Artikel Popular

Monday, July 30, 2012

Kota Perjudian dan Hubung Kaitnya dengan Ekonomi

SELASA, 31 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Ada dua tulisan yang secara keseluruhannya membincangkan pertalian antara kasino dengan ekonomi.  Yang pertama, ditulis oleh Gordon G. Chang dalam Forbes yang menggambarkan ekonomi China menuntut mangsa seterusnya, iaitu raja kasino Las Vegas, Sheldon Adelson.  Adelson kini mendapat perhatian meluas kerana beliau merupakan salah seorang penyumbang terbesar kempen Romney,  kemungkinannya mencecah AS$100 juta  demi memastikan Barack Obama terpelanting dari Rumah Putih.

Kasino Adelson di Macau, iaitu Sands China, menurut Chang,  terjejas pendapatan akibat kemerosotan pertumbuhan ekonomi China.  Sands China dan Wynn Macau, jelas beliau, merosot lebih  30 peratus selepas mencapai puncak pada April.   Hasil Sands China meningkat kepada AS$1.48 bilion, tetapi gagal memenuhi jangkaan AS$1.52 bilion.  Pendapatan bersih jatuh 40.0 peratus, iaitu kepad AS$160.5 juta dari suku yang sama tahun 2011.

"Runtuhnya kadar pertumbuhan China," tegas Chang, "bermakna semakin kurang pelawat dari Tanah Besar datang berjudi di Macau, yang menyumbangkan 70 peratus hasil perjudian Macau."

Beralih dari Macau ke Las Vegas, kita dapat mengikuti tulisan J. Patrick Coolican dalam The Atlantic, bagaimana pusat perjudian menjelaskan masa lalu dan masa kini ekonomi.  Las Vegas ialah lambang dan merupakan kota yang mengalami pertumbuhan terpantas di Amerika pada Second  Gilded Age.  Sepanjang masa, jelas Coolican, Las Vegas akan menikmati faedah daripada etos mendukung kebebasan, kedua-duanya, iaitu sosial dan ekonomi yang bangkit pada tahun 1960-an dan 1970-an.  "Oleh sebab orang Amerika menggemari perjudian dan percutian berasaskan pengalaman, Vegas kelihatan seakan-akan pertaruhan yang pasti."

Las Vegas, jelas Coolican, menjual hiburan dan "pengalaman Las Vegas," manakala kota-kota lain terpaksa mencari jalan dalam ekonomi perkhidmatan baru.  "Budaya kesatuan kami yang kuat terhadap  Strip menaikkan upah dan membolehkan pekerja tidak mahir dan tidak berpendidikan, kebanyakannya kaum imigran mencapai cebisan Impian Amerika."

Coolican juga memetik Mark Muro dari Brookings Institution bahawa Las Vegas juga merupakan mikrokosma seluruh tempat lain di Amerika Syarikat dari segi pergantungan berlebihan terhadap sektor tertentu.  Sebagaimana Amerika Syarikat terlalu bergantung pada pengewangan (financialization) dan menjual rumah antara satu sama lain, Las Vegas sebelum krisis menjanakan lebih separuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor swasta metropolitan daripada lingkaran kecil aktiviti penggunaan, iaitu aktiviti hartanah, pembinaan, makan, minum, hospitaliti.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...