Artikel Popular

Friday, May 31, 2013

Kadar Pengangguran di Zon Euro Terus Meningkat

JUMAAT, 31 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kadar pengangguran di zon euro, seperti yang dilaporkan oleh The Guardian, Bloomberg, dan    BBC, mencecah rekod tertinggi, iaitu 12.2  peratus pada April, dengan kadar orang muda yang tanpa pekerjaan meningkat sedikit kepada 24.4 peratus daripada 24.3 peratus pada Mac.

Dengan kadar pengangguran yang tinggi itu, maka  jimat-cermat terus mencari mangsanya, dan nampaknya zon mata wang bersama itu terus lemah dalam genggaman jimat-cermat  yang dianggap memusnahkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.

Tatkala jimat-cermat terus diperdebatkan, zon euro, termasuk Eropah,   terus terbenam dalam kemelesetan yang nampaknya semakin sukar untuk mencari jalan keluar, bahkan mencetuskan keberangan rakyat di zon berkenaan, yang terbaharu di Frankfurt: protes antikapitalis.

Sebenarnya, debat tentang jimat-cermat semakin hangat  apabila melibatkan Carmen Reinhart dan Kenneth Rogoff di satu pihak, dengan Paul Krugman di pihak yang lain.  Walaupun pihak yang terlibat mempertahankan hujah masing-masing dan enggan "mengaku kalah," seperti yang dilaporkan, kadar pengangguran di zon euro terus meningkat.

Wednesday, May 29, 2013

Penteksan Membunuh Bahasa?

RABU,  29  Mei 2013
ZULKIFLI  SALLEH


Dalam konteks bahasa Melayu,  kita sering mendengar berlaku pencemaran bahasa, daripada papan tanda dan papan iklan kepada drama televisyen dan laporan berita, dan seterusnya kepada khidmat pesanan ringkas dan media sosial. Justeru, agensi kerajaan yang dipertangungjawabkan membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan ini, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, terpaksa  berforum dan berseminar untuk membincangkan dan  menangani pencemaran bahasa ini.  Akibatnya, DBP  terpaksa menumpukan tenaga dan sumber untuk "memadamkan kebakaran" atau mengawal tangkis kerosakan berbanding dengan aspek pembangunan. 

Sementara itu, akhbar The Star yang sejak kebelakangan ini bersemangat menggesa supaya kerajaan mewujudkan semula  sekolah aliran Inggeris, beberapa kali mengemukakan contoh notis atau papan iklan yang lemah penggunaan bahasa "integrasi global" ini.   Sebelum ini, akhbar yang merupakan "kubu" kuat penyokong PPSMI dan kini untuk penyokong  sekolah aliran Inggeris, membesar-besarkan kelemahan terjemahan dalam bahasa Inggeris yang berlaku dalam laman Web Kementerian Pertahanan dengan alasan tersirat, supaya kerajaan terus melaksanakan PPSMI.

Sebelum DBP terus  terpasung dengan "tugas Jabatan Bomba dan Penyelamat" dan The Star terus mengemukakan contoh kelemahan penggunaan bahasa Inggeris pada papan iklan dan notis, atau laman Web jabatan kerajaan, elok di sini diperhatikan tulisan John McWhorter dalam Time pada akhir April,  bahawa penteksan, seperti khidmat pesanan ringkas,  boleh membunuh bahasa Inggeris.  Penteksan menurut beliau, secara betul, bukannya penulisan sama sekali; penteksan sebenarnya lebih seakan-akan bahasa pertuturan.  Dan bahasa "pertuturan" penteksan yang semakin berkembang dan lebih kompleks tahun demi tahun.

Penulisan dari segi sejarah, hujah McWhorter, direka cipta 5500 tahun yang lalu, sedangkan bahasa dapat dikesan wujud sekurang-kurangnya 80,000 tahun.  Namun, tambah beliau, muncul penteksan dan penghantaran mesej, dan oleh itu, revolusi bermula.  Hal ini melibatkan mekanik daya kasar penulisan  (brute mechanics of writing), tetapi dari segi ekonomi, kespontanan dan bahkan kekaburan, penteksan sebenarnya jenis baru pertuturan. "Penteksan mengembangkan jenisnya sendiri dari segi tatabahasa dan amalan (conventions). 


Tuesday, May 28, 2013

Petua untuk Meramalkan Krisis Kewangan Global

SELASA, 28  Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Di tengah krisis kewangan global sedang mengganas pada tahun 2008, Ratu Elizabeth yang mengunjungi  London School of Economics, bertanya:  "Mengapa tidak seorang pun yang sedar akan krisis akan berlaku?"  Baginda dilaporkan mendapat jawapannya ketika baginda mengunjungi +Bank of England pada akhir tahun lalu. 

Sebenar, ada beberapa orang ahli ekonomi yang meramalkan, dan bahkan memberikan amaran bahawa krisis kewangan akan berlaku, antaranya yang sering disebut, ialah "Dr.  Doom" Roubini. Namun, para penggubal dasar dan pengawal selia di Amerika Syarikat terutamanya ketika itu,  menafikan bahawa negara itu akan terhumban ke dalam krisis kewangan. 

Sememangnya, tidak sukar untuk meramalkan krisis kewangan global, seperti yang dibayangkan oleh Mamta Badkar dalam Business Insider, memadai dengan melihat bangunan pencakar langit yang sedang dalam pembinaan.  Menurut beliau, Skyscraper Index, menunjukkan pembinaan bangunan tertinggi di dunia, berkebetulan dengan krisis ekonomi, sejak tahun 1873 hingga 2010.  Misalnya, Kemelesetan Panjang (1873  - 1878) berkebetulan dengan pembinaan Equitable Life Building di New York pada tahun 1873. Krisis kewangan Asia tahun 1997 berkebetulan dengan siapnya pembinaan Menara Berkembar pada tahun 1997.

Monday, May 27, 2013

Australia Senyum Sokmo

ISNIN,  27 Mei 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Dalam kalangan 34 buah negara perindustrian, Australia untuk tiga tahun berturut-turut menduduki tangga teratas dari segi negara paling gembira. Demikian menurut Better Life Index yang dikeluarkan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, yang menyenaraikan ekonomi maju dunia  menurut kriteria, seperti pekerjaan, pendapatan, persekitaran, dan kesihatan.

Indeks tersebut yang dipetik oleh +The Wall Street Journal, menunjukkan Australia mwendahuluji Sweden dan Kanada, pesaing negara pengeksport sumber bahawa seperti Australia yang menikmati faedah peningkatan permintaan Asia terhadap bahan mentah. Negara lain yang turut menduduki 10 teratas ialah Norway, Switzerland, Amerika Syarikat, Denmark, Belanda, Iceland, dan United Kingdom.

Sunday, May 26, 2013

Jimat-cermat Lawan Pertumbuhan

AHAD, 26  Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Debat tentang jimat-cermat, iaitu langkah yang diamalkan oleh banyak negara Eropah, masih belum reda, bahkan semakin hangat, apabila zon euro terus terbenam dalam kemelesetan, manakala di sesetengah negara zon itu, pengangguran tinggi.   Lebih-lebih lagi dengan penerbitan kertas oleh Carmen Reinhart  dan Kenneth Rogoff yang mencetuskan kontroversi. Tatkala ekonomi Eropah  masih muram,  ekonomi Jepun akibat peningkatan perbelanjaan kerajaan telah pulih, melalui pelan induk Abe

Paul Krugman  melalui kolumnya dalam The New York Times mengulas perdebatan dasar antara Keynesian dengan pendukung fahaman jimat-cermat, antara golongan yang memperjuangkan pertumbuhan dengan yang ingin memotong perbelanjaan segera.

Tatkala banyak negara Eropah terus taasub pada jimat-cermat, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),  menggesa United Kingdom, yang juga melaksanakan jimat-cermat, merangsang pertumbuhan.  Negara itu, menurut IMF, masih jauh daripada pemulihan.

