Artikel Popular

Monday, October 24, 2011

Musim Bunga Arab Mekar di Tunisia

ISNIN,  24 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Selepas sembilan bulan Presiden Zine el-Abidine Ben Ali ditumbangkan,  akhirnya pada hari Ahad semalam, Tunisia mengadakan pilihan raya. Pilihan raya bebas pertama, undi pertama untuk musim bunga Arab, tetapi masih dibayangi oleh bekas rejim. Negara yang memulakan   Pemberontakan Arab, kini menyaksikan pilihan raya.  Renungan tentang Tunisia - memetik  James Zogby yang menulis dalam The Huffington Post, sebaik-baik kemenangan kuasa rakyat  yang menakjubkan, kian jelas dan nyata, bahkan lebih signifikan.   

"Dua wajah musim bunga Arab," tulis editorial The Guardian, merujuk pemberontakan Arab yang berbeza antara yang berlaku di Tunisia dengan Libya. Pastinya, antara kedua-duanya, Revolusi Melati lebih mekar dan harum kerana digerakkan oleh rakyat jelata tanpa campur tangan asing, seperti yang berlaku di Libya.

Apabila  berjuta-juta rakyat Tunisia keluar mengundi semalam, negara Arab lain memerhatikannya, demikian lapor The New York Times, dalam kemekaran kebanggaan dan harapan yang mencetuskan pemberontakan yang memberikan inspirasi di seluruh dunia Arab, negara kecil kini menerajui demokrasi.  Rakyat Tunisia memperlihatkan kepada dunia bagaimana melakukan revolusi secara aman tanpa ikon, tanpa ideologi, dan kini mereka akan memperlihatkan kepada dunia mereka membina demokrasi yang sebenar.  Atau dalam kata yang cukup poetik oleh Abigail Hauslohner yang menulis dalam Time, "menuai musim bunga Arab, rakyat Tunisia keluar mengundi."


Rakyat Tunisia berduyun-duyun membanjiri pusat pengundian untuk kedahagaan demokrasi kali pertama dalam 50 tahun, catat Angelique Chrisafis dari Tunis.  Dengan pilihan raya itu, Tunisia sekali lagi membimbing negara Arab untuk membina masa depan melalui demokrasi, meskipun jalan ke pusat pengundian bukan mudah, bahkan selepas diktator Ben Ali melarikan diri bersama-sama keluarganya ke Arab Saudi.



Namun, diakui bahawa di negara itu mungkin tiada demokrasi yang bebas risiko.  Pilihan raya itu merupakan ujian sebenar kemampuan kelas politik untuk bertindak balas secara inovatif terhadap tuntutan popular bagi demokrasi.

Dengan berlangsungnya pilihan raya di Tunisia dan tumpasnya Kolonel Gaddafi di Libya, Pemberontakan Arab memperoleh semula kekuatannya.  Khusus untuk Tunisia, Revolusi Melati terus mekar dan harum bukan sahaja di dunia Arab, tetapi juga di seluruh dunia. Dari jalan  Tunisia ke Wall Street


Sesuatu yang menakjubkan bagaimana tindakan membakar diri oleh Mohamed Bouazizi pada 17 Disember tahun lalu, dapat mencetuskan kebangkitan rakyat dan Pemberontakan Arab kedua.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...