Artikel Popular

Wednesday, May 28, 2014

Tahun Krisis

SELASA, 28  Mei 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tahun 2011 diwarnai oleh pergolakan politik dan kekacauan sosial yang berpunca daripada krisis ekonomi yang berpanjangan.  Dari Dataran Tahrir ke Wall Street berlaku kebangkitan yang luar biasa dan menakjubkan di serata dunia yang memperlihatkan keberangan terhadap golongan elit ekonomi  yang menguasai sejumlah besar kekayaan, dan terhadap elit politik yang  bersekongkol dengan  mereka. Di mana-mana sahaja menyaksikan golongan 99 peratus bangkit menentang golongan satu peratus demi menuntut agihan pendapatan yang lebih adil.   
Selain krisis ekonomi dan kewangan, pada tahun 2011, dunia dilanda krisis makanan, dan bahkan krisis air apabila dilaporkan lebih satu bilion orang tidak mempunyai akses untuk air minuman yang selamat.  Impak kesihatan dan ekonomi adalah terlalu besar apabila lebih 7000 orang kanak-kanak hampir  mati setiap hari kerana air yang kotor.   
            Secara keseluruhannya, sepanjang tahun lalu, perhatian lebih banyak tertumpu terhadap krisis zon euro yang jalan penyelesaian seakan-akan buntu.  Jika bertitik tolak daripada krisis hutang Greece, maka bermakna zon mata wang bersama yang kini terdiri daripada 17 buah anggota, menghadapi krisis lebih setahun.  Krisis hutang zon euro  itu dikatakan mempunyai kesan domino apabila sebuah demi sebuah di zon euro bergelut dengan krisis hutang.  
            Negara pinggir zon euro yang dikenali oleh akronim "PIIGS” (Portugal, Ireland, Italy, Greece, dan Sepanyol) menghadapi krisis yang berpanjangan yang bukan sahaja mencemaskan Eropah, tetapi juga menghantui dunia yang masih bergelut dengan pemulihan ekonomi yang lemah dan pertumbuhan yang perlahan. "Terkandas di tengah dengan Eropah,"  demikian gambaran yang jelas kelihatan,  dan Eropah,  akibat krisis tersebut,   menjunam ke dalam curam yang amat dalam. Pada pertengahan November lalu, seakan-akan menyaksikan beberapa anggota  “PIIGS”  meronta dan menyondol.  Dalam tempoh kurang daripada seminggu, dua Perdana Menteri yang dipilih rakyat, pertama George Papanderou dari Greece, kemudian Silvio Berlusconi dari Italy,  terpaksa meletakkan jawatan dan memberikan laluan kepada golongan teknokrat, iaitu masing-masing kepada Lucas Papademos dan Mario Monti. 
Masalah Italy yang membangkitkan kebimbangan terhadap masa depan Kesatuan Eropah, seperti yang dibahaskan oleh  Fareed Zakaria melalui Facebook-nya   bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu menghampiri sifar - tidak ada pertumbuhan sama sekali.  "Ekonomi Italy, tidak berkembang untuk seluruh dekad ini. Tidak ada penyusunan semula hutang yang akan berfungsi jika ekonominya terus beku untuk dekad yang seterusnya."   Dalam satu tulisan sebelum ini, Fareed menegaskan bahawa masalah sebenar Eropah ialah Italy, dan bukannya Greece.  Meskipun banyak liputan diberikan terhadap Greece, negara itu ialah nanonegara yang menyumbangkan hanya dua peratus KDNK Kesatuan Eropah. Sebaliknya, Italy, sebuah daripada tujuh ekonomi terbesar di dunia.  Hutangnya lebih besar daripada hutang Sepanyol, Portugas, Ireland, dan Greece yang disatukan kesemuanya.  "Italy terlalu besar untuk gagal, tetapi juga mungkin terlalu besar untuk diselamatkan."