Pertembungan antara Keynesia dengan pendukung fahaman jimat-cermat, seperti yang dibahaskan oleh Krugman, boleh dianggap sebagai jimat-cermat lawan pertumbuhan - memetik Michael Spence - yang mengakui bahawa para penggubal dasar terpaksa membuat pilihan yang sukar.  Spence juga menyentuh  kertas Reinhart dan Rogoff bahawa pengumpulan tahap tinggi hutang awam (dan swasta) jika dibandingkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) memperluas kesan negatif terhadap pertumbuhan.

Pengalaman mungkin kasar, Spence mengingatkan, meskipun merupakan guru yang diperlukan.  Pertumbuhan akan tidak dipulihkan dengan mudah atau cepat.  Mungkin kita memerlukan keasyikan dengan jimat-cermat untuk mengajar kita nilai agenda pertumbuhan seimbang.



Friday, May 24, 2013

Orang Perancis Lindungi Bahasa Mereka

JUMAAT, 24 Mei 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH



Ada dua tulisan menarik yang diterbitkan dalam +The Guardian tentang Perancis. Pertama, cadangan Kenneth Rogoff supaya Perancis memainkan peranan utama untuk krisis yang berpanjangan yang melanda zon euro.  Dengan cadangan itu, bermakna bukan lagi Jerman untuk diberikan harapan yang tinggi untuk memikul tanggungjawab menyelesaikan krisis yang semakin hari semakin teruk. Jerman, menurut Jim O'Neill, akhirnya menguasai Eropah sejak bertahun-tahun kelihatan terhegeh-hegeh untuk menyelesaikan krisis zon euro, sehingga mencetuskan keberangan +George Soros, yang  baru-baru ini menggesakan negara itu meninggalkan zon mata wang bersama itu. 

Satu lagi tulisan tentang orang Perancis melindungi bahasa mereka, seperti yang dibahaskan oleh Andrew Gallix, seperti orang British melindungi mata wang mereka. Jati diri Perancis, tegas Gallix, sejak sekian lama terikat pada bahasanya, lebih besar kemungkinannya jika dibandingkan dengan tempat lain.  Beliau juga memetik ucapan Presiden D Gaulle di Quebece pada tahun 1967, yang penuh semangat tentang wilayah berbahasa Perancis itu dan negara Perancis secara keseluruhan.  

Namun,  sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kelonggaran diberikan kepada universiti di Perancis mengajar beberapa kursus tertentu dalam bahasa Inggeris yang antara tujuannya adalah untuk menarik pelajar asing, antaranya dari Brazil dan China.  Walau bagaimanapun, kelonggaran itu mencetuskan kontroversi.

Pada akhir tulisannya, Gallix memetik Roland Barthes yang pernah  menjelaskan bahawa bahasa pada hakikatnya, "fasis," bukan kerana bahasa melakukan penapisan, tetapi kerana bahasa memaksa kita supaya berfikir dan berkata perkara tertentu.


Wednesday, May 22, 2013

Demokrasi dalam Bahaya

RABU,  22  Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Demokrasi selalunya dianggap berjalan  seiringan dengan kapitalisme, meskipun keserasian antara kedua-duanya tidak selalunya indah.  Krisis ekonomi yang melanda sejak beberapa tahun lalu, terutamanya di Eropah, seperti yang berlaku di Italy dan Greece, demokrasi terpaksa dikorbankan demi menyelamatkan kapitalisme. 

Selain itu, disfungsi politik, seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, boleh menyebabkan demokrasi dalam kesusahan, menurut E.J. Dionne  yang menulis dalam +Washington Post.   Selepas seminggu dilanda skandal, hujah beliau, yang mendorong ibu negara itu dan media akhirnya mengabaikan masalah yang para pengundi ambil berat, iaitu pekerjaan, pendapatan, pertumbuhan, peluang, pendidikan, maka berbaloi untuk ditanya sesuatu, terutamanya kecacatan tentang demokrasi di negara itu.

Walau bagaimanapun, distemper politik bukannya terbatas di Amerika Syarikat, sebaliknya tegas Dionne, hampir di seluruh negara demokratik, wujud rasa tidak sabar berkaitan dengan keletihan dengan sistem pilihan raya dan kelas politik.   Sementara warganegara berasa tidak puas hati akibat kelembapan ekonomi, demokrasi pula dalam bahaya kerana diperlekeh.  

Teka-teki, seperti ini, hujah Dionne bukan sukar untuk ditemui di peringkat global, dan bukannya fenomena Amerika Syarikat semata-mata, dengan memetik Mark Mazower, "adakah demokrasi tiba di penghujungnya?" dan politik pilihan raya menempuh dekad yang teruk.

Tuesday, May 21, 2013

Gallup Cuba Kaji Kaedah

SELASA,  21  Mei 2013
Oleh:   ZULKIFLI   SALLEH


Pada musim pilihan raya, terutamanya di negara maju, seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, maka organisasi yang terlibat dalam tinjauan pendapat berlumba-lumba menjalankan tinjauan dan menyatakan dapatan tinjauan itu.  Hal seperti ini juga berlaku di Malaysia baru-baru ini apabila beberapa pihak menyatakan dapatan tinjauan masing-masing.  

Di  Amerika Syarikat misalnya, tinjauan dijalankan oleh pihak yang Parti Demokratik atau Republikan, atau berkecuali,  dan dijalankan, sama ada di peringkat negeri ataupun nasional.  Walau bagaimanapun, dalam pilihan raya Presiden pada tahun lalu, tinjauan pendapat mula dibayangi oleh model peramalan yang diperkenalkan oleh  Nate Silver dan Sam Wang terutamanya. 

Meskipun pilihan raya telah lama berlalu dan genap 100 hari Presiden +Barack Obama menjadi Presiden untuk penggal kedua, perbincangan tentang pilihan raya itu masih belum reda, antaranya tentang Super PAC dan skandal yang melibatkan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri  (IRS) yang menyasarkan Tea Party dan puak konservatif. 

Pastinya, yang tidak kurang menarik ialah pengumuman oleh  Gallup untuk mengkaji semula kaedah tinjauan pendapat yang digunakan dalam pilihan raya Presiden lalu setelah dikritik oleh pelbagai pihak.  Dalam pilihan raya tersebut, Gallup secara konsisten menyatakan calon Republikan, +Mitt Romney mendahului Obama, sedangkan telah diketahui umum bahawa keadaan adalah sebaliknya.  Ralat atau kesilapan yang berlaku dikatakan berpunca daripada pengkaedahan dan persampelan.

Tidak lama selepas pilihan raya, Ketua Editor Gallup, Frank Newport berjanji untuk menjalankan kajian dalam dari segi pengkaedahan tinjauan melalui telefon.  Seperti yang dijanjikan, baru-baru ini Newport mengkaji jenis kajian yang dijalankan terhadap isu, termasuk merangka sampel, menembual pengundi, dan bagaimana memberikan wajaran kepada data, dan memilih kemungkinan pengundi.  Pihak Gallup juga berjanji memaklumkan hasil kajian itu kepada orang ramai. 



