Artikel Popular

Tuesday, January 3, 2012

Pasukan Obama Mengatur Strategi

SELASA, 3 Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tahun 2012, seperti yang diperkatakan oleh Fareed Zakaria dalam blognya, ialah tahun pilihan raya. Tiga negara akan mengadakan Pilihan Raya Presiden pada tahun ini.   Barack Obama dari Amerika Syarikat dan Nicolas Sarkozy dari Perancis berusaha mempertahankan kedudukan masing-masing, manakala Vladimir Putin berusaha untuk kembali semula ke jawatan itu. 

Bagi Presiden Barack Obama, faktor dalam negara, iaitu ekonomi sangat penting.   Pertumbuhan ekonomi yang lemah dan kadar pengangguran yang masih tinggi, merupakan penentu, sama ada beliau dapat terus kekal di Rumah Putih, ataupun menerima nasib, seperti Jimmy Carter dan George H.W.  Bush: Presiden sepenggal.  Keputusan Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010 menyaksikan beliau mengharungi malam yang panjang apabila Demokrat kehilangan Dewan Perwakilan dan banyak jawatan gabenor, meskipun dapat bertahan di  Senat dengan kerusi yang berkurangan. 


Namun, Janet Daley dalam ramalan tahun 2012, Barack Obama tidak akan kehilangan Rumah Putih kerana sedikit tanda pemulihan ekonomi  kelihatan dalam ekonomi, yang Pilihan Raya Presiden adalah mengenai perkara tersebut. Jangkaan ini pastinya berbeza dengan John Cassidy yang menulis dalam blognya bahawa beberapa berita baik, termasuk peningkatan  populariti Barack Obama yang ditunjukkan oleh tinjauan Gallup,  tidak cukup untuk menjamin kemenangan beliau.  

Pilihan Raya Presiden 2012 menyaksikan calon-calon  daripada Republikan bertempur sesama sendiri  di padang yang sesak,  dan kini menghitung detik Kokus Iowa.  Menjelang kokus ini, tinjauan mendapati Mitt Romney  mendahului pencabar lain, dengan memperoleh 24 peratus, diikuti rapat oleh Ron Paul yang memperoleh 22 peratus, diikuti oleh Rick Santorum (15 peratus), Newt Gingrich (12 peratus), 11 peratus untuk Rick Perry, dan Michele Bachmann hanya memperoleh tujuh peratus. 


Setakat ini,   Mitt Romney dan Newt Gingrich dianggap pencabar utama, tetapi Gingrich terencat sedikit baru-baru ini kerana gagal mendapat 10,000 tandatangan di Virginia (seorang lagi calon,  iaitu Rick Perry juga gagal).  Romney dalam kempennya, turut menjadikan  Barack Obama sasaran serangannya, seperti membandingkan Presiden Amerika itu dengan bekas ratu Perancis,  Marie Antoinette yang digulingkan ketika Revolusi Perancis, untuk menunjukkan Obama tidak menjiwai perjuangan rakyat seharian. Tatkala Romney dan Gingrich bersaing sengit, tiba-tiba Rick Santorum turut  mendapat perhatian yang mengacah-acah Barack Obama dengan dakwaan bahawa beliau mempunyai nilai bukan Amerika 


Dalam pemilihan calon Presiden, Republikan,  daripada  pemerhatian James Zogby dalam bahaya, iaitu "bermain api yang boleh membakar tangan sendiri"  kerana terlampau tunduk pada Tea Party. Republikan juga dikatakan membangkitkan rasa sakit politik yang memberikan kesan terhadap demokrasi dengan melemparkan tuduhan melulu terhadap Barack Obama.  Meskipun isu  ekonomi adalah penting dalam Pilihan Raya yang akan datang, calon-calon Republikan yang terlibat tidak mengabaikan isu agama untuk menarik sokongan "Pengundi Nilai."


Tatkala Republikan sibuk dengan pemilihan calon  Presiden, Barack Obama mengatur strateginya.  Pada awal bulan lalu, beliau dikatakan akan menggunakan strategi menyalahkan Republikan mengapa beliau gagal memulihkan ekonomi. Namun, Mitt Romney mendakwa strategi Obama menyalahkan Kongres akan gagal, seperti beliau sebagai Presiden. 


Pasukan Obama yang membuat persediaan yang rapi lagi teliti, dilaporkan mengatur strategi peta pilihan raya untuk mendapat 270 undi badan perwakilan pemilih (electoral college). Suasana di kem Obama meningkat kini, dengan angka tinjauan pendapat menunjukkan Obama sedikit demi sedikit menghala ke arah utara dan Republikan bergelut dalam apa yang dianggap boleh menjadi berpanjangan, pertarungan yang mahal untuk pencalonan Republikan.


Dalam majlis pungutan dana, pengurus kempen Obama, iaitu Jim Messina merangka lima potensi laluan untuk memperoleh angka ajaib itu. Kempen Obama berkemungkinan bermula dengan negeri yang John Kerry menang dalam pilihan raya tahun 2004, berasaskan teori bahawa negeri biru yang amat kukuh menjamin kemenangan calon Demokratik.  Mengasaskan  251 undi yang Kerry terima dahulu, kempen Obama percaya bahawa mereka dapat memenangi penggal kedua jika mana-mana strategi yang berikut digunakan:  Barat, Florida, Selatan, Barat tengah (Midwest), dan selanjutnya,  termasuk Arizona. 


Tatkala calon-calon Republikan sibuk dengan Kokus Iowa,  para petugas pasukan Obama telah pun bersiap sedia di sana dan di tempat-tempat lain.  Pasukan  Obama mempunyai lebih staf yang dibayar untuk  turun padang di Iowa jika dibandingkan dengan Republikan.  Pasukan Obama melakukan persiapan sepanjang tahun lalu untuk apa yang mereka jangkakan akan lebih sengit jika dibandingkan dengan tahun 2008.  Sementara pegawai kempen percaya Presiden memulakan tahun 2012 dalam kedudukan yang sedikit lebih baik jika dibandingkan dengan kedudukan pada musim panas lalu, mereka juga teringat bahawa bahkan dalam apa yang dianggap kemenangan mudah secara relatif empat tahun lalu, 47 peratus pengundi tidak memilih beliau. 


Andrew Romano yang melawat ibu pejabat kempen Obama di Chicago, menulis dalam Newsweek tentang persediaan rapi pasukan beliau dalam Pilihan Raya Presiden 2012 yang diketuai oleh Jim Messina dan ahli strategi, David Axelrod.  Selain strategi peta tersebut yang mengenal pasti medan pertarungan mesti dimenangi, fakor masa dikatakan memihak kepada Obama kerana beliau tidak mengharungi pemilihan awal, seperti yang dialami oleh calon-calon Republikan sekarang.  Kempen Obama kali ini dikatakan lebih tersusun dan teratur jika dibandingkan dengan tahun 2008, manakala sumbangan derma mula mencurah masuk. "Wang dan tenaga manusia adalah baik seperti mesej yang mereka tolong sampaikan."


Dengan "modal kerja" 251 undi, pasukan Obama mengatur strategi, melancarkan  "seni peperangan":  jangan sekali-kali meninggalkan padang dan pada masa yang sama,  mengenal pasti kubu lawan yang dapat ditawan.  Sesuatu yang ahli politik kita perlu pelajari, iaitu strategi peta dalam proses mempertahankan atau menawan Putrajaya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...