Artikel Popular

Tuesday, September 3, 2019

Ragam Pengeluaran Samir Amin


SELASA, 3 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Istilah ragam pengeluaran (modes of production) berasal daripada karya Karl Marx, dan dan konsep ini memainkan peranan penting dalam teori Marxis seterusnya. Wacana ragam pengeluaran memang popular dalam kalangan Marxis, dan menurut takrif  Marxisme, ialah sebagai cara masyarakat disusun atau diatur untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan.  Ragam pengeluaran mengandungi dua aspek utama, iaitu kuasa pengeluaran dan hubungan pengeluaran. Kuasa pengeluaran termasuk semua unsur yang dibawa bersama-sama dalam pengeluaran, seperti tanah, bahan mentah, bahan api, kemahiran manusia, buruh, jentera, alat, dan kilang. Hubungan pengeluaran pula termasuk perhubungan dalam kalangan orang dan perhubungan orang dengan kuasa pengeluaran yang menerusinya keputusan dibuat tentang apakah yang akan dilakukan terhadap hasil.
            Lazimnya, wacana tentang ragam pengeluaran akan merujuk kepada Louis Althusser dan Etienne Balibar, yang dikenali sebagai  “ahli struktural Perancis.” Balibar mentakrifkan ragam pengeluaran sebagai melibatkan kombinasi tiga unsur, iaitu buruh, alat pengeluaran, dan beliau menambah,  bukan buruh yang seperti dua unsur juga  wajar disebut “faktor.”   Unsur ketiga ini  mengambil lebihan buruh, dan ini kapitalis. Beliau berpendapat, semua  unsur ini disertai oleh  perkaitan  “harta” dan perkaitan  “pengambilan sebenar” (real appropriation).
            Terdapat lima ragam pengeluaran yang berbeza: (1) komuniti ragam pengeluaran “primitif” yang terawal daripada ragam pengeluaran; (2) ragam pengeluaran pembayaran ufti, yang menambah kepada komuniti kampung yang masih wujud apratus sosial dan politik untuk mengeksploitasi komuniti menerusi penuntutan ufti; ragam pengeluaran pembayaran ufti ialah bentuk kelas prakapitalis  paling tersebar luas, terdapat perbezaan  antara bentuk awal dengan bentuk kemudian, seperti bentuk pengeluaran “feudal,” yang komuniti kampung hilang dominium eminens mereka terhadap tanah kepada pembesar feudal, dan komuniti terus sebagai komuniti keluarga; (3) Ragam pengeluaran hamba, bentuk yang jarang-jarang, meskipun bertaburan secara meluas; (4) ragam pengeluaran komoditi kecil mudah, bentuk yang kerap, tetapi dari segi praktik, tidak pernah membentuk ragam bentukan masyarakat yang dominan; dan (5) Akhir sekali, ragam pengeluaran kapitalis. Dalam “keadaan tulen,” semua ragam pengeluaran ini mempunyai ciri penting spesifiknya sendiri.
            Syed Farid Alatas dalam Bab 6: “Ibn Khaldun and the Ottoman Modes of Production, bukunya Applying Ibn Khaldun: The Recovery of Lost Tradition in Sociology, mengambil pendekatan ragam pengeluaran Samir Amin dan Eric Wolf.
Samir Amin pada mulanya mengelaskan  lima ragam pengeluaran, tetapi dalam karya berikutnya, iaitu  Eurocentrism (1989/2009), beliau mengelaskan  tiga ragam pengeluaran,  dengan  memberikan tumpuan pada ragam pengeluaran ufti.  Hujah beliau, “Saya menyebut ufti dalam bentuk umum semua masyarakat prakapitalis maju, dengan feudalisme hanya merupakan spesies khusus.” Tambah beliau, dalam sejarah yang dicadangkan di sini, wujud hanya tiga tahap sifat universal yang berturutan: tahap komuniti, peralihan panjang daripada komunisme primitif; tahap ufti, yang mencirikan semua masyarakat prakapitalis maju; dan kapitalisme, yang menjadi sistem dunia.  Tahap ufti ialah sejarah semua peradaban berasaskan ciri yang berikut: (1) perkembangan signifikan kuasa produktif, misalnya pertanian kekal atau sedentari yang dapat memastikan lebih daripada penakatan (survival) semata-mata, lebihan yang sangat banyak dan boleh dipercayai, kegiatan bukan pertanian (pertukangan  atau   artisanal) menggunakan pengetahuan teknikal dan pelbagai alat (kecuali mesin); (2) memajukan kegiatan bukan produktif sejajar dengan saiz lebihan ini; (3) pembahagian kepada kelas sosial berdasarkan asas ekonomi ini; dan (4) negara yang maju yang melampaui had kewujudan kampung.
