Artikel Popular

Thursday, October 10, 2013

Malapetaka Kewangan

KHAMIS, 10  Oktober 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Krisis zon euro yang kononnya dikatakan reda, meragut mangsanya yang terbaharu, kali ini Cyprus.  Keputusan yang dibuat oleh Kesatuan Eropah pada Oktober 2011, yang berhempas pulas mengekang krisis hutang di Greece, dikatakan secara berkesan menanam bom jangka yang akan meletupkan lubang besar dalam sistem perbankan Cyprus dan menentukan saling tindak rantaian kesan yang teruk yang tidak dijangkakan dan berlaku lebih pantas.  Dari Greece ke Cyprus, satu demi satu pelan penyelamat diperkenalkan, termasuk juga untuk Ireland, Portugal, dan pada takat tertentu Sepanyol.
Krisis kewangan yang berlaku di Amerika Syarikat pada Ogos 2007, dan berkesudahan dengan keruntuhan pada Oktober 2008, mempunyai perjalanan yang panjang, seperti yang ditunjukkan oleh George Soros dalam Financial Turmoil in Europe and The United States: Essays (PublicAffairs, New York, 2012, 161 hlm., RM66.90). Ketika menunjukkan  perjalanan dari krisis gadai janji Amerika ke rusuhan di Athens, Soros  sering mendedahkan laluan alternatif yang sepatutnya dipilih oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Eropah.  Dalam pengenalan yang ditulis oleh Soros sendiri, beliau mengimbas tahun 1980 apabila Ronald Reagan dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat dan Margaret Thatcher ialah Perdana Menteri Britain yang menyaksikan fundamentalisme pasaran merupakan fahaman dominan di dunia.  Fundamentalisme pasaran, menurut Soros, percaya bahawa pasaran kewangan akan memastikan peruntukan sumber yang optimum hanya jika kerajaan berhenti campur tangan. Fundamentalisme pasaran ini mendapat kepercayaan itu daripada hipotesis pasaran cekap dan teori jangkaan rasional. “Doktrin yang hanya difahami oleh beberapa orang berdasarkan andaian tertentu yang mempunyai relevan yang sedikit dengan dunia sebenar,” tegas beliau, bagaimanapun sangat berpengaruh.”
Malangnya, bahas Soros, rukun asas fundamentalisme pasaran silap.  Pasaran kewangan jika dibiarkan kepada perantinya sendiri tidak semestinya cenderung ke arah keseimbangan.  Sebaliknya, pasaran kewangan cenderung menghasilkan gelembung. Sejarah menunjukkan bahawa sejak wujudnya pasaran kewangan, pasaran tersebut mencetuskan krisis kewangan. Setiap krisis memberangsangkan respons daripada pihak berkuasa.  Demikian bagaimana pasaran kewangan dimajukan, seiringan dengan perbankan pusat dan kawal selia pasaran.
Buku yang mengandungi empat bahagian ini merupakan himpunan makalah yang pernah diterbitkan dalam The Financial Times kebanyakannya dan The New York Review of Books dan The Wall Street Journal.  Krisis kewangan semasa, menurut Soros, dicetuskan oleh gelembung dalam pasaran perumahan Amerika Syarikat.  Dari beberapa segi, menyerupai krisis lain yang berlaku sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua dengan jarak jeda antara empat hingga 10 tahun.  Walau bagaimanapun, tegas beliau, krisis semasa menandakan berakhirnya era pengembangan kredit berasaskan dolar sebagai mata wang rizab antarabangsa.  Krisis berkala ini merupakan sebahagian proses melambung-meletus (boom-bust) yang besar.  Krisis semasa, tegas beliau lagi, “ialah kemuncak melambung yang maha besar yang berakhir lebih 60 tahun.” Seterusnya, Soros menjelaskan bahawa proses melambung-meletus biasanya berkembang di sekitar kredit dan selalunya melibatkan bias atau salah konsepsi.
