Artikel Popular

Sunday, July 8, 2012

Obama Menagih Kekalahan, Romney Menggadai Kemenangan

AHAD, 8 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




"Romney lawan Obama, penjawat kini yang lemah menghadapi pencabar yang lemah," antara komen tatkala Mitt Romney semakin mengukuhkan kedudukannya dalam pemilihan awal Republikan. Hanya tinggal empat bulan lagi untuk menentukan pemenang perlumbaan ke Rumah Putih, sesuatu yang sebelum ini dianggap sinis semakin jelas kelihatan: kedua-duanya calon yang gagal.   Para pengundi di Ohio misalnya,  melahirkan rasa tidak gembira dengan pilihan Obama-Romney


Angka pekerjaan yang muram dijangkakan mewarnai  kempen Pilihan Raya Presiden. "Satu  lagi "Jumaat pekerjaan', satu lagi angka mengecewakan Rumah Putih," ulas John Cassidy dalam blog The New Yorker. Bagi Obama, laporan pekerjaan yang diumumkan pada hari Jumaat yang mewujudkan 80,000 pekerjaan baru dan kadar pengangguran bulan Jun kekal 8.2 peratus, menjadikan  laluan politik beliau kelihatan sukar.  Dengan pasaran pekerjaan yang beku, kelangsungan beliau diragui. Kata-kata terkenal beliau sebelum ini, "private sector is doing fine," terbukti adalah  sebaliknya.   Walau bagaimanapun, beliau mengambil pendirian positif tentang laporan pekerjaan terbaharu itu, tetapi pada masa yang sama, mengakui ekonomi Amerika perlu tumbuh dengan pantas untuk merangsang pekerjaan.


Meskipun krisis ekonomi Amerika Syarikat diwarisi,  Presiden Obama tidak boleh lagi terus-menerus menyalahkan Presiden sebelum ini, iaitu George W. Bush. Juga disedari bahawa Republikan dan Kongres juga terbabit dengan kemelut ekonomi, tetapi tidak bermakna bahawa beliau "boleh cuci tangan." Kadar pengangguran yang masih tinggi, tidak dapat tidak, menandakan kegagalan pelaksanaan dasar yang beliau perkenalkan selama tiga tahun bertakhta di Rumah Putih.  Bahkan, ketika beliau begitu nekad untuk  melaksanakan pembaharuan penjagaan kesihatan, sebenarnya beliau dikatakan  silap dari segi keutamaan - sepatutnya beliau mengutamakan usaha  untuk mengurangkan kadar kemiskinan. 


"Kegagalan Presiden, setakat ini," tulis Jonathan Rauch dalam The Washington Post, "untuk menunjukkan bahawa beliau memahami skop masalah ekonomi dan tahu bagaimana menyelesaikanny bukannya berpunca daripada tidak ada apa-apa yang ingin dikatakan: pelaburan dalam pendidikan, tenaga, inovasi, infrastruktur merupakan perkara yang munasabah."  Obama jika beliau tidak bertindak, tegas Rauch, akan mengalami nasib seperti Jimmy Carter pada tahun 1980 yang di laluan dilupakan, tetapi tidak mengetahuinya. 

Dengan laporan pekerjaan yang muram ini, tulis David Corn dalam Mother Jones, "Obama sepatutnya memperlihatkan komitmennya untuk menyelesaikannya sekiranya beliau diberikan peluang sekali lagi."  Sementara Michael Tomasky yang menulis dalam The Daily Beast mengesyorkan Obama mencari alternatif: meyakinkan orang ramai bahawa di bawah Romney dan Kongres Republikan, keadaaan lebih  teruk.  Tomasky juga  memetik bahawa Romney membuat kesilapan yang bodoh tentang ekonomi, seperti yang diliputkan dalam Time.  


Berbanding dengan dasar luar, daripada pembunuhan Osama bin Laden kepada senarai pembunuhan Presiden, prestasi ekonomi  Obama tidak memberangsangkan yang menyebabkan beliau diasak dari segenap penjuru: kiri dan kanan.  Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pemulihan ekonomi negara itu masih "suam-suam kuku."   


Beliau nampaknya sedar dan akur dengan situasi yang bersifat "kejam" terhadap dirinya, iaitu pengangguran.  Justeru, beliau sentiasa ruang dan peluang untuk mengejutkan lawannya, Romney yang pastinya kebingungan untuk menyerang balas.  


Obama pada bulan Mei, menyokong perkahwinan sejenis;  meskipun pendirian ini menurut beberapa tinjauan pendapat tidak banyak memberikan kelebihan kepada beliau, tiga hari selepas itu, kempen beliau dilaporkan berjaya mengumpulkan dana AS$9 juta.  Dan, yang terbaharu, majalah LGBT dilaporkan menyokong beliau.  


