Artikel Popular

Tuesday, July 10, 2012

Bain Capital: Pengubah Permainan?

SELASA, 10 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Medan pertarungan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012 terbuka luas, daripada undang-undang penjagaan kesihatan yang mendedahkan kelemahan Mitt Romney   kepada  ekonomi yang terjejas yang Republikan turut dipertannggungjawabkan.  

Keputusan Mahkamah Agung tentang penjagaan kesihatan, menurut pemerhatian Nate Cohn yang menulis dalam The New Republic, menyertai senarai yang panjang apa yang dianggap pengubah permainan yang dari segi fundamental, gagal membentuk semula perlumbaan - daripada kematian Osama bin Laden kepada sokongan Presiden Barack Obama terhadap perkahwinan sejenis.  Meskipun sokongan terhadap prestasi Obama kurang 50 peratus, tidak semuanya menyokong Mitt Romney, sekurang-kurangnya belum lagi.

Bagi Cohn yang mengubah permainan bukannya pertarungan ideologi, seperti perkahwinan sejenis dan penjagaan kesihatan, bahkan ekonomi juga belum pasti mampu mengubahnya. Beliau menjangkakan serangan kempen Obama terhadap Bain Capital yang pernah diterajui oleh Romney, berkemungkinan merupakan pengubah permainan. 

Presiden Obama, seperti yang dijelaskan oleh Dan Turner dalam Los Angeles Times, bukannya yang pertama mencuba mengambil kesempatan daripada kegagalan Bain Capital.  Senator Edward Kennedy menggasak Romney dalam pilihan raya Senat pada tahun 1994 menggunakan strategi yang sama, dan lawan Romney dalam Republikan sendiri  meratapi kehilangan pekerjaan di syarikat keluli GST sebelum Obama membelasah isu ini, dengan Govenor Texas, Rick Perry menggunakan istilah "kapitalis penghisap benak"  untuk menggambarkan kerjaya Romney sebelum ini. Akan tetapi, serangan itu menjadi hambar ketika kempen pemilihan awal Republikan kerana anggota parti itu tidak boleh bersama-sama orang yang tidak menghormati kapitalisme pasaran bebas.

Serangan pertama terhadap penglibatan Romney dalam Bain Capital berlaku pada pertengahan Januari tahun ini sehingga pemilihan awal di South Carolina. Newt Gingrich turut menyerang Romney, dan   iklannya  disiarkan di negeri Palmetto, tetapi Gingrich mengarahkan iklan dihentikan segera kerana beliau dituduh menyerang kapitalisme.  Sejak itu beliau tidak lagi bercakap tentang Bain Capital sama sekali, manakala Perry tidak lama selepas itu, menarik diri daripada pertandingan.  Gingrich pernah mengingatkan pasukan Obama akan bahaya menyerang Bain Capital, memandangkan bahawa beliau sendiri gagal

Namun, di belakang tabir, menurut Sam Stein, anggota Demokrat mengambil nota.  Dan data yang mereka kumpulkan dan pengajaran yang mereka peroleh dari hari-hari Bain Capital mejadi pusat gempa kempen kini terbukti berguna.  Priorities USA Action, super PAC yang bersekutu dengan Presiden Barack Obama memberikan perhatian yang khusus.  Kumpulan ini menggunakan khidmat penemu duga untuk mengukur bagaimana para pengundi para pengundi di South Carolina bertindak balas terhadap serangan Bain itu.  Hasilnya cukup jelas.Matlamat mereka, menurut David Weigel,  untuk menjadikan Romney dingin dan tidak menarik yang para pengundi sedia untuk percaya bahawa beliau akan melaksankan dasar yang menjejaskan mereka.

Pada mulanya, Demokrat berbelah bahagi tentang keberkesanan serangan terhadap Bain Capital itu, antaranya Cory Booker, Datuk Bandar Newart, Deval Patrick, Gabenor Massachusetts, Ed Rendell, bekas Gabenor Pennsylvania, dan bahkan bekas Presiden Bill Clinton mengkritik  Obama atas serangan terhadap Bain Capital.  Justeru, dijangkakan bahawa serangan itu akan tamat dan kempen Obama mencari "modal" lain untuk menyerang lawannya: rekod Gebenor Massachusetts.  

Walaupun beberapa tokoh Demokrat berasa tidak selesa dengan serangan terhadap Bain Capital,  The Huffington Post dan  tinjauan pendapat menunjukkan fokus negatif tentang  pembabitan Romney di Bain Capital berkesan di beberapa negeri berayun.  Sementara Daily News melaporkan bahawa hampir separuh kemungkinan pengundi di 12 buah negeri yang menjadi medan pertarungan percaya Bain Capital tidak menyediakan pekerjaan.  Serangan terhadap Bain Capital itu melukakan Romney, menurut ABC News,  tetapi Demokrat berasa bimbang akan kekangan kewangan. Laporan terbaharu menunjukkan pada bulan Jun kempen Obama hanya berjaya mengutip AS$71 juta berbanding dengan pihak lawannya mengutip lebih AS$106 juta - dua bulan berturut-turut mengatasi kempen Obama.