Monday, May 20, 2013

Itali: Kebuntuan Politik Kegagalan Jimat-cermat

ISNIN, 20  Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Plihan Raya Parlimen Itali yang berlangsung pada akhir Februari lalu, dipercayai tidak akan mewujudkan kestabilan dan pembaharuan, meskipun pilihan raya itu membuka peluang kepada para pengundi membuat keputusan untuk sebuah negara yang beberapa tahun terhuyung-hayang di lurah krisis fiskal. Jika rakyat negara itu memilih kerajaan yang keberatan melaksanakan pembaharuan ekonomi, atau menangguhkan perubahan yang dilaksanakan baru-baru ini yang direka untuk menjadikan ekonomi lebih berdaya saing, nescaya keupayaan Itali membayar balik hutang  diragui. 
            Protes besar-besaran yang kemudian diterjemahkan ke dalam peti undi oleh rakyat Itali yang berang terhadap kesukaran ekonomi mereka menyebabkan negara ekonomi ketiga terbesar di zon euro berkeputusan “parlimen tergantung,” iaitu tidak ada mana-mana parti yang meraih undi yang cukup untuk membentuk kerajaan. Keputusan pilihan raya itu menunjukkan bahawa parti yang antieuro memperoleh lebih 50 peratus undi dan gerakan populis baru mencapai keputusan yang memeranjatkan, menggegarkan pasaran global dengan ketakutan terhadap krisis baru di zon euro.  Mata wang bersama Eropah itu menjunam jika dibandingkan dengan dolar dan yen, manakala saham Amerika Syarikat terjejas teruk dengan kejatuhan yang besar dalam satu hari sejak November tahun lalu.
            Undi yang berpecah itu menyaksikan tidak ada  pemenang yang jelas, dengan calon tengah-kiri Pier Luigi Bersani mendahului lawan, memperoleh 29.6 peratus undi berbanding dengan pencabar terdekat, iaitu bekas Perdana Menteri Silvio Berlusconi dan sekutunya memperoleh 29.2 peratus undi Dewan Rakyat.  Meskipun memperoleh undi majoriti di Dewan Rakyat, untuk Dewan Senat, Bersani kekurangan majoriti mutlak, yang beliau perlukan untuk meraihkan kemenangan lengkap. Selain itu, tengah-kiri diragui kemampuannya menangani krisis kewangan kerana setakat pilihan raya itu, parti tersebut tidak memberikan penjelasan yang jelas tentang dasar ekonomi.
Orang yang benar-benar tewas dalam pilihan raya tersebut ialah Mario Monti, teknokrat yang  dilantik sebagai Perdana Menteri Itali pada November 2011, menggantikan Silvio Berlusconi yang dipilih oleh rakyat.   Perlantikan seperti itu  (juga berlaku di Greece) atas kehendak Brussels dan Berlin dianggap sebagai pencabulan terhadap demokrasi semata-mata demi menyelamatkan kapitalisme yang bergelut dengan krisis.  Monti yang diberikan harapan yang tinggi untuk menyelamatkan Itali daripada krisis kewangan, akhirnya terbukti gagal kerana beliau diperhatikan membenarkan dirinya ditakrifkan oleh langkah jimat-cermat yang tidak popular.  Dalam pilihan raya itu, beliau memperoleh 10.6 peratus undi, sekadar “cukup makan,” tetapi tidak cukup untuk memainkan peranan sebagai dalang politik, yang beliau idam-idamkan dari segi strategi. 
Sebaliknya, yang muncul sebagai pemenang ialah Gerakan Lima Bintang, iaitu kumpulan politik baru, pimpinan Beppe Grillo, yang berkempen atas pentas memansuhkan jimat-cermat, yang memperoleh 25.5 peratus undi.  Gerakan tersebut hanya muncul sebagai parti tiga setengah tahun lalu, diabaikan oleh akhbar, dan langsung tidak mendapat liputan dalam stesen televisyen milik Berlusconi. Sebagai alternatif, Gerakan Lima Bintang terpaksa berusaha sendiri untuk berkembang, terutamanya bergantung pada pandai menggunakan Internet, dan enggan menerima wang kerajaan yang dapat diperoleh untuk membantu kempennya.  “Grillo ialah fenomena Itali,” menurut Spiegel Online International, “tetapi pencapaian partinya merupakan pernyataan keberangan dan kebimbangan yang membara yang merebak di seluruh Eropah Selatan yang dilanda krisis.  Gerakan warga baru terbentuk, iaitu gerakan yang sama-sama tidak mempercayai sistem politik yang mapan dan menuntut lebih banyak demokrasi akar umbi.”
Pilihan raya  juga menyaksikan kepulangan semula  Silvio Berlusconi yang bergelumang dengan skandal seks dan pesta “Bunga Bunga,” ke pentas politik Itali. Berlusconi yang terpaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri, memperoleh undi kedua terbesar, yang sekali gus menandakan penolakan para pengundi terhadap pengganti beliau, iaitu Mario Monti, yang berusaha menaikkan cukai, memotong pencen, dan memotong defisit belanjawan.
Untuk pertama kali dalam memori saya, ulas Maria Laura Rodota dalam The Observer, tidak ada sesiapa yang mengadakan perayaan selepas pilihan raya umum. Tidak ada perayaan daripada Demokrat, yang diunjurkan muncul sebagai pemenang, tetapi berkesudahan dengan kekalahan.  Tidak juga daripada tujuh orang pengundi (jatuh daripada 13 juta orang pada tahun 2008) yang masih memilih Silvio Berlusconi dan kemudian menjadi tidak kelihatan.  “Bahkan, tidak ada mana-mana perayaan daripada pemenang sebenar, iaitu golongan militan dan pengundi Gerakan Lima Bintang.  Bagaimana Itali berkesudahan memilih dengan parti populis yang nama kedengaran seakan-akan hotel mewah?”  Para pengundi parti pimpinan Beppe Grillo terjejas teruk akibat kemelesetan dan tidak berminat untuk menyambut kemenangan. Jelas Maria Laura, juga tidak ada sesiapa pun yang tahu, atau benar-benar peduli, di manakah ibu pejabat parti itu sebenarnya.
Seperti yang diperhatikan, pilihan raya  tersebut bukan sahaja memutuskan siapakah yang mengawal kerajaan baru, tetapi juga bagaimana Itali  akan terus menangani krisis ekonomi di negara sendiri dan di seluruh Eropah. Namun, dikhuatiri bahawa Rome lebih berpecah belah berbanding dengan Washington yang bergelut dengan kebuntuan politik yang berpanjangan.  Nyata bahawa Itali juga terpaksa menghadapi situasi seperti itu apabila  Grillo, bekas pelawak, menolak kemungkinan partinya bergabung dengan tengah-kiri untuk membentuk kerajaan baru.
Keputusan pilihan raya itu menyebabkan pasaran panik. Pasaran saham di seluruh Eropah menjunam.  Sementara para pelabur memutuskan bahawa rakyat Itali memberontak terhadap jimat-cermat Kesatuan Eropah  yang diilhamkan oleh Jerman, tetapi pandangan ini, dikatakan ditolak di Berlin.  Prestasi kuat Berlusconi yang di luar jangkaan,  boleh dihujahkan tercetus daripada bukan sekadar penolakan terhadap jimat-cermat.
Joseph E. Stiglitz yang mengulas keputusan pilihan raya itu dalam Project Syndicate, menegaskan sepatutnya menghantar mesej yang jelas kepada para pemimpin Eropah bahawa dasar jimat-cermat yang mereka laksanakan ditolak oleh para pengundi.  Bagi Penerima Hadiah Nobel Ekonomi itu, menggalakkan teknokrat mentadbirkan negara, yang seakan-akan mengetepikan proses demokratik, dan memaksa mereka melaksanakan dasar yang membawa kesengsaraan terhadap orang ramai dengan berleluasa.  “Meskipun pemimpin Eropah enggan meninggalkan jimat-cermat,” tulis Stiglitz, “dari segi realiti, adalah bahawa kebanyakan negara dalam Kesatuan Eropah dalam kemelesetan.”  Kehilangan output di Itali sejak permulaan krisis, jelas beliau, adalah seteruk tahun 1930-an.  Pengangguran dalam kalangan belia Greece kini melebihi 60 peratus, dan Sepanyol lebih 50 peratus.  Dengan kemusnahan modal insan, struktur sosial Eropah berkecai, dan masa depannya dihumbankan ke dalam bahaya.  Bagi Stiglitz, “Eropah memerlukan satu dekad atau lebih untuk memulihkan kerugian yang ditanggung akibat proses jimat-cermat ini.”
The Editors dalam Bloomberg yang mengulas pilihan raya Itali turut mengingatkan bahawa langkah jimat-cermat tidak akan popular dalam kalangan pengundi, melainkan mereka diyakinkan bahawa kesengsaraan dikongsi secara meluas dan hanya sementara waktu.  “Akan tetapi,” hujah The Editors, “hal ini tidak mudah.  Bahkan jika kerajaan terus melaksanakan program jimat-cermat mereka, maka mereka mungkin hanya berjaya membunuh pertumbuhan ekonomi yang mereka perlukan untuk memulihkan keutuhan kewangan.”
Walau bagaimanapun, dikatakan bahawa wujud salah faham tentang daya pujukan Beppe Grillo.  Sebenarnya, bukan undi menentang jimat-cermat, tetapi undi menentang golongan pemerintah dan rasuah.  Dalam pada itu, undi menunjukkan pecah belah Itali amat dalam, iaitu dari segi wilayah dan generasi. 
Dalam konteks yang lebih luas, keputusan pilihan raya Itali itu, seperti yang dibahaskan oleh Robert J. Samuelson, “kembali semula krisis euro.”  Melalui makalahnya dalam The Washington Post, Samuelson menegaskan bahawa pilihan raya terbaharu itu memadamkan optimisme.  Keputusannya seakan-akan campuran kekaburan dan anarki, hujah beliau yang turut mengulas prestasi Berlusconi:  berulang-ulang kali mengumumkan kematian dari segi politik, bangkit dari kuburan, dan hampir menang.  Antara pakatan tengah-kanan Berlusconi dengan kumpulan tengah-kiri Pier Luigi Bersani yang menang dalam undi popular, wujud ketidaksefahaman dasar utama, dan dengan itu, tidak banyak asas untuk membentuk kerajaan dengan majoriti parlimen.
Rakyat Itali menghantar mesej bahawa pilihan raya bukan sekadar antijimat-cermat semata-mata, tetapi juga anti-Jerman.  Retorik Berlusconi adalah sangat anti-Jerman.  Dalam politik Itali sekarang, sememangnya bahaya untuk kelihatan menjadi pengikut setia Canselor Angela Merkel. “Dalam satu pukulan yang mengagumkan,” tulis Samuelson, “pengundi Itali menolak kedua-duanya, iaitu respons utama Eropah terhadap hutang kerajaan yang tinggi, iaitu memotong perbelanjaan, meningkatkan cukai, dan arkitek yang paling berkuasa terhadap dasar tersebut, Angela Merkel dari Jerman.  Jika Itali perlu diberikan pelan penyelamat, rundingan telah pun kelihatan berliku-liku.”
Rasa geram terhadap jimat-cermat bukannya misteri,  jelas Samuelson, “ekonomi Itali menguncup enam suku tahun berturut-turut.  Pada tahun 2013, ekonomi negara itu akan menguncup satu peratus lagi, dan kadar pengangguran pada Disember lalu ialah 11.2 peratus.  Pokoknya, rakyat Itali tidak banyak memperoleh pulangan daripada jimat-cermat mereka.  Sementara cukai meningkat.”
Krisis ekonomi global yang berlaku sejak beberapa tahun lalu, dan tidak menunjukkan tanda untuk reda, seperti yang berlaku di Eropah, terutamanya di zon euro, bukan sahaja mengakibatkan kapitalisme muflis dan  globalisasi terumbang-ambing, bahkan demokrasi semakin comot.  Kapitalisme dan demokrasi yang sepatutnya seiring jalan, kelihatan menyimpang antara satu sama lain.