Meskipun kemelesetan di dunia maju sedikit sebanyak tidak dapat dielakkan, hujah Soros, China, India, dan negara pengeluar minyak adalah kukuh.  Justeru, krisis kewangan semasa,  kurang berkemungkinan mencetuskan kemelesetan global berbanding dengan penjajaran semula radikal ekonomi global, dengan relatif kemerosotan Amerika Syarikat dan kebangkitan China dan negara lain di dunia membangun.  Bahayanya, tegas beliau, adalah mengakibatkan ketegangan politik, termasuk fahaman perlindungan Amerika Syarikat, mungkin mengancam ekonomi global dan menghumbankan dunia ke dalam kemelesetan atau lebih teruk.
Dalam buku ini, Soros dapat memerhatikan  kenaikan harga minyak, daripada AS$60 setong pada Januari 2007 kepada AS$147 setong pada pertengahan Julai 2008.  Semua ini berlaku, menurut beliau, pada masa yang sama ketika krisis kredit dunia bermula dengan keruntuhan gelembung perumahan Amerika Syarikat.  “Kenaikan kos minyak bersama-sama kredit krisis memperlahankan ekonomi dunia dan memperkukuhkan prospek kemelesetan di Amerika Syarikat.”
Secara keseluruhannya, dalam dua bahagian pertama buku ini, Soros lebih tertumpu pada Amerika Syarikat.  Hal ini pastinya tidak dapat dielakkan kerana krisis semasa mula tercetus di negara itu sebelum merebak ke peringkat global.  Beliau nampaknya kurang senang cara Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat ketika itu, iaitu Hank Paulson menangani krisis. Paulson diberikan peruntukan AS$700 bilion oleh Kongres, yang diistilahkan oleh Soros, “dibenarkan cek kosong,” dan dibenarkan berbelanja mengikut budi bicaranya.  Paulson, sebelum ini, tegas Soros juga diberikan cek kosong oleh Kongres untuk berurusan dengan Fannie Mae dan Freddie Mac.  Paulson  membiarkan Lehman Brothers gagal dan enggan menggunakan dana kerajaan yang ada untuk menyelamatkan AIG.  Walau bagaimanapun, beliau mengubah pendiriannya, lalu menyediakan pinjaman  AS$85 bilion untuk firma insurans itu.   Soros juga mengkritik Kongres yang mementingkan Wall Street berbanding dengan Main Street, dengan menyediakan pelan penyelamat untuk bank dan firma kewangan lain.
Meskipun Amerika Syarikat tempat bermulanya krisis kewangan dan akibatnya memang teruk, Soros masih mengharapkan negara itu menerajui pelan penyelamat pasaran sedang muncul.  Bagi beliau, usaha Presiden George W. Bush memanggil sidang kemuncak G20 pada 15 November 2008, tidak mempunyai alasan yang kukuh, kecuali Amerika Syarikat adalah serius untuk menyokong usaha pelan penyelamat global.  “Amerika Syarikat mesti menunjukkan cara dalam melindungi negara pinggir menghadapi ribut yang berasa dari Amerika Syarikat ini,” tulis Soros, “jika negara ini  tidak mahu kehilangan kedudukan kepimpinan global.”  
Untuk menggerakkan  ekonomi semula, Soros berpendapat bahawa skim suntikan ekuiti berasaskan penilaian realistik, disusuli oleh pemotongan keperluan modal minimum untuk bank adalah lebih  berkesan. Dalam hubungan ini, tegas beliau, Pentadbiran Obama  menghadapi pilihan yang sukar, iaitu antara memiliknegarakan sebahagian bank atau meninggalkan bank dalam tangan swasta, tetapi memiliknegarakan aset toksik bank.  Pilihan pertama, akan mengakibatkan kesengsaraan yang teruk terhadap pelbagai lapisan penduduk, bukan sahaja terhadap pemegang saham bank, tetapi juga terhadap benefisiari  dana pencen.  Namun, pilihan ini, hujah Soros, akan meredakan keadaan dan menggerakkan ekonomi semula.  Sementara pilihan kedua, mengelakkan mengiktiraf dan mendekati terma dengan realiti ekonomi yang menyakitkan, tetapi akan meletakkan sistem perbankan dalam kebingungan. Walau bagaimanapun,   Realiti politik, memaksa Pentadbiran Obama untuk pilihan kedua.
