Artikel Popular

Wednesday, February 9, 2011

UMNO, Bahasa, dan Biografi

RABU, 9 Februari 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

 Saya menerima berita yang mengejutkan  daripada Sallehuddin  Abg. Shokeran, dari Dewan Bahasa dan Pustaka kira-kira pukul 8.30 malam 24 September:  “Ada berita kurang baik. Sahabat kita, Datuk Abdul Rahim (Abu Bakar) meninggal dunia,” saya termenung keseorangan.  Termenung kerana mengenangkan pemergiaan beliau secara tiba-tiba, dan termenung kerana mengenangkan sebuah tugas beliau bersama-sama saya yang belum terlaksana.
             Kira-kira pukul 8.40 pagi pada 4 September, Datuk Abdul Rahim menghubungi saya berhubung dengan khidmat pesanan ringkas (sms) yang beliau terima tentang  Amil Jaya, penulis Sabah,  yang meninggal dunia.  Beliau ingin mendapatkan  kepastian siapakah orangnya, lalu saya memaklumkan bahawa nama sebenarnya  Datuk Ismail Abas, bekas Pengarah DBP Cawangan Sabah. 
            Perbualan seterusnya adalah tentang pergolakan politik Terengganu yang pada pendapat beliau, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said patut berundur.   Apabila saya mengatakan bahawa Menteri Besar Terengganu itu mendapat sokongan daripada istana, Datuk Abdul Rahim lantas menjawab, “Kalau macam tu tidak perlu ada demokrasi.”
            Kemudian, Datuk Abdul Rahim mencadangkan saya  melaksanakan projek bersama-sama  beliau, iaitu penerbitan buku biografi/autobiografi beliau. Kami bercadang untuk berjumpa selepas hari raya Aidilfitri untuk membincangkan projek itu secara terperinci.      Memang saya berasa teruja untuk melaksanakan projek yang dicadangkan oleh beliau itu yang mungkin berbentuk autobiografi, biografi, atau memoir.  Sebagai persediaan, saya  membaca buku yang berkaitan, seperti Mencari Jalan Pulang:  Daripada Sosialisme kepada Islam oleh Kassim Ahmad dan Memoir:  Dua Dunia oleh Anis Sabirin.  Saya juga   membaca semula Tough Choices: A Memoir oleh Carly Fiorina yang memberikan peringatan  yang akan saya jadikan panduan:  “Satu pilihan yang sukar dalam menulis buku ialah apakah dan siapakah yang perlu diketepikan.” 
Kesemua buku ini bersama-sama buku lain yang berkaitan, seperti Reading Lolita in Tehran:  A Memoir in Books oleh Azar Nafisi dan dan The Age of Turbulence: Adventures in A New World, sebuah memoir oleh Alan Greenspan akan saya bawa dalam perjumpaan itu kelak.
Projek penerbitan biografi beliau yang dirancangkan oleh DBP memakan masa yang lama dan hingga kini belum berhasil.  Saya mengetahui projek itu pada tahun 2000,  ketika itu saya baru sahaja berpindah dari DBP Cawangan Sabah ke Bahagian Majalah. Namun, penulisnya  menarik diri dan projek berkenaan tergendala seketika.  Datuk Abdul Rahim pernah mencadangkan saya menulis  biografi beliau, tetapi saya keberatan  kerana kesibukan tugas di DBP, dengan berkata, “Saya tidak mahu mengecewakan Datuk.”
Meskipun  penulis kedua mengambil alih projek penerbitan biografi itu, namun nasibnya adalah serupa – juga belum berhasil. Datuk Abdul Rahim  memberitahu Sallehuddin dan saya bahawa beliau tidak bersetuju dengan penulis  yang  mendewa-dewakan diri beliau.  “Biarkan para pembaca sendiri membuat penilaian.”
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak memberikan pengiktirafan yang tepat kepada Datuk Abdul Rahim: pejuang UMNO dan pejuang bahasa.  Memang sepanjang hayatnya beliau terkenal dalam bidang politik dan dunia bahasa.  Beliau mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap UMNO dan bahasa Melayu.