Saturday, May 18, 2013

Rasis dan Risiko: Di Manakah Malaysia?

SABTU, 18  Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada minggu ini, ada dua pemakluman kajian di peringkat, yang turut melibatkan Malaysia.  Pertama,  kajian tentang  negara yang paling rasis di dunia, yang dipetik oleh Daily Online, yang pada asalnya diterbitkan dalam The Washington Post, dan kemudian dikemaskinikan.  

Kajian yang menanyakan responden jika mereka mahu jiran mereka adalah daripada kaum yang berbeza, menunjukkan bahawa Hong Kong, Bangladesh, Jordan, dan India, ialah negara yang kurang tolak ansur, manakala Amerika Syarikat, Britain, Kanada, dan Amerika Selatan, adalah dalam kalangan kurang rasis. 

Kumpulan kedua negara yang kurang bertolak ansur, yang melibatkan  antara 30 peratus hingga 39.9 peratus responden ialah Mesir, Arab Saudi, Iran, Vietnam, Indonesia, dan Korea Selatan, manakala Malaysia tergolong dalam kumpulan ketiga negara yang kurang bertolak ansur, dengan 20 peratus hingga 39.9 peratus responden, bersama-sama Perancis, Turki, Bulgaria, Algeria, Maghribi, Mali, Zambia, Thailand, dan Filipina.

Max Fisher yang menulis dalam Washington Post tentang kajian yang dijalankan oleh World Values,  yang meragui kajian itu dengan mengemukakan tiga persoalan.  Pertama, menurut beliau, secara keseluruhan, kemungkinan bahawa sesetengah orang berdusta apabila mereka menjawab soalan ini; sememangnya, memeranjatkan jika mereka tidak berdusta.  Kedua, soalan kajian itu memperoleh keutamaan dalaman, iaitu peribadi; apakah yang responden mahu. Ketiga, soalan kajian merupakan cara menilai tolak ansur kaum, tetapi seperti banyak metriks sains sosial, adalah secara langsung dan tidak sempurna.

Kajian kedua adalah tentang tempat yang berisiko di dunia yang baru sahaja dikeluarkan oleh Aon, yang dipetik oleh Business Insider. Daripada beberapa tahap itu, seperti teruk, tinggi, dan rendah, Malaysia pada tahap sederhana (rujuk peta yang di bawah).





Friday, May 17, 2013

Persaraan Mengecewakan?

JUMAAT, 17 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Dalam hidup ini, satu hakikat yang tidak dapat dielakkan ialah kematian dan persaraan jika seseorang itu bekerja. Hanya antara kedua-dua itu, tidak dapat dipastikan yang mana satu dahulu, kerana ada kalanya seseorang itu meninggal dunia sebelum memasuki alam persaraan.  

Berbicara tentang persaraan, Mail Online menerbitkan kajian bahawa  lupakan hari-hari indah penuh keseronokan semasa bersara, berhenti bekerja sebenarnya boleh membuatkan seseorang itu sengsara dan jatuh sakit.  Kajian mendapati orang dewasa purata 60 peratus lebih berkemungkinan menerima rawatan kerana sakit.  Risiko kemurungan juga meningkat sebanyak 40 peratus.  Peristiwa perubahan hidup boleh jadi lebih stres jika dibandingkan dengan seseorang itu terus bekerja.

Kajian  dilakukan oleh organisasi kumpulan pemikir yang beribu pejabat di London, iaitu  +Institute of Economic Affairs, yang melibatkan sebanyak 9000 orang dewasa, berusia dari 50 tahun hingga 70 tahun dari 11 buah negara Eropah. 

Lain orang, lain pengalaman, segalanya bergantung pada bagaimana seseorang itu menggunakan masa persaraannya. 


Thursday, May 16, 2013

Pertumbuhan Ekonomi Malaysia: Gelora di Hadapan?

KHAMIS, 16 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun 2013, seperti yang dilaporkan, tumbuh 4.1 peratus di tengah-tengah persekitaran luaran yang lemah.  Kadar ini berbeza dengan 5.1 peratus pada suku yang sama pada tahun 2012 dan 6.5 peratus pada suku keempat tahun berkenaan.  

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dipetik sebagai berkata KDNK disokong oleh permintaan domestik yang lebih kuat yang berkembang sebanyak 8.2 peratus pada suku pertama tahun ini.

