Artikel Popular

Monday, December 31, 2018

Nasionalisme Lawan Patriotisme


ISNIN, 31 Disember 2018
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Bersempena sambutan 100 tahun berakhirnya Perang Dunia Pertama, lebih 60 orang pemimpin dunia berkumpul  di Arc de Triomphe, Paris pada hari Ahad, 11 November. Meskipun tema umum ialah perpaduan, Presiden Donald Trump kelihatan mahu mengasingkan dirinya. Antara pemimpin yang hadir, Presiden Vladimir Putin,  Canselor Jerman Angela Merkel, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
            Presiden Perancis Emmanuel Macron yang berucap menyampaikan mesej tanpa berselindung terhadap Donald Trump dengan memberikan amaran tentang  bahaya nasionalisme, dengan menyebut bahawa “hantu lama bangkit semula yang telah pun mencetuskan kacau-bilau dan membawa  kematian” sambil menuding jari pada bangsa-bangsa yang mengutama diri mereka terlebih dahulu. Tegas beliau, “patriotisme memang berbeza dengan nasionalisme. Nasionalisme ialah pengkhianatan patrotisme. Dengan mengatakan, ‘Kepentingan kita diutamakan, siapa peduli tentang  orang lain,’ kita memadamkan perkara yang paling berharga yang bangsa ada, yang menjadikan bangsa hidup, yang menyebabkan  bangsa menjadi agung, dan yang paling penting: nilai moralnya.”
Ucapan Macron itu dipetik secara meluas oleh media, termasuk media Amerika Syarikat, kelihatan ditujukan kepada Trump yang baru-baru ini menggelar dirinya “nasionalis” dan slogan beliau “Utamakan Amerika.” Ucapan itu jelas menunjukkan bahawa berbanding dengan nasionalisme,  patriotisme lebih baik dan dialu-alukan, selain   wujud perbezaan antara patriotisme dengan nasionalisme, meskipun kadangkala kedua-duanya saling wujud dan dianggap saling melengkapi antara satu sama lain.
            Patriotisme dan nasionalisme ialah dua perkataan, yang digunakan secara sinonim, tetapi kini, dianggap mempunyai konotasi yang berbeza. Patriotisme ialah perasaan cinta dan kasih seseorang terhadap negaranya. Perasaan patriotisme berasaskan  nilai yang sesebuah negara dukung dan cara negara berkenaan berusaha untuk menambahbaikan nilai itu. Patriotisme berasaskan kepercayaan dalam kebaikan yang wujud dalam sistem kerajaan di sesebuah negara, dan kebaikan orangnya. Perkataan patriotisme berasal daripada kata akar patriot, daripada perkataan Latin patriota yang bermaksud  sesama warganegara, dan akhiran -isme bermaksud sistem atau dokrin. Tempat yang sesuai untuk menyemai patriotisme ialah di sekolah dan kem tentera.
Nasionalisme ialah perasaan cinta dan kasih seseorang juga terhadap negaranya. Walau bagaimanapun, nasionalisme berakar umbi dalam kepercayaan bahawa negara seseorang itu lebih baik daripada semua yang lain, dan membawa konotasi ketaksetujuan terhadap bangsa lain atau berseteru dengan bangsa lain. Sementara patriotisme tidak memandang rendah negara lain, nasionalisme membina seseorang seseorang dengan meruntuhkan bangsa  lain. Nasionalisme menyokong usaha menguasa negara lain. Perkataan nasionalisme berasal daripada perkataan bangsa atau nation, yang datang daripada perkataan Latin nationem yang bermaksud asal-usul atau suku kaum (tribe). Daripada suku kaum berkembang  fahaman kabilah atau tribalisme yang kini sedang bangkit di seluruh dunia.
Konsep bangsa juga sering dibahaskan dan biasanya dikaitkan dengan negara bangsa dan pembinaan bangsa yang berbeza daripada pembinaan negara. Walau bagaimanapun, negara dan bangsa mempunyai asal usul yang sama sekiranya kita merujuk penegasan Charles Tilly,   “perang mencipta  negara, dan negara mencipta perang,” dan Michael Howard, “perang juga mencipta bangsa. Tidak ada bangsa, dalam maksud sebenar perkataan, dapat lahir tanpa perang.”
Nasionalisme ialah satu bentuk spesifik politik jati diri yang menemui penyataan utamnya dalam Revolusi Perancis.  Nasionalisme berasaskan pandangan bahawa sempadan politik negara seharusnya secocok dengan sempadan budaya, yang ditakrifkan terutamanya oleh bahasa dan budaya yang dikongsi.  Ekonomi pasaran moden dikatakan, memerlukan sesuatu, seperti nasionalisme dan jati diri berasaskan bangsa.