Tatkala Italy bergelut dengan krisis hutang dan pergolakan politik, tiba-tiba perhatian turut tertumpu pada Perancis yang didapati tidak stabil.  Ancaman krisis zon euro merebak ke Perancis dan Paris  didesak untuk menjamin pasaran bahawa negara itu dapat mengekang situasi yang terjejas di zon tersebut selepas angka rasmi menunjukkan kemerosotan pengeluaran perindustrian yang boleh melenyapkan mana-mana peluang pertumbuhan untuk tahun 2012.  Seperti   didedahkan  oleh Nils Pratley dalam guardian.co.uk pada 11 November 2011,  hutang negara zon euro yang berprestasi buruk sepanjang dua hari lalu, bukannya Italy, tetapi Perancis. Bank-bank Perancis lebih banyak memikul hutang Italy jika dibandingkan dengan bank-bank lain, iaitu kira-kira 300 bilion euro.  Pada tahun 2012, Perancis dijangkakan pengalami pertumbuhan hanya 0.6 peratus.
Sementara Sepanyol yang mengadakan pilihan raya umum pada 20 November 2011 yang membawa kemenangan besar-besaran kepada Parti Rakyat pimpinan Mariano Rajoy tidak dapat mengawal negara itu daripada bergelut dengan krisis hutang yang teruk.  Malangnya, Perdana Menteri yang baru dipilih itu tidak mempunyai kuasa untuk meredakan pasaran. Bahkan, beliau mengingatkan  bahawa  beliau tidak membawa tongkat sakti  dan tidak akan mampu untuk melakukan keajaiban segera, meskpun kadar hasil bon Sepanyol terapung secara bahaya ke arah tahap tujuh peratus yang ahli ekonomi anggap tidak mapan. Sepanyol dikatakan mangsa kelima untuk jatuh ke dalam lengkok kemelesetan Eropah, dengan kadar pengangguran 22.6 peratus, atau 46 peratus untuk pengangguran dalam kalangan belia. Sebelum Kemelesetan Besar, hutang awam negara itu hanya 36 peratus KDNK, dan mengalami lebihan belanjawan hampir dua peratus KDNK pada tahun 2007 dan 2008. Namun, kini Sepanyol menjadi mangsa terbesar modal murah daripada bank-bank Jerman, Belanda, dan Perancis,   dan dinyahstabilkan seterusnya oleh dasar longgar European Central Bank.
Dalam kalangan anggota zon euro, Perancis dan Jerman diletakkan harapan yang tinggi untuk merongkaikan krisis yang berlarutan.  Namun,  kedua-dua pemimpin, iaitu Presiden Nicolas Sarkozy dan Canselor Angela Merkel, kelihatan terhegeh-hegeh, antaranya kerana tekanan politik dalam negara dan tidak mahu “saku dalam” mereka digunakan untuk menyelamatkan sebuah demi sebuah negara di zon berkenaan.  Antara Perancis dengan Jerman, harapan lebih diberikan terhadap Jerman, tetapi terbukti bahawa Angela Merkel tidak sanggup melakukannya, malahan kedengaran suara sinis mengapa terlalu  diharapkan kepada srikandi, ke mana perginya wira? 
Pada tanggapan umum dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan zon euro, ekonomi Jerman secara relatifnya kukuh.  Namun, agak memeranjatkan apabila Spiegel Online International pada 22 November lalu mendedahkan bahawa kewangan Jerman tidak sekukuh seperti yang dipercayai.  “Kerajaan Jerman suka bermegah dirinya tentang kewangannya yang padu dan mendakwa negaranya ialah tempat selamat untuk para pelabur.  Akan tetapi, pengurusan belanjawan Jerman tidak seindah seperti yang orang ramai percaya, dan hutang negara mengatasi had Kesatuan Eropah.  Dari beberapa segi, kewangan Italy lebih baik.”   Laporan terbaharu, bank kedua terbesar di negara itu, iaitu Commerzbank, memerlukan suntikan modal kecemasan.