Jika dibandingkan dengan beberapa buah negara lain, seperti Amerika Syarikat yang mencatatkan kadar pertumbuhan 2.5 peratus dalam tempoh yang sama, Perancis terbenam dalam kemelesetan curam berganda, dan zon euro  terjebak dalam kemelesetan yang berpanjangan, manakala Jepun yang keluar daripada kebekuan mencatatkan pertumbuhan 3.5 peratus pada suku pertama tahun ini,   pastinya kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia, masih dapat "menarik nafas lega."

Namun, dikhuatiri, ekonomi Asia yang gelembung akan meletup, dengan Malaysia bersama-sama Hong Kong dan Singapura, hutang isi rumah melebihi 65 peratus KDNK - sesuatu yang membimbangkan, meskipun lebih rendah daripada hutang isi rumah di Amerika SyarikatBelanda, dan beberapa buah negara lain - sebagai perbandingan.


Wednesday, May 15, 2013

Apabila Selebriti Menulis

RABU, 15 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Dalam sehari dua ini, kebanyakan media di Amerika Syarikat memberikan tumpuan terhadap tulisan +Angelina Jolie yang diterbitkan dalam +The New York Times.  Dalam ruangan "Op-Ed Contributor" tentang pilihan perubatan beliau yang menurut anggaran doktornya beliau mempunyai 87 peratus risiko kanser buah dada dan 50 peratus risiko kanser ovari.

"Saya selalu diberitahu jangan risau," tulis  Angelina Jolie, "tetapi hakikatnya saya membawa gen 'silap,' iaitu BRCA1, yang semakin meningkat dengan ketara risiko saya menghidap kanser buah dada  dan kanser ovari."  

Tulis Angelina lagi, "sebaik-baik sahaja saya tahu inilah hakikat saya, saya membuat keputusan untuk proaktif dan untuk meminimumkan risiko, seberapa yang saya mampu.  Saya membuat keputusan untuk mastektomi berganda pencegahan.  Saya bermula dengan buah dada saya, kerana risiko saya menghidap kanser buah dada adalah tinggi berbanding dengan kanser ovari, dan pembedahan lebih kompleks."  

Pendedahan Angelina Jolie itu mendapat perhatian media utama di Amerika Syarikat, dan merentas Atlantik,  memberikan liputan atau ulasan, seperti NBC News,  The Atlantic Wire, Reuters, Business Insider, Salon, New York Post, Bloomberg, The Daily Beast, The Atlantic, Slate, dan The Guardian

Angelina, menurut BBC, menangis apabila beliau mendapat tahu bahawa beliau mempunyai risiko yang tinggi menghidap kanser buah dada.  Walaupun kehilangan "mahkota" kebanggaannya, beliau dipetik berkata,  "tidak berasa apa-apa kekurangan wanita."


Tuesday, May 14, 2013

Serangga Juga Menjadi Hidangan

SELASA, 14 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Untuk melawan kebuluran global, laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian, seperti yang dipetik oleh +BBC News dan CBS News,  mencadangkan penduduk dunia makan serangga.  Wujud lebih dua juta orang penduduk di seluruh dunia telah pun menambahkan diet mereka dengan serangga.

Menurut laporan itu lagi, makan serangga dapat membantu merangsang pemakanan dan mengurangkan pencemaran.


Perkataan yang Dipulihara Secara Melampau

SELASA, 14 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Pandangan tradisional adalah bahawa perkataan tidak dapat bertahan lebih 8000 hingga 9000 tahun.  Evolusi, "pelabukan" linguistik, dan penerimaan penggantian daripada bahasa lain akhirnya memacu perkataan purba ke arah kepupusan, sebagaimana dinosaur era Jurassic. 

Walau bagaimanapun, menurut David Brown yang menulis dalam +Washington Post,  pandangan itu tidak selalunya benar.  Satu pasukan penyelidik mengemukakan senarai dua dozen "perkataan  yang dipulihara secara melampau" yuang hidup selama 150 abad.  Senarai  itu termasuk sesetengah masukan yang boleh diramalkan, seperti "mother," "not," "what," "to hear," dan "man."  Senarai itu juga mengandungi kejutan, seperti "to flow," "ashes," dan "worm." 

Kewujudan perkataan yang dapat hidup lama menunjukkan wujud bahasa "proto-Eurasiatic" yang merupakan leluhur bersama kira-kira 700 bahasa sezaman yang penutur asal lebih separuh penduduk dunia. 


Sunday, May 12, 2013

Politik Tindakan Afirmatif

AHAD,  12 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sesiapa yang mengikuti liputan media asing tentang Pilihan Raya Umum ke-13,  pastinya dapat mengesan tumpuan liputan itu terhadap  tindakan afirmatif atau tindakan pendorong, yang kononnya mewujudkan ketidakadilan sosial. 

Dasar yang mengutamakan orang Melayu dan kaum bumiputera lain, sambil mengorbankan orang Cina dan India, seperti yang dibahaskan dalam +The Economist dijangkakan berakhir, tidak kira parti mana yang menang kelak.

The Editors Bloomberg yang mengulas keputusan pilihan raya kali ini, membangktikan dasar tindakan afirmatif yang Anwar Ibrahim berjanji akan dihapuskan jika beliau berkuasa.  Dasar ini, seperti yang dicatatkan dalam Time, mendiskriminasikan orang Cina, lalu mereka mengharapkan Anwar Ibrahim berjaya menjadi Perdana Menteri. 

Sementara Joe Cochrane yang menulis dalam The New York Times, tentang pascapilihan raya, turut membangkitkan kaum, meskipun beliau tidak membangkitkan dasar tindakan  afirmatif.  "Pilihan raya itu sendiri," tulis Cochrane, "sesuatu pungutan suara tentang politik berasaskan kaum yang wujud di Barisan Nasional, yang memerintah negara sejak merdeka pada tahun 1957."  Menurut sistem ini, tulis beliau lagi, orang Melayu diberikan keutamaan dalam pembelian tanah, pinjaman bank, kemasukan universiti.

Seperti yang diketahui, orang Cina selalu menuduhkan kerajaan Barisan Nasional menganakdirikan mereka melalui dasar tindakan afirmatif.  Mereka menganggap diri mereka sebagai golongan minoriti  di negara ini, tetapi apa yang mereka lupa ialah minoriti dari segi angka tidak bermakna minoriti dari segi sosial.



KDNK Lawan Pertumbuhan

AHAD, 12 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Sebaik sahaja laporan  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat suku pertama tahun 2013 dimaklumkan, iaitu mencatatkan pertumbuhan 2.5 peratus, di bawah jangkaan, Robert Shapiro menulis dalam +The Daily Beast  tentang penyalahgunaan dan makna KDNK. Beliau mengingatkan bahawa kita tidak sepatutnya meletakkan terlalu banyak mempercayai laporan tunggal KDNK.  Data kemungkinan disemak semula, diperiksa semula, dan ditafsirkan semula sepanjang masa. 

KDNK, seperti yang dinyatakan dalam buku teks prauniversiti, mempunyai beberapa kelemahan, misalnya tidak mengambil kira khidmat suri rumah.  Bahkan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dicadangkan supaya kegembiraan atau kesejahteraan turut diambil kira dalam mengukur ekonomi sesebuah negara, walaupun tidak mengambil alih KDNK sama sekali.  

Kritikan terbaharu terhadap KDNK, datangnya daripada hartawan, +Bill Gates, yang menurut beliau,  mengurangkan anggaran pertumbuhan, seperti yang berlaku di Sub-Sahara Afrika.   Tegas Gates, salah satu ukuran pertumbuhan dan penambahbaikan kehidupan manusia ialah KDNK per kapita.  Namun, hujah beliau, KDNK mungkin merupakan petunjuk yang tidak lengkap di negara miskin, yang membangkitkan keprihatinan bukan sahaja penggubal dasar atau orang seperti beliau yang banyak membaca laporan Bank Dunia, tetapi juga untuk setiap orang yang mahu menggunakan statistik sebagai rujukan untuk membantu penduduk miskin di dunia. 

