Artikel Popular

Tuesday, June 20, 2017

Bahasa Presiden


SELASA, 20 Jun 2017
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH







Sebagai presiden sebuah negara yang paling berkuasa di dunia, Donald Trump sering menjadi perhatian, bukan sahaja dari segi dasar, seperti dasar ekonomi dan dasar luar, tetapi juga hal-hal peribadi, seperti juga kelakuan dan gaya rambutnya.  Tidak ketinggalan bahasa yang beliau gunakan ketika berucap dan juga bahasa gerak-gerinya.
            Donald Trump diperhatikan mengelak daripada memegang tangan isterinya, Beliau  berulang-ulang kali  menepis tangan isterinya apabila Wanita Pertama cuba memegang tangan beliau.  Perkara seperti ini berlaku dikatakan ada kaitannya dengan sikap manusia, iaitu apabila melibatkan paparan awam tentang kemesraan (afeksi), setiap orang adalah berbeza.  Sesetengah pasangan menunjukkan kemesraan mereka di hadapan khalayak, manakala pasangan lain  pula berasa tidak selesa memegang tangan pasaran mereka. Presiden Amerika Syarikat yang baharu ini dipercayai mungkin tergolong dalam kumpulan kedua, tetapi menurut pakar bahasa gerak-geri, hal ini menunjukkan lebih daripada hanya rasa tidak selesa menunjukkan kemesraan kepada orang ramai.
            Pakar bahasa gerak-geri, Patti Wood yang dipetik oleh The Mail Online dan  beberapa media antarabangsa, percaya bahawa Trump enggan memegang tangan isterinya mungkin kerana beliau mahu dilihat sebagai “alfa presiden.” Menurut Wood, lazimnya berpegangan tangan menunjukkan pasangan sebagai unit. “Akan tetapi, bagi saya, saya fikir beliau berkata, ‘Saya mahu dilihat sebagai presiden atas diri sendiri’, yang adalah banyak alfa. ‘Saya mahu hanya saya yang  berkuasa.’ Dan memang jelas bahawa itu pilihan beliau.”
            Hal ini sangat berbeza daripada penjelmaan awam bekas Presiden Barack Obama dan hubungan isterinya, Michelle yang orang ramai selalu melihat pasangan ini berpelukan dan bercium.
            “Berpegangan tangan dapat berkomunikasi begitu banyak tentang individu dan pasangan, bergantung pada kedudukan tangan, siapa yang pegang dahulu, siapa yang melepaskannya dahulu,” jelas Wood. “Sebelum menjadi presiden, Trump menunjukkan lebih kemesraan atau afeksi kepada Melania di hadapan orang ramai.  Walau bagaimanapun, kini, Trump tidak mahu dilihat sebagai unit, semuanya mahu lebih ‘alfa’.”
            Bahasa Donald Trump ketika beliau menyampaikan ucapan bersempena pelantikannya sebagai Presiden Amerika Syarikat turut dikaji. Menurut Paul Breen, persembahan linguistik Trump ialah siri aneh petikan suara yang beliau percaya menjadi puisi, falsafah, dan patriotisme tanpa prejudis. Beliau menyampaikan janji terburu-buru dan bukannya penyelesaian praktik.  Breen yang menulis dalam akhbar The Independent, “As a Linguist, I Can Tell You What Donald Trump’s First Words as American President Really Reveal about Him,” mengemukakan contoh utama cara anggapan hebat Trump tentang “membasmi pengganas Islam” adalah betul-betul dalam  nafas yang hampir sama dengan kenyataan menarik keluar Amerika daripada peranan sebagai polis dunia, keselamatan dalam sempadan negara sendiri. Beliau berucap tentang pembasmian kemiskinan ketika membincangkan hasratnya untuk menamatkan program untuk golongan miskin Amerika, insurans  penjagaan kesihatan Obama (Obamacare health insurance).
            Tegas Breen, apa yang ucapan ini beritahu adalah bahawa Trump tidak dapat menjadikan kabisat imaginasi atau emosi melampaui sempadan sejarah peribadinya sendiri – dan beliau bahkan tidak melihat apa-apa keperluan untuk berbuat demikian, kerana beliau memperlihatkan dirinya kepada  para penyokongnya sebagai jelmaan impian Amerika. Beliau secara berhati-hati menggunakan perkataan yang orang ramai mahu dengar: Tuhan, pekerjaan, kemenangan, dan dunia yang Amerika diutamakan, keselamatan dalam sempadan negara sendiri.