Krisis semasa, seperti yang dibahaskan oleh Soros, berbeza dengan semua krisis sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.  Sebelum ini, pihak berkuasa bertindak bersama-sama dan mencegah sistem kewangan daripada runtuh.  Kali ini, selepas kegagalan Lehman Brothers, sistem kewangan musnah dan terpaksa bergantung pada talian hayat artifisial.  Antara langkah lain, Eropah dan Amerika Syarikat menjamin bahawa tidak ada institusi kewangan penting yang lain yang dibiarkan gagal.  Langkah perlu ini mempunyai kesan buruk yang tidak disengajakan, iaitu banyak negara lain, dari Eropah Timur ke Amerika Latin, Afrika, dan Asia Tenggara tidak dapat menawarkan jaminan yang sama.  Akibatnya,  modal lari dari pinggir ke pusat. 
Justeru, Soros mencadangkan agar pusat prihatin terhadap kepentingan pinggir, dan di sini beliau menyentuh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menghadapi  tugas yang nekad, iaitu melindungi negara pinggir daripada ribut yang dicetuskan di negara maju. Institusi global lazimnya berurusan dengan kerajaan, tetapi kini mesti berurusan dengan keruntuhan sektor swasta.  Seandainya institusi tersebut gagal bertindak sedemikian, ekonomi pinggir akan terjejas teruk jika dibandingkan dengan ekonomi di pusat kerana mereka adalah miskin dan lebih bergantung pada komoditi jika dibandingkan dengan dunia maju.
Dalam penulisan seterusnya, George Soros mengulangi kritikannya terhadap hipotesis pasaran cekap yang diterima secara meluas sehingga keruntuhan tahun 2008.  Beliau mengingatkan bahawa tidak benar bahawa harga instrumen kewangan menggambarkan secara tepat semua maklumat yang dapat diperoleh.  “Pasaran kewangan tidak berurusan dengan realiti semasa, tetapi dengan masa depan, iaitu soal jangkaan dan bukannya soal pengetahuan. Justeru, kita mesti memahami pasaran kewangan menerusi paradigma baru yang mengenal pasti bahawa pasaran tersebut sentiasa menyediakan pandangan yang bias tentang masa depan, dan bahawa mengherotkan harga dalam pasaran kewangan mungkin menjejaskan realiti yang mendasari yang harga berkenaan sepatutnya tunjukkan.” 
Bagi beliau, hipotesis pasaran cekap, tidak realistik.  Pasaran tertakluk kepada ketidakseimbangan dan peserta individu mungkin abaikan jika mereka fikir mereka dapat membubarkan kedudukan mereka.  Hipotesis pasaran cekap beranggapan bahawa pasaran kewangan cenderung ke arah keseimbangan dan menggambarkan secara tepat semua maklumat yang dapat diperoleh untuk masa depan.  Keruntuhan tahun 2008 memalsukan hipotesis ini, tegas Soros,  “Saya beranggapan bahawa pasaran kewangan selalunya menunjukkan gambaran realiti yang diputarbelitkan.”
Walau bagaimanapun, dalam perbincangan tentang pembaharuan kewangan yang memang diperlukan, Soros tidak bersetuju jika pihak kerajaan berpatah balik kepada terlalu banyak kawal selia.  “Saya tidak memperjuangkan terlalu banyak kawal selia,” tulis beliau.  “Setelah pergi terlalu jauh dalam pembatalan kawal selia yang menyumbang krisis semasa, kita mesti menentang usaha untuk pergi terlalu jauh dalam arah yang berlawanan.”  Meskipun pasaran tidak sempurna, beliau mengingatkan, pengawal lebih tidak sempurna.  Bukan sahaja mereka manusia, mereka juga birokratik dan tertakluk kepada pengaruh politik, dan dengan itu, kawal selia sepatutnya pada tahap minimum.
