimat-cermat, yang menurut Amartya Sen, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, boleh melemahkan wawasan besar Eropah.

Paul Krugman yang sentiasa gigih untuk menyelesaikan krisis tersebut,  baru-baru ini menurut The Huffington Post,  melancarkan  "A Manifesto for Economic Sense" bersama-sama ahli ekonomi British, Richard  Layard dalam membangunkan perisytiharan untuk apa yang mereka sebut "analisis masalah berasaskan keterangan."

Manifesto itu membincangkan apa yang Krugman percaya ialah ralat dasar fiskal semasa dan menawarkan isi penjelasan berhubung dengan krisis ekonomi, termasuk puncanya, sifatnya, dan respons yang sesuai. "Seluruh dunia sengsara apabila lelaki dan wanita berdiam diri tentang apa yang mereka tahu adalah silap," tulis Krugman dan Layard.

Krugman sejak sekian lama mengkritik ahli ekonomi lain dan penggubal dasar kerana tidak menerapkan pengajaran sejarah untuk krisis ekonomi semasa. Kritikan terbaharu beliau tertumpu pada mereka yang bersetuju dengan langkah jimat-cermat yang digubal oleh para pemimpin Eropah.  Krugman beberapa kali menegaskan bahawa dasar yang sama yang mengasak ekonomi yang sedang pulih ke dalam kemelesetan pada tahun 1930-an. 

Melalui tulisan terbaharunya dalam kolumnya dalam The New York Times,  membahaskan ilusi besar Eropah:  Sejak beberapa bulan lalu, wujud beberapa penilaian optimistik tentang prospek untuk benua itu, tetapi hakikatnya adalah sebaliknya. Pokok pangkalnya, hujah  beliau, ialah prospek malapetaka, tidak kurang bagaimana jelas, tidak ada jaminan bahawa negara di benua itu akan melakukan apa yang diambil untuk mengelakkan malapetaka itu.  

Jelas Krugman lagi, krisis merebak dari Greece ke ekonomi yang lebih besar, iaitu Sepanyol dan Italy, dan Eropah secara keseluruhan jelas terjebak semula ke dalam kemelesetan.  Namun, dasar yang diperkenalkan oleh Berlin dan Frankfurt tidak berubah sama sekali.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...