Artikel Popular

Saturday, August 10, 2019

Pembentukan Negara

SABTU, 10 Ogos  2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Para sarjana tempatan ada kalanya keliru dan tidak dapat membezakan antara pembentukan negara (state formation) dengan pembinaan negara (state building) dan seterusnya dicampuradukkan dengan pembinaan bangsa (nation building). Kepustakaan pembentukan negara dapat dikesan dalam karya Aristotle, Ibn Khaldun, dan yang terbaharu dalam buku Francis Fukuyama, The Origins of Political Decay. Makalah Robert L.  Carneiro, teentang pembentukan negara, iaitu A Theory of theOrigin of the State,” sering dirujuk.

Teori Sukarela
Dalam makalah “A Theory of the Origin of the State” yang diterbitkan dalam Science pada tahun 1970, Robert L.  Carneiro, mencatatkan bahawa kira 4000 S.M., pembentukan negara pertama berlaku dalam sejarah, berikutan kampung mula menjadi agregat ke dalam unit politik yang lebih besar bukan sehingga mungkin 5000 S.M. Apabila proses pengagregatan bermula, proses ini berterusan pada rentak yang lebih pantas secara progresif.   Beliau menjelaskan makna negara yang beliau maksudkan, iaitu unit politik autonomi, mencakupi banyak komuniti dalam wilayahnya dan mempunyai kerajaan berpusat dengan kuasa untuk memungut cukai, mengerahkan orang untuk bekerja atau berperang, dan mendekrikan dan menguatkuasakan undang-undang.
Carneiro yang memperoleh Ph.D dalam bidang antropologi pada tahun 1957 dari University of Michigan, dan pernah berkhidmat sebagai profesor adjung di Columbia University, bagaimanapun, mengakui bahawa asal usul negara masih difahami secara tidak sempurna.  Sesungguhnya, tidak satu pun teori semasa tentang kebangkitan negara memuaskan sepenuhnya, dan pada suatu masa tertentu atau masa lain,  semua gagal. Teori eksplisit asal usul negara adalah moden secara relatif.  Beliau mengkritik penulis klasik, seperti Aristotle, yang tidak lazim dengan bentuk lain organisasi politik, cenderung untuk memikirkan negara sebagai “natural,” dan oleh itu, tidak memerlukan penjelasan.  Walau bagaimanapun, zaman penerokaan, dengan menjadikan orang Eropah sedar bahawa banyak orang di seluruh dunia tinggal, bukannya di negara, tetapi kampung atau suku kaum bebas, menjadikan negara kelihatan kurang natural, dan oleh itu, lebih banyak memerlukan penjelasan.  Carneiro yang menolak teori moden asal-usul negara berasaskan perkauman, juga menolak kepercayaan bahawa negara ialah perluahan “genius” orang, atau bahawa negara bangkit menerusi “kejadian sejarah”  (“historical accident”).  Pandangan sedemikian menjadikan negara kelihatan sesuatu metafizikal atau adventitius atau secara kebetulan.
Teori serius tentang asal-usul negara, menurut Carneiro, ialah dua jenis umum, iaitu sukarela dan paksaan.  (Huruf condong oleh Carneiro sendiri.)  Teori lain yang beliau kemukakan ialah lingkungan persekitaran (environmental circumscription), evolusi politik, penumpuan sumber, dan lingkungan sosial.
Teori sukarela berpendapat bahawa pada sesetengah titik  dalam sejarah mereka, orang ramai tertentu secara spontan, rasional, dan sukarela melepaskan kedaulatan individu mereka dan bersatu dengan komuniti lain untuk membentuk unit politik yang lebih besar yang wajar disebut negara. Daripada teori tersebut, yang paling dikenali ialah teori kontrak sosial lama, yang berkait secara khusus dengan nama Jean-Jacques Rousseau.  Walau bagaimanapun, Carneiro awal-awal lagi menolak kontrak sosial dengan hujah, “kita kini tahu bahawa tidak ada kompak tersebut yang pernah dilanggan oleh kumpulan sosial, dan teori kontrak sosial pada hari ini hanyalah keingintahuan sejarah.” 
Seterusnya,  Carneiro mengemukakan teori sukarela moden yang diterima secara meluas, yang beliau sebut, teori “automatik” yang dikaitkan dengan nama ahli arkeologi British V. Gordon Childe. Menurut teori ini, rekaan pertanian secara automatik membawa lebihan makanan, membolehkan sesetengah individu memisahkan diri mereka daripada pengeluaran makanan dan menjadi tukang tembikar, tukang tenun, tukang emas, tukang batu, dan seterusnya, dan oleh itu, mewujudkan pembahagian buruh yang ekstensif.  Daripada pengkhususan pekerjaan ini dimajukan integrasi politik yang menyatukan beberapa komuniti yang sebelum ini bebas menjadi negara.
