Artikel Popular

Wednesday, July 4, 2012

Kebebasan atau Kesamaan?

RABU, 4 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dua orang kolumnis The Washington Post muncul dengan membincangkan sesuatu yang bukan sahaja dituntut dan diperdebatkan bukan sahaja di negara mereka, iaitu Amerika Syarikat, tetapi juga di peringkat global.  

Pertama, tulisan Robert J. Samuelson  yang  cuba membuat pilihan antara kebebasan dengan kesamaan.  Beliau yang memilih kebebasan  merujuk kajian tahun 2004 yang menunjukkan dalam kalangan 33 buah negara, Amerika Syarikat adalah yang  pertama  kebanggaan nasional. "Akan tetapi, pada 4th Julai ini, kita menghadapi paradoks yang mengganggu: Negara yang kita cintai ini semakin memecahbelahkan kita."

Samuelson yang memetik Alexis de Tocqueville yang pernah mencatatkan bahawa rakyat Amerika menghormati kedua-duanya, iaitu kebebasan dan kesamaan.  Namun, Samuelson menjelaskan bahawa seluruh sejarah Amerika melibatkan ketegangan ini, iaitu antara memulihara kebebasan dengan menggalakkan kesamaan.  Beliau tidak bersetuju dengan hujah de Tocqueville bahawa rakyat Amerika hakikatnya mengutamakan kesamaan berbanding dengan kebebasan kerana faedah kebendaan adalah lebih segera dan ketara.  Justeru, Samuelson memetik ahli sains politik, James Q. Wilson yang menegaskan bahawa rakyat Amerika sangat kuat menghargai kebebasan berbanding dengan warganegara di mana-mana negara demokratik. 

Untuk menguatkan hujahnya bahawa 58 peratrus rakyat Amerika memilih kebebasan, Samuelson memetik kajian terbaharu Pew yang menunjukkan bahawa rakyat negara itu memilih kebebasan dalam mengejar matlamat hidup tanpa campur tangan negara. Namun, beliau mengakui dalam kegemaran pengundian mereka, rakyat Amerika kerap mengutamakan keselamatan.

Tulisan kedua datangnya daripada Harold Meyerson yang memerhatikan bahawa sempena kelahiran Amerika Syarikat ke-236, pandangan Thomas Jefferson tentang kesamaan dikepung. Meyerson mengetengahkan ketidaksamaan yang semakin melebar: Negara semakin kaya dan lebih produktif jika dibandingkan 20 tahun lalu, tetapi semuanya pendapatan yang ditambah dan kekayaan itu dikaut oleh golongan 10 peratus teratas, dan secara tidak berkadaran, kepada golongan terkaya satu peratus

Meyerson juga membangkitkan semakin bertambahnya penumpuan kekayaan yang membawa kepada semakin bertambahnya penumpuan kuasa politik juga, merujuk keputusan tahun 2010 oleh Mahkamah Agung dalam Citizen United v. Federal Election Commission yang merobohkan 100 tahun kekangan perundangan terhadap kemampuan perbadanan untuk membiayai kempen dan membeli pegawai yang dipilih. 


Jika diperhatikan kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun ini, kedua-dua pihak, iaitu Demokratik dan Republikan serta penyokong masing-masing berlumba-lumba mengumpulkan dana, terutamanya melalui super PAC.  Bahkan, Presiden Barack Obama  sendiri, dilaporkan oleh The Daily Beast,  bersusah payah menghubungi bakal penderma untuk mengumpulkan lebih banyak dana. 

Di negara kita, sesetengah golongan begitu taksub menegakkan kebebasan kerana kebebasan ini memberikan ganjaran  politik, berbanding dengan kesamaan.  Tidak banyak orang berminat berbicara tentang ketidaksamaan pendapatan dan agihan kekayaan. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...