Artikel Popular

Wednesday, July 11, 2012

Mitt Romney Diasak dari Segenap Penjuru

SELASA, 11 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Belum sempat memperkukuh kedudukannya akibat pertarungan sengit dalam pemilihan awal Republikan dan belum lagi disahkan sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2012, Mitt Romney diasak dari setiap penjuru.  Kempen Presiden Barack Obama, seperti yang pernah dinyatakan oleh isteri Romney, Ann,  "mahu 'memusnahkan'  Mitt Romney."  

Selain serangan berterusan terhadap Bain Capital, Obama yang kini menurut tinjauan pendapat, mendahului Romney,  menyasarkan serangannya terhadap penyata cukai pendapatan dan kewangan peribadi lawannya.   Tidak cukup dengan serangan Obama, Naib Presiden Joe Biden tumpang sekaki, menggesa para pengundi Latino jangan menyokong Romney, yang masih tinggal dalam zon selesa dan lambat memberikan respons terhadap serangan pihak lawan.

Cerdik pandai atau para pengulas juga tidak ketinggalan mengkritik Romney,  seperti krisis identiti, kekayaan peribadi, pembabitan beliau dalam Bain Capital, penyumberluaran,    pelaburan Bain Capital di Pulau Cayman, dan keengganannya mendedahkan penyata cukainya. "Romney yang mahir dari segi kewangan," ulas Eugene Robinson, "membawa risiko politik." Dalam pada itu, ada juga yang membela beliau, antaranya Dan Primack, Robert J. Samuelson, dan R.A. yang menulis dalam The Economist

Romney mendakwa bahawa beliau terpaksa menghadapi pertarungan sengit  untuk mendapatkan  liputan adil daripada sesetengah saluran berita. Mungkin saluran media maksudkan itu, antaranya The Washington Post yang mendedahkan penyumberluaran Bain Capital.  


Namun, beliau juga menghadapi kritikan atau tentangan daripada anggota Republikan dan puak kanan yang tidak puas hati dengan kempen dan gelagat beliau, misalnya perputaran haluan berhubung dengan undang-undang penjagaan kesihatan: cukai atau penalti, yang akhirnya mendedahkan masalah besar beliau sendiri.

"Orang yang silap untuk puak kanan," yang mengharapkan Presiden Obama tumpas dalam pilihan raya kali ini. Cerdik pandai konservatif, misalnya Bill Kristol,  kolum editorial, anggota kanan Republikan, dan dua orang tokoh perniagaan, Rupert Murdoch,  dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif General Electric, Jack Welch, semuanya menyuarakan rasa ragu-ragu yang serius tentang keupayan Romney untuk mencapai kemenangan pada bulan November ini. Bagi mereka, Romney calon yang teruk.  Tatkala kempen Obama menyerang Romney kerana perputaran haluan terhadap undang-undang penjagaan kesihatan, sekali disebut penalti, kemudian cukai, Republikan pula mengasak calon mereka hingga ke penjuru.

Bagi puak kanan, medan pertarungan ekonomi yang sepatutnya ditawan dengan mudah, tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Romney.  Bagi mereka, Romney kelihatan pasif, sedangkan beliau  perlu  bertarung.   Hal ini, pastinya  ada kaitannya dengan serangan bertali arus daripada kempen Obama terhadap pembabitan Romney dalam Bain Capital, yang didapati berkesan di negeri berayun.  Akibatnya, beliau tidak bangkit-bangkit, terpinga-pinga untuk mencari kekuatan. "Rakyat Amerika hilang keyakinan terhadap Obama untuk memulihkan ekonomi," hujah John Cassidy dalam blog The New Yorker, "tetapi mereka juga  menunggu alternatif Romney." Meskipun tiga bulan berturut-turut ekonomi adalah teruk, yang membimbangkan Republikan ialah dari segi tinjauan pendapat, calon masih  gagal mendahului Obama.

Romney sejak dahulu lagi diragui keupayannya untuk memperlihatkan ketokohannya di pentas politik yang lebih besar, dan selepas larian pendek berikutan pengesahan beliau sebagai calon, keraguan itu mula kelihatan.  Beliau gagal mengambil kesempatan daripada hakikat bahawa Mahkmah Agung secara berkesan mengisytiharkan pembaharuan kesihatan Obama ialah cukai terhadap golongan kelas menengah ialah mangkin untuk percubaan terbaharu untuk mendesak Romney menyertai pertarungan.

Sebaliknya, Presiden Barack Obama yang terpaksa bergelut dengan bermacam-macam masalah, seperti kadar pengangguran yang masih tinggi, iaitu 8.2 peratus, sokongan pendanaan yang kurang berbanding dengan yang diperoleh lawannya,  terus-menerus memperlihatkan kekuatannya: menyerang Romney. Beliau benar-benar berjuang untuk penggal kedua kepresidenan, meskipun beliau belum meninggal jauh Romney, iaitu masih terikat dengan 47-47 menurut tinjauan pendapat The Washington Post-ABC News.  


Obama sentiasa menentukan peraturan permainan dan membuka medan pertarungan, kini pencukaian, iaitu memansuhkan pengecualian cukai pendapatan yang diperkenalkan oleh George W. Bush, tetapi memberikan pengecualian untuk golongan yang berpendapatan AS$250,000 setahun.  Selain berusaha menunjukkan dirinya daripada golongan yang berbeza dengan Romney, Obama membuka satu medan pertarungan: "perang kelas" yang mungkin tidak tersambut oleh lawannya. Sebagaimana diperhatikan oleh Ezra Klein yang menulis dalam   Bloomberg, "menaikkan cukai menjadi isu kemenangan bagi Obama." 


Tatkala Romney masih terhegeh-hegeh untuk mentakrifkan dirinya untuk dikenali oleh para pengundi, Obama begitu bersemangat melakukannya untuk beliau: memberikan gambaran negatif terhadap Romney.  Hal ini, seperti yang dilaporkan oleh Los Angeles Times, memang merisaukan ahli strategi Republikan. Memang para pengundi  kecewa dengan Obama, tetapi adakah mereka akan beralih kepada Romney?  Sesiapa yang mentakrifkan lawannya terlebih dahulu, pastinya mempunyai kelebihan dalam politik, tetapi mengejutkan dan menyusahkan bahawa   Romney belum lagi menunjukkan biografinya.  Kempen Obama berusaha menjadikan Romney penyangak kapitalisme  korporat.


Bagi kempen Obama, tugas lebih mudah jika pertarungan adalah dengan Mitt Romney berbanding dengan Rick Santorum dan Newt Gingrich.  Dan, usaha ini  diperlincin lagi kerana mesej Obama adalah mudah  berbanding dengan mesej Romney yang bercelaru.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...