Kesukaran utama teori ini, hujah Carneiro, adalah bahawa pertanian tidak secara automatik mewujudkan lebihan makanan.  (Huruf condong oleh Carneiro sendiri.)  “Kita tahu hal ini kerana banyak orang yang bertani di dunia tidak mengeluarkan lebihan makanan,” tulis beliau dengan mengemukakan semua orang India Amazon sebagai contoh.
Satu lagi teori sukarela semasa tentang asal-usul negara ialah “hipotesis hidraulik” yang diperkenalkan oleh Karl Wittfogel.  Menurut Carneiro, Wittfogel melihat negara bangkit, iaitu di kawasan gersang atau separuh gersang tertentu di dunia, tempat petani kampung terkial-kial untuk menampung diri mereka dengan cara pengairan skala kecil.  Maka, tibalah masanya apabila mereka melihat ada kebaikannya jika semua yang terlibat mengetepikan autonomi individu mereka dan menggabungkan kampung mereka menjadi unit politik besar tunggal yang mampu membawa pengairan dalam skala yang luas.  Badan rasmi yang mereka wujudkan untuk merancang dan mentadbir kerja pengairan ekstensif tersebut membawa kewujudan negara.
Teori ini, hujah Carneiro, baru-baru ini menghadapi masalah.  Bukti arkeologi kini jelas menunjukkan di sekurang-kurangnya tiga kawasan yang dipetik oleh Wittfogel sebagai contoh “hipotesis hidraulik,” iaitu Mesopotamia, China, dan Mexico, dimajukan sebagai negara sepenuh lama sebelum pengairan skala besar. Justeru, pengairan tidak memainkan peranan penyebab dalam kebangkitan negara yang Wittfogel kelihatan anggap sedemikian.”
Teori Paksaan
Setelah mengetepikan teori sukarela, Carneiro mengemukakan teori paksaan yang menurut beliau, “penelitian rapat sejarah menunjukkan bahawa hanya teori ini dapat menerangkan kebangkitan negara.” Paksaan (force) dan bukannya kepentingan diri yang ditunjukkan, ialah mekanisme yang evolusi politik membawa, langkah demi langkah, daripada kampung autonomi kepada negara.  Di sini, beliau memetik Heraclitus yang menulis 2,500 tahun lalu, “perang ialah bapa segala benda” untuk melihat peperangan terletak pada akar umbi negara bukan sesuatu yang sama sekali baharu.  Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kajian teliti pertama tentang peranan peperangan dalam kebangkitan negara dilakukan kurang 100 tahun lalu, oleh Herbert Spencer dalam bukunya, Principles of Sociology.
Carneiro nampaknya akur bahawa perang memainkan peranan muktamad dalam kebangkitan negara,  meskipun teori paksaan tertentu mempunyai kekurangan. Bukti sejarah dan arkeologi tentang perang ditemui pada tahap awal pembentukan negara Mesopotamia, Mesir, India, China, Jepun, Greece, Rom, utara Eropah, tengah Afrika, Amerika Tengah, dan Colombia, antara contoh yang paling ketara.  Namun  begitu, beliau mengakui bahawa peperangan bukannya hanya faktor, meskipun peperangan jelas merupakan penggerak utama dalam asal usul negara. Lagipun, perang berlaku di banyak tempat di dunia yang negara tidak pernah wujud.  “Justeru, meskipun peperangan mungkin merupakan syarat perlu untuk kebangkitan negara, peperangan bukannya sesuatu yang lengkap,” tulis  Carneiro sambil menambah, “dengan kata lain, meskipun kita dapat mengenal pasti perang sebagai mekanisme pembentukan negara, kita juga perlu menetapkan syarat yang membangkitkan negara.”
Teori Lingkungan Persekitaran
Apabila menyentuh teori lingkungan persekitaran, Carneiro begitu yakin bahawa wujud faktor lazim bagi kawasan di dunia yang negara muncul secara semula jadi, di kawasan, seperti Nil, Tigris-Euphrates, Lembah Indus di Dunia Lama dan Lembah Mexico dan gunung dan lembah pantai Peru di Dunia Baru.  “Meskipun kawasan ini berbeza antara satu sama lain dalam banyak cara, dari segi altitud, suhu, hujan, jenis tanah, pola pengairan, dan banyak ciri lain lagi,” hujah beliau, “kawasan tersebut mempunyai satu perkara yang sama, iaitu merupakan semua kawasan tanah pertanian yang dilingkungi. Setiap kawasan itu diserlahkan oleh gunung, laut, atau gurun, dan ciri persekitaran ini dengan jelas membatasi kawasan yang orang berladang yang mudah dapat menduduki dan bercucuk tanam.”