            Dalam kalangan penterjemah Perancis, Trump dikatakan menyampaikan ucapan mengelirukan mereka. Mereka menghadapi kesukaran untuk menterjemahkan ucapan beliau ke dalam bahasa Molière.  Penterjemah  Bérengère Viennot dipetik sebagai berkata bahawa beliau  percaya  Presiden Amerika yang baharu itu sukar diterjemahkan kerana “Trump seakan-akan tidak tahu ke manakah beliau pergi.” Viennot memberitahu langkah pertama untuk penterjemah adalah untuk mampu “masuk ke dalam minda seseorang, tetapi langkah ini tidak selalunya mudah untuk memahami isi yang Trump cuba ketengahkan. Tambah Viennot, “Perbendaharaan kata  Trump  terhad, sintaks beliau pecah; beliau mengulangi ungkapan yang sama berkali-kali, memaksa penterjemah mengikuti langkah beliau. Seakan-akannya beliau mempunyai kekaburan tema dalam kepalanya.”
            Hal ini mewujudkan kesukaran bagi orang Perancis, yang bahasa mereka secara am, lebih berstruktur dan logik, dan para penterjemah berhadapan dengan dilema, sama ada mengutamakan makna  berbanding dengan gaya.
            Bahkan, untuk penutur bahasa Inggeris, Trump bukan selalunya orang  yang mudah difahami. Ketika debat pertama presiden, beliau menggunakan  “bigly”  dunia, yang menyebabkan banyak orang berfikir apakah perkataan baharu bermaksud untuk makna “big league,” atau sesuatu yang lain.  Pada suatu ketika yang lain, beliau kedengaran berkata, “swatches of land,” apabila beliau benar-benar beliau bermaksud “swathes of land.”
            Pada Mac 2016, Justin Wm. Moyer “Trump’s Grammar in Speeches ‘Just Below 6th Grade Level,’ Study Finds,”  memetik kajian yang mendapati perbendaharaan kata Trump dalam ucapannya memang teruk, walaupun pendebat yang hebat tidak semestinya diperlukan untuk Rumah Putih.  George Washington dan George W. Bush adalah hanya dua orang daripada banyak presiden yang dianggap pengucap awam yang lemah – dan banyak panglima besar dalam dua abad antara mereka yang tidak semestinya berlidah emas. Moyer yang menulis dalam The Washington Post,  memetik “A Readability Analysis of Campaign Speeches from the 2016 Presidential Campaign,” yang dikeluarkan pada minggu itu oleh Carnegie Mellon University.  Kajian itu menganalisis ucapan pancang (stump speeches) untuk mengukur  “kebolehbacaan” – tahap pembacaan ucapan, ditarafkan daripada gred pertama kepada gred ke-12.  Menurut ringkasan daripada universiti itu, kajian mendapati “kebanyakan calon menggunakan perkataan dan tatabahasa tipikal pelajar gred keenam hingga gred kelapan, meskipun Donald Trump cenderung terkebelakang daripada calon lain.”
            Menurut dua penyelidik berkenaan, iaitu Maxine Eskenazi dan Elliot Schumacher yang dipetik oleh Moyer, kajian itu berdasarkan pemerhatian yang beberapa perkataan (dan struktur tatabahasa) muncul dengan kekerapan yang lebih kerap pada tahap satu gred berbanding dengan gred lain. “Misalnya, kita akan menjangkakan bahawa kita dapat melihat perkataan ‘menang’ kerap kali secara wajar  dalam dokumen gred ketiga, manakala perkataan ‘berjaya’ lebih kerap, seperti dalam dokumen gred ketujuh.  Kita tidak melihat klausa bergantung sangat kerap pada tahap gred kedua, sedangkan klausa itu agak kerap pada gred ketujuh.”
            Pangkalan data dipungut mengandungi dokumen daripada setiap (ketika itu) lima orang calon presiden, iaitu Ted Cruz (5), Hillary Clinton (7), Marxo Rubio (6), Bernie Sanders (6), Donald Trum (8), menurut  kajian itu. “Dokumen itu  dijulatkan daripada ucapan perisytiharan calon kepada ucapan jejak kempen kepada ucapan kemenangan kepada ucapan kekalahan.” Untuk tujuan perbandingan sejarah, kajian itu juga menganalisis kebolehbacaan Lincoln’s Gettysburg Address, dan ucapan daripada Barack Obama, George W. Bush, Bill Clinton, dan Ronald Reagan.
            Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap wacana politik merosot – sebahagian kerana Trump. “Ucapan presiden yang lalu ketika berkempen dan Gettysburg Address adalah sekurang-kurangnya pada tahap gred kelapan.  Ucapan calon kebanyakannya adalah daripada tahap gred ketujuh untuk Donald Trump kepada tahap gred ke-10 untuk Bernie Sanders.”
            Para penyelidik juga cuba mengukur “darjah yang calon mengubah pilihan perkataan mereka daripada satu ucapan kepada satu ucapan lain.”  Keputusannya kelihatan mengesahkan tanggapan Hillary Clinton sebagai kameleon.
            “Perubahan boleh mencerminkan usaha untuk mengambil kira khalayak atau keadaan yang berbeza (misalnya, ucapan kemenangan atau ucapan konsesi di sesebuah negeri). Kita dapat melihat bahawa Hillary Clinton mempunyai lencongan standard yang sangat tinggi dan demikian juga perubahan yang sangat besar dari segi pilihan perkataan daripada satu ucapan kepada satu ucapan yang lain, manakala Ted Cruz kurang berbeza dari segi pilihan perkataan.”
            Kajian seterusnya adalah dari segi tatabahasa ahli politik, yang mendapati bahawa George W. Bush mempunyai tahap paling rendah dan Abraham Lincoln yang paling tinggi. “Dalam kalangan calon, tahap antara gred keenam dengan gred ketujuh, kecuali untuk Donald Trump (gred 5.7).”
            Ringkasan kajian itu menunjukkan “dari segi tatabahasa, tidak seorang presiden atau calon presiden pun dapat dibandingkan dengan Lincoln’s Gettysburg Address – diakui standard tinggi, dengan tatabahasa jauh mengatasi tahap gred ke-10.  “Calon semasa pada amnya memperoleh antara gred keenam dengan ketujuh, dengan Trump hanya di bawah tahap gred keenam.  Presiden memperoleh tahap gred kelima.”
            Pada akhir Januari lalu, Perdana Menteri British Theresa May mengunjungi Presiden Donald Trump – beliau merupakan pemimpin dunia yang pertama Presiden Amerika Syarikat yang baharu itu.  Pejabat Akhbar Rumah Putih dalam siaran akhbarnya didapati tiga kali tersilap eja nama Theresa May, yang dieja Teresa May, yang kebetulan nama bekas model glamor dan pelakon filem lucah, termasuk Whitehouse: The Sex Video and Leather Lust
            Sementara itu, Dana Milbank, kolumnis The Washington Post,  melalui “Shoker! Rediculous Chocker Trump Attaks and Dishoners English with Ever-dummer Spellings” pada 7 Februari, sengaja melakukan kesilapan ejaan dalam tajuk makalahnya untuk menyindir Trump dan pentadbirannya yang gemar melakukan kesilapan ejaan. Hujah   Milbank, Rumah Putih Trump pada Isnin malam, cuba menunjukkan bahawa media mengabaikan keganasan, mengeluarkan “list of 78 ‘underreported’ attacks.”  Senarai itu tidak menunjukkan apa-apa yang baharu tentang serangan pengganas, tetapi mendedahkan serangan yang kurang dilaporkan sebelum ini oleh pentadbiran Trump tentang konvensyen bahasa Inggeris penulisan. Milbank   dapat mengesan memo Rumah Putih dalam senarai 78 serangan “yang tidak dilaporkan melakukan 27 kali kesilapan ejaan, iaitu “attacker” atau “attackers” dieja “attaker” atau “attakers.” San Bernardino hilang “r” kedua. “Denmark” menjadi “Denmakr.” Tulis Milbank, “Trump, pembantunya, dan penyokong setianya terkial-kial dengan ejaan.”
            Milbank membangkitkan tulisan Trump dalam Twitter pada pagi selepas beliau dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat, “I am honered to serve you, the great American People, as your 45th President of the United States!”

            Kesilapan ini dilakukan oleh presiden sebuah negara yang dianggap “hegemoni bahasa Inggeris,”  dan oleh pentadbirannya.   Bayangkanlah sekiranya kesilapan  seperti ini dilakukan oleh pemimpin atau agensi kerajaan di Malaysia, pastinya sebuah akhbar bahasa Inggeris “tidak sempat bermalam” untuk melaporkannya dengan motif untuk menunjukkan kelemahan penggunaan bahasa Inggeris: “Manglish.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...