Artikel Popular

Monday, July 16, 2012

Bain Capital: Romney Gagal Merungkaikan Kekusutan

ISNIN, 16 Julai 2012 (Kemas kini kedua 19 Julai 2012)
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setelah minggu demi minggu  diserang bertalu-talu oleh kempen Obama, dan didedahkan satu demi satu oleh media, akhirnya Mitt Romney muncul untuk menyanggah segala tohmahan tentang penglibatannya dalam penyumberluaran oleh firma yang diasaskan oleh beliau,  dan menegaskan  bahawa beliau meninggalkan syarikat itu pada Februari 1999.  

Romney yang  kelihatan "endah tak endah"  akhirnya  bangkit untuk bertindak selepas Boston Globe  turut mendedahkan bahawa Romney tinggal lebih lama di Bain Capital. Pendedahan tersebut bukan sahaja menyebabkan beliau tersentak, bahkan turut terpalit yang menggambarkan  bahawa beliau berbohong dan berahsia, yang dianggap boleh merosakkan dirinya. "Betul-betul skandal Mitt Romney dan Bain."   Romney yang selama ini hanya  "berkubu" di Fox News menjemput beberapa saluran berita lain untuk mengadakan wawancara  tentang pemegangan jawatan beliau di Bain Capital.

Walau bagaimanapun, penafian Romney kelihatan tidak kukuh kerana wujud bukti yang menujukkan  bahawa beliau anggota pengurusan pada tahun 2002, seperti yang didedahkan oleh The Huffington Post.  Pendedahan terbaharu ini memperkukuh pendedahan sebelum ini bahawa Romney tersenarai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengerusi, dan presiden firma itu selepas tahun 1999, dengan gaji enam angka, dan menandatangani sekurang-kurangnya enam dokumen yang dikemukakan kepada SEC. Bahkan selepas Romney mengadakan wawancara itu, Boston Globe mendedahkan bukti baru tentang peranan selepas tahun 1999.

John Cassidy melalui blog The New Yorker, menegaskan bahawa "serangan balas Romney tidak membersihkan misteri, iaitu mengapa selepas beliau sepatutnya meninggalkan Bain Capital, firma itu masih menyatakan dokumen undang-undang yang menjelaskan beliau sebagai pengerusi dan CEO."

Sebelum kempen Obama menyiarkan iklan menyerang bertalu-talu penglibatan Romney penyumberluaran, beliau selalu berbangga dengan kejayaannya menerajui Bain Capital sehingga mendorong beliau menuntut bahawa beliau wajar dipilih sebagai Presiden Barack Obama.  Bahkan, kempen Romney dalam keghairahan untuk bermegah-megah  tidak pernah   menyatakan had masa pemegangan jawatan Romney di Bain Capital, tidak berhenti pada tahun 1999, bahkan tidak berhenti pada tahun 2002, sehinggalah kempen Obama membangkitkan bahawa Romney bertanggungjawab mengeksport pekerjaan ke seberang laut, tiba-tiba muncul "tarikh keramat" (atau "tarikh laknat"), Februari 1999.  Sebelum ini, kempen Obama menumpukan serangan  pada Romney sebagai gabenor, dengan itu, nampaknya Romney sendiri yang mencari nahas.

Seperti yang dibahaskan oleh Alec MacGillis dalam The New Republic bahawa persoalan baru tentang versi bersumpah Mitt Romney tentang pemergian beliau pada tahun 1999 dari Bain Capital yang kelihatan bercanggah dengan penyataan yang dikemukakan kepada SEC, testimoni yang beliau berikan untuk membuktikan beliau pemastautin Massachusetts, dan laporan tahunan korporat. Romney, hujah MacGillis ingin membataskan kejayaannya pada tahun 1999 kerana selepas tempoh itu wujud beberapa keburukan  di Bain Capital, seperti kemuflisan loji keluli Kansas City, selain mengeksport pekerjaan.  Jika benar Romney meninggalkan Bain Capital pada tahun 1999, bahas David Corn yang menulis dalam Mother Jones, "adakah beliau membua kenyataan palsu dalam pembentangan kewangannya?" - menambahkan lagi kekusutan yang pastinya tidak mampu oleh Romney.  

