Artikel Popular

Monday, July 30, 2012

Pemberontakan Arab Dapat Dielakkan?

ISNIN, 30 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Setelah menunjukkan  kebodohan dirinya di London sehingga beliau dilanyak dari segenap penjuru, yang boleh disifatkan  percutian yang membawa padah,  bakal calon Presiden Amerika Syarikat, Mitt Romney, terus menunjukkan kedunguannya.  Kali ini berkait dengan Pemberontakan Arab (Arab Spring), yang menurut Romney,  dapat dielakkan sekiranya Presiden Barack Obama meneruskan "agenda kebebasan" yang diperkenalkan oleh George W. Bush.  

Romney dipetik berkata demikian  dalam wawancara dengan akhbar sayap kanan, Israel Hayom, yang jelas mengkiritik Obama dan menyanjung bekas Presiden George W. Bush. Dengan kenyataan bodoh seperti itu, Romney membuktikan dirinya sebagai orang yang gemar bercakap sebarangan tanpa usul periksa, yang ada kalanya bercanggah dengan rakannya dalam Republikan dan sekutu partinya itu.  

Bahkan, George W. Bush sendiri pernah menulis dalam The Wall Street Journal mengalu-alukan Pemberontakan Arab, yang beliau sifatkan, "masa yang luar biasa dalam sejarah kebebasan."

Apabila tercetusnya Pemberontakan Arab, sebilangan Republikan, puak  konservatif, dan pengulas, mengaitkan kebangkitan luar biasa itu dengan usaha menyebarkan demokrasi  dan menegakkan kebebasan di dunia Arab   oleh Bush.  Seperti yang pernah diperkatakan oleh Elliott Abrams dalam The Washington Post, pada akhir Januari tahun lalu, "protes Mesir menunjukkan George W. Bush adalah betul tentang kebebasan di dunia Arab."  Demikian juga ulasan Peter Wehner yang mendakwa Pemberontakan Arab adalah kerana Bush, meskipun Obama tidak menyokong "agenda kebebasan."

Sememangnya, sukar untuk mengaitka Pemberontakan Arab  dengan pelaksanaan "agenda kebebasan," seperti yang diungkapkan oleh David Ignatius, "kebangkitan harapan generasi muda yang melihat perubahan global pada Internet dan tiba-tiba hilang ketakutan mereka terhadap pemimpin yang korup dan autokratik," atau memetik Immanuel Wallerstein, sebagai lanjutan semangat revolusi dunia pada tahun 1968.

Sebenarnya, dengan mengeluarkan kenyataan seperti, Romney,  menurut Jonathan Chait, cuba mengambil hati puak konservatif yang tidak pernah teruja dengan Pemberontakan Arab.  Atau dalam kata-kata Michael Tomasky, "ulasan Pemberontakan Arab merupakan surat cinta Romney kepada puak sayap kanan Israel." 

Tidak cukup dengan surat cinta itu,  Romney melawat  Israel,  bertujuan untuk memikat undi orang Yahudi di Amerika Syarikat, yang lazimnya memihak kepada Demokrat, termasuk Barack Obama dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2008.  Semasa di Israel,  beliau membela Israel untuk menghadapi ancaman nuklear  Iran   dan  mengisytiharkan Baitulmuqqadis ibu negara itu. 

Sebenarnya, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa dari segi dasar luar, Obama lebih mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan Romney.  Setelah gagal melancarkan dasar luar, seperti yang diperhatikan oleh Fareed Zakaria, dan kecundang di London, Romney menjadikan bumi Israel untuk menebus segala peluang yang terlepas itu. 

Sebaliknya, PresidenObama, seperti yang dibahaskan Jonathan Rauch dalam The New Republic, mendakap dasar luar Republikan klasik.  Setelah menyenaraikan kejayaan dasar luar Obama, iaitu menamatkan dua peperangan, menstabilkan hubungan dengan Rusia dan China, mengasingkan Iran, memperkukuh jenama Amerika, dan melancarkan perangan terhadap keganasan, Rauch menyatakan bahawa Obama meminati dasar luar George H.W. Bush, iaitu "beroperasi sebagai realis klasik."

Yang jelas, Romney meletakkan pertaruhan yang lemah, bukan sahaja terhadap Pemberontakan Arab yang memperlihatkan langkah mundur beliau,  tetapi juga ketegasan terhadap Iran, yang menurut  Jeffrey Goldberg, bahawa Obama lebih keras.  Dalam makalah yang lain,  yang diterbitkan dalam Bloomberg, Goldberg, mengingatkan bahawa konflik Israel-Iran, jangan bergantung pada Romney.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...