Krisis hutang zon euro yang terus merayau-rayau mencari mangsanya, yang melampau zon berkenaan.   Hungary menjadi mangsa pertama di Eropah Timur yang dijangkiti oleh krisis zon euro, terpaksa memohon pertolongan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).   Neil Shearing dari Capital Economics dipetik sebagai berkata Hungary merupakan tanda amaran.  “Negara yang risiko paling genting di wilayah itu, maka anda boleh menjangkakan masalah untuk bermula.  Kami takut ini mungkin mereka ke Ukraine dan Balkan.  Eropah Timur memerlukan pembiayaan luaran yang sangat besar untuk sistem perbankan.  Mereka tidak mampu menggulung (roll over) hutang jika berlaku pembekuan kredit di Eropah Barat.”  Hungary terpaksa menaikkan hutang luaran menyamai 18 peratus KDNK sepanjang tahun 2012, manakala 14 peratus untuk Crotia dan 13 peratus untuk Bulgaria. Eropah Timur dilaporkan bergantung pada pemberi pinjaman di zon euro dan subsidiari mereka untuk kira-kira 80 peratus sistem perbankan mereka.  Keadaan ini meletakkan wilayah tersebut mudah terdedah pada kerkahan kredit apabila kumpulan asing memotong buku pinjaman sebanyak dua trilion euro sepanjang 18 bulan untuk memenuhi keperluan Kesatuan Eropah.
Edward Carr yang menulis dalam The Economist, “Staring into the Abyss” berhujah bahawa apa yang berlaku terhadap mata wang, anda juga perlu melihat apa yang berlaku terhadap Eropah.  Euro tidak akan selamat sehingga menjawab beberapa persoalan yang Eropah hindarkan untuk beberapa banyak tahun. Pokok pangkalnya, bagaimana negara-negara Eropah sepatutnya  bertindak balas terhadap dunia yang berubah dengan pantas di sekeliling mereka.  Ketakutan tentang sama ada kerajaan Greece, Portugal, Ireland, Sepanyol, dan yang paling membimbangkan, Italy akan membayar balik hutang mereka AS$4.2 trilion atau lebih, meranapkan bank-bank Eropah yang memilik hutang mereka.  Bank-bank yang dalam kesusahan melemahkan keyakinan dan kredit.  Pelaksanaan jimat-cermat fiskal membawa kemelesetan, mendalamkan lagi ketakutan bahawa kerajaan tidak mampu membayar balik hutang mereka, yang seterusnya melemahkan bank-bank.
Di tengah-tengah krisis hutang yang kelihatan sukar dibendung, pertumbuhan ekonomi di zon euro merosot dengan pantas. Data terbaharu daripada agensi Eurostat, ekonomi blok 17 buah negara itu berkembang hanya 0.2 peratus antara Julai – September 2011.  Pertumbuhan yang kukuh datangnya dari Jerman yang berkembang 0.5 peratus dan Perancis berkembang 0.4 peratus sepanjang tiga bulan tersebut.  Finland dan Austria, kedua-duanya berkembang sebanyak 0.3 peratus, manakala Sepanyol dan Belgium beku. 
IMF baru-baru ini memaklumkan bahawa pertumbuhan KDNK global adalah perlahan pada tahun 2011, yang menurunkan unjuran kepada empat peratus berbanding dengan lima peratus pada tahun 2010.  Sementara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dalam laporannya pada bulan November lalu memaklumkan bahawa tinjauan ekonomi United Kingdom adalah teruk yang memasuki  bulan ketujuh, dikhuatiri ekonomi negara itu menjunam  semula ke dalam kemelesetan.  Akan tetapi, laporan OECD juga menunjukkan bukan hanya Britain yang mengalami tinjuan ekonomi yang muram, tetapi Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Jepun, Italy, dan Perancis, semuanya mengalami kelembapan.  Gambaran antarabangsa yang gelap ini akan membolehkan kerajaan yang terlibat menegaskan bahawa pertumbuhan yang lemah, pengangguran yang tinggi, dan defisit belanjawan yang besar merupakan akibat yang di luar kawalan.
