Artikel Popular

Sunday, July 8, 2012

Bagaimana Orang Kaya Menjadi Kaya

ISNIN, 9 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kajian yang diterbitkan oleh Institute for Fiscal Studies (IFS), yang dipetik oleh The Independent, menunjukksn bahawa kekayaan golongan tua berkembang dengan cepat berbanding dengan kumpulan yang lain, manakala amaun cukai yang mereka bayar jatuh secara berterusan.  Satu kajian lain pula menunjukkan bahawa seluruh julat petunjuk, golongan muda kehilangan pendapatan jika dibandingkan dengan generasi tua sejak krisis kewangan tahun 2008.


Orang kaya nampaknya terus mendapat perhatian, antaranya calon Presiden Republikan, Mitt Romney.  Tidak ketinggalan Muammar Gaddafi, bekas pemimpin Libya, meninggalkan dunia sebagai orang terkaya di dunia, dengan simpanan di bank AS$200 bilion. Sementara Forbes mendedahkan siapa yang mendapat kekayaan pada setiap minggu.


Dengan memetik John D. Rockefeller, hartawan pertama Amerika yang berpesan, "Jika matlamat anda hanya untuk menjadi kaya, anda tidak akan mencapai matlamat itu," Jeff Haden yang menulis dalam Time, menegaskan, "meskipun kita semua mentakrifkan dan menghitung kejayaan secara berbeza, kebanyakan kita ingin memasukkan kekayaan menjadi faktor persamaan kita.


Haden yang memetik IRS, menyatakan bahawa pada tahun 2009, memerlukan  AS$77.4 juta dalam pendapatan kasar terlaras untuk menjadikan seseorang tergolong dalam 400  orang terkaya di Amerika Syarikat.  Nilai wang ini kelihatan besar, tetapi jatuh daripada AS$109 juta pada tahun 2008 dan jatuh dengan ketara daripada nilai yang tertinggi, iaitu AS$138 juta pada tahun 2007. 


Sementara Derek Thompson yang menulis topik  yang sama, menulis dalam The Atlantic bahawa pada tahun 1992, orang terkaya ke-400 di Amerika mempunyai pendapatan AS$24 juta, pada tahun 2007, orang terkaya ke-400  mempunyai pendapatan AS$138 juta (atau AS$87 juta, diselaraskan dengan inflasi).  Thompson yang juga memetik IRS, bahawa pertumbuhan terlepas sebenar dalam pertumbuhan kekayaan diperoleh daripada laba modal yang menentukan kekayaan golongan kaya di negara itu.




Untuk mengenal pasti golongan tersebut, Thompson memetik penjelasan Timothy Noah bahawa ketidaksamaan pendapatan lebih laju dalam kalangan atasan.  Empat daripada 10 dalam kumpulan ini ialah eksekutif, pengurus, dan penyelia di firma bukan kewangan.  Lapan belas peratus ialah pembiaya, kemudian undang-undang (tujuh peratus), perubatan (enam peratus), dan hartanah (empat peratus).  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...