Namun, mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa Datuk  Abdul Rahim sejak beberapa tahun yang lalu, kerap memberitahu bahawa beliau  kecewa dengan perjuangan UMNO dan perjuangan mendaulatkan  bahasa Melayu.  “Bercakap tentang UMNO dan bahasa, saya menjadi emosi,” kata beliau, “mungkin kerana saya  sudah tua.”  Sallehuddin dan saya pernah berseloroh  bahawa kalau  ingin melihat beliau “naik angin”  buka topik perbincangan tentang UMNO dan bahasa Melayu.
Dalam pertemuan terakhir di Lake Club pada bulan Februari tahun ini bersama-sama Dr. Awang Sariyan yang pulang bercuti dari Beijing, Sallehuddin, dan saya, Datuk Abdul Rahim  menyentuh  perjuangan UMNO  dan perjuangan  mendaulatkan bahasa Melayu yang kian malap.  Bagi beliau, UMNO   kian nazak.  “Setiap kali saya melihat PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra), saya terbayang kejatuhan UMNO.  Tetapi, saya mahu kekal sebagai ahli UMNO.”
Datuk Abdul Rahim juga  menyatakan kebimbangannya kerana politik wang yang berleluasa,  kemungkinan  Tan Sri Muhyiddin Yassin  tewas  untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Apabila  Tan Sri Muhyiddin menang dalam persaingan itu, antara komen beliau ialah “satu petanda baik untuk UMNO.”
Dalam pertemuan itu juga, beliau mengatakan bahawa kerajaan tidak serius untuk memansuhkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).   “Kerajaan sengaja melengah-lengahkan pemansuhan itu dengan harapan orang akan lupa.  Lagipun, pejuang bahasa itu terdiri daripada orang tua dan uzur yang pasti tidak dapat meneruskan perjuangan.”
Mengenai kemerosotan pengaruh UMNO selepas Pilihan Raya Umum 2008, Datuk Abdul Rahim menegaskan setiap ahli UMNO dari peringkat cawangan, bahagian,  dan seterusnya ke peringkat tertinggi perlu  bertanggungjawab. Seperti yang beliau katakan  dalam satu forum tertutup yang diadakan di DBP: “Ada yang hadir pada malam ini terlibat.  Saya juga terlibat kerana saya pernah jadi Menteri Besar, Timbalan Menteri, dan anggota Majlis Tertinggi.”
Dalam satu perjumpaan  dengan beliau pada September tahun lau, beliau pernah menyatakan:  “Orang Melayu akan hanya bersatu semula setelah UMNO hancur.”  Apabila dibangkitkan bahawa tidak mungkin PAS dan Parti Keadilan Rakyat menjadi penyatu orang Melayu, beliau menjawab, “Saya tidak kata kedua-dua parti itu akan menyelamatkan orang Melayu. Mungkin ketika itu muncul organisasi lain.”
Tempoh terakhir beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola (LP) boleh dikatakan dihabiskan untuk “bertarung” dengan pelaksanaan PPSMI.  Sebaik-baik sahaja Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu, membuat pengumuman pada bulan Mei 2002 bahawa PPSMI akan dilaksanakan pada tahun depan, Datuk Rahim bersama-sama rakan-rakan dalam LP dan pejuang bahasa berusaha agar cadangan itu tidak dilaksanakan, termasuk mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir sendiri. 
Dalam  majlis  tidak formal pada suatu malam di sebuah hotel, di Ipoh, yang dihadiri oleh   Datuk Rahim, Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali, Menteri  Besar sekarang, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Datuk Johan Jaaffar,  beberapa ahli politik negeri itu, dan beberapa pegawai kanan DBP, antara perbincangannya ialah  kesan pelaksanaan PPSMI  terhadap bahasa Melayu.  Datuk Rahim yang kadangkala “naik angin”  diredakan oleh Datuk Seri Tajol Rosli.
Memandangkan Persidangan Agung UMNO 2002 menjelang tiba, maka Datuk Rahim berharap perwakilan dari Perak berani membahaskan cadangan yang tidak praktikal itu.  Malangnya, harapan beliau itu tidak menjadi kenyataan.  Kecuali perwakilan Johor yang berani menyanggah idea Mahathir itu, tetapi tidak mendapat liputan media arus perdana, boleh dikatakan perwakilan UMNO dari negeri-negeri lain mengambil sikap berdiam diri. 
