Artikel Popular

Thursday, January 26, 2023

Kepulangan Semula Geopolitik

Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Khamis, 26 Januari 2023


Geopolitik ialah analisis pengaruh geografi terhadap hubungan kuasa dalam hubungan antarabangsa.  Perkataan geopolitik pada mulanya diperkenalkan oleh ahli sains politik Sweden, Rudolf Kjellén pada tahun 1900, dan digunakan secara meluas di seluruh Eropah pada tempoh antara Perang Dunia Pertama hingga Perang Dunia Kedua (1918 – 1939) dan digunakan di seluruh dunia kemudian.  Beliau salah seorang murid Friedrich Ratzel, ahli geografi dan ahli etnografi  Jerman pada lewat abad ke-19, yang memperkenalkan idea Lebensraum, atau “ruang kehidupan.” Bagi  Kjellén, geopolitik, iaitu  masalah dan keadaan dalam sesebuah negara yang timbul daripada sifat geografi; oecopolitik, iaitu faktor ekonomi yang mengesani kuasa negara; dan demopolitik, unsur perkauman negara dan masalah yang unsur itu wujudkan.

            Geopolitik ialah istilah abad ke-19 yang merujuk gugusan dan manipulasi kuasa dalam sistem antara negara.  Geopolitik atau persaingan geopolitik ialah pertelagahan dalam kalangan kuasa besar dan negara yang bercita-cita menjadi kuasa besar untuk mengawal wilayah, sumber, dan kedudukan geografi yang penting.  Jika diperhatikan, jenis percanggahan ini merupakan kuasa pemacu dalam politik dunia dan terutamanya konflik dunia pada hampir keseluruhan abad ke-20. Dalam wacana sezaman, geopolitik digunakan sebagai sinonimi secara longgar untuk politik antarabangsa. 

            Harold James dalam makalahnya, “A Little Geopolitics is a Dangerous Thing,” menjelaskan bahawa selepas Perang Dunia Pertama dan kegagalan wawasan Jerman yang bercita-cita tinggi yang berbahaya, “dunia politik” (Weltpolitik)   di bawah Kaisar Wilhelm II, istilah baharu diperlukan. Istilah ini disediakan oleh Karl Haushofer, pegawai dan ahli teori strategi di Akademi Ketenteraan Munich, yang dipengaruhi secara mendalam  ketika beliau berkhidmat sekejap sebagai atase tentera  di Tokyo. Haushofer  dengan ghairah menggunakan istilah yang diperkenalkan oleh Rudolf Kjellén.

             Geopolitik membentuk kajian persekitaran bahagian luar yang dihadapi oleh  setiap negara apabila menentukan strateginya sendiri: bahawa persekitaran kehadiran negara lain yang juga bergelut dengan penakatan dan kelebihan.  Secara ringkas,  geopolitik ialah pengaruh geografi terhadap bahagian manusia.  Seperti yang Napoleon kata, untuk mengetahui geografi negara adalah untuk mengetahui dasarnya.

Han J. Morgenthau yang menyebut geopolitik “pseudosains” kerana geopolitik menegakkan  “faktor geografi menjadi mutlak.”  Morgenthau yang menulis selepas Perang Dunia Kedua, yang mengubah teori  abad ke-20 dihidupkan semula di tengah-tengah Perang Dunia Kedua dan disalahgunakan oleh puak Nazi untuk menjustifikasikan idea Lebensraum, atau “ruang kehidupan” Jerman.  Untuk pasti, oleh sebab matlamat geopolitik adalah untuk mencapai keseimbangan kuasa, dan percubaan puak Nazi adalah semata-mata untuk menggulingkan keseimbangan kuasa, maka penggunaan  Harold Mackinder  oleh puak Nazi adalah penyimpangan pemikiran Mackinder sendiri.  Keseimbangan kuasa, menurut Mackinder, oleh sebab keseimbangan ini menjamin setiap negara keselamatannya sendiri, maka bentuk kebebasan yang paling asas.  Morgenthau juga bersikap keras terhadap Mackinder. Dalam mana-mana kes, Morgenthau tidak menyukai Mackinder, di samping ringkasan berhati-hati beliau tentang teori Mackinder,  adalah dengan sendirinya menunjukkan pengaruh Mackinder yang sangat kuat terhadap pemikiran geopolitik Barat selama berdekad-dekad. 

Pandemik COVID-19 mencetuskan krisis ekonomi yang menyaksikan pengangguran,  kemiskinan, dan kebuluran meningkat ketara di peringkat global yang boleh menggugat kestabilan politik di negara membangun.  Kekacauan politik sering dipacu dari bawah, iaitu daripada rakyat jelata yang  terkesan teruk oleh pandemik ini.  Di negara yang kemiskinan merebak luas, sistem kesihatan awam lemah, dan kos makanan meningkat, rakyat terpaksa menanggung tekanan kewangan yang teruk. Selain itu, pandemik COVID-19  juga memberikan impak terhadap geopolitik. Sejak virus korona mula merebak ke seluruh dunia, banyak penganalisis membuat spekulasi tentang impaknya:  virus ini akan hanya memecut trend yang wujud sebelum ini semata-mata, atau virus ini akan terbukti menjadi “pengubah permainan” geopolitik, yang mewujudkan dunia yang sungguh berbeza daripada sebelum ini.