            Tahap ufti ini menunjukkan aspek yang berikut: (1) termasuk bermacam-macam bentuk besar, yang mempunyai ciri bersama, kerana penyarian  buruh lebihan selalunya dikawal oleh dominan superstruktur dalam konteks ekonomi yang ditentukan oleh nilai gunaan; (3) ragam fundamental ialah ragam ufti; (4) ragam feudal ialah varian ini; (5) yang dianggap ragam perhambaan kelihatan sebagai pengecualian, lebih kerap interstitial dan dalam kaitan dengan hubungan pasaran; (6) kompleksiti bentukan tahap ini bermakna, melampaui hubungan pengeluaran terdekat, hubungan dalaman, dan pertukaran luaran, yang membangkitkan persoalan hubungan pasaran dan memerlukan konsep bentukan masyarakat; dan (7) tahap ini bukan tergenang, tetapi sebaliknya, dicirikan oleh kemajuan besar kuasa pengeluaran pada asas hubungan pengeluaran ufti yang beroperasi dalam bentukan yang difahami dalam kompleksiti kuasa pengeluaran itu.
            Pada tahap pertama, menurut Amin, lebihan terlalu kecil untuk membolehkan lebih daripada permulaan kelas dan pembentukan negara. Justeru, tidak masuk akal untuk dicampurkan bersama-sama di bawah keturunan rubrik, suku, dan bentukan puak pada satu pihak, dan pembentukan negara pada satu pihak yang lain. Walau bagaimanapun, inilah tesis yang ragam Asiatic cuba lakukan bahawa peralihan kepada masyarakat kelas. Tambah beliau, pada tahap pertama ini, tingkat  lemah pembangunan dan keturunan, suku, dan hubungan puak yang dirangkaikan  tidak dapat diungkai. Sememangnya, hubungan ini yang memungkinkan permulaan pembangunan kuasa produktif melampaui fasa komunis primitif (pergerakan kepada pertanian kekal  atau sedentari), dan pada masa yang sama, menyekat pembangunan  berterusan mereka selepas titik tertentu. Apabila hubungan sedemikian berlaku, tingkat  kuasa produktif semestinya rendah; apabila hubungan itu tidak ditemui, tingkatnya tinggi. Bentuk harta yang ditemui pada tahap pertama menunjukkan sifat fundamental biasa: harta komuniti yang penggunaannya dikawalaturkan sebagai fungsi persanakan yang memerintah mutakhir dominan (dominant instance).
            Pada tahap kedua, tingkat  pembangunan kuasa produktif memungkinkan dan memerlukan negara, iaitu melangkaui persanakan, yang dapat menyara hidup hanya apabila tertakluk kepada kerasionalan lain. Bentuk harta pada tahap kedua ini membolehkan kelas dominan mengawal akses kepada tanah pertanian, dan akibatnya, mengenakan ufti pada pengeluar tani.  Situasi ini dikuasai oleh ideologi yang selalunya mengandaikan bentuk yang sama: agama negara atau kuasi-agama.
            Tahap ketiga mewakili tingkat tinggi ciri kuasa produktif kapitalisme.  Tingkat ini bermakna harta kapitalis.  Pada satu sudut, golongan borjuis mempunyai monopoli kawalan terhadap ragam pengeluaran yang bukan lagi terutamanya tanah, tetapi mesin, alat, dan kilang.  Pada sudut yang lain, wujud buruh upah bebas.  Penyarian lebihan (di sini, nilai lebihan) dibuat oleh alat pertukaran ekonomi, misalnya oleh jualan tenaga buruh. Dari segi praktik, pembangunan pertanian melampaui titik tertentu mesin dan baja yang diperlukan, misalnya industri, dan dengan itu, kapitalisme. Kapitalisme bermula dalam pertanian peralihan, kemudian dibangunkan di tempat-tempat lain sebelum kembali semula kepada pertanian untuk mengambil alih bidang itu.
            Jelas Amin, ini ialah  takrif yang sangat umum dan abstrak tentang tiga bentuk harta: komuniti (tanah), ufti (tanah), dan kapitalisme (alat pengeluaran selain tanah). Penekanan adalah terhadap kandungan harta, difahami sebagai kawalan sosial, dan bukannya terhadap bentuk undang-undang dan ideologinya. Setiap bentuk harta adalah sejajar dengan tahap dalam kemajuan kuasa produktif.  Pada tahap pertama, organisasi pengeluaran tidak melampaui keturunan atau kampung. Pada tahap kedua, dikawalaturkan terutamanya pada tahap lebih atau kurang besar negara, tetapi selalunya lebih besar daripada kampung. Peredaran lebihan mengambil kira kepentingan tukang terkhusus, fungsi tidak produktif, negara, kota, perdagangan, dan sebagainya. Tahap tertinggi  pembangunan memerlukan pasaran yang lebih luas, iaitu pasaran kapitalis. Pada setiap tahap abstraksi ini, setiap tahap sejajar dengan keperluan universal.