Seperti yang diketahui umum, krisis semasa bermula di Amerika Syarikat, kemudian merebak ke seluruh dunia, dan hal ini dibincangkan oleh Soros dalam bahagian ketiga buku ini, dengan tumpuan terhadap krisis euro.  Dalam membahaskan euro akan menghadapi ujian lebih besar berbanding dengan Greece, dengan memetik Otmar Issing, salah seorang bapa euro, yang menulis dalam The Financial Times,  bahawa euro bermaksud kesatuan monetari dan bukan kesatuan politik. Negara yang menyertai  euro mewujudkan bank pusat bersama, tetapi enggan menyerahkan hak mengenakan cukai terhadap warganegara mereka kepada pihak berkuasa bersama. Soros yang bersetuju dengan Issing menambah, bahawa pembentukan euro terbukti cacat, dan pewujudan Kesatuan Eropah adalah meletakkan pedati (cart) di depan kuda.  “Hal yang sama juga boleh diterapkan pada euro,” tulis Soros, “keruntuhan tahun 2008 mendedahkan kecacatan dalam pembinaannya apabila negara anggota terpaksa menyelamatkan sistem perbankan mereka secara bebas. Krisis hutang Greece membawa persoalan itu menjadi klimaks.”  Dalam bab yang lain, beliau mengaitkan krisis euro dengan salah konsepsi yang memainkan peranan besar dalam membentuk sejarah.
Bagi Soros, Eropah sepatutnya menyelamatkan bank-bank sebelum menyelamatkan negara. Dan, sekali lagi beliau mengulangi kecacatan euro:  “para arkitek euro tahu bahawa mata wang bersama itu tidak lengkap apabila mereka menciptanya.  Mata wang itu mempunyai bank pusat bersama, tetapi tidak mempunyai perbendaharaan bersama.”  Perjanjian Maastricht, jelas beliau, adalah bertujuan untuk mewujudkan kesatuan monetari tanpa kesatuan politik. Pihak berkuasa pula berasa yakin bahawa jika dan apabila euro menghadapi krisis, mereka mampu menyelesaikannya.  Ketiadaan perbendaharaan bersama pertama kelihatan sebagai masalah selepas kemuflisan Lehman Brothers. Kerajaan terpaksa bertindak memastikan tidak institusi kewangan lain yang secara sistematik dibiarkan gagal, manakala Canselor Jerman Angela Merkel menegaskan setiap negara sepatutnya menjamin institusi mereka sendiri, menolak pendekatan Eropah yang lebih luas. 
Namun, dalam menyelesaikan krisis euro, Soros meletakkan harapan pada Jerman, anggota dominan dalam mata bersama dan ekonomi terbesar di Eropah. Dengan mengingatkan bahawa krisis euro pada amnya dilihat sebagai krisis mata wang, tetapi juga krisis hutang kedaulatan, dan bahkan krisis perbankan, beliau menggesa Jerman agar mengelakkan daripada “Eropah dua kelajuan.” Bagi Soros, Jerman mesti mempertahankan euro, dan hanya negara itu mampu mengelakkan perpecahan di Eropah, walaupun usaha ini bukan mudah kerana suasana politik di negara itu sendiri.
Boleh dikatakan, Soros tidak jemu-jemu menggesa Jerman bertindak menyelesaikan  euro sehingga beliau pernah bertelagah dengan Angela Merkel semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos pada tahun lalu.  Dalam menggesa Jerman, beliau kelihatan hilang sabar, seperti yang dapat dilihat dalam tulisannya yang diterbitkan dalam The Guardian dan Project Syndicate pada April lalu, apabila beliau mendesak Angela  mempertimbangkan untuk meninggalkan euro kerana prospek mata wang tunggal itu akan lebih baik tanpa Jerman.
(Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Jun 2013.)

Saturday, October 5, 2013

Pemberontakan Arab Gagal?

SABTU, 5 Oktober 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH



Ketika protes tercetus di Turki dan kemudian Brazil, The Economist  muncul dengan rencana utama tentang protes di serata dunia, yang  banyak mempunyai asal usul yang berbeza.  Di Brazil, orang ramai bangkit menentang kenaikan tambang bas, di Turki menentang pembinaan projek.  Rakyat Indonesia menolak harga bahan api yang tinggi, rakyat Bulgaria menentang kronisme kerajaan.  Di zon euro, orang ramai berarak menentang jimat-cermat, dan Pemberontakan Arab menjadi protesperma menentang setiap yang kusut.