Zainuddin Maidin dalam rencana “Wawancara MB yang tak Tersiar” dalam Mingguan Malaysia 4 Oktober 2009 menulis:  “Datuk Abdul Rahim adalah antara wira politik tanah air yang ‘tercedera’ dalam perjuangan...”  Sebenarnya, Datuk Rahim bukan sahaja “tercedera” dalam perjuangan politik, bahkan juga dengan pelaksanaan PPSMI, beliau juga “tercedera” dalam perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu.
Selama bertahun-tahun  PPSMI menghantui beliau, iaitu antara kemarahan dengan kekecewaan.   Dalam suatu majlis penghargaan  DBP kepada beliau  dan beberapa ahli LP lain, antaranya Datuk Dr. Firdaus Haji Abdullah dan Datuk Jamdin Buyong yang tidak lagi berkhidmat sebagai LP, Datuk Abdul Rahim dalam ucapannya menegaskan bahawa akibat pelaksanaan PPSMI,  taraf bahasa Melayu menjadi “bahasa sakai” yang menunggu masa untuk pupus.
Akibat penentangan beliau terhadap pelaksanaan PPSMI,  ada kalangan Pemuda  UMNO menuduh beliau sebagai pengkhianat.  Bagi beliau, perjuangan  mendaulatkan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tuduhan  itu cukup berat. 
Pengumuman pelaksanaan PPSM menyebabkan berlaku pertelagahan antara beberapa ahli LP dengan pengurusan DBP yang diterajui oleh Datuk A. Aziz Deraman, Ketua Pengarah DBP.  Dalam satu Mesyuarat LP yang berlangsung pada akhir Mei, beberapa ahli LP mengkritik   Datuk Aziz  dalam menangani PPSMI.  Dalam mesyuarat itu, ada ahli LP yang boleh diibaratkan bermain “sepak takraw, seorang lambung, seorang libas” untuk “menyerang” Datuk Aziz.  Pada hari Selasa keesokannya,  Datuk Aziz  memberitahu saya  Mesyuarat LP semalam menyebabkan darah beliau “naik semula.”
Namun, mendengar rungutan Datuk Aziz itu saya tidak berasa terperanjat kerana sepanjang perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur pada Ahad malam, Datuk Abdul Rahim dan Datuk Johan membuat perancangan untuk “menyerang” Datuk Aziz dalam Mesyuarat LP yang berlangsung esok hari.  Saya yang duduk di kerusi belakang kereta yang  dipandu oleh Datuk Rahim yang hanya berdiam diri diperingatkan oleh Datuk Johan agar tidak menghebohkan rancangan  itu.
Sebenarnya, dalam kalangan ahli LP wujud ketidaksepakatan pendirian terhadap cadangan pelaksanaan PPSMI.  Ada sebilangan yang menentang, manakala sebilangan yang lain demi kepentingan peribadi terpaksa akur dengan rancangan Dr. Mahathir.  Pelaksanaan PPSMI juga menampakkan bibit keretakan regu terbaik yang menerajui DBP sejak  bertahun-tahun, iaitu antara Datuk Rahim dengan Datuk Aziz. 
Ada dua perkara yang saya pendam cukup lama untuk bertanya kepada Datuk Abdul Rahim secara peribadi kerana  saya boleh dikatakan “lewat”  rapat dengan beliau.  Pertama, berhubung dengan pengekalan beliau sebagai Pengerusi LP, sedangkan rakan-rakan perjuangannya dalam Team B  dalam persaingan UMNO tahun 1987, menteri, timbalan menteri, dan yang memegang jawatan lain telah dipecat.  Bahkan, ada yang “diburu” supaya mengaku kalah.  Akhirnya, saya memperoleh jawapan beliau bahawa menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan ketika itu, “Tun Dr. Mahathir tidak mengarahkan Anwar memecat  beliau.”  
Kedua, berhubung dengan berita akhbar pada awal tahun 1990-an – zaman kerancakan dunia korporat,  spekulasi bahawa Bank Bumiputra akan diambil alih oleh beberapa pihak.  Antara bakal pengambil alih itu ialah Datuk Abdul Rahim. Meskipun spekulasi itu tidak menjadi kenyataan,  namun saya tetap ingin mendapat penjelasan daripadanya.  Beliau yang kelihatan seperti tidak tahu menahu dengan spekulasi itu hanya menyebut:  “Mana ada duit.”
(Nota:  Tulisan ini makalah asal yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat November 2009.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...