Artikel Popular

Thursday, July 26, 2012

Super PAC Super Kaya

KHAMIS, 26 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat kali ini menyaksikan kemunculan super PAC yang mewarnai politik Amerika Syarikat, yang berperanan mengumpulkan derma untuk calon yang bertanding dan parti calon berkenaan.  Wang yang berjaya dikumpulkan itu digunakan pula oleh super PAC untuk kempen calon yang disokong mereka melalui iklan.

Sejak tiga bulan lalu, super PAC,  menurut Bloomberg,  membelanjakan lebih AS$100 juta melalui iklan, tetapi gagal mengubah pendapat awam.  Di tujuh buah negeri yang menjadi pertarungan, Presiden Barak Obama mendahului sedikit lawannya, Mitt Romnet, menurut tinjauan pendapat yang terbaharu.  

Kempen Obama dianggarkan membelanjakan AS$49.6 juta untuk iklan di tujuh negeri berkenaan dalam 90 hari lalu, manakala Romney membelanjakan AS$19.6 juta.  Crossroad GPS American for Prosperity, dan Restore Our Future, tiga kumpulan luar menyokong Romney, membelanjakan AS$29 juta di tujuh negeri yang menjadi pertarungn itu, manakala Priorities USA Action, yang diasaskan oleh bekas pembantu Obama, berbelanja AS$4.6 juta di negeri berkenaan.  

Walau bagaimanapun, kelebihan kempen iklan Obama dikatakan dicabar oleh kumpulan pro-Romney.  Kempen Obama juga diperhatikan bahawa setakat ini berbelanja terlalu banyak berbanding dengan dana  yang dikumpulkan setiap bulan. Selain itu, penderma utama Obama dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2008,   menghilangkan diri untuk kali ini, kecuali jutawan Demokratik yang masih menyumbangkan dana.  

Menurut analisis Sunlight Foundation, super PAC yang menyokong Republilkan mengumpulkan dana AS$227 juta untuk pilihan raya kali ini, manakala super PAC yang menyokong Demokratik mengumpulkan dana AS$77 juta. Dalam kalangan super PAC itu, Restore Our Future yang pro-Romney berjaya mengumpulkan lebih banyak wang, iaitu AS$82 juta berbanding dengan semua super PAC yang menyokong Demokratik, seperti yang didedahkan oleh Andy Kroll dalam Mother Jones.   Satu super PAC mengalahkan beratus-ratus pesaing.



Dengan kemunculan super PAC ini dikhuatiri bahawa demokrasi akan tercemar dan Rumah Putih boleh dijual beli - memetik Ezra Klein, "wang merosakkan politik lebih teruk daripada yang anda fikirkan."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...