Tambah The Economist lagi, sebagaimana tahun 1848, 1968, dan 1989, apabila orang ramai juga menemui suara kolektif, penunjuk perasaan banyak mempunyai persamaan.  Sepanjang minggu lalu, dari sebuah negara ke sebuah negara lain, pembantah bangkit dengan  kelajuan membingungkan.  Mereka lebih aktif dalam demokrasi berbanding dengan kediktatoran.  Mereka cenderung merupakan orang biasa, iaitu golongan kelas menengah, tidak melobi dengan senarai tuntutan.  
Tiba-tiba pada awal Julai, tanpa diduga berlaku protes di Mesir, yang dalam sekelip mata menumbangkan Mohamed Morsi, yang dipilih sebagai Presiden Mesir setahun lalu.  Sebelum peristiwa tersebut,   ketua tentera Mesir Jeneral Abdel-Fattah el-Sissi  memberikan kata dua kepada Morsi supaya  menyelesaikan protes yang berlaku. Seterusnya,   el-Sissi muncul melalui televisyen negara pada 3 Julai, mengumumkan penggulingan Morsi ketika tentera menahan pemimpin Islam itu.  Pertikaian antara Morsi  dengan tentera dikatakan membawa kepada rampasan kuasa. Walaupun penggulingan itu  dibahaskan, sama ada rampasan kuasa tentera ataupun tidak, wujud persetujuan bahawa adalah berpunca daripada kebangkitan rakyat atau keazaman rakyat. 
Sekali lagi, The Economist muncul dengan rencana utama, Mesir tragedi. Morsi memang diakui tidak cekap, tetapi majalah itu mengingatkan bahawa penggulingan beliau sepatutnya dikesali dan bukannya untuk diraikan.  Namun, majalah itu juga mengakui bahawa melihat jumlah penunjuk perasaan yang menjangkau 14 juta orang turun di jalanan, menunjukkan bahawa penentang Morsi bukannya sebilangan kecil mereka yang berasa tidak puas hati. Bahkan, menurut BBC, ada yang menganggarkan jumlah rakyat Mesir yang terbabit dalam protes ialah 30 juta orang, satu jumlah yang sengaja dibesar-besarkan.  Namun, yang nyata, kebanyakan rakyat kelihatan menentang Morsi.  Satu alasannya menurut The Economist,  ketidakcekapan Morsi yang tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan ekonomi Mesir daripada runtuh.  Nilai mata wang dan rizab pertukaran asing merosot, inflasi meningkat, dan kadar pengangguran dalam mereka yang berusia di bawah 24 tahun adalah lebih 40 peratus.
Seterusnya, The Economist muncul dengan rencana utama yang lebih provokatif, iaitu adakah Pemberontakan Arab gagal? Kira-kira dua tahun setengah selepas revolusi di dunia Arab, tegas majalah itu, tidak ada sebuah negara pun yang jelas menuju ke arah kestabilan, iaitu demokrasi yang aman.  Negara yang diletakkan harapan yang tinggi, iaitu Tunisia, Libya, dan Yaman masih terumbang-ambing.  Eksperimen kacau-bilau dengan demokrasi di Mesir, negara yang paling banyak penduduk jika dibandingkan dengan tiga buah negara tersebut, berkesudahan dengan presiden yang dipilih dijadikan tahanan.  Syria pula berlaku pertumpahan darah perang saudara. 
“Tidak hairan sesetengah orang mula berfikir bahawa Pemberontakan Arab ditakdirkan gagal,” tulis The Economist. “Timur Tengah, hujah mereka, tidak bersedia untuk berubah.  Satu alasannya adalah bahawa wilayah itu tidak mempunyai institusi demokratik, justeru kuasa rakyat akan usang menjadi anarki atau mengapi-apikan pengenaan semula kuasa diktator.  Alasan lain adalah bahawa satu kuasa bersebati di wilayah itu ialah Islam yang dibahaskan, tidak cocok dengan demokrasi.  Timur Tengah, simpul mereka, adalah lebih baik jika Pemberontakan Arab tidak berlaku sama sekali.”