Pentingnya tanah pertanian yang dilingkungi untuk asal usul negara, menurut Carneiro, dapat difahami dengan baik dengan membandingkan pembangunan politik di dua wilayah di dunia yang mempunyai ekologi yang berbeza, iaitu satu wilayah dengan tanah pertanian dilingkungi dan satu lagi wilayah yang wujud tanah ekstensif dan tidak terhad, antara lembah pantai Peru dengan lembangan Amazon. Walaupun komuniti Amazonia menjalankan pertanian pindah yang memerlukan tanah yang banyak, mereka masih dapat memperoleh tanah hutan yang diperlukan untuk berkebun.  Di Amazonia secara keseluruhan, kepadatan penduduk rendah dan tekanan sara diri terhadap tanah masih kecil. Peperangan pastinya kerap berlaku di Amazonia, tetapi dilancarkan kerana alasan dendam, membawa lari wanita, mendapat martabat peribadi, dan motif yang seumpama itu.  Oleh sebab tidak wujud kekurangan tanah, maka tegas Carneiro, tidak berlaku peperangan kerana berebut tanah. Puak yang tewas dalam peperangan, jelas beliau, tidak  diusir dari tanah mereka. Puak yang menang pula tidak mengambil apa-apa usaha untuk menguasai puak yang tewas, atau memungut ufti daripada mereka.  Lagipun, puak yang menang tidak mempunyai cara berkesan untuk mencegah puak yang tewas melarikan diri ke dalam hutan yang berhampiran.
Di balik  lembah pantai Peru, kampung-kampung yang sempit ada gunung di belakang, ada laut di hadapan, dan ada gurun yang kering di kiri kanan.  Akibatnya, lembah pertanian dilingkungi dengan lebih teruk jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain.  “Sebagai komuniti neolitik,” jelas Carneiro, “kampung-kampung lembah pantai Peru cenderung berkembang dari segi saiz.  Kampung-kampung cenderung bertambah dari segi bilangan lebih cepat berbanding dengan kampung-kampung berkembang dari segi saiz.” 
Peperangan yang berlaku di lembah pantai Peru berkemungkinan banyak sama jenis dengan yang berlaku di Amazonia, tetapi ketika itu tanah pertanian masih sedikit bilangannya dan bekalan tanah masih bagus.  Walau bagaimanapun, jelas Carneiro, dengan tekanan penduduk manusia semakin bertambah terhadap tanah, insentif utama untuk perang berubah daripada keinginan membalas dendam kepada keperluan untuk memperoleh tanah.  Dan, oleh sebab punca peperangan adalah terutamanya ekonomi, maka kekerapan, keamatan atau intensiti, dan pentingnya perang meningkat. 
Di sini,  Carneiro menunjukkan perbezaan akibat peperangan antara di lembah pantai Peru dengan Amazonia.  Apabila tahap ini dicapai, penduduk kampung Peru yang kalah perang tidak mempunyai alternatif. Gunung, gurun, dan laut menghalang mereka dari segenap penjuru  untuk melarikan diri ke kampung berjiran.  Penduduk kampung yang kalah dalam peperangan dibenarkan tinggal di tanah mereka, tetapi ada harga yang perlu dibayar:  penguasaan politik kepada pemenang.  Penguasaan ini pada amnya, diperlukan sekurang-kurangnya bayaran ufti atau cukai dalam bentuk benda, dengan kampung yang kalah itu boleh hanya menyediakan dengan mengeluarkan lebih banyak makanan jika dibandingkan dengan sebelum ini.  Akan tetapi, jelas Carneiro, penguasaan ada kalanya melibatkan kehilangan autonomi seterusnya pada pihak kampung yang kalah, iaitu digabungkan ke dalam unit politik yang dikuasai oleh pemenang.
“Menerusi berulang-ulangnya peperangan jenis ini,” rumus Carneiro, “kita menyaksikan pertambahan unit wilayah bersepadu di pantai Peru menjangkaui kampung dari segi sain dan darjah organisasi. Evolusi politik mencapai tahap kerajaan (chiefdom).” Tambah beliau, “oleh sebab kekurangan berterusan dan menjadi bahkan lebih teruk, maka demikian juga peperangan.  Walau bagaimanapun, kini, unit yang bersaing bukan lagi kampung-kampung kecil, tetapi, kerap melibatkan kerajaan besar.  Menerusi penaklukan kerajaan oleh kerajaan, saiz unit politik meningkat secara progresif pada kadar yang pesat.  Semula jadinya, oleh sebab saiz unit politik meningkat dari saiz, maka unit itu berkurangan dari segi bilangan, dengan akibat bahawa seluruh lembah akhirnya disatukan di bawah payung kerajaan yang lebih kuat.  Justeru, unit politik yang dibentuk tanpa diragui cukup berpusat dan kompleks untuk mewajarkan disebut negara.”
