ISNIN, 21 Februari 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003, menyaksikan kemunculan dua puak yang bertelagah. Satu puak yang terdiri daripada pejuang bahasa yang disokong ahli pendidikan Cina yang menentang pelaksanaan dasar yang dianggap tergesa-gesa dan tidak masuk akal, manakala satu pihak lagi terdiri daripada golongan yang menyokong pelaksanaan dasar itu. Hujah masing-masing tidak perlu diulangi lagi di sini, memadai jika dikatakan bahawa di sebalik percanggahan itu, wujud kesamaan antara kedua-dua puak itu, iaitu “pertahanan yang tidak dapat dipertahankan.” Satu puak yang terpasung dalam kegemilangan silam bahasa Melayu, manakala satu puak lagi taksub dengan hegemoni bahasa Inggeris.
Apabila masa beredar, sedangkan perdebatan tentang pelaksanaan PPSMI tidak pernah sepi, tujuannya yang asal, iaitu peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dikaburi oleh penguasaan sains dan matematik melalui bahasa Inggeris, seperti yang cuba dihujahkan puak yang menyokong PPSMI. Meskipun puak berkenaan ingin memperlihatkan diri mereka berpandangan global, tetapi jendela dunia mereka tidak terbuka luas. Dalam banyak hal, mereka disokong oleh akhbar arus perdana yang berminat memaparkan perdebatan atau polemik PPSMI, tetapi “menggelapkan” maklumat pengajaran sains dan matematik di peringkat antarabangsa.
Meskipun kerajaan memansuhkan pelaksanaan PPSMI, tetapi ada eloknya jika awan kekaburan juga turut berarak lalu. Justeru, kita perlu meninjau pencapaian sains dan matematik khususnya, dan bahasa pada amnya di beberapa buah negara. Di dua buah negara yang terkemuka dari segi penggunaan bahasa Inggeris, iaitu Amerika Syarika dan England, penguasaan sains dan matematik dalam kalangan pelajar secara relatifnya wujud kelemahan yang ketara.
Di Amerika Syarikat kajian yang pertama dilaksanakan pada tahun 1995 oleh Lynch School of Education di Boston College menunjukkan bahawa meskipun pelajar gred keempat pada skala perbandingan antarabangsa adalah di atas purata dalam matematik dan sains, namun apabila mereka sampai tahun akhir sekolah tinggi, mereka jatuh di bawah purata antarabangsa. Negara yang terkemuka dalam kedua-dua mata pelajaran ini termasuk Singapura, Hong Kong, Sweden, dan Belanda. Kajian susulan pada tahun 1999 dan 2003 menunjukkan perbaikan yang sederhana relatif untuk Amerika.
Selain itu, satu kemahiran yang banyak siswazah sekolah tinggi Amerika kurang ialah kecekapan dalam matematik. Kekurangan ini dikatakan berpunca daripada guru-guru matematik yang terdahulu digantikan oleh guru-guru yang ijazah dalam pendidikan, tetapi lazimnya tidak memiliki ijazah matematik atau sains atau tidak mempunyai kecekapan dalam kedua-dua mata pelajaran ini. Misalnya, pada tahun 2000, hampir dua perlima guru matematik sekolah menengah tidak mempunyai major atau minor dalam matematik, pendidikan matematik, atau bidang yang berkaitan. Seterusnya, laporan pada tahun 2006 yang disediakan oleh National Council of Teachers of Mathematics, mengakui lemahnya pendidikan matematik di Amerika.
Kajian yang ketuai oleh Dr. Barbara Radner dari DePaul University tentang projek pembangunan: Algebra Connections: Teacher Education in Clear Instruction and Responsive Assessment of Algebra Patterns and Problem Solving pada tahun 2004 mendapati bahawa di Amerika Syarikat, kecekapan pelajar dalam bidang algebra amat rendah, terutamanya dalam kalangan berpendapatan rendah, pelajar kulit Hitam, dan pelajar Hispanic. Peratusan yang signifikan pelajar sekolah pertengahan kawasan bandar yang miskin di negera itu tidak memenuhi standard nasional dalam mata pelajaran matematik. Kajian itu mencadangkan satu pendekatan untuk memperbaik prestasi matematik pada amnya, dan algebra khususnya, adalah memperbaik persediaan guru. Hal ini demikian kerana lazimnya, algebra sekolah pertengahan diajar oleh guru-guru yang tidak melengkapi kerja kursus yang diperlukan. Selain itu, guru-guru tidak dilatih dengan cukup untuk menilai dan memberikan respons terhadap kemajuan pembelajaran pelajar dalam matematik.
Sementara ScienceDaily bertarikh 28 September 2008, melaporkan bahawa kajian mendapati kebanyakan sekolah rendah di California akan gagal memenuhi keperluan kecekapan pada tahun 2014, tahun yang semua pelajar di Amerika perlu cekap dalam Seni Bahasa Inggeris (ELA) dan matematik, seperti yang dikehendaki oleh No Child Left Act of 2001.
