Artikel Popular

Saturday, July 28, 2012

Penderma Besar Lawan Ukar Umbi

SABTU, 28 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Mungkin buat pertama kali Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012,  menyaksikan perang kelas, iaitu antara pencabar yang kaya-raya, Mitt  Romney dengan  Presiden Barack Obama yang hartanya tidak seberapa.  Mungkin juga menyaksikan bahawa pencabar dengan sokongan dana yang cukup besar mampu mengatasi perbelanjaan penjawat kini. 


Pilihan raya kali ini dijangkakan melibatkan perbelanjaan yang besar, iaitu melibatkan "wang gelap" yang menyebabkan wujud desakan supaya super PAC mendedahkan penyumbang iklan mereka.  Setakat bulan Jun, super PAC, menurut The Huffington Post, banyak menerima sumbangan daripada penderma mega, iaitu sekurang-kurangnya AS$500,000.

Setakat ini, penderma besar untuk super PAC pro-Obama seakan-akan tidak bersemangat untuk menghulurkan sumbangan jika dibandingkan dengan keadaan sebelum ini, meskipun hartawan Demokratik turut menyumbang, dan  antara yang menghilang itu, iaitu Penny Pritzker muncul semula.


Sebaliknya, dengan super PAC yang diterajui oleh Karl Rove, atau disebut Raja Karl,  maka kedudukan kewangan kempen Romney lebih selesa, kerana adanya penyumbang besar, seperti Koch bersaudara yang melancarkan perang terhadap Obama - menurut Jane Mayer, dan raja kasino, Sheldon Adelson yang dikatakan terlibat dalam melanggar amalan rasuah asing. Walaupun Romney, seperti yang dibahaskan oleh David Corn dalam Mother Jones, pernah menentang perjudian ketika berkhidmat sebagai Gabenor Massachusetts, kini secara terang-terangan bersekongkol dengan tauke judi.


Perlumbaan wang tahun 2012 ini, seperti yang diperhatikan oleh Michael Scherer dalam Time, adalah antara Romney yang bergantung pada penderma besar dengan Obama yang memancing akar umbi.  "Mitt Romney terpaksa bertungkus-lumus untuk orang ramai menghulurkan amaun kecil sumbangan untuk kempennya.  Bagi Barack Obama, masalahnya adalah untuk menarik kawan besar daripada penyumbang kaya."


Walaupun kajian menunjukkan dalam pilihan raya kali ini, Demokrat tidak lagi seghairah pada tahun 2004 dan 2008, keadaan ini tidak menjejaskan operasi untuk mendapat sumbangan daripada penderma kecil, sekurang-kurangnya jika dibandingkan dengan tahun 2008.  Obam berjaya mengumpulkan AS$112 juta daripada penyumbang kurang daripada AS$200, berbanding dengan AS$93.6 juta pada takat ini pada tahun 2008.  Seperti yang dinyatakan, keghairahan penyumbang besar untuk kempen Obama agak berlainan.  Pada takat ini dalam pilihan raya lalu, jelas Scherer, Obama mengumpulkan AS$87.3 juta daripada  penderma yang mempunyai diberikan had perundangan, 27 peratus daripada jumlah yang beliau terima.  Tahun ini, Obama hanya berjaya mengumpulkan AS$47 juta dalam sumbangan yang beliau peroleh, atau 16 peratus daripada jumlah keseluruhan beliau.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...