Artikel Popular

Wednesday, February 29, 2012

Xinjiang Mengganas Semula

KHAMIS, 1 Mac  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Selain Palestin, dua wilayah yang didiami oleh umat Islam yang mempunyai sejarah pergolakan yang panjang ialah Kashmir di India dan Xinjiang di China.  Namun, tidak seperti Palestin, bahkan tidak seperti  Bosnia dan Kosovo pada dekad akhir abad ke-20, pergolakan yang berlaku di Kashmir dan Xinjiang,  selalunya terlepas daripada radar media di negara kita, apatah lagi perhatian  dalam kalangan ahli politik,  khususnya  yang beragama Islam. Tindak-tanduk mereka mudah untuk difahami:  membangkitkan pergolakan di kedua-dua wilayah itu tidak menguntungkan dari segi politik, bahkan bagi sesetengah ahli politik Malaysia,  lebih berfaedah membangkitkan pembunuhan etnik Tamil di Sri Lanka. 

Pada pertengahan tahun lalu, perusuh menggempur balai polis di bandar Hotan, Xinjiang, serangan yang menyebabkan 18 orang terbunuh.  Kurang dua minggu kemudian, Kashgar menjadi sasaran dua serangan.  Dua orang lelaki merampas trak, menikam pemandu dan memandu kenderaan itu ke dalam kumpulan orang ramai, membunuh lapan orang, dan berbelas-belas orang cedera.  Beberapa hari kemudian, kumpulan lelaki bersenjatakan pisau menggempur restoran dan mula menikam pengunjung restoran itu, membunuh lapan orang, dan mencederakan 12 orang.


Pertumpuhan darah Selasa lalu, seperti yang dilaporkan oleh Time, berlaku di daerah perniagaan Yecheng, sebahagian besar wilayah Uighur yang ditadbirkan oleh Kashgar, terletak 150 batu ke arah barat laut.  Sebagaimana Kashgar, Yecheng yang dikenalis sebagai Kargilik dalam Uighur, menyaksikan episod keganasan, terutamanya pada tahun 1998.  Tahun itu, pihak berkuasa berkata Gerakan Islamik Turkestan Timur, kumpulan yang Jabatan Negara Amerika Syarikat letakkan dalam senarai kumpulan pengganas, meletupkan saluran paip gas asli di wilayah Yecheng, mencederakan tiga orang.  Kemudian pada tahun itu juga, beberapa letupan yang memusnahkan beberapa buah bangunan di Yecheng, termasuk rumah kediaman ketua polis tempatan. 


Pihak berkuasa China pada hari Rabu semalam menuduh pengganas di wilayah Uighur Muslim menyerang orang awam, tetapi kumpulan Uighur dalam buangan berkata keganasan yang membunuh 12 orang, menyasarkan terutamanya anggota keselamatan China. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa China dilaporkan memaklumkan bahawa jumlah kematian meningkat kepada 20 orang. 


Seperti yang dilaporkan oleh The Washington Post, pertumpahan darah  terbaharu itu berlaku pada masa yang sensitif, sebelum pembukaan perundangan nasional China minggu depan, apabila pihak berkuasa mengetatkan kawalan keselamatan di seluruh negara untuk mencegah apa-apa sahaja yang boleh merosakkan persidangan tahunan itu. 



Jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei menggelar penyerang "pengganas" dan berkata mereka menyerang orang awam yang tidak berdosa. Akan tetapi, Dilxat Raxit, jurucakap bagi Kongres Uyghur Dunia yang beribu pejabat di Jerman, berkata bahawa keganasan di Yecheng - disebut Kargilik oleh orang Uighur, berlaku kerana penduduk tempatan "tidak dapat lagi menanggung penindasan sistematik China" dan dinafikan saluran untuk protes secara aman. 


Robert D. Kaplan dalam buku kembaranya, The End of the Earth:  A Journey to the Frontiers of Anarchy - From Togo to Turkmenistan, From Iran to Cambodia, pernah mencatatkan pengalamannya semasa di Xinjiang - yang mula-mula menjadi bahagian negara China hanya pada pertengahan abad ke-18, meskipun negara itu wujud lebih 3500 tahun. Beliau memetik Fitzroy Maclean bahawa sejak itu, sejarah wilayah tersebut "merupakan pergolakan mapan" berikutan perebutan antara China dengan Rusia.  Tambah Kaplan lagi, pengasas nasionalis China, Sun Yat-sen, mengiktiraf hak semua orang Turki Muslim untuk penentuan nasib sendiri.  Pada tahun 1949, komunis Mao Zedong mara ke Xinjiang dan sejak itu kekal di wilayah berkenaan. 


Tanda jalan, catat Kaplan, ditulis dalam dua bahasa, iaitu Cina dan Arab.  Penduduk Islam Turki di China masih menggunakan tulisan Arab, sebagaimana orang Turki sendiri lakukan ketika pemerintahan kesultanan  Ottoman sebelum Atartuk melakukan pembaharuan bahasa.  Catat Kaplan, Xinjiang merupakan wilayah terbesar di China, meskipun jumlah penduduk yang terdiri daripada orang Turki dan golongan minoriti lain adalah hanya enam peratus penduduk negara itu.  


"Meskipun saya di tengah-tengah Turkestan," tulis Kaplan, "semua muka dalam pakaian seragam ialah orang Cina, atau apa yang pakar akademik sebut, 'Han' mengambil sempena kumpulan etnik dominan di negara itu."  Secara terancang, Xinjiang dibanjiri oleh penduduk dari wilayah lain di China. 


Sebagaimana kehadiran agresif  China di Laut China Selatan sehingga mencetuskan konflik dengan  beberapa buah negara jiran, yang terbaharu berhubung dengan penglibatan Filipina dalam mencari gali minyak gas,  tetapi kerajaan dan ahli  politik   di Malaysia, lebih berminat "berdiam diri," - demikian juga dengan keganasan  yang sentiasa berlaku terhadap orang Islam di Xinjiang. Pastinya, mereka mengambil pendirian yang sama, lebih-lebih  lagi ketika  kehangatan pilihan raya semakin dirasai. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...