Artikel Popular

Saturday, July 28, 2012

Memulihkan atau Mengeruhkan Hubungan Inggeris-Saxon?

SABTU, 28 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Bakal calon Presiden, Mitt Romney dalam usaha menampilkan kepimpinannya  dalam dasar luar, yang setakat ini diragui,  untuk bertarung dengan Presiden Barack Obama, mengadakan lawatan ke Britain, Poland, dan Israel, sambil menyaksikan Sukan Olimpik yang berlangsung di London.  Tatkala Romney masih terhegeh-hegeh, Obama terus mengatasi beliau, seperti hubungan Amerika Syarikat dengan Israel.


Lawatan ke Britain, seperti penasihatnya memberitahu The Telegraph, adalah untuk memulihkan hubungan antara negara itu dengan Amerika Syarikat yang terjejas sejak Pentadbiran Obama. Sebagai reaksi, Ian Vince yang menulis dalam The Guardian, secara sinis, mengemukakan beberapa nilai baik Inggeris-Saxon untuk Mitt Romney.


Janji yang ditaburkan oleh penasihat yang tanpa dinyatakan namanya itu mencetuskan kontroversi dan kritikan, termasuk daripada kempen Obama,  menyebabkan kempen Romney kepanasan dan menafikan bahawa mereka ada kena mengena.  Sementara Romney sendiri menyatakan bahawa beliau tidak setuju dengan kata-kata penasihatnya itu.


Kehadiran Romney  di kota London boleh dikatakan sesuatu yang serba tidak kena untuk dirinya.  Kenyataannya tentang persediaan  London  menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, yang betul-betul mencerminkan kebodohan dirinya yang membayangi lawatan beliau.  Kenyataan ini   mencetuskan keberangan Perdana Menteri David Cameron dan Datuk Bandar, Boris Johnson:  "Adakah kita bersedia?  Ya, kita bersedia!"   Timbul tanda tanya mengapa Romney mengaibkan Cameron.

Secara tersirat, Romney cuba membandingkan kejayaannya menerajui dan menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Salt Lake City pada tahun 2002.  Beliau, hujah Justin Frank, didesak untuk memberitahu orang ramai bahawa beliau mampu melakukannya lebih baik, dan beliau memberikan gambaran itu di London.


Fred Kaplan yang menulis dalam Slate,  menegaskan itu bukan kebodohan Romney, sebaliknya  padangan dunia sebenar beliau.  Kaplan juga memetik Gabenor Louisiana, BobbtyJindal - salah seorang bakal calon Naib Presiden daripada Republikan, yang mempertahankan Romney:  "Hakikatnya, kami tidak bimbang tentang tajuk berita sebarang laut itu."  Ini mungkin betul, hujah Kaplan, akan tetapi mengapa sejak mula lagi Romney ke luar negara?  Beliau juga memetik Joshua Keating, penulis blog Foreign Policy yang mengatakan bahawa Britain, bagi Romney, ialah kepulauan kecil yang membuat benda yang tidak siapa pun mahu.


"Romney tersadung di London," ulas Alex Altman dalam Time, betul-betul "sebab pulut santan binasa." Beliau tersadung dari segenap penjuru, tegas Nicholas Watt dalam The Guardian.  "Britain dalam tarikh yang mudah," tanya  Jonathan Freedland, "maka bagaimana Mitt Romney bercelaru dengan teruk?" Media British dilaporkan menggasak Romney dengan teruk: "tidak ada pingat emas untuk beliau." 


Akibatnya, kempen Romney terpaksa bertungkus-lumus untuk mengehadkan kerosakan itu.  Sementara Romney sendiri selepas mengadakan pertemuan dengan David Cameron, cuba membetulkan keadaan dengan mengatakan, "Britain bersedia."   Dipercayai bahawa pembetulan ini tidak banyak membantu kerana dipersetujui umum bahawa lawatan ke Britain satu kemusnahan terhadap beliau membangkit persoalan tentang kemampuan diplomasi beliau sebagai Presiden.


Carl Lewis bekas jaguh pecut Amerika memberitahu The Independent, "Duduk di rumah jika anda tidak tahu apakah yang mahu dicakapkan," - ditujukan kepada Romney sambil mengingatkan bahawa setiap Sukan Olimpik adalah bersedia.  Pemimpin Majoriti Senat, Harry Reid (Demokrat) dipetik sebagai berkata, "Mitt Romney memalukan Amerika Syarikat, dan dirinya sendiri, dengan pergi ke London dan mengaibkan British menjelang Sukan Olimpik."


Romney dalam kempen Presiden mengambil langkah berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh membawa padah, tiba-tiba melakukannya ketika beliau di London.  "Romney terlepas peluang," ulas Josh Kraushaar dalam National Journal.  Selepas peristiwa itu, nasihat Michael Hirsh, Romney "sepatutnya hanya berdiam diri dan senyum."  Hirsh juga memetik tajuk akhbar Daily Mail di London, "siapa yang mengundang beliau?"  


Yang tidak kurang mengaibkan ialah "Romney terpulau di England," seperti yang dibahaskan oleh Michael Tomasky dalam The Daily Beast. Atau dalam kata lain, percutian yang mengecewakan.  Sementara anggota kanan Parti Konservatif memberitahu The Huffington Post, "Kepala kami dengan Romney, hati kami dengan  Obama."  Fox News yang terkenal dengan pro-Romney, melalui pengulasnya seakan-akan tidak boleh percaya Romney mengeluarkan kenyataan seperti itu.


Walau bagaimanapun, Jay Carney, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, dilaporkan  "enggan tumpang sekaki" menggasak kebodohan Romney dengan berkata bahawa beliau menjawab soalan yang berkait dengan dasar dan bukannya politik.  Sebaliknya, Demokrat menggunakan kesempatan ini dengan memperkenalkan Romneyshambles.


Romney diperhatikan melancarkan serangan dasar luar ketika beliau berucap sempena perhimpunan tahunan Veterans of Foreign Wars.  Namun, hujah Fareed Zakaria yang menulis dalam Time, pelancaran itu gagal kerana menurut tinjauan pendapat, dari segi "menangani dasar luar,"  rakyat Amerika mengutamakan  Obama berbanding Romney sebanyak 15 mata.  Mitt Romney, jelas Fareed, ialah orang yang pintar yang banyak kejayaan profesional.  Akan tetapi, bahkan diakui sendiri oleh orang dalam Republikan, beliau anehnya, amatur tentang dasar luar.  Kempen beliau, menurut mereka, tidak terdiri daripada staf yang terkenal dalam dasar luar Republikan, seperti Robert Zoellick, Richard Armitage, Richard Haass, dan Stephen Hadley. 


Jelas Fareed lagi, Romney menghadapi masalah yang sukar.  Presiden Obama merupakan Demokrat pertama dalam masa hampir 50 tahun yang memasuki pilihan raya dengan kelebihan dramatik dalam dasar luar.  (Yang terakhir ialah Lyndon Johnson lawan Barry Goldwater pada tahun 1964.)


Pastinya, kebodohan  di London itu menambahkan lagi kesukaran Romney untuk bertarung dasar luar dengan Presiden Barack Obama.


1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...