Selain kemelesetan curam berganda dan kebekuan ekonomi, "dekad yang hilang" juga menghantui dunia.  Paling tidak, untuk  Eropah yang  bergelut dengan krisis hutang  dan    Amerika Syarikat yang masih menghadapi  kelembapan ekonomi  serta  kadar pengangguran yang tinggi. “Dekad yang hilang” Jepun  kini dikhuatiri akan diulang tayang di peringkat global.  Bahkan, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, memberikan amaran tentang risiko "dekad yang hilang" untuk ekonomi global, kecuali setiap negara bertindak bersama-sama untuk menentang ancaman terhadap pertumbuhan.  "Di dunia kita yang semakin saling berhubung, tidak  ada negara atau wilayah mampu bertindak sendirian," kata beliau dalam ucapannya untuk forum di Beijing. "Awan gelap berkumpul di ekonomi global."
Daniel Indiviglio menulis dalam The Atlantic, "Welcome to America's Lost Decade",  iaitu "Penjepunan" Amerika mungkin berlaku di sana kerana Amerika Syarikat mengalami tempoh yang lama untuk pertumbuhan.  Beliau memetik beberapa amaran bahawa Amerika Syarikat berkemungkinan lebih teruk daripada Jepun apabila negara itu bermula dengan "dekad yang hilang." Amerika mungkin dalam satu dekad atau lebih bergelut dengan pertumbuhan yang dan kadar pengangguran yang tinggi secara relatif adalah berpunca daripada terlalu banyak meminjam pada semua tahap, bahas Indiviglio.  "Pengguna, negeri, dan kerajaan persekutuan meminjam wang terlalu banyak.  Masalah untuk pemilik rumah, terutamanya teruk, kerana banyak yang kini memiliki aset adalah kurang nilainya jika dibandingkan dengan ketika mereka semasa harga rumah melambung.  Hutang  pinjaman pelajar yang meningkat dengan pantas menjadikan keadaan lebih teruk."
Selepas lebih tiga tahun  Lehman Brothers runtuh, pasaran kewangan global masih terhuyung-hayang.  Sistem kewangan United Kingdom dilaporkan lebih mudah terdedah kepada kejutan besar jika dibandingkan dengan mana-mana masa sejak keruntuhan Lehman Brothers pada tahun 2008. Sementara kekhuatiran bahawa zon euro akan berkecai mengharu-birukan lagi pasaran sejak beberapa bulan lalu, meskipun dijangkakan bahawa perpecahan itu adalah mustahil.  Bahkan, dijangkakan Kesatuan Eropah lebih mudah runtuh jika dibandingkan dengan zon euro.
Oleh sebab zon euro terus bergelut dengan krisis hutang, maka banyak tumpuan diberikan untuk menyelesaikan masalah hutang negara yang terlibat melalui pelan penyelamat yang disediakan oleh IMF dan Kesatuan Eropah, di samping melaksanakan pemotongan belajawan dan langkah jimat-cermat.  Dari segi politik, beberapa pemimpin negara digantikan bukan sahaja melalui demokrasi, tetapi juga dengan cara yang mengaibkan iaitu teknorasi.  Pemimpin ini tidak dipilih oleh rakyat negara yang berkenaan, tetapi ditunjukkan oleh Brussels dan Berlin.
Tumpuan terhadap krisis hutang menyebabkan berlaku pengabaian masalah dalam ekonomi sebenar, iaitu pertumbuhan yang rendah dan pengangguran yang tinggi.  Di Eropah khususnya, benua tersebut memerlukan pertumbuhan, tetapi di benua itu, sebagaimana di beberapa negara lain, pertumbuhan tidak kunjung datang. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Januari 2012.)

Tuesday, May 27, 2014

Harga yang Perlu Dibayar

SELASA, 27 Mei 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Semasa menuntut di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, saya pernah mengambil kursus tahun dua, iaitu “Kemiskinan dan Ketidaksamaan.”  Sememangnya, saya tidak membayangkan bahawa kursus sosiologi itu, iaitu "ketidaksamaan," amat  popular sekarang, dibicarakan secara meluas oleh ahli ekonomi terkenal di dunia, memandangkan sejak beberapa dekad lalu, bidang sosiologi tidak lagi mendapat sambutan para pelajar. 