Kemudian, Obama  menghalang penghantaran pulang anak-anak imigran ke negara asal mereka. Suatu keputusan yang Republikan sukar untuk mempersoalkannya secaraa berkesan kerana, Presiden George W. Bush sendiri pernah membenarkan kaum imigran tinggal dan bekerja di Amerika Syarikat.  Berikutan keputusan Obama itu, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa beliau berjaya meraihkan sokongan dalam kalangan pengundi Hispanic: meningkat 10 titik peratusan kepada 41 peratus. Di negeri-negeri yang menjadi pertarungan, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa  sokongan Latino terhadap Obama mengatasi Romney.  Untuk memperluas lagi jangkauannya terhadap  pengundi Latino, Obama menggunakan iklan dalam bahasa Sepanyol, tetapi langkah  ini boleh mengasingkan pengundi bukan Latino.


Tatkala Romney terpaksa bertungkus-lumus untuk memenangi sokongan Hispanic, Mahkamah Agung Amerika Syarikat membuat keputusan yang mengehadkan bidang kuasa pihak kuasa negeri Arizona untuk menahan orang yang disyaki pendatang tanpa izin kerana perkara itu merupakan bidang kuasa kerajaan Persekutuan.  Keputusan ini,  dianggap sebagai kemenangan kepada Obama dan merumitkan strategi Republikan.


Suatu peristiwa yang cukup bersejarah pada 28 Jun lalu ialah keputusan Mahkamah Agung Amerika mengesahkan pembaharuan kesihatan dan mandat individu adalah sah dari segi undang-undang,  sekali gus menghancurkan harapan Republikan  untuk memukul jatuh Obama.    Ketua Hakim, John Roberts yang menjadi harapan puak konservatif menyelamatkan  "Obamacare."  Dengan keputusan yang memihak kepadanya,  maka Presiden Amerika itu diperhatikan sedang mengukir legasinya, dan menurut Alex Roarty yang menulis dalam National Journal, memberikan harapan kepada Obama untuk penggal kedua.


Penghakiman John Roberts bahawa mandat individu ialah cukai dan bukannya penalti memberikan harapan kepada Republikan yang luka parah itu untuk menyerang Obama: mengenakan cukai yang tinggi.   Namun, dari segi fakta, dakwaan ini  dinafikan oleh Derek Thompson yang menulis dalam The Atlantic, yang memetik Kevin Drum serta  Ezra Klein;   dan Aaron Sharonkman yang menulis dalam Tampa Bay Times. Klein yang juga menulis dalam Bloombreg bahawa penjagaan kesihatan sebenar idea Republikan, menafikan dakwaan  bahawa Affordable Care Act melibatkan kenaikan cukai terbesar dalam sejarah, bahkan bukan kenaikan terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat.  Sebaliknya, Timothy Noah yang menulis dalam The New Republic berhujah bahawa mandat tersebut sebagai cukai, termasuk penjagaan kesihatan yang dilaksanakan oleh Romney sendiri di Massachusetts sambil menegaskan bahawa  bekas Gabenor itu pernah melabelkannya cukai. 


Tatkala Obama dan Demokratik terpaksa bergelut untuk menjelaskan bahawa mandat individu adalah penalti dan bukannya cukai, Romney membantu merungkaikan kerumitan:  Kedua-duanya, iaitu Obama dan Romney bersetuju bahawa mandat individu ialah penalti dan bukannya cukai, seperti yang dijelaskan oleh penasihat kanan Romney, Eric Fehrnstrom dalam program MSNBC.  Penjelasan ini bagaikan meruntuhkan strategi Republikan untuk menyerang Obama yang kononnya menaikkan cukai melalui undang-undang penjagaan kesihatan.


Luka yang parah bertambah parah apabila Romney pula menjelaskan bahawa individu mandat ialah cukai yang bukannya sahaja  bercanggah dengan orang harapannya, bahkan dengan pendirian beliau sendiri berhubung penjagaan kesihatan yang beliau laksanakan di Massachusetts sebelum ini. Dalam masa seminggu, Romney terkenal sebagai "kaki putar haluan," gelaran yang pernah dilabekan oleh lawannya semasa pemlihan awal Republikan, dan mengesahkan dakwaan bahawa mempunyai resume, tetapi tidak mempunyai ideologi. 


Perputaran haluan 360 darjah ini menaikkan keberangan puak konservatif, manakala media yang kelihatan menyokong Romney, seperti The Wall Street Journal melalui editorialnya yang dipetik meluas, mengkritik beliau yang keliru tentang cukai dan  seolah-olahnya menggadaikan kemenangan tatkala Obama menjurus ke arah kekalahan. Pemilik akhbar itu, Rupert Murdoch yang secara terang-terangan ingin Obama ditewaskan, tetapi seperti yang didedahkan kepada umum, beliau berselisih dengan Romney.