Walau bagaimanapun, The Economist  masih menaruh harapan terhadap Pemberontakan Arab dan kemekaran demokrasi di Timur Tengah, sekali gus menganggap semua pandangan itu tidak sesuai dengan masa, iaitu sama sekali silap.  Peralihan demokratik hujah majalah itu,  selalunya ganas dan memakan masa yang panjang. Akibat teruk Pemberontakan Arab, iaitu di Libya pada mulanya, kini di Syria, memang menakutkan, tetapi kebanyakan warga Arab tidak mahu berpatah balik.
Pemberontakan Arab, hujah The Economist, selalunya lebih baik dijelaskan sebagai kebangkitan, dalam erti kata bahawa revolusi sebenar tidak banyak kelihatan di jalanan berbanding dengan dalam minda.  “Internet, media sosial, televisyen satelit, dan dahagakan pendidikan dalam kalangan wanita Arab, juga dalam kalangan lelaki, tidak boleh saling wujud bersama-sama kediktatoran lama yang sedang berakhir.  Rakyat Mesir, antaranya, belajar bahawa demokrasi bukannya sekadar persoalan pilihan raya dan bukan juga keupayaan membawa berjuta-juta orang penunjuk perasaan turun di jalanan.  Perjalanan ke arah demokrasi selalunya berkecamuk, bahkan melibatkan pertumpahan darah.  Perjalanannya mungkin memakan masa berdekad-dekad, tetapi masih dialu-alukan.”
Majalah itu juga menyangkal pandangan bahawa oleh sebab Pemberontakan Arab mengalami kemajuan yang tidak seimbang, maka jawapannya ialah pemodenan autoritarian, yang memerlukan pemimpin, seperti Augusto Pinochet, Lee Kuan Yew, atau Deng Xiapoing, demi mewujudkan kestabilan dan memastikan ekonomi tumbuh. Warga Arab dapat bermegah bahawa tidak ada raja falsafah yang mempunyai keazaman untuk memupuk demokrasi ketika ekonomi berkembang mekar.  Sebaliknya, adik beradik lelaki diktator dan sepupu wanita pertama mengaut  semua peluang ekonomi yang baik.
Penggulingan Mohamed Morsi, hanya beberapa hari selepas beliau diminta memenuhi kata dua Jeneral Abdel-Fattah el-Sissi, bukan sahaja membangkitkan persoalan masa depan demokrasi di Mesir khususnya, dan dunia Arab amnya, bahkan juga tentang Pemberontakan Arab yang seakan-akan menjunam ke arah kegagalan.   Perkembangan terbaharu  di Mesir, iaitu tercetusnya pemberontakan popular dengan dibantu oleh kuasa tentera, maka sekali lagi pesimistik menghantui.  Memang mudah untuk sesiapa berasa pesimistik terhadap Pemberontakan Arab, melihat kacau-bilau yang Timur  Tengah alami sekarang. Perasaan seperti ini pernah wujud, iaitu ketika Presiden Libya Muammar Gaddafi yang seakan-akan sukar untuk dipaksa berundur.  Namun, setelah beberapa bulan bertempur dan dengan bantuan Nato, Gaddafi berjaya digulingkan juga, dan dengan itu,  senarai panjang rejim di dunia Arab yang akan mengalami nasib yang sama, tidak terpadam sama sekali.

Sebaik-baik sahaja Presiden Zine el-Abidine Ben Ali digulingkan berikutan tercetusnya Revolusi Melati di Tunisia, Abolhassan Bani-Sadr, menulis sebuah makalah yang diterbitkan dalam The New York Times dan The Huffington Post pada akhir Januari 2011, tentang pengalaman beliau:  Apakah yang saya pelajari daripada revolusi yang gagal di Iran.  Bani-Sadr, presiden pertama Iran selepas revolusi, kini hidup dalam buangan di Paris, mengalu-alukan pemberontakan di Tunisia, yang bagi beliau, penting di dunia Arab dan Islam.  Namun, beliau mengingatkan bahawa “seperti yang saya sangat ketahui daripada pengalaman peribadi saya, masa depan yang terbuka termasuk bukan sahaja kemungkinan demokrasi, tetapi kemungkinan kebangkitan semula kediktatoran.” 
