Artikel Popular

Saturday, December 3, 2011

Mengelilingi Zon Euro dalam Sepuluh Hari

SABTU,  3 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jangan keliru, ini bukan mengelilingi dunia dalam 80 hari, tetapi sekadar mengelilingi zon euro  dengan menaiki Ekspres Kesatuan Eropah yang diperkenalkan oleh Niall Ferguson lapan bulan lalu dalam Newsweek.  Hari demi hari, zon euro semakin tenat akibat krisis hutang, berbaur antara kehampaan dengan harapan. 

Canselor Angela Merkel yang di bahunya diletakkan harapan yang tinggi untuk bertindak menyelesaikan krisis, seperti lazim, masih berdolak-dalik.  Yang terbaharu, beliau memberitahu parlimen, tidak ada  jalan mudah untuk menyelesaikan krisis kewangan Eropah, dan penyelesaiannya akan "mengambil masa bertahun-tahun."  Beliau nekad untuk mewujudkan "kesatuan fiskal" di seluruh zon euro dengan kuasa yang lebih luas untuk mengelakkan malapetaka. Sementara Presiden Nicolas Sarkozy yang kelihatan  banyak bercakap mencadangkan perjanjian Eropah baru untuk menyelamatkan mata wang tunggal dan memulihkan Kesatuan Eropah daripada berpecah belah dalam krisis terburuk yang pernah dialaminya. 

Dengan "tawar-menawar besar-besaran" yang dikemukakan oleh Angela Merkel dan Nicolas Sarkozy, diragui bahawa negara zon euro dapat bertahan. Kedua-duanya dikatakan ingin menyelamatkan mata wang tunggal itu, tetapi beberapa negara anggota terpaksa pergi. Sakrozy dan Angela Merkel dikatakan sepakat untuk mencadangkan penubuhan kesatuan fiskal itu, yang berkemungkinan merupakan penyelesaian sebenar untuk krisis hutang.  Namun, bahas Michael Schuman, versi kesatuan fiskal Merkel & Co. kelihatan memperjuangkan sebenarnya hanya "kesatuan jimat-cermat," dengan cara memaksa pemotongan belanjawan yang menyakitkan, menaikkan cukai, dan langkah lain yang dikenakan terhadap negara zon euro menerusi sekatan dan kawal selia yang ketat, dengan sedikit yang ditawarkan sebagai balasan.  Cara ini tidak berkesan. 

"Euro tidak dapat bertahan dengan jimat-cermat semata-mata.  Bahkan, jimat-cermat, seperti yang dilaksanakan kini, memusnahkan prospek euro."  Bagi Schuman, jimat-cermat membunuh euro. 

Jimat-cermat juga membangkitkan kemarahan pekerja, seperti yang dapat dilihat dalam mogok sektor awam di United Kingdom,  dan di Greece, untuk sekian kalinya, mogok berlaku lagi. Anehnya, banyak kerajaan Eropah begitu gigih melaksanakan jimat-cermat, meskipun langkah itu disedari lebih banyak membawa keburukan berbanding dengan kebaikan.

Krisis ekonomi di zon euro menimbulkan ketakutan banyak negara, bahkan negara di luar zon itu.  Krisis itu dijangkakan boleh membawa malapetaka terhadap Amerika Syarikat, dan   Rumah Putih baru-baru ini melahirkan  kebimbangannya serta menyatakan komitmen untuk membantu zon itu.  Meskipun banyak negara takut akan bencana yang menimpa akibat krisis euro yang berlanjutan, Eropah dikatakan "ambil mudah," daripada banyak  negara yang berbelanja di luar  kemampuan kepada melengah-lengahkan penyelesaian krisis yang kian meruncing. Krisis itu juga mendorong negara Eropah bertindak seperti "enau dalam belukar," seperti yang diperlihatkan oleh Perdana Menteri,  David Cameron, "melindungi kepentingan United Kingdom adalah paling penting."

Selamatkan euro dan Kesatuan Eropah, cadang Daniel M. Price dalam The Washington Post dengan memberikan harapan kepada Jerman untuk melakukannya.  "Walaupun jika tergesa-gesa, Jerman masih dapat menyelamatkan euro," tulis editorial akhbar itu.  Atau dalam kata Radek Sikorski, Menteri Luar Poland, yang kemudiannya dipetik secara meluas, "Jerman tidak bertindak lebih menakutkan daripada Jerman tidak bertindak," untuk menunjukkan harapan yang tinggi diberikan kepada ekonomi yang paling besar di Eropah, walaupun Poland tidak menganggotai zon euro. 

