Artikel Popular

Sunday, July 15, 2012

Mentakrifkan Lawan dan Mendaifkan Diri Sendiri

AHAD, 15 Julai  2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLLEH




Kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012, semakin rancak dengan serang menyerang antara kempen Obama dengan kempen Romney. Daripada dasar ekonomi yang gagal  dan serangan terhadap Bain Capital kepada tinjauan pendapat, semuanya menghangatkan kempen. 

Yang tidak kurang menarik ialah Mitt Romney disorok bu semasa beliau berucap dalam persidangan NACCP kerana beliau menyebut "Obamacare," yang ditafsirkan oleh cerdik pandai politik  sebagai ketidakbijakan beliau dalam tutur kata, dan sebagai  "sambutan yang dingin."  Namun,  Kathleen Parker yang menulis dalam The Washington Post mempunyai pendirian yang berbeza terhadap beberapa ulasan tentang sorok bu yang mempersenda bakal calon Presiden itu.  

Selepas peristiwa itu, dalam program  yang lain,  Romney dipetik sebagai berkata,  "Jika mereka (penyokong 'Obamacare') mahu barang percuma daripada kerajaan, mereka undilah Obama," - yang mencetuskan kontroversi

Jika bulan lalu, Obama terpaksa menempuh minggu yang serba tidak kena, kini tiba giliran Romney untuk mengharunginya.  Bain Capital yang pada mulanya beliau jangkakan sebagai "kad panggilan" untuk mara ke Rumah Putih, tiba-tiba bertukar menjadi bagasi yang terpaksa digalas sehingga November ini. Ketidaktepatan tarikh sebenar beliau meninggalkan Bain Capital, iaitu adakah selepas  Februari 1999 ataupun tahun 2002, mendorong kempen Obama, menerusi Stephanie Cutter dengan berani, menuduh beliau "melakukan feloni ataupun berbohong." Kisah panjang Bain Capital, menyebabkan sokongan terhadap Republikan terhakis, lalu membolehkan Obama menjarakkan perlumbaan

Selain itu, percutian hujung minggu yang panjang Romney bersama-sama isteri dan keluarga mereka di penginapan beliau yang bernilai AS$8 juta di Winnipesaukee di New Hampshire, mencetuskan kritikan.  Tatkala Obama menyiku  rekod perkhidmatan Romney di Bain Capital, rakan-rakannya  dalam Republikan mendesak Romney mendedahkan penyata cukai pendapatannya seberapa banyak yang boleh.   Hal ini demikian, kerana Romney berdolak-dalih dengan mengatakan bahawa hanya mendedahkan dua tahun penyata cukai pendapatannya, kononnya menurut beliau, orang ramai  ingin tahu untuk dua tahun sahaja.  Sementara bekas Presiden, Bill Clinton menganggap tindak-tanduk bakal calon  Presiden itu "agak aneh."

Beberapa tinjauan pendapat yang dipetik menunjukkan Obama mendahului Romney, meskipun beliau sekurang-kurangnya sejak dua bulan lalu bergelut dengan laporan pekerjaan yang boleh menjejaskan peluang beliau untuk penggal kedua: pengangguran yang tinggi, iaitu 8.2 peratus. Antaranya tinjauan pendapat, ialah oleh  Pew Research Center yang menunjukkan Romney ketinggalan dalam kebanyakan isu.  Demikian juga tinjauan pendapat oleh Reuters/Ipsos menunjukkan Obama mendahului Romney.  Bahkan, penganalisis tinjauan pendapat yang terkenal, iaitu Nate Silver menerusi FiveThirtyEight, membayangkan Obama lebih kuat berbanding dengan penarafan sokongan yang beliau terima. Beliau menjangkakan Obama menang 297.4 berbanding Romney yang memperoleh 240.6 undi badan perwakilan pemilih. Justeru, Silver mengekalkan jangkaan beliau sebelum ini.

Doyle Magnus yang menganalisis pertarungan sengit antara kempen Obama dengan kempen Romney, dalam Los Angeles Times, mengemukakan catatan yang menarik.  "Apa yang kempen Obama lakukan terhadap Romney pada bulan ini datang secara terus daripada buku teks: Jika para pengundi tidak banyak mengetahui  lawan anda - dan tinjauan pendapat menunjukkan kebanyakan pengundi kurang mengetahui Romney, maka lompat ke dalam kekosongan,  iaitu takrifkan dirinya mengikut kehendak anda sendiri."  