Untuk kali pertama sejak tahun 1990, seperti yang dilaporkan oleh The Christian Science Monitor pada 15 Oktober 2009, pemegang gred keempat (fourth-graders) Amerika menunjukkan tiada perbaikan, suatu dapatan yang mendukacitakan dalam siaran terbaru daripada National Assessment of Education Progress (NAEP) yang dikenali sebagai kad laporan negara. Di empat buah negeri, markah pemegang gred keempat sebenarnya merosot antara tahun 2007 dengan tahun 2009, tetapi berita lebih baik untuk tahap gred kelapan, dengan markah meningkat sebanyak dua mata sejak tahun 2007. Namun begitu, jurang pencapaian antara pelajar kulit putih dengan pelajar minoriti masih sama. Secara purata, pemegang gred keempat memperoleh 240 mata dalam peperiksaan, iaitu meningkat daripada 213 mata pada 1990, tetapi tidak berubah dari tahun 2007. Sebanyak 39 peratus memperoleh atau di atas tahap “kecepakan,” iaitu sasaran penanda aras yang sepatutnya untuk pelajar.
Editorial akhbar The New York Times pada 13 Mac 2010, menyalahkan ketidakseragaman kurikulum yang diamalkan di Amerika Syarikat sebagai punca kelemahan pelajar dalam sains dan matematik. “Negara yang meninggalkan Amerika Syarikat dalam pendidikan sains dan matematik,” tulis editorial itu, “mempunyai satu persamaan. Negara berkenaan menawarkan standard pendidikan yang tinggi yang sama, iaitu selalunya kurikulum yang sama di seluruh negara. Amerika bergantung pada secara amnya kerja tampal cantum standard yang tidak berapa baik yang berbeza, bukan sahaja antara negeri, tetapi juga selalunya antara sebuah dengan sebuah daerah.”
Amerika bukan sahaja tidak mempunyai kurikulum yang sama, bahkan juga mempunyai takrif yang berbeza tentang kecekapan antara negeri. Berdasarkan kajian baru yang disiarkan oleh Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat, USA Today pada 7 Jun 2007 melaporkan bahawa takrif kecekapan pelajar dalam matematik dan bacaan sangat berbeza antara negeri, dan hanya sebilangan kecil negeri mendesak pelajar mempunyai kecekapan itu seperti yang dilakukan kerajaan persekutuan. Pelajar-pelajar di Missouri, South Carolina, dan Massachusetts pada amnya mempunyai tugas yang berat untuk menunjukkan bahawa mereka menguasai mata pelajaran berkenaan, manakala pelajar-pelajar di Mississippi, Georgia, dan Tennessee menghadapi kesukaran yang rendah.
Salah satu sumber yang berwibawa dan boleh dipertanggungjawabkan yang sepatutnya menjadi rujukan utama dalam perdebatan PPSMI ialah TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study). Tatkala debat PPSMI masih hangat, TIMSS 2007 International Mathematics and Science Reports diterbitkan pada Disember 2008, (disemak Ogos 2009). TIMSS 2007 ialah laporan keempat dalam kitaran berterusan penilaian matematik dan sains antarabangsa yang dilaksanakan setiap empat tahun.
Laporan ini mengandungi keputusan matematik untuk 37 buah negara dan tujuh peserta penanda arasan pada gred empat dan untuk 50 buah negara dan tujuh penyertaan penanda arasan pada gred kelapan. Data trend disediakan pada gred keempat dan kelapan untuk negara yang juga ikut serta pada tahun 1995, 1999, dan 2003. Laporan ini juga mengandungi keputusan sains untuk 37 buah negara dan tujuh peserta penanda arasan pada gred keempat dan untuk 50 buah negara dan tujuh peserta penanda arasan pada gred kelapan.
Menurut TIMSS 2007 untuk pencapaian matematik, pada gred keempat, Hong Kong dan Singapura adalah negara yang teratas, dan disusuli oleh Taiwan dan Jepun, Kazakhstan, Rusia, England, Latvia, dan Belanda. Beberapa peserta penanda arasan juga menunjukkan pencapaian matematik purata tinggi, termasuk negeri Massachusetts, Amerika Syarikat yang prestasinya sama dengan Taiwan, dan negeri Minnesota yang mencapai prestasi sama dengan Kazakhstan, Rusia, dan England. Negara lain yang mengatasi purata TIMSS 2007, iaitu melebihi skor skala purata 500 ialah Lithuania, Amerika Syarikat, Jerman, Denmark, Australia, Hungary, Italy, Austria, Sweden, dan Slovenia.
Pada gred kelapan, Taiwan, Korea Selatan, dan Singapura mempunyai purata tertinggi dalam pencapaian matematik. Ketiga-tiga negara ini disusuli oleh Hong Kong dan Jepun juga mencapai prestasi yang sama dan mempunyai pencapaian tertinggi daripada negara lain, kecuali tiga negara yang teratas itu. Wujud jurang yang luas dari segi pencapaian matematik purata antara lima negara Asia dengan kumpulan empat negara yang seterusnya yang mencapai prestasi yang sama, termasuk Hungary, England, Rusia, dan Amerika Syarikat. Pada gred kelapan, kedudukan Malaysia adalah di bawah skor skala purata 500, iaitu selepas Armenia, Australia, Sweden, Malta, Scotland, Serbia, dan Italy.