Para pemimpin Eropah berhadapan dengan tarikh akhir yang jelas, iaitu 10 hari untuk menyelamatkan euro atau  menghadapi berkecainya Kesatuan Eropah itu sendiri.  Amaran tersebut datangnya daripada Olli Rehn, Pesuruhjaya Hal Ehwal Ekonomi dan Monetari Kesatuan Eropah, sebaik-baik sahaja bank-bank pusat campur tangan untuk mencegah kebekuan sektor kewangan Barat kerana ahli politik gagal untuk menyelesaikan krisis hutang kedaulatan. Menteri-menteri Kewangan Kesatuan Eropah diberitahu secara terus-terang bahawa dengan penganguran di zon euro mencecah 16.3 juta orang atau 10.3 peratus, tertinggi sejak mata wang tunggal diperkenalkan, dan krisis hutang dan perbankan yang tidak dikawal akan mengheret Eropah ke dalam merosotan yang dalam dan menarik bersama-samanya  negara lain di dunia.

Sebagai respons terhadap kata dua itu, Damian Reece menulis dalam The Telegraph, "mampukah euro diselamatkan?"  Jam berbunyi untuk euro. Selepas 11 tahun beredar dalam kedai dan bar dari Athens ke Zeebrugge, maka dikatakan hanya tinggal 10 hari untuk menyelamatkannya, atau mungkin lapan hari, kerana pada hari Rabu yang Olli menyatakan ramalannya yang mengejutkan bahawa euro akan mati tidak lama lagi. Untuk menyelamatkan euro yang kesuntukan masa, bahas Reece, Berlin, Paris, Rom, dan Brussels mesti mengetepikan perbezaan antara mereka dan mencapai kesepakatan yang dari segi politik diterima oleh setiap orang. 

"Politik bergerak terlalu perlahan," tulis Reece, "sedangkan pasaran bergerak begitu pantas untuk menghidu apa-apa kelemahan dalam sistem kewangan.  Jika tidak ada tindakan yang konkrit dan meyakinkan pada akhir minggu depan, maka seakan-akan yang tidak dapat dielakkan yang tidak dapat difikirkan sebelum ini akan berlaku.  Euro akan mula terurai dan mana-mana keruntuhan dalam jangka pendek akan pastinya, mencetuskan  kekacauan." 


Pengakhiran sudah hampir, The Economist merujuk detik genting lagi runcing bagi euro, dengan membangkitkan amaran demi amaran: Olli Rehn, berkata zon euro hanya mempunyai masa 10 hari untuk menyelamatkan dirinya (justeru, apakah yang benar-benar berlaku pada 12 Disember?).  Radek Sikorski, berkata beliau lebih takut kelumpuhan Jerman  daripada kuasa Jerman (atau peluru berpandu Rusia).  Barack Obama berkata zon euro memberikan risiko yang sangat besar kepada kesejahteraan Amerika.

Walau bagaimanapun, majalah itu masih berkeyakinan euro mampu diselamatkan dengan pendekatan penunggang kuda.  Para pemimpin Eropah masih dapat mengelakkan malapetaka, tetapi hanya jika mereka bertindak berani dan pantas. "Eropah memerlukan semua merangkumi urus janji untuk menyelamatkan dirinya.  Krisis kini adalah tentang kelangsungan euro, justeru memerlukan respons yang besar; tidak ada sesiapa yang selamat jika euro runtuh." 

Krisis euro menjadikan ekonomi dan politik sebagai pertaruhannya.  Krisis itu juga membangkitkan persoalan, "adakah demokrasi di Eropah dapat bertahan?" Tanya Heather Horn dalam The Atlantic. "Dengan krisis kewangan, krisis hutang, dan liputan seluruh dunia tentang Menduduki Wall Street, kapitalisme diserang secara terbuka untuk seketika di Eropah."  Amaran yang lebih keras datangnya daripada Alain Juppe, Menteri Luar Perancis bahawa krisis hutang Eropah boleh mencetuskan revolusi dan peperangan yang ganas. Krisis hutang itu juga boleh "meledakkan Kesatuan Eropah itu sendiri."

Masa sudah suntuk sekarang. Hanya kurang dari 10 hari untuk mengelilingi zon euro dengan menaiki Ekspres Kesatuan Eropah yang ranap dan gerabaknya lintang-pukang.  Adakah perjalanan yang menyeramkan ini selamat?   


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...