"Sejak lama lagi saya percaya bahawa KDNK mengurangkan anggaran pertumbuhan, bahkan di negara kaya," tulis Gates, "yang pengukurannya agak canggih, kerana amat sukar untuk membandingkan nilai sebangkul barang sepanjang masa yang berbeza."

Walau bagaimanapun, di sebalik beberapa kelemahan atau kekurangannya, KDNK masih tidak ada penggantinya.  Sebarang kritikan terhadap KDNK itu sebenarnya berkait dengan kritikan terhadap  ilmu ekonomi itu sendiri, seperti yang dibahaskan dalam makalah The Economist, yang antaranya memetik  Daniel McFadden, yang menggariskan "sains baru keseronokan."  Beliau menegaskan bahawa ekonomi sepatutnya lebih bergantung pada bidang, seperti psikologi, neurosains, dan antropologi.  Beliau mahu ahli ekonomi menerima bukti daripada disiplin lain bukan sekadar penjelasan cebisan kelakuan yang tidak secocok dengan model piawai. 


Saturday, May 11, 2013

Wang Dapat Membeli Kegembiraan

SABTU, 11 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Siapa yang tidak mahu hidup kaya-raya.  Hina besi kerana karat, hina manusia kerana hidup miskin melarat. Ada wang cik adik sayang, tidak ada wang cik adik melayang.

Seperti yang ditunjukkan dalam carta harian,  +The Economist, wang dapat membeli kegembiraan, memetik kajian baru yang meneliti hubungan antara pendapatan dengan kesejahteraan.  Meskipun sesetengah negara kelihatan lebih gembira jika dibandingkan dengan negara lain, orang ramai di mana-mana sahaja adalah lebih mencapai kepuasan apabila mereka semakin kaya.  Bahkan yang lebih jelas, hubungan antara pendapatan dengan kegembiraan sukar berubah apabila pendapatan meningkat.  Bergerak daripada kaya kepada lebih kaya kelihatan meningkatkan kegembiraan, sebagaimana bergerak daripada miskin kepada kurang miskin.  Seseorang itu tidak benar-benar semakin letih kerana memperoleh pendapatan yang lebih.


Friday, May 10, 2013

Politik dan Perubahan Demografi

JUMAAT, 10 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tulisan ini bukan tentang politik Malaysia yang Pilihan Raya Umum ke-13 baru sahaja selesai, yang menyaksikan pelbagai fiil orang politik: muram, berang, merungut, dan tidak kurang juga riang gembira.  Sebaliknya, tulisan ringkas ini merujuk makalah yang ditulis oleh +Nate Cohn dalam +The New Republic.  

Dalam makalah terbaharu itu, Cohn menegaskan bahawa akibat perubahan demografi, maka Republikan akan menghadapi kesukaran untuk memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika tahun 2016, meskipun ketika itu,  Presiden +Barack Obama tidak ada lagi. Cohn merujuk November 2012 Current Population Survey (CPS) Voting and Registration Supplement, yang berasaskan temu bual dengan beratus-ribu penduduk.  CPS bertanyakan rakyat Amerika, sama ada mreeka menyertai pilihan raya tahun lalu.

Tidak memeranjatkan, hujah Cohn, CPS mendapati bahawa pengundi tahun 2012 lebih pelbagai jika dibandingkan dalam mana-mana pilihan raya.  Orang kulit putih yang mewakili hanya 73.7 peratus pengundi, jatuh daripada 76.3 peratus pada tahun 2008 dan 79.2 peratus tahun 2004.   Secara perbandingan, tinjauan pendapat keluar mendapati bahawa orang kulit putih mewakili 72 peratus pengundi tahun 2012, berbanding 74 peratus (2008) dan 77 peratus (2004).  

Untuk pertama kali, CPS mendapati kadar orang kulit hitam yang keluar mengundi mengatasi orang kulit putih, dengan 66.2 peratus orang kulit hitam keluar mengundi berbanding dengan 64.1 peratus orang kulit putih.  Banyak pihak yang menjangkakan bahwa orang kulit hitam yang keluar mengundi akan merosot pada tahun 2012, tetapi CPS sebenarnya mendapati bahawa orang kulit hitam yang keluar mengundi, bahkan lebih tinggi pada tahun 2012 berbanding dengan tahun 2008, meningkat daripada 64.7 peratus kepada 66.2 peratus.

Berbeza dengan jangkaan prapilihan raya oleh banyak pengulas, CPS mendapati bahawa kadar keluar mengundi orang kulit putih bukan Hispanic (dengan itu, orang kulit putih) dan Hispanic merosot:  Orang Hispanic yang keluar mengundi jatuh daripada 49.9 peratus kepada 48 peratus, manakala orang kulit putih merosot daripada 66.1 peratus kepada 64.1 peratus warganegara dalam lingkungan umur mengundi.  Walaupun begitu, bahagian Hispanic yang meningkat daripada jumlah penduduk membolehkan bahagian pengundi Hispanic meningkat sebanyak mata penuh, daripada 7.4 peratus kepada 8.4 peratus.

Di peringkat negeri, CPS sentiasa menyanggah tinjauan pendapat keluar, ada kalanya begitu ketara.  Di setiap negeri medan pertempuran, CPS mendapati lebih banyak pengundi orang kulit putih berbanding dengan tinjauan pendapat keluar.  Di Colorado, Pennsylvania, dan Ohio, perbezaannya ialah 4.4 titik hingga 6.8 titik. 

Setelah merujuk data demi data yang dikemukakan oleh CPS, Cohn berhujah bahawa masalah besar bagi Republikan adalah punca utama kemerosotan bahagian pengundi kulit putih ialah perubahan demografi, dan bukannya tingginya jumlah orang kulit hitam yang keluar mengundi.  Perubahan demografi adalah signifikan bahawa gabungan Obama akan bertahan untuk kembali kepada kadar yang keluar mengundi pada tahun 2004. 

Dalam makalah yang lain, Nate Cohn, menegaskan bahawa kemenangan Barack Obama pada tahun lalu bukan kerana pengundi kulit hitam yang keluar mengundi, bahkan jika jumlah keluar mengundi sama dengan tahun 2004. +Mitt Romney tetap akan kalah.

Memang, selepas Pilihan Raya Presiden tahun lalu, masa depan Parti Republikan kelihatan pudar, seperti yang dapat dilihat dalam makalah oleh  +John McCain dalam Foreign Policy. Sementara itu, untuk pilihan raya yang akan datang,  pada pihak Parti Demokratik, calon yang diperhatikan terkenal, ialah +Hillary Clinton For President 2016, selain Naib Presiden Joe Biden.  Meskipun masih jauh, Hillary mula dijadikan sasaran berikutan serangan terhadap konsulat Amerika Syarikat di Benghazi pada tahun lalu ketika kerancakan  kempen Pilihan Raya Presiden.

Kota dan Jutawan

JUMAAT, 10 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Wujud 10 buah kota di dunia yang merupakan tempat tinggal para jutawan, menurut kajian, seperti yang dipetik oleh  +CNBC  dan carta harian+The Economist.   Mendahului senarai ialah kota Tokyo yang banyak didiami oleh para jutawan, iaitu menurut kajian, individu yang memiliki AS$1 juta atau lebih dari segi aset, tidak termasuk nilai rumah utama mereka.  

Kajian itu mendapati bahawa Tokyo mempunyai 461,000 orang jutawan, manakala New York yang menduduki tangga kedua dengn 389,000 orang jutawan, diikuti oleh London (281,000 orang), Paris (219,000 orang), dan seterusnya Frakfurt (217,000 orang). Singapura yang juga turut tersenarai, menduduki tangga ke-10 mempunyai 157,000 orang jutawan.



Thursday, May 9, 2013

Pilihan Raya Tahun 2012: Kadar Pengundi Kulit Hitam Keluar Mengundi Lebih Tinggi

KHAMIS, 9 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Golongan pengundi minoriti yang terdiri daripada Latino,  orang Asia, dan pastinya orang kulit hitam,  menyumbang kemenangan Presiden +Barack Obama dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012.  Bahkan semasa kempen berlangsung, pencabar beliau, +Mitt Romney dijangkakan menerima jumlah yang sedikit, disebut sifar daripada kalangan pengundi kulit hitam.