Respons yang lebih keras terhadap penjelasan Romney itu datangnya daripada Jonathan Chait yang mendakwa beliau berbohong. Kempen Romney, menurut apa yang istilahkan oleh  David Weigel mencipta cerita swift-yatching, iaitu banyak menimbulkan keraguan. Sementara Robert Creamer mengemukakan komen yang lebih kritis serta sinis bahawa keengganan Mitt Romney memikul tanggungjawab untuk tindakan Bain Capital dari tahun 1999 hingga 2002 banyak mendedahkan jenis presiden yang ada pada dirinya dan tentang perangainya.  Bertimbun-timbun keterangan tentang keputusan dan tindakan spesifik yang menjual murah kes Romney yang beliau tidak lagi terlibat dalam keputusan hari ke hari Bain Capital selepas tahun 1999.

Bagi sesiapa yang membaca tulisan Michael Grunwald dalam Time, pastinya sukar mengerti dan tentunya tertanya-tanya mengapa Mitt Romney masih tidak serik-serik dengan Bain Capital yang "membunuh beliau sekali.  Dan saya saksinya" -  merujuk Pilihan Raya Senat Massachusetts pada tahun 1994 - tahun yang menyaksikan revolusi Republikan.  Namun, pilihan raya itu, Romney tewas di tangan Ted Kennedy kerana Bain Capital kesayangan Romney.

Sementara Barack Obama, meskipun Romney menyerang balas, beliau terus menyiku lawannya itu, dan menegaskan beliau tidak akan memohon maaf, bahkan beliau menyambutnya   dengan iklan sinis tentang Romney yang mula merungut. Dalam kempen Obama, nampaknya Stephanie Cutter, timbalan pengurus kempen, begitu menonjol menggasak Romney.  


Serangan bertalu-talu terhadap Romney tentang pemegangan jawatannya di Bain Capital dan semakin gegak-gempita kerana media turut "mendedahkannya," bukan sahaja Romney kelihatan huyung-hayang, tetapi pada pihak Obama, beliau berjaya menggembleng Demokrat.  Jika sebelum ini, sebilangan Demokrat keberatan dan berasa ragu-ragu untuk turut terlibat, kini mereka semakin berani:  "Romney lari daripada Bain Cap macam 'lipas kudung'."  

Walaupun penasihat Romney, iaitu Ed Gillespie memberitahu pada hari Ahad semalam bahawa Romney "bersara daripada pekerjaan secara diundurkan tarikh" daripada Bain Capital.  Tidak dapat dipastikan, sama ada penjelasan ini dapat meredakan atau merumitkan lagi keadaan kerana selepas tahun 1999 didapati bahawa bakal calon Presiden Amerika itu masih terlibat dalam membuat keputusan dalam firma itu.  Bahkan, jika dipertimbangkan tarikhnya dari tahun 1988 hinggaa 1999, seperti yang diperkatakan oleh Anthony Luzzatto Gardner, iaitu tempoh kepimpinan Romney, "Bain menswastkan keuntungan,  tetapi merakyatkan kerugian.

Sarang labah-labah yang kusut sudah terbentuk - memetik Charles M. Blow yang menulis dalam The New York Times, dan kedua-dua pihak, iaitu Barack Obama dan Mitt Romney bersama-sama kempen masing-masing terlibat dalam mengusutkannya, justeru, siapakah yang terperangkap dalam sarang labah-labah itu?  Setakat ini, Romney, dan keupayaan beliau untuk membebaskan diri dalam kekusutan itu nampaknya makin sukar. Selain itu, untuk pertama kali, kempen Romney mengakui bahawa strategi Obama menjadi.