Akibat krisis ekonomi  yang tercetus   pada tahun 2008,  banyak kajian menunjukkan ketidaksamaan pendapatan di Amerika Syarikat meningkat.  Pendapatan  keluarga median kini lebih rendah jika dibandingkan dengan 30 tahun lalu.  Editorial akhbar The Washington Post pada Januari 2012 menegaskan   potongan cukai yang dilaksanakan oleh Presiden George W.  Bush menolong  golongan kaya semakin kaya.  Joseph E.  Stiglitz yang menulis “masalah satu peratus”  dalam Vanity Fair  pada akhir Mei 2012 bahawa ketidaksamaan di Amerika Syarikat semakin melebar sejak berdekad.  Kita semua sedar sedar akan hakikat itu.  Memang, wujud sesetengah puak kanan yang menafikan realiti ini, tetapi analisis serius merentasi politik memandang remeh.   Jurang antara satu peratus dengan 99 peratus adalah luas apabila diperhatikan dari segi pendapatan tahunan, dan bahkan semakin melebar apabila diperhatikan dari segi kekayaan, iaitu dari sagi modal yang dikumpulkan dan aset lain.
Makalah tersebut sebenarnya diubahsuaikan daripada buku beliau  yang dalam proses penerbitan  ketika itu, iaitu The Price of Inequality:  How Today’s Divided Society Endangers Our Future  (W.  W. Norton & Company, New York, 2012, 414 hlm., RM79.90).  Dalam prakata buku itu, Stiglitz, penerima Hadiah Nobel Ekonomi, mencatatkan detik dalam sejarah apabila orang ramai di seluruh dunia bangkit, bermula dengan Tunisia, merebak ke Mesir, kemudian ke negara lain di Timur Tengah.  Selepas Libya yang menyaksikan Muammar Qaddafi tumbang, orang ramai di Sepanyol dan Greece, United Kingdom, dan Amerika Syarikat, dan negara lain, mempunyai alasan mereka sendiri untuk turun ke jalanan. Beliau juga menerima undangan untuk bersama-sama penunjuk perasaan di Madris, New York, dan Kaherah. Daripada semua pertemuan itu, beliau merumuskan bahawa wujud pemahaman bersama dalam banyak cara sistem ekonomi dan sistem politik gagal.
Bagi Stiglitz, tiga tema bergema di seluruh dunia:  pasaran tidak berfungsi dengan cara pasaran sepatutnya berfungsi kerana pasaran nyata tidak cekap dan tidak stabil; sistem politik tidak membetulkan kegagalan pasaran; dan sistem ekonomi dan sistem politik secara fundamental tidak adil.  Walaupun buku ini memberikan tumpuan terhadap ketidaksamaan berlebih-lebihan yang mewarnai Amerika Syarikat dan beberapa negara perindustrian maju lain hari ini, buku ini menjelaskan  bagaimana tiga tema itu saling berkait secara rapat bahawa ketidaksamaan merupakan sebab dan akibat kegagalan sistem politik, dan ketidaksamaan menyumbang kepada ketidakstabilan sistem ekonomi, yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan ketidaksamaan.
Ketidaksamaan Amerika, seperti yang dibahaskan oleh Stiglitz, bukan baru sahaja berlaku, dan ketidaksamaan ini dicipta oleh kuasa pasaran.  Menurut  beliau, pasaran sepatutnya stabil, tetapi krisis kewangan global menunjukkan bahawa pasaran  boleh menjadai sangat tidak stabil, dengan kesan yang sangat teruk.  Satu sisi gelap ekonomi pasaran yang jelas ialah ketidaksamaan yang besar dan semakin melebar yang meninggalkan fabrik sosial  Amerika.  Yang kaya semakin kaya, manakala yang lain hidup semakin susah.  Amerika, hujah Stiglitz, semakin terpisah pada kadar yang semakin pesat. Pada tahun pascakemelesetan pertama alaf baru (tahun 2002 ke 2007), golongan  satu peratus atas menguasai lebih 65 peratus jumlah pendapatan negara, manakala kebanyakan rakyat Amerika semakin sengsara. 