Etinne Balibar dalam “Racism and Nationalism” yang dimuatkan dalam buku beliau bersama-sama Immanuel Wallerstein, Race, Nation, Class: Ambigous Identities, menyatakan bahawa nasionalisme sukar ditakrifkan kerana konsep ini tidak pernah berfungsi sendiri, tetapi selalunya bahagian rantaian yang kedua-duanya, iaitu perkaitan utama dan perkaitan lemah. Rantaian ini sentiasa diperkaya secara malar dengan istilah pertengahan dan ekstrem yang baharu: semangat sivik, patriotisme, populisme, etnisisme, etnosentrisme, xenofobia, cauvinisme, imperialisme, jingoisme. Apabila hubungan nasionalisme-bangsa (nationalism-nation) menjadi perhatian, teras maksud membezakan  “realiti,” iaitu bangsa dengan “ideologi,” iaitu nasionalisme. Hubungan ini ditanggapi secara berbeza dengan orang yang berbeza. Menurut Balibar, anggapan tentang nasionalisme selalunya berpecah-pecah. Selalunya wujud nasionalisme baik dan nasionalisme jahat.
Dua ahli teori utama nasionalisme, iaitu Benedict Anderson dan Ernest Gellner, mengaitkan kemunculan nasionalisme dengan pemodenan, meskipun penekanan mereka berbeza dalam aspek tertentu. Jati diri tidak benar-benar wujud sebagai masalah dalam masyarakat pramoden. Menurut Anderson dalam bukunya,  Imagined Communities,  semua ini mula berubah dengan kemunculan kapitalisme komersial di Eropah pada abad ke-16, dipacu oleh rekaan mesin cetak dan pertumbuhan pasaran untuk buku. Mesin cetak mengubah secara ketara harga komunikasi bertulis, dan dengan itu, memungkinkan penerbitan buku dalam bahasa vernakular.
Kemunculan bahasa bercetak vernakular memungkinkan untuk kali pertama, yang Anderson sebut  “komuniti bayangan” penutur dan pembaca Jerman. Dalam cara yang sama, novelis Filipina, Jose Rizalmeni mampu mencipta kesedaran bersama jati diri Filipina pada abad ke-19 bagi orang ramai yang tersebar di lebih 7000 buah pulau. Kemajuan akhbar yang digunakan oleh para pembaca kelas menengah yang sedang muncul, bahkan mempunyai kesan dramatik terhadap pembinaan jati diri pada abad ke-19. Melalui pembacaan, orang ramai yang tidak pernah meninggalkan kampung halaman mereka boleh semuanya secara tiba-tiba menanggapi hubungan dengan orang ramai lain di kampung yang berasingan.
Dari segi teori, hujah Anderson,  bangsa ialah komuniti dibayangkan, tetapi bangsa harus mempunyai asas objektif tertentu. Bangsa lahir dengan kelahiran kapitalisme, khususnya kapitalisme cetak yang membolehkan berkembangnya imaginasi dan kesedaran subjektif yang menimbulkan perasaan kekitaan dan kesamaan nasib bagi anggota bangsa berkenaan. Menuru beliau, bangsa, kerakyatan, dan nasionalisme, terbukti memang sukar untuk ditakrifkan, apatah lagi untuk dianalisis. Berbanding dengan pengaruh yang sangat besar yang nasionalisme letakkan  pada dunia moden, teori munasabah tentang perihalnya terpampang  tidak seberapa.
Anderson memetik Ernest Gellner yang menegaskan bahawa “nasionalisme bukannya kebangkitan bangsa kepada kesedaran diri: Nasionalisme mencipta bangsa, apabila bangsa tidak wujud.” Bahkan, semua komuniti lebih besar daripada kampung yang  wujud sejak awal dunia yang berhubung secara bersemuka adalah dibayangkan. Komuniti boleh dibezakan oleh bukan kepalsuan/ketulenan mereka, tetapi oleh gaya yang mereka dibayangkan.
Menurut Joel S. Kahn dalam bukunya, Other Malays: Nationalism and Cosmopolitanism in the Modern Malay World,  “peristiwa  Natrah” yang berlaku   pada tahun 1950:  “Orang Melayu pertama yang secara sukarela sanggup menanggung risiko mati demi bangsa-ras bayangan  ialah peserta dalam rusuhan kaum  pertama di Singapura.”  Walau bagaimanapun, Kahn menegaskan, sama ada mangsa Melayu akibat keganasan yang mengelilingi hal ehwal Natrah itu memenuhi ujian nasionalisme sebenar  Anderson terbuka untuk perdebatan.