Dari segi pencapaian sains untuk gred keempat, TIMSS 2007 memaklumkan bahawa Singapura menduduki tempat teratas, disusuli oleh Taiwan, Hong Kong, Jepun, Rusia, Latvia, England, Amerika Syarikat, Italy, dan Kazakhstan. Pada gred kelapan, Singapura dan Taiwan mempunyai pencapaian purata paling tinggi dalam sains. Disusuli oleh Jepun, Korea Selatan, England, Hungary, the Republik Czech, Slovenia, Hong Kong, dan Rusia. Sebagaimana matematik pada gred kelapan, pencapaian Malaysia adalah di bawah skor skala purata 500, iaitu di belakang Scotland, Italy, Armenia, Norway, Ukraine, dan Jordan, tetapi setanding dengan Thailand.
TIMSS 2007 juga memaklumkan faktor yang berkait dengan pencapaian tertinggi dalam matematik dan sains. Pengunaan bahasa yang sama, iaitu di rumah dan di sekolah banyak mempengaruhi pencapaian pelajar: “Pada kedua-dua gred, iaitu keempat dan kelapan, merentas negara secara purata, majoriti besar pelajar dilaporkan selalu atau hampir selalu bertutur dalam bahasa yang diuji semasa mereka di rumah. Pelajar ini mempunyai pencapaian matematik dan sains purata yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pelajar yang kurang kerap bertutur dalam bahasa yang diuji di rumah.” Selain itu, menurut TIMSS 2007, pelajar dari rumah yang memiliki lebih banyak buku mempunyai pencapaian matematik dan sains purata yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pelajar dari rumah yang kurang memiliki buku.
Pada gred kelapan, taraf pendidikan ibu bapa yang lebih tinggi mempunyai kaitan dengan pencapaian matematik dan sains purata yang lebih tinggi di hampir semua negara. Merentasi negara secara purata, pada gred keempat dan kelapan, pelajar dari rumah yang memiliki komputer mempunyai pencapaian yang lebih tinggi berbanding dengan pelajar dari rumah tanpa komputer, dan pelajar dari rumah yang memiliki komputer yang dihubungi Internet mempunyai pencapaian yang lebih tinggi berbanding dengan pelajar tanpa kemudahan itu di rumah.
Tatkala polemik tentang PPSMI belum reda dan desakan pemansuhan makin panas, National Audit Office, pemerhati perberlanjaan awam melaporkan pada pertengahan November 2008 bahawa 10 peratus murid di England gagal menguasai matematik. Kanak-kanak berumur 11 tahun adalah empat tahun ketinggalan dari segi kemahiran matematik apabila mereka memasuki sekolah menengah, meskipun 2.3 bilion paun sterling dibelanjakan untuk mengajar mata pelajaran berkenaan. Menurut laporan itu lagi, “66,000 kanak-kanak, iaitu kira-kira satu dalam 10, meninggalkan sekolah rendah pada musim panas masih menghadapi kesukaran untuk menguasai mata pelajaran ini selepas gagal mencapai standard yang diperlukan untuk umur mereka dalam ujian kurikulum nasional.” Sebagai tambahan, “34,000 orang kanak-kanak yang tamat sekolah rendah setiap tahun dengan kemampuan matematik yang setaraf dengan kanak-kanak berumur tujuh tahun. Secara keseluruhan, 132,000 anak muda (youngsters) gagal mencapai standard yang diperlukan pada tahun ini.”
Pada masa yang sama, laporan tahunan Office for Standards in Education, Children's Services and Skills (Ofsted) memaklumkan bahawa di England, satu dalam 10 orang murid yang berumur 11 tahun masih meninggalkan sekolah rendah tanpa mencapai taraf yang dijangkakan untuk kumpulan mereka dalam bahasa Inggeris dan matematik. Dan, lebih separuh remaja England masih meninggalkan sekolah tanpa lima GCSEs yang baik, termasuk bahasa Inggeris dan matematik.
Sesungguhnya, banyak yang kita boleh pelajari daripada pengalaman beberapa buah negara dari segi pencapaian sains dan matematik: banyak juga negara yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar adalah maju dalam kedua-dua mata pelajaran berkenaan. Sementara pengalaman Amerika Syarika dan England pula menunjukkan kedua-dua negara bukan sahaja menghadapi masalah dalam pengajaran sains dan matematik, bahkan dalam keadaan tertentu, dalam bahasa Inggeris itu sendiri. Justeru, dalam konteks Malaysia, semua pihak yang terlibat, baik penggubal dasar mahupun golongan berkepentingan, perlu membuka jendela dunia masing-masing supaya orang ramai tidak dikelirukan dan disesatkan.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Pelita Bahasa Jun 2010.)
No comments:
Post a Comment