Priorities USA Action yang memperuntukkan AS$10 juta bagi iklan anti-Bain, tetap meneruskan kempen itu di negeri berayun, iaitu Colorado, Florida, Pennsylvania, Virginia, dan Ohio, yang menggambarkan Mitt Romney sebagai ketua penyumber luar pengeksport pekerjaan ke negara luar, iaitu China dan India.  Pennsylvania bersama-sama Michigan, Ohio, dan Wisconsin dikenali sebagai Rush Belt, yang menurut Joel Kotkin, mungkin menyelamatkan kempen Obama.  Demikian juga dengan tulisan David A. Graham dalam The Atlantic bahawa kritikan terhadap penyumberluaran berkesan di negeri Rush Belt yang kebanyakan negeri berayun yang menyebabkan Romney berasa bimbang. 


Walau bagaimanapun, menurut Michael Barone, "di negeri ini, tidak banyak yang Obama dapat katakan."  Gambaran yang muram untuk Obama ini bercanggah dengan apa yang diperhatikan oleh Michael Scherer yang menulis dalam Time bahawa beliau mendapat sambutan yang menggalakkan di Ohio.  Demikian juga tulisan E.J. Dionne Jr., tentang keberkesanan kempen Obama di Ohio dan Colorado baru-baru ini yang seakan-akan menjamin kemenangan beliau di dua buah negeri ini.

Tentang pekerjaan, dakwa Demokrat - Martin O'Malley, Gabenor Maryland, "Romney menitiskan air mata buaya" untuk pekerja kilang.  David Axelrod, ahli strategi kempen Obama tumpang sekaki, mendakwa "Romney bukannya memperjuangkan pekerja dan pekerjaan Amerika."

Pendedahan tentang Bain Capital yang Romney pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, dilakukan oleh The Washington Post bahawa syarikat kewangan itu melabur dalam beberapa firma yang mengkhusus dari segi menempatkan semula pekerjaan yang dilakukan pekerja Amerika ke fasiliti di negara upah murah, seperti China dan India - meruntuhkan sama sekali janji Romney untuk menyediakan pekerjaan untuk rakyat Amerika jika beliau dipilih sebagai Presiden.  Beliau juga berjanji akan melindungi guna tenaga Amerika dengan bertindak tegas terhadap China.

"Ketika hampir 15 tahun bahawa Romney terlibat secara aktif mengendalikan Bain, firma ekuiti swasta yang beliau tubuhkan, firma ini memilikan syarikat yang menjadi perintis dalam mengamalkan penghantaran pekerjaan dari Amerika Syarikat ke pusat panggilan dan kilang di seberang laut membuat komponen komputer." Kempen Romney dilaporkan naik gila dengan cerita penyumberluaran itu.  Mitt Romney dalam respons terhadap cerita penyumberluaran berharap para pengundi dapat membezakannya dengan perluaran pesisir, tetapi disambut oleh Obama dengan menuduh beliau, "perintis penyumberluaran."

Sebelum ini, Eric Zuesse yang menulis dalam The Huffington Post bahawa dakwaan Romney yang Bain Capital mewujudkan 100,000 pekerjaan adalah bohong sama sekali.  Zuesse juga meragui dakwaan Romney bahawa Republikan yang berkuasa mempunyai idea ekonomi yang lebih baik, dan akan menjadi lebih baik untuk ekonomi berbanding dengan Demokrat.

Romney kini bergelut dengan dua masalah, iaitu "Romneycare" dan Bain Capital. E.J. Dionne Jr. yang menulis dalam The Washington Post, berbanding dengan keputusan Mahkamah Agung terhadap penjagaan kesihatan, di negeri berayun, Bain Capital merosakkan Romney.  Di peringkat negara secara keseluruhan, 23 peratus menganggap pengalaman beliau di Bain Capital positif berbanding dengan 28 peratus menganggap negatif.  Akan tetapi, di 12 buah negeri yang menjadi medan pertarungan,  hujah Dionne, hanya 18 peratus menganggap pengalaman perniagaan Romney secara positif berbanding dengan 33 peratus menganggapnya negatif.  Obama mendahului Romney tiga mata di peringkat nasional, tetapi lapan mata di negeri yang menjadi medan pertarungan.  "Berita yang mengejutkan Romney yang mengharapkan pengalaman perniagaannya menjadi aset yang tanpa cacat celanya."

Pendedahan lain tentang Bain Capital dilakukan oleh The New York Times bahawa firma ini mempunyai pertaruhan majoriti dalam 40 syarikat yang beribu pejabat di Amerika Syarikat sejak penubuhannya pada tahun 1984 hingga awal 1999 apabila Romney meninggalkan Bain itu untuk menerajui Salt Lake City Olympics.  Daripada jumlah ini, sekurang-kurangnya tujuh buah  jatuh muflis, tetapi syarikat tenat tidak menjejaskan Bain Capital.

Demokrat terus menyerang Romney tentang kekayaan yang beliau kumpulkan melalui Bain Capital, disembunyikan daripada pemungut cukai, disimpan di Bermuda dan akaun  bank di  Switzerland,  yang nampaknya sukar dijawab oleh Republikan. Sebagaimana kempen George W. Bush pada tahun 2004, mengenakan Swift Boating terhadap John Kerry, demikian juga yang dilakukan oleh kempen Obama dengan membangkitkan akaun bank di Switzerland, dana palaburan di Pulau Cayman, dan penyata cukai pendapatan Romney. Demokrat menggunakan isu ini kerana didapati berkesan di negeri berayun, dan seperti pada 6 Julai, Presiden Obama dilaporkan membelanjakan AS$91 juta untuk menyiarkan iklan di lapan buah negeri berayun berbanding dengan AS$23 juta oleh Romney.









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...