Mencipta sejarah, seperti yang dilaporkan dalam +The Huffington Post, dan The Washington Post, kadar pengundi kulit hitam yang keluar mengundi lebih tinggi jika dibandingkan dengan pengundi kulit putih pada tahun lalu, melonjatkan kemenangan Barack Obama.  Meskipun jumlah penduduk meningkat, bilangan pengundi kulit putih merosot untuk kali pertama sejak tahun 1996.

Pengundi kulit hitam hanya kaum atau kumpulan etnik yang menunjukkan peningkatan jumlah yang keluar mengundi pada November lalu, yang paling ketara di bahagian Tengah Barat dan Selatan Amerika Syarikat.  

Secara keseluruhan, kira-kira 66.2 peratus pengundi kulit hitam yang layak keluar mengundi pada tahun 2012, meningkat daripada 64.7 peratus pada tahun 2008, berbanding dengan orang kulit putih bukan Hispanic, yang keluar mengundi 64.1 peratus, jatuh daripada 66.1 peratus empat sebelum ini.  Sementara Latino merosot sedikit, daripada 49.9 peratus pada tahun 2008 kepada 48 peratus, manakala orang Asia-Amerika, pada asasnya, tidak berubah, iaitu 47 peratus.




Wisel Penamat

KHAMIS, 9 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tidak seperti dalam politik, dalam perlawanan bola sepak ada wisel penamat, seperti yang ditunjukkan dalam carta harian +The Economist  tentang pengumuman persaraan +Sir ALEX Fergusson, pengurus +Manchester United selama 27 tahun. 

Seperti yang ditunjukkan dalam carta harian itu, tatkala pasukan bola sepak terkenal  sering bertukar pengurus, Fergusson kekal dengan Manchester United untuk tempoh yang lama, dan mencipta kejayaan demi kejayaan.   


Tuesday, May 7, 2013

Perjalanan Masih Jauh

SELASA, 7 Mei 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Gempa bumi yang menimpa Jepun pada 11 Mac lalu mengejutkan pasaran di seluruh dunia, harga minyak jatuh dan  pasaran saham, kecuali New York, terhuyung-hayang.  Anggaran awal kos  tragedi itu untuk syarikat insurans utama adalah antara AS$10 bilion hingga AS$15 bilion.  Sementara ahli ekonomi terkenal, Nouriel Roubini dilaporkan berkata, “pastinya, perkara terburuk yang boleh berlaku di Jepun pada masa yang teruk.”  Ekonomi Jepun yang menguncup  sebanyak 1.3 peratus dari Oktober hingga Disember 2010, dan  timbul kebimbangan tentang impak tragedi  yang mungkin wujud terhadap ekonomi global.  Juga dikhuatiri bahawa pemulihan ekonomi Jepun boleh terjejas dan dianggarkan negara itu akan kehilangan satu peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini kerana banyak kilang rosak. Jepun, negara yang paling banyak berhutang di dunia mungkin melancarkan perbelanjaan yang  besar untuk membaiki segala kerosakan akibat gempa bumi dan tsunami.
            Tatkala dunia masih bergelut untuk memantapkan pertumbuhan dan hantu kemelesetan masih mengganggu, bencana alam, seperti yang melanda Jepun, salah sebuah ekonomi terbesar di dunia, boleh menjejaskan rentak pemulihan.  Berita baik tentang ekonomi boleh bertukar menjadi sebaliknya, apatah lagi berita baik itu,  tidak sebaik yang dijangkakan.    
Seperti yang dibahaskan oleh Paul Krugman melalui kolumnya dalam The New York Times pada awal Mac lalu:  Berita ekonomi kelihatan baik sejak akhir-akhir ini.  Tuntutan baru untuk insurans pengangguran jatuh;  tinjauan perniagaan dan pengguna menunjukkan asas yang padu.  Kita masih hampir di bawah lubang yang dalam, tetapi sekurang-kurangnya kita memanjat.   Namun begitu, dalam  “How to Kill a Recovery” itu beliau mengingatkan pemulihan ekonomi masih di kejauhan, antaranya kerana gelembung ekonomi pada tahun-tahun George W. Bush meletakkan banyak rakyat Amerika terpaksa menanggung hutang yang banyak dan pelaburan perniagaan masih tertekan; pengangguran masih tinggi dan pertumbuhan tidak mencukupi;  dan kesan kenaikan harga minyak dan makanan.  