Lanjutan daripada lingkungan persekitaran, Carneiro seterusnya menyentuh evolusi politik, yang menurut beliau, walaupun pengagretan kampung menjadi kerajaan, dan kerajaan menjadi negara beraja (kingdom), berlaku melalui perolehan luaran, struktur unit politik yang lebih besar semakin meningkat ini dijelaskan oleh evolusi dalaman. Perubahan dalaman ini, pastinya berkait rapat dengan peristiwa luaran.  Pengembangan negara yang berjaya ini membawa orang dan wilayah yang ditawan dalam sempadan mereka yang perlu ditadbirkan.  Beliau percaya bahawa proses evolusi politik bukan hanya berlaku  di lembah pantai Peru, tetapi  juga  di kawasan pertanian yang dilingkungi di tempat lain di dunia, seperti Lembah Mexico, Mesopotamia, Lembah Nil, dan Lembah Indus, yang menyaksikan proses berlaku banyak dalam cara yang sama dan kerana pada hakikatnya, alasan yang sama.  Di kawasan ini juga menurut beliau, kampung neolitik yang autonomi digantikan oleh kerajaan, kerajaan oleh negara  beraja, dan negara beraja oleh empayar.
Carneiro yang meragui penumpuan  sumber untuk menjelaskan pembentukan negara menulis, “kita dapat dengan selamat menambah penumpuan sumber kepada lingkungan persekitaran sebagai faktor yang membawa kepada peperangan untuk berebut tanah, dan oleh itu, kepada integrasi politik melampaui tahap kampung.” 
Beliau juga menyentuh konsep “lingkungan sosial” yang diperkenalkan oleh Napoleon A. Chagnon yang berurusan dengan teori lingkungan persekitaran ketika membincangkan orang India Yanomamö Venezuela.  Dengan lingkungan sosial, Chagnon bermaksud bahawa kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan itu dapat mewujudkan kesan terhadp orang yang tinggal dekat pusat kawasan berkenaan yang adalah sama dengan kesan yang dihasilkan oleh lingkungan persekitaran.  “Pendapat ini, bagi saya, merupakan tambahan penting kepada teori kita,” tulis Carneiro sambil  menjelaskan: “Pertama, berlaku pengurangan saiz tanah wilayah setiap kampung.  Kemudian, oleh sebab tekanan penduduk menjadi semakin teruk, peperangan kerana berebut tanah menyusul.  Akan tetapi, sebab tanah bersebelahan untuk berbatu-batu sekitar telah pun menjadi harta kampung lain, maka penduduk kampung yang kalah tidak mempunyai tempat untuk lari.  Akibatnya, peperangan untuk kampung itu, dan untuk evolusi politik secara umum, pada hakikatnya, seperti yang saya jelaskan perkara ini untuk situasi lingkungan persekitaran.”
Pendirian Carneiro ialah teori lingkungan dalam bentuknya yang dihuraikan pergi jauh ke hadapan menjelaskan asal-usul negara. Teori ini menjelaskan mengapa negara bangkit di sesebuah tempat, dan mengapa negara gagal bangkit di tempat lain.  Teori ini menunjukkan negara merupakan respons yang dapat diramalkan terhadap keadaan budaya, demografi, dan ekologi khusus tertentu.  Justeru, teori lingkungan membantu menerangkan apa yang tidak diragui lagi langkah tunggal paling penting yang pernah diambil dalam evolusi politik manusia.
Walau bagaimanapun, dalam kalangan ahli antropologi, menurut Kathryn W. Kemp, teori lingkungan tidak diterima tanpa persoalan. Lingkungan tidak semestinya fizikal, tetapi juga sosial.  Sesungguhnya, kehadiran negara jiran yang berkuasa mungkin mendesak kumpulan budaya yang lebih kecil ke dalam pembentukan negara sebagai soal pertahanan diri.  Lagipun, kesan lingkungan mungkin tidak memerlukan sempadan fizikal mutlak yang jelas, seperti gurun.  Tidak orang menunggu sehingga mereka mencapai eksploitasi maksimum aset mereka sendiri sebelum mereka bergerak menentang jiran yang lemah.  Akhir sekali, pembentukan negara mengambil masa.  Dalam pada itu, Kemp menjelaskan bahawa dalam komuniti antropologi, bahkan yang menolak teori lingkungan sebagai penjelasan mutlak untuk mekanisme pembentukan negara mendapati teori ini sekurang-kuangnya berguna sebahagiannya; mereka cenderung bersetuju bahawa peperangan, dalam mana-mana kes, memainkan bahagian penting dalam pewujudan negara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...