Ekonomi Amerika  tidak memberikan manfaat kepada kebanyakan warganegara sejak bertahun-bertahun, meskipun dengan kekecualian  tahun 2009, per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat.  Alasannya mudah, catat Stiglitz, ketidaksamaan semakin berkembang, iaitu jurang yang semakin melebar antara golongan satu peratus atas dengan golongan lain.
“Kita membayar harga yang tinggi untuk ketidaksamaan kita yang besar dan berkembang, dan kerana ketidaksamaan kita terus berkembang, melainkan kita melakukan sesuatu, harga yang kita bayar berkemungkinan berkembang juga,” Stiglitz mengingatkan.  “Mereka yang di tengah dan terutamanya mereka yang di bawah, akan membayar harga yang sangat tinggi, tetapi negara kita secara keseluruhan, iaitu masyarakat kita, demokrasi kita juga akan membayar harga yang sangat  tinggi.”  Dalam demokrasi yang wujud tahap tinggi ketidaksamaan, jelas beliau, politik boleh menjadi tidak stabil juga.
Sistem politik Amerika Syarikat  semakin berfungsi dalam cara yang meningkatkan ketidaksamaan natijah dan mengurangkan kesamaan peluang.  “Kerajaan hari memainkan peranan berganda dalam ketidaksamaan semasa kita,” tulis Stiglitz.  “Kerajaan sebahagiannya bertanggungjawab terhadap ketidaksamaan agihan sebelum cukai pendapatan, dan kerajaan mengambil peranan berkurangan dalam ‘membetulkan’ ketidaksamaan ini menerusi cukai progresif dan dasar perbelanjaan.”
Krisis kewangan global 2007 – 2008 dan kemelesetan besar menyebabkan sebilangan rakyat Amerika tanpa pekerjaan. Meskipun kadar pengangguran turun dari semasa ke semasa, kadarnya masih tinggi, iaitu 6.7 peratus pada Disember 2013.  “Setengah dekad kemudian,” tulis Stiglitz, “satu daripada enam orang Amerika yang inginkan pekerjaan penuh masa masih belum memperoleh pekerjaan itu; kira-kira lapan juta keluarga diarahkan keluar dari rumah mereka, dan berjuta-juta lagi dijangkakan melihat notis perampasan rumah mereka tidak berapa lagi; masih banyak yang melihat simpanan sepanjang hayat seakan-akan lesap.”  Rumus beliau, “krisis ini menjadikan ketidaksamaan ini teruk dengan cara yang tidak terkira banyaknya, melampaui pengangguran yang tinggi, rumah yang hilang, upah yang tergenang.” 
Walau bagaimanapun,  Stiglitz mengingatkan bukannya kuasa pasaran sahaja yang menyebabkan ketidaksamaan.  Bahkan, beliau mengingatkan bahawa “meskipun kuasa pasaran memainkan beberapa peranan dalam pewujudan tahap semasa ketidaksamaan, kuasa pasaran pada hakikatnya dibentuk oleh politik.”  
Mencari sewa turut membawa kepada ketidaksamaan. Amalan  yang berlaku secara berleluasa dan dalam  pelbagai  cara yang kuasa politik semasa membantu golongan kaya sambil mengorbankan golongan miskin.  Di negara yang kaya sumber, aset negara, seperti kawasan telaga  minyak dan lombong mineral dijual  di bawah harga pasaran wajar (fair-market).  Dalam bentuk lain, mencari sewa ialah menjual barang kepada kerajaan di atas harga pasaran.  Seperti yang kita ketahui, amalan ini berlaku secara berleluasa di Malaysia, seperti yang dapat kita lihat dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.  Subsidi kerajaan terbuka (seperti dalam pertanian) atau subsidi tersorok  (seperti sekatan perdagangan yang mengurangkan persaingan atau subsidi yang tersorok dalam sistem cukai) merupakan cara lain mendapat sewa daripada orang ramai.