Tambah Krugman, “bahaya yang jelas dan nyata terhadap pemulihan datangnya daripada politik, terutamanya tututan daripada Republikan supaya kerajaan memotong perbelanjaan dengan segera terhadap pemakanan bayi, kawalan penyakit, air bersih, dan banyak lagi.  Potongan ini boleh membawa secara langsung dan tidak langsung terhadap penghapusan beratus-ratus ribu pekerjaan, dan ini boleh membantutkan kitaran kemuliaan pendapatan yang meningkat dan kewangan yang bertambah baik.
Kemudian, Seumas Milne muncul dengan “Fallout from the Crash of 2008 Has Only  Just  Begun”  dalam guardian.co.uk  menyuarakan nada yang serupa, iaitu  pemulihan mungkin lemah dan berombak. Britain pada hakikatnya, telah pun terjebak dalam curam berganda kerana ekonominya menguncup sebanyak 0.6 peratus dalam suku tahun keempat 2010 – itu pun sebelum kesan kebanyakan potongan dan kenaikan cukai dirasai.  Greece dan Portugas, tegas Milne, merupakan negara lain dalam Kesatuan Eropah yang mengalami kemerosotan ekonomi dalam tempoh yang sama.  “Akibat keruntuhan 2008 menuntut jenis baru ekonomi politik,” tulis beliau.  Jika kerajaan campuran Britain asyik membayangkan mereka boleh memotong perbelanjaan dan membatalkan kawal selia untuk keluar daripada stagflasi yang sedang berlaku, nescaya mereka akan gagal dan ketidakpopularan mereka semakin mendalam.
Zon euro masih bergelut dengan krisis sepanjang tahun lalu yang memaksa Ireland dan Greece menerima bantuan kewangan kecemasan dan meningkatkan jangkaan bahawa Portugal, Sepanyol, dan Italy akan mengikuti jejak yang sama.    Yang terbaharu, giliran Sepanyol menanggung kesakitan:  Moody’s menurunkan gred penarafannya terhadap hutang kerajaan Sepanyol pada Mac lalu.  Alasannya, Sepanyol dipercayai memerlukan peruntukan tambahan sebanyak 40 bilion hingga 50 bilion euro untuk memulihkan sektor perbankannya untuk stabil sepenuhnya yang mungkin meningkat kepada 110-120 bilion  euro dalam keadaan tertekan.  Dengan penarafan itu, krisis euro dipercayai memakan masa yang lama untuk berakhir.
George Soros ketika bercakap di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos pada akhir Januari lalu menasihati Perdana Menteri David Cameron supaya menukar arah atau menghadapi kemelesetan.  Kerajaan akan menolak semula ekonomi British ke dalam kancah kemelesetan, melainkan kerajaan mengubah suai pakej jimat cermatnya yang tidak bersifat tidak bertolak ansur itu. Kata Soros, “Saya tidak fikir pakej itu mungkin dilaksanakan tanpa mencampakkan ekonomi ke dalam kemelesetan.” Tambah beliau, “Kita perlu melihatnya terbongkar.  Jangkaan saya adalah terbukti bahawa tidak mapan.” 
Kebimbangan  itu muncul selepas amaran Nouriel Roubini yang meletakkan United Kingdom dalam kumpulan negara yang lemah di zon euro kerana kemampuan ekonomi global masih menghadapi risiko kemelesetan curam berganda.  Membandingkan tinjuan  itu  dengan tinjauan di Davos pada tahun sebelumnya, Roubini berkata:  “Risiko hujung kemelesetan curam berganda yang nyata dan deflasi yang nyata adalah rendah jika dibandingkan dengan tahun lalu, bahkan jika data untuk United Kingdom dan ekonomi zon euro pinggir seakan-akan menunjukkan wujud risiko curam berganda.”
Di Davos 2011 itu juga dimaklumkan bahawa ekonomi dunia masih dalam keadaan lemah selepas krisis kewangan 2007 – 2009.  Kajian risiko tahunan yang disediakan untuk WEF mengenal pasti ketidaksamaan dan kelemahan tadbir urus global sebagai dua cabaran utama yang dihadapi oleh penggubal dasar. Menurut laporan itu, “dunia tidak bersedia menghadapi kejutan yang besar yang baru.  Krisis kewangan mengurangkan daya pemulihan ekonomi global, manakala ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan kebimbangan sosial yang ditonjolkan menunjukkan kedua-dunya, iaitu kerajaan dan masyarakat kurang mampu jika dibandingkan dengan dengan sebelumnya untuk mendepani cabaran global.”
Meskipun pertumbuhan berlaku semula sejak kemelesetan global mencecah jurangnya pada musim bunga 2009, kajian WEF itu melahirkan kebimbangan tentang ancaman yang dicetuskan oleh ketidakseimbangan ekonomi global, bahaya negara memungkirkan hutang mereka, pertumbuhan ekonomi haram, dan tekanan terhadap makanan dan air akibat pertambahan dan kekayaan penduduk global.
Pemakluman berakhirnya kemelesetan, siapa memperbudakkan siapa?  Krisis ekonomi berakhir dan ekonomi dunia balik kepada pertumbuhan dan keuntungan seperti  sediakala.  Namun begitu, apabila orang ramai berkata bahawa pemulihan tidak rasa pemulihan, mereka menjelaskan keadaan yang sebenar.  Meskipun ekonomi berkembang, tetapi banyak orang di mana-mana sahaja merasakan hidup mereka tidak lebih baik, antaranya kerana pengangguran masih tinggi. Akibat kemelesetan yang bermula pada tahun 2008,  berjuta-juta orang di Amerika dan seluruh dunia hilang rumah dan pekerjaan mereka.   Krisis yang bermula di Amerika, serta-merta merebak di peringkat global, dengan  berjuta-juta orang hilang pekerjaan di seluruh dunia. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memaklumkan bahawa 27 juta orang kehilangan pekerjaan  di seluruh dunia pada tahun 2009. 
Persoalan untuk  tahun 2011 adalah sama ada  pertumbuhan akan pula diterjemahkan ke dalam kemakmuran yang lebih luas – memetik editorial The New York Times pada 2 Januari lalu. Sejarah akan menunjukkan bahawa tahun 2011 ialah tahun yang teruk. Bagi   yang pesimistik tentang pemulihan, antara hujah mereka apa yang berlaku bukannya kemelesetan (recession), tetapi depression. Kerancakan pasaran saham  tidak boleh dijadikan ukuran kerana  bilangan orang yang menikmati pertumbuhan dan keuntungan adalah terhad.
Seperti Immanuel Wallerstein bahaskan dalam laman webnya pada awal tahun ini, apabila ekonomi dunia menjadi beku, seperti ekonomi dunia sejak tahun 1970-an,  beberapa perkara berlaku.  “Apabila pengangguran masih tinggi,  setiap negara mencuba untuk mengeksport pengangguran itu antara satu sama lain.  Oleh sebab kebekuan berterusan, gambaran negatif semakin besar yang apabila media mula bercakap tentang ‘krisis,’ dan ahli politik mencari penyelesaian segera.   Mereka melaksanakan jimat cermat.” 
Ketika di Singapura pada awal Februari lalu, Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan,  Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengingatkan bahawa pemulihan ekonomi global “diserang segenap penjuru oleh ketegangan dan bebanan yang boleh menyemaikan benih untuk krisis akan datang.”  Beliau mengingatkan ahli politik bahawa meskipun pemulihan sedang berlaku, “tetapi ini bukannya pemulihan yang mereka inginkan.”  Tegas beliau lagi, tanpa pekerjaan dan jaminan pendapatan, tidak berlaku lantunan dalam permintaan domestik, dan akhirnya, tidak wujud pemulihan mapan.
Khusus untuk ekonomi maju, bagi Strauss-Kahn, yang penting adalah untuk menggalakkan pertumbuhan dan pewujudan pekerjaan.  Meskipun pembaharuan struktur adalah penting untuk menjadikan ekonomi ini lebih berdaya saing, tetapi pembaharuan ini akan menghasilkan pulangan dalam jangka panjang.  Maka, untuk penambahbaikan jangka pendek, beliau mencadangkan tindakan segera dari segi pembaikian dan penambahbaikan sektor kewangan untuk mengurangkan risiko dan menyediakan landasan untuk pertumbuhan kredit yang sihat.
Dalam meninjau ekonomi sejak beberapa tahun lalu, Joseph Stiglitz yang menulis dalam guardian.co.uk, pada awal Januari, berkata, “Untuk Eropah dan Amerika Syarikat, tahun 2010 ialah tahun yang mengecewakan.  Tiga tahun sejak gelembung meledak, dan lebih dua tahun sejak Lehman Brothers runtuh. Pada tahun 2009, kita ditarik  keluar  daripada pinggir depression, dan 2010 sepatutnya tahun peralihan.”  Pertumbuhan, tambah beliau, difikirkan mungkin perlahan sedikit pada 2011, tetapi berlaku hantukan kecil dalam perjalanan kepada pemulihan yang kuat.”
Dunia, seperti yang pernah dibangkitkan oleh Mervyn King, Gabenor Bank of England, berkeadaan tidak seimbang dalam erti kata, negara “lebihan”  bergantung berlebih-lebihan pada eksport, manakala  negara “defisit” mengguna terlalu banyak, dikenal pasti sebagai punca yang menyebabkan krisis kewangan dan kemelesetan  yang menyusul.  Isu tersebut  kritikal kini kerana ancaman fahaman perlindungan semakin meningkat.  Dalam ucapan di Stanford Institute for Economic Policy Research  di  California pada Mac lalu, King menggesa IMF menerajui kerjasama dunia supaya laluan ke  arah ekonomi global yang lebih mapan dapat ditemui.  “Pengajaran utama,” kata beliau, “daripada pengalamann ketidakseimbangan ialah rangka dasar nasional sahaja tidak mampu mencegah permintaan domestic daripada tumbuh pada kadar tidak mapan.”
Pemberontakan di dunia Arab,  kenaikan harga minyak, dan krisis makanan menyamarkan lagi perjalanan ke arah pemulihan yang lebih mantap.  Apabila pemberontakan merebak ke Libya, negara yang kaya dengan minyak, kesan kenaikan yang ketara  harga komoditi yang lebih tinggi terhadap pemulihan global dijangkakan dramatik: kesan berbalik kepada diri sendiri krisis asal yang akan menjejaskan pertumbuhan dan merancakkan inflasi.  Diperhatikan bahawa kenaikan yang ketara harga tenaga, makanan, dan air  akan  pertumbuhan penduduk  dunia dan peningkatan peratusan penduduk yang membuat permintaan berlebihan terhadap bahan keperluan  tersebut. 
Berita gembir tentang ekonomi pada tahun lalu, seperti pertumbuhan yang memberangsangkan untuk sesetengah negara, seperti Malaysia 7.2 peratus, hanya keriangan  sementara. Sesungguhnya, tahun 2011 tidak menjanjikan sesuatu yang lebih baik, paling tidak dari segi pertumbuhan dan pengangguran. Secara keseluruhan, perjalanan masih jauh.   Namun, pastinya masih jauh lebih baik daripada semakin jauh. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi,  Mei 2011.)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...