Inilah yang dilakukan oleh kempen Obama sejak kira-kira sebulan lalu, menyerang pemegangan jawatan Romney dalam Bain Capital, menuduh calon Republikan itu melabur dalam syarikat yang "merintis" amalan menghantar pekerjaan ke seberang laut.  Serangan kempen Obama itu dipermudah oleh pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh media bahawa Romney masih berkhidmat di Bain Capital selepas Februari 1999, seperti yang dibincangkan sebelum ini.  Pihak  Boston Globe yang turut terlibat tetap mempertahan laporan mereka.


Sementara The Huffington Post  dalam pendedahan terbaharu menunjukkan  bahawa antara tahun 1999 dengan 2001,  Mitt Romney, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bain Capital ketika itu menandatangani sekurang-kurangnya enam dokumen yang firma ekuiti swasta kemukakan kepada Securities and Exchange Commission (SEC). 


Dalam pada itu, Presiden Barack Obama yang menyerang Romney bertalu-talu, di hadapan rakyat Amerika beliau tidak menunjukkan sikap angkuh, tetapi beliau tidak kehilangan   fokus serangan yang terus-menerus dilancarkan  terhadap Romney, sehingga  firma itu benar-benar merupakan masalah Romney. Tatkala kempen semakin rancak dan panas, dan pastinya kedua-dua calon itu sedaya-upaya ingin memastikan rahsia kelemahan diri mereka tidak terbongkar, Obama muncul dalam program CBS yang dihoskan oleh Charlie Rose.  Tanpa bersembunyi, Obama menyatakan kesilapan terbesar beliau  selama lebih tiga tahun di Rumah Putih.


"Apabila saya memikirkan apakah yang kita lakukan terbaik dan apakah yang kita lakukan bukan terbaik," jelas Obama, "kesilapan saya dalam penggal pertama saya, beberapa tahun memikirkan apakah kerja ini hanya tentang mendapat dasar yang betul.  Dan ini penting.  Akan tetapi, ciri pejabat ini juga memberitahu cerita kepada rakyat Amerika memberi mereka erti perpaduan dan dan tujuan dan optimisme, terutamnya ketika masa yang sukar ini."


Sepintas lalu, pengakuan Obama ini seakan-akan memberikan senjata kepada kempen  Romney  untuk menyerang balas, apatah lagi ketika Romney luka parah. Namun, menurut tafsiran Oliver Burkerman, "Obama menggunakan seni halus humblebrag politik."  Beliau mendaifkan dirinya sendiri demi menagih simpati dan meraih sokongan rakyat. Ahli politik yang hebat, sekali-sekala perlu mengakui kelemahan dirinya secara terbuka untuk ditafsirkan dan dinilai oleh rakyat jelata, sekali gus membezakan dirinya dengan lawannya, seperti kes  Obama, yang lawannya  terkenal dengan sikap kerahsiaan. Seperti yang diakui oleh Buckerman, "Saya tidak menemui mana-mana rekod yang Romney menjawab soalan, 'kesilapan yang terbesar.'  Sebaliknya, beliau berbangga dengan kekayaannya: Cardilacs dan wang."


John Dickerson yang menulis dalam Slate membahaskan bahawa "kesilapan besar" itu hanya humblebrag semata-mata sambikl menegaskan  bahawa cermin diri sendiri memang disukai dan diingini, tetapi pengorbanan diri bodoh.  Dickerson juga menyatakan bahawa selain Obama, Ronald Reagan dan Mitt Romney juga mengakui kesilapan masing-masing.


Ahli politik tidak boleh selalu terbang tinggi, bercakap bermegah-megah dan bergegar-gegar.  Ibarat burung helang, terbang tinggi untuk mengintai mangsa, terbang rendah untuk menyambar.


Mentakrifkan lawan lebih bersifat menyerang lawan, manakala mendaifkan diri sendiri ialah pertahanan yang kebal.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...