Masyarakat yang tidak sama secara melebar,  Stiglitz mengingatkan tidak berfungsi secara cekap, dan ekonomi tidak stabil dan tidak mapan dalam jangka panjang.  Apabila satu kumpulan berkepentingan memegang terlalu banyak kuasa,  mereka berjaya dalam mendapatkan dasar yang memberikan faedah kepada mereka, dan bukannya dasar yang memberikan faedah kepada masyarakat secara keseluruhan.
Ketidaksamaan dan ketidakstabilan saling memperkukuh  antara satu sama lain, yang Stiglitz sifatkan “putaran ganas.”  Ketidaksamaan mencetuskan ketidakstabilan,  sebagai akibat kedua-duanya, iaitu dasar pembatalan kawal selia yang digubalkan dan dasar yang secara tipikal diterima pakai sebagai respons terhadap kekurangan permintaan agregat.  Sementara ketidaksamaan mencetuskan ketidakstabilan,  ketidakstabilan sendiri mencetuskan lebih ketidaksamaan. Ekoran daripada krisis kewangan global 2008, kini diakui di peringkat global bahawa ketidaksamaan membawa kepada ketidakstabilan, dan bahawa ketidakstabilan menyumbang kepada ketidakstabilan.  Di sini, beliau merujuk kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dalam kajian pada 2011 merumuskan, “Kami mendapati bahawa musim pertumbuhan yang lebih lama adalah berkait secara kukuh dengan lebih kesamaan agihan pendapatan.”
Untuk mengurangkan jurang yang semakin melebar antara dua golongan ini,  Stiglitz mencadangkan kerajaan melaksanakan cukai progresif dan dasar perbelanjaan (mengenakan cukai yang lebih banyak terhadap golongan kaya berbanding dengan golongan miskin).  Sebaliknya, program yang menyerahkan aset negara kepada golongan kaya dan mempunyai hubungan sangat rapat dapat meningkatkan ketidaksamaan.  
Akibat krisis kewangan global dan kemelesetan besar juga mengakibatkan banyak negara, terutamanya dalam Kesatuan Eropah,  memperkenalkan langkah jimat-cermat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan defisit. Dalam Bab Lapan buku ini,  Joseph Stiglitz  menegaskan bahawa jika Amerika  serius tentang pengurangan defisit, Amerika  dengan mudah mengumpulkan bertrilion dolar sepanjang 10 tahun akan datang  dengan menaikkan cukai terhadap golongan atas;  menghapuskan kelemahan dan layanan istimewa jenis pendapatan yang diperoleh secara tidak seimbang oleh golongan atas;   menghapuskan kelemahan dan peruntukan istimewa sistem cukai individu dan syarikat yang memberikan subsidi kepada perbadanan;  mengenakan cukai sewa pada kadar tinggi;  mengenakan cukai pencemaran;   mengenakan cukai kewangan; dan  memastikan  mereka yang dapat menggunakan atau mengeksploitasikan  sumber negara, iaitu sumber yang merupakan milik sah semua rakyat, membayar nilai penuh.
Sebagai Keynesian, Stiglitz  beberapa kali memetik John Maynard Keynes, antaranya:   "Kerajaan perlu faham bahawa apabila berlaku kekurangan permintaan, apabila pengangguran tinggi, kerajaan perlu bertindak untuk meningkatkan, sama ada perbelanjaan awam ataupun perbelanjaan swasta." Pada halaman lain, Stiglitz memetik Keynes yang mengibaratkan pasaran “pertandingan ratu cantik,” dan pada halaman  seterusnya, "dalam jangka panjang pasaran mungkin berfungsi, tetapi dalam jangka panjang kita semua mati."
(Nota:   Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Mac 2014.)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...