Kemas kini pertama,  16 Julai 2012, jam 1.45 petang: 


Bekas rakan kongsi Bain Capital, seperti yang dilaporkan oleh The Huffington Post, memaklumkan pada hari Ahad bahawa Mitt Romney "dari segi undang-undang" kekal sebagai ketua firma ekuiti swasta itu hingga tahun 2002, bercanggah dengan dakwaan Romney bahawa beliau meninggalkan syarikat itu pada Februari 1999. Edward Conard yang pernah bekerja di firma ekuiti swasta itu ketika Romney memegang jawatan CEO, ketika muncul dalam program MSNBC, menyatakan bahawa Romney kekal "dari segi undang-undang" bertanggungjawab terhadap syarikat untuk sekurang-kurangnya dua tahun selepas bekas gabenor itu meninggalkan syarikat itu menerajui Sukan Olimpik di Salt Lake City.

Meskipun Romney mengeluarkan kenyataan bahawa beliau meninggalkan Bain Capital pada tahun 1999, komen baru Conard itu menunjukkan bahawa hakikatnya, Romney meneruskan pemilikan firma membolehkan beliau merundingi urus janji yang lebih baik.  "Kami perlu berunding dengan Mitt kerana beliau ialah pemilik firma berkenaan," jelas Conard. "Beliau mewujudkan banyak nilai francais, dan kami perlu membayar beliau untuk khidmat tersebut."


Sementara dalam program yang berasingan, George Will dilaporkan menggasak Mitt Romney berhubung dengan pendekatan beliau kepada kerjayanya di Bain Capital dan kewangan peribadinya.  "Mitt Romney kehilangan hujah dengan cara yang besar," tegas Will.  ""Romney sepatutnya berhati-hati dengan isu tersebut beberapa tahun lalu, sebaik sahaja beliau tahu bahawa beliau akan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2012."


Kemas kini kedua, 19 Julai 2012, jam 12.05 pagi:


Polemik masih berterusan, dan bahkan semakin panas.  Kempen Obama nampaknya tidak akan berundur daripada serangan bertalu-talu, lebih-lebih lagi  kerana Demokrat yang sebelum ini tidak sekata, kini semakin padu di belakang Presiden Barack Obama.  Demokrat, seperti yang perhatikan oleh Alex Roarty dalam National Journal, mencapai konsensus, supaya kempen Obama bertindak agresif. Demokrat kini menyedari bahawa strategi kempen Obama itu menjadi.  


Pada pihak kempen Romney, seperti yang dibahaskan oleh Nate Silver, mereka mula berkelakuan seakan-akan  Bain Capital lebih merupakan faktor negatif berbanding dengan positif atau bahkan berkecuali.  Kesakitan Bain kian dirasai. Serangan balas Romney, menurut John Cassidy tidak melenyapkan misteri Bain, dan beliau tidak dapat menyelesaikan masalah Bain.


Lagipun, Romney sendiri, seperti yang dibahaskan oleh Ed Kilgore dalam The New Republic, gagal mempelajari "Swift-boating" yang bergayut pada bahu John Kerry dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2004.  Sebaliknya, beliau dikaitkan dengan "Swissboating" seakan-akan mengambil sempena "Swift-boating" John Kerry. Dalam menyerang Romney bertalu-talu, Obama dikatakan belajar daripada Republikan:  Demokrat menang moral, Republikan menang sebenar sehingga menyebabkan kempen Romney menjadi defensif. Sementara Obama memperlihatkan ketegasannya enggan meminta maaf, seperti yang dibahaskan oleh Timothy Noah dalam The New Republic, "sukar hendak dipercayai Romney asyik mengadu dan merungut."  Noah juga mempertahankan Stephanie Cutter yang menjadi sasaran kontroversi kerana kononnya beliau mendakwa Romney felon.


Lazimnya, semakin lama isu berlanjutan, akan berlaku hilang tumpuan dan lupa akan asa-usulnya.  Justeru, Monika Bauerlein dan Clara Jeffrey yang menulis dalam Mother Jones cuba menyusurgalurkan bagaimana cerita Romney di Bain tercetus sejak 20 Jun hingga 16 Julai.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...