Ernest Gellner juga menegaskan bahawa nasionalisme muncul ketika detik mendalam perubahan sosial, tetapi beliau menyatakan anjakan kepada peralihan ini daripada masyarakat agraria kepada masyarakat perindustrian pada abad ke-19. Beliau menjelaskan, masyarakat muncul berasaskan teknologi berkuasa tinggi dan harapan  pertumbuhan mapan, yang memerlukan kedua-duanya pembahagian kerja mobil, mapan, kerap dan komunikasi tepat antara orang asing. Ini memerlukan bahasa kebangsaan seragam, dan sistem pendidikan yang ditaja oleh negara untuk menggalakkan kebudayaan kebangsaan. Gellner juga mengesyorkan bahawa Islam moden perlu dilihat menerusi lensa pemodenan dan jati diri yang sama. Kedua-duanya, nasionalisme dan Islamisme  berakar umbi dalam pemodenan.
Menurut Andrea Baumeister yang menulis dalam Britannica, patriotisme ialah perasaan  cinta dan komitmen terhadap negara, bangsa, atau komuniti politik. Patriotisme (mencintai negara) dan nasionalisme setia pada bangsa seseorang, selalunya dianggap sinonim, tetapi patriotisme mempunyai asal usulnya kira-kira 2000 tahun sebelum kebangkitan nasionalisme pada abad ke-19.
            Kepurbaan Yunani dan terutamanya Rom menyediakan akar untuk patriotisme politik yang membayangkan kesetiaan kepada patria sebagai kesetiaan kepada konsepsi politik tentang republik. Patriotisme dikaitkan dengan kecintaan terhadap undang-undang dan hak kebebasan bersama, iaitu mencari common good dan tugas untuk berkelakuan secara saksama terhadap negara seseorang. Makna klasik Rom patria muncul semula dalam konteks republik kota Itali pada abad ke-15. Di sini, patria bermaksud hak kebebasan bersama kota, yang hanya dilindungi oleh semangat sivik warganegara. Bagi Niccolò Machiavelli, pengarang The Prince (Sang Penguasa), kecintaan terhadap hak kebebasan bersama membolehkan warganegara melihat kepentingan persendirian dan kepentingan khusus sebagai bahagian common good dan membantu mereka menentang rasuah dan kekejaman.
            Berbeza dengan konsepsi klasik republikan tentang patriotisme, dalam Considerations on the Government of Poland Jean-Jacques Rousseau dapat dilihat contoh awal pertalian antara nasionalisme dengan patriotisme. Meskipun Rousseau yang memperkenalkan teori kontrak sosial, memperjuangkan kecintaan terhadap bangsa dan perayaan kebudayaan kebangsaan, beliau percaya bahawa kebudayaan kebangsaan bernilai, terutamanya kerana kebudayaan ini membantu memupuk kesetiaan kepada politik tanah air.
            Pertalian yang lebih eksplisit antara nasionalisme dengan patriotisme dapat ditemui dalam karya Johann Gottfried von Herder. Menurut pandangan ahli falsafah Jerman ini, patriotisme bukannya merujuk kepada kebaikan politik, tetapi kepada semangat rasa cinta kepada bangsa. Dalam konteks ini, tanah air menjadi sinonim dengan bangsa dan bahasa dan budayanya yang berbeza, yang memberinya perpaduan dan kesederapan. Justeru, Herder mengaitkan kecintaan terhadap negara seseorang dengan pemeliharaan budaya bersama dan perpaduan kerohanian orang ramai, dan bukannya mengaitkan patriotisme dengan pemeliharaan hak kebebasan politik. Herder yang melihat kebebasan kolektif berasaskan ciri nasional dan budaya tertentu, seringkali dikritik sebagai bapa etno-nasionalisme Eropah moden. Dalam bukunya, Reflections on the Philosophy of History of Mankind, beliau mencatatkan dengan jelas bahawa wujud spesies manusia tunggal, dan beliau mengkritik pengarang lain yang cuba mewujudkan hierarki dalam kalangan ras dunia. Walau bagaimanapun, Herder menegaskan bahawa setiap komuniti manusia adalah unik dan terpisah daripada jirannya. Beliau mencatatkan bahawa cuaca dan geografi mempunyai impak yang sangat besar terhadap adat orang yang berbeza, setiap orang itu melahirkan “genius” mereka  sendiri dalam cara mengubah suai dengan keadaan tempatan.

Sememangnya, ucapan  Emmanuel Macron itu membangkitkan keinginan kita untuk mengetahui apakah nasionalisme dan patriotisme. Nasionalisme dan patriotisme  selalu disebut oleh pemimpin negara, ahli politik, dan para sarjana kita yang  seakan-akan menunjukkan bahawa  kedua-duanya sinonim, tetapi yang jelas, berbeza.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...