            Amin yang memberikan tumpuan pada tahap ufti, menjelaskan bahawa ciri pertama  ragam pengeluaran yang ditunjukkan oleh tahap kedua (ufti) pembangunan  kuasa produktif adalah bahawa penyarian produk  lebihan diperoleh melalui alat bukan ekonomi, kerana pengeluar tidak dipisahkan daripada alat pengeluaran. Ciri khusus ragam pengeluaran berasaskan kelas pertama ini adalah berbeza dengan ragam komuniti yang mendahului ragam ufti. Dalam ragam pengeluaran ufti, kelas yang mengeksploitasi  tidak mengambil produk lebihan.  Sebaliknya, amalan ini dipusatkan oleh kumpulan pemerintah untuk kegunaan kolektif atau diagihkan semula menurut keperluan pengeluaran semula. “Penyarian produk lebihan, adalah dengan itu, seperti ufti  yang dibayar kepada kelas yang mengeksploitasi. Itu secara tepat mengapa saya mencadangkan untuk menyebutnya ragam ufti.”
            Ciri kedua ragam ufti adalah bahawa organisasi pengeluaran penting berasaskan nilai gunaan dan bukannya berasaskan nilai pertukaran.  Produk masih disimpan oleh pengeluar adalah secara langsung nilai gunaan yang bertujuan untuk penggunaan, kebanyakannya untuk penggunaan sendiri. Akan tetapi, produk yang disarikan oleh kelas yang mengeksploitasi adalah untuk dirinya juga secara langsung nilai gunaan.  Justeru, inti pati ragam ufti adalah untuk membentuk ekonomi semula jadi, tanpa pertukaran, meskipun bukan tanpa perpindahan (ufti adalah satu) dan pengagihan semula.
            Ciri ketiga ragam ufti ialah penjelmaan kestabilan, dan bahkan berkekalan, bukan sekurang-kurangnya terbatas, pastinya kepada Asia. Dari segi realiti, ini penjelmaan yang mengelirukan berlaku kerana berbeza dengan kapitalisme.  Berdasarkan nilai gunaan, hukum fundamental yang terdapat pada kapitalisme terletak pada tingkat asas ekonomi. Persaingan dengan kapitalis membangkitkan perlunya pengumpulan, misalnya merevolusikan kuasa produktif  yang tidak putus-putus. Ragam pengeluaran, berasaskan nilai gunaan tidak mempunyai kendalian yang sama yang diperlukan pada tingkat asas ekonomi. Walau bagaimanapun, masyarakat ufti bukan tidak berubah. Mereka mencapai kemajuan yang luar biasa dalam pembangunan kuasa produktif mereka antaranya di Mesir, China, Jepun, India dan Asia Selatan, Arab dan Timur Parsi. Perjuangan kelas antara pengeluar tani dengan kelas mengeksploitasi ufti berlaku dalam seluruh sejarah bentukan ufti di Asia, Afrika, dan Amerika Latin, di samping di Eropah.  Walau bagaimanapun, wujud perbezaan yang penting antara perjuangan ini dan perjuangan antara proletariat dengan borjuis dalam kapitalisme. Perjuangan kelas dalam bentukan ufti tidak pernah berkesudahan dengan kemenangan kaum tani.
            Amin juga menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan  teori Marxisme yang diterima lazim yang membezakan tiga tahap peradaban yang berbeza dari segi kualiti: perhambaan, feudalisme, dan kapitalisme.  Sebaliknya, beliau mengemukakan teori menurut: (1) bentuk umum masyarakat kelas yang menggantikan bentukan komunal sebelum ini, iaitu masyarakat ufti; (2) bentuk feudal bukannya peraturan umum, tetapi hanya bentuk pinggir jenis ufti; (3) pelbagai keadaan yang menentukan bentuk spesifik setiap masyarakat ufti (kasta, estet era feudal dalam maksud Eropah – Stande; komuniti tani tertakluk kepada birokrasi negara, dan sebagainya); (4) perhambaan bukan keperluan umum – bentuk ini hilang daripada kebanyakan peristiwa penting sejarah (Mesir, India, China); perhambaan tidak mungkin menjalani mana-mana pembangunan  penting, melainkan bentuk ini dikaitkan dengan ekonomi komersial, dan dengan itu, perhambaan ditemui pada zaman yang sangat berbeza dari sudut pandangan  pembangunan kuasa produktif.
            Walau bagaimanapun, bukannya Amin, sebaliknya Marxis Jepun, Jiro Hayakawa,  dikatakan yang mula-mula memperkenalkan konsep ragam pengeluaran ufti, tetapi beliau tidak menerbitkan teks dalam bahasa Barat, maka ideanya masih tidak diketahui di Barat.  Sebaliknya, Amin mempopularkan konsep itu di sana. Hayakawa menulis pada pertengahan 1930-an, menyamakan ragam pengeluaran ufti dengan ragam pengeluaran Asiatic. Ion Banu, sejarawan falsafah di University of Bucharest, pula mengenal pasti persamaan  Asiatic dengan bentukan masyarakat ufti. Selain Amin, terdapat beberapa kajian lain, antaranya oleh John Haldon yang mengkaji ragam pengeluaran ufti.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...