Untuk mencapai demokrasi dan menghapuskan prospek orang kuat baru mengambil alih kuasa, hujah Bani-Sadr, beberapa syarat perlu dipenuhi.  Pertama, gerakan itu mesti menjauhkan dirinya daripada rejim lama dan elit rejim berkenaan. Revolusi hanya berlaku apabila sistem yang wujud dirobohkan sama sekali dan dibina yang baru.  Setakat ini, struktur politik dan ekonomi neoliberal yang menyokong kediktatoran Zine el-Abidine Ben Ali, meskipun goyang dan lemah, pada takat yang lebih luas, masih belum terjejas.  Elit yang sama masih berkuasa.  Kedua, seluruh struktur rejim yang kuku besi, iaitu badan eksekutif, kehakiman, dan perundangan, sepatutnya direvolusikan.  Sememangnya, silap untuk mengehadkan objektif gerakan itu hanya pada mengubah personaliti.
Balik kepada Mesir yang menyaksikan penggulingan Morsi dan tentera berkuasa semula untuk suatu tempoh yang tidak dapat dipastikan, maka dapat dikesani kebenaran peringatan Bani-Sadr lebih dua tahun lalu, iaitu  elit rejim purba masih berkeliaran dan sukar dihapuskan Kuasa tentera  merebut peluang daripada ketidakcekapan dan kelemahan Morsi sebagai pemimpin dan keberangan rakyat terhadap beliau, apalagi, di Mesir, tentera secara tradisi, sangat berkuasa.  Mana-mana pemimpin  yang tidak sealiran dengan tentera, meskipun dipilih oleh rakyat,  mampu mereka campakkan ke luar dengan sewenang-wenangnya, seperti yang berlaku terhadap Morsi.
Selalunya,  demokrasi baru memerlukan masa untuk bangkit mengatasi pemimpin autoritarian yang lalu.   Dalam proses ini, apa-apa sahaja boleh berlaku, seperti “kebangkitan semula kediktatoran” – memetik semula Bani-Sadr, membayangkan kesukaran untuk menghapuskan rejim purba. Selepas  Zine el-Abidine Ben Ali digulingkan, suatu persoalan yang agak kelakar bunyinya yang pernah dibangkitkan, ialah “Ali Baba sudah pergi, bagaimana pula 40 orang penyamun” – membuktikan   bahawa  rejim purba sukar dihapuskan, meskipun  hakikatnya, pemimpin diktator berjaya ditumbangkan.
Namun, seperti yang dibahaskan oleh Sheri Berman yang masih yakin dengan Pemberontakan Arab, nostalgia terhadap rejim purba adalah silap. Permulaan yang palsu dan masalah, huru-hara, dan kacau-bilau, dan bahkan ada kalanya keganasan, hujah Berman yang menulis dalam Foreign Affairs, adalah wujud dan selalunya bahagian yang perlu dalam proses itu yang akhirnya menghapuskan autoritarianisme dan menurap laluan ke arah demokrasi liberal.  “Kesilapan asas yang kebanyakan pengulas Pemberontakan Arab lakukan,” tulis Berman, “ialah memperlekeh skala, skop, dan kerosakan (perniciousness) autoritarianisme.  Kekejaman bukan sekadar jenis orde politik, tetapi juga merupakan sistem ekonomi dan sosial, sesuatu yang meresapi kebanyakan aspek kehidupan di sesebuah negara dan berakar umbi dengan kukuh dalam institusi formal dan tidak formal.” 
Mengambil pengalaman yang berlaku terhadap Morsi di Mesir, jelas bahawa  memerintah tidak semudah membantah!  Seseorang itu, apatah lagi jika mempunyai karisma, mungkin  mampu mengerahkan dan menggembleng satu kumpulan yang besar sehingga menjangkau berjuta-juta orang untuk turun di jalanan melancarkan protes.  Namun, apabila dia berkuasa,  membantah padam dengan sendirinya, dan sebaliknya dia perlu memulakan permainan yang sama sekali baru, iaitu memerintah: mewujudkan kestabilan politik dan pertumbuhan serta kemakmuran ekonomi kerana dengan cara ini, kekacauan sosial dapat dielakkan.  


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...