William Kristol, editor The Weekly Standard yang konservatif pergi lebih jauh dengan membandingkan Romney dengan dua lagi calon Presiden Demokratik dari Massachusetts -  yang tewas, iaitu  Michael Dukakis (1988) dan John Kerry (2004): gagal ke Rumah Putih.  Kristol yang memetik  Frank Cannon dan Jeffrey Bell, yang antara lain, menegaskan ekonomi bukannya laluan automatik kepada kemenangan.  Lagipun, seperti yang dibahaskan oleh Tomasky yang memetik Kevin Drum dan Jon Chait, bahawa Romney tidak mempunyai dasar jelas, dan bahkan kelihatan bercelaru tentang ekonomi.  Dengan kata lain, Romney, seperti mengharapkan "bulan jatuh ke riba:" kadar pengangguran yang tinggi dan pemulihan ekonomi yang lemah. 


Tatkala Romney dan Republikan kelihatan kacau-bilau, Obama dilaporkan,  mengambil langkah menyerang berhubung dengan undang-undang penjagaan kesihatan yang beliau perkenalkan.  Selain itu, dengan nada romantik yang amat berkesan, beliau memberitahu: Saya mencintai "Romneycare."


"Jika saya dikunci di dalam bilik bersama-sama dengan pengundi yang tidak membuat keputusan dan memberi saya lima minit untuk memujuk pengundi itu untuk mengundi Romney, dan jika saya gagal, anda akan menembak saya, saya akan menghabiskan masa bercakap tentang "Romneycare." Sememangnya, inilah satu-satunya kelayakan terbaik untuk menjadi Presiden, tanpanya, beliau hanya berpuas hati  dengan Gabenor satu penggal.  Akan tetapi, Romney tidak boleh bercakap tentang penjagaan kesihatan kerana partinya percaya dasar itu adalah kejahatan.  Hal ini, pastinya merupakan satu-satu hujah terbaik mengapa beliau sepatutnya tidak dipilih sebagai Presiden," jelas Obama.


Romney nampaknya menumpukan medan pertarungan terhadap ekonomi kononnya kerana beliau mempunyai kelebihan atau kekuatan berbanding Obama.  Pertimbangan beliau  silap, meskipun dua Presiden yang tewas, iaitu Jimmy Carter dan George H.W. Bush - kadar pengangguran di bawah lapan peratus. Namun,  dari   segi rekod,  Presiden daripada Demokratik adalah lebih baik untuk ekonomi. Lagipun, di lima buah negeri berayun, dilaporkan  pengangguran merosot dengan pantas, dan dengan itu, pengangguran menjadi kurang relevan.


Meskipun tidak mudah bagi Obama memesongkan perhatian orang awam terhadap ekonomi yang sudah tertanam dalam minda mereka sejak mula lagi, bukan bermakna pengangguran yang tinggi merupakan peluang terbaik untuk Romney.  Seperti yang pernah ditegaskan oleh penemu duga tinjauan pendapat dan perunding Republikan, Mike McKenna, "kalau pengangguran yang tinggi ialah pembunuh, Obama telah pun mati.  Data tinjauan memberitahu anda bahawa beliau tidak mati."  Beliau bersetuju bahawa Romney mesti lebih berani dan agresif.  Strategi memegang bola, tegas McKenna, "tidak pernah memenangi permainan bola keranjang yang sedang ketinggalan."


Romney diperhatikan terlalu mengambil pendekatan main selamat.  Hal ini menunjukkan bahawa beliau dan para pembantu beliau fikir Presiden Obama secara perlahan-lahan, tetapi berterusan, merosot, dan dengan itu, tidak perlu mengambil risiko yang besar. 


Namun, jangan memperlekeh keupayaan Obama memadamkan kebijakan konvesional: Siapa yang pernah membayangkan bahasa Amerika Syarikat memilih Presiden kulit hitam?  Siapa yang pernah membayangkan orang disingkirkan daripada Dewan Perundangan mampu mengakali jentera politik Bill dan Hillary Clinton? Selain itu, kecuali Obama, tidak ada senator yang dipilih sebagai Presiden dalam masa empat dekad.


Sungguhpun Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat kali ini menyaksikan pertarungan antara calon yang lemah, pilihan perlu dibuat.  Para pengundi mungkin  tidak mahu memberikan peluang sekali lagi kepada Obama, tetapi mereka juga tidak menyukai Romney.  


Antara calon yang mengheretkan dirinya ke arah kekalahan dengan calon yang melepaskan peluang keemasan, siapakah yang akan muncul sebagai pemenang? Mampukah Obama berpatah balik? Atau mampukah Romney menebus semula? 


Bagi Obama, mungkin beliau memerlukan pelan B yang diperkenalkan oleh John Cassidy!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...