Namun begitu,  Harold James,  mengingatkan bahawa dalam keadaan semasa, gaya geopolitik  sekali lagi kelihatan seperti pampasan untuk impoten (compensation for impotence).  Simptom buruk dikaitkan dengan geopolitik lama yang muncul semula dan menghalang penyelesaian untuk masalah global, seperti pandemik COVID-19, yang tidak akan berakhir sehinggalah wujud pemvaksinan universal.  Bagi James, menggunakan “geopolitik” secara bercampur-baur tidak mencapai apa-apa, kerana menggunakan istilah ini adalah tiada pengganti untuk perbincangan substantif dan mengutarakan tafsiran yang bercanggah.  Memikirkan istilah pertembungan kuasa besar, dan bergaduh tentang siapakah orang hipokrit terbesar, tidak akan menyelesaikan percanggahan antarabangsa  dan  tidak juga menyelesaikan masalah bersama.

Sejak seawal Mac 2020,  impak pandemik COVID-19 terhadap geopolitik   diperhatikan  oleh  ahli sains politik dan penganalisis hubungan antarabangsa.  Bagi Ian Bremmer yang muncul dengan ”We Are in a Geopolitical Recession. That’s a Bad Time for the Global Coronavirus Crisis”,   kemelesetan geopolitik bergerak seiringan dengan kemelesetan ekonomi: masa teruk untuk krisis virus korona global.  Walau bagaimanapun, Bremmer memberitahu bahawa tidak ada takrif teknikal untuk berubah turun geopolitik, dan keadaan ini berlaku dengan sangat tidak kerap bahawa tidak wujud peraturan yang diwujudkan untuk mengumumkan ketibaannya.  Setiap kitaran meletus geopolitik mesti diperkatakan dengan caranya sendiri, hasil masa  tertentu dan cabarannya. Cabaran yang kita hadapi hari ini  adalah mengungkai tatanan dunia yang diterajui  Amerika, dan ketiadaan kepimpinan global untuk campur tangan dan mengambil tempatnya.

“Kita hidup di dunia G-Zero... dan kemelesetan geopolitik adalah kesannya,” tegas Bremmer.  “Dalam kemelesetan geopolitik, politik global yang retak memarakkan risiko global dan bukannya membantu menyelesaikannya.”

Bremmer menegaskan bahawa ketegangan geopolitik pada tahap membimbangkan, bahkan sebelum pandemik bertindak, tetapi bukannya menyatukan dunia menentang musuh bersama, virus korona sebaliknya menunjukkan bahawa sistem geopolitik semasa kita rosak. Kebangkitan China yang mempunyai implikasi yang mendalam terhadap geopolitik benar-benar mendapat perhatian Bremmer.

Pada Januari dan Februari 2020, era gelembung geopolitik gergasi, seperti yang sesetengah pemerhati lihat, akhirnya mula menyusut dan menyaksikan kebangkitan China, yang dipermudahkan oleh kejayaan negara itu membendung pandemik COVID-19, tatkala dunia Barat hampir lumpuh dan masih terkial-kial melawan pandemik ini. Tatkala China mula pulih dan virus berpindah ke Barat pada Mac dan April 2020, seperti yang diperhatikan oleh Kevin Rudd dalam “The Coming Post-COVID Anarchy”,  kegembiraan tidak rasional berubah menjadi kehampaan tidak rasional. Ulasan   disambut dengan keberangan sebarang  kemungkinan bahawa pandemik mungkin pada hakikatnya membantu China muncul sebagai pemenang dalam pertandingan geopolitik yang sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat.

Para pemimpin China, tegas Rudd, mempunyai pandangan mudah Leninis tentang kuasa Amerika Syarikat. Kuasa ini terletak pada dua fundamental: ketenteraan Amerika Syarikat dan dolar Amerika Syarikat. Semua negara sedar apa yang Leninis sebut “kuasa objektif” dan kesediaan kuasa besar untuk menggunakannya.  Akan tetapi, tanggapan kuasa sama-sama penting.  China kini bekerja lebih masa untuk membaiki kerosakan yang sungguh teruk terhadap kedudukan globalnya akibat daripada asal ussul geografi virus dan kegagalan Beijing untuk membendung epidemik dalam bulan-bulan awal yang runcing. Apa-apa jua generasi baharu China, iaitu diplomat “pahlawan-serigala” mungkin laporkan ke Beijing, realiti bahawa kedudukan China terjejas teruk.

Lebih setahun setengah berlalu, pandemik COVID-19 belum menunjukkan sebarang tanda untuk berundur. Ralat besar yang penganalisis geopolitik boleh lakukan mungkin mempercayai bahawa krisis ini akan berakhir dalam masa tiga bulan hingga empat bulan, seperti sesetengah pemimpin dunia maksudkan. Bagi Thomas Wright, yang menulis, “Stretching the International Order to Its Breaking Point”,  COVID-19 merupakan geopolitik utama keempat yang belaku dalam beberapa dekad.  Dalam setiap tiga kejutan sebelum ini, penganalisis dan pemimpin secara kasar memandang rendah impak jangka panjang terhadap masyarakat mereka dan terhadap politik dunia.  Pengakhiran Perang Dingin merupakan peristiwa penting, tetapi hanya sebilangan orang melihat era hegemoni dan kemakmuran Amerika akan menyusul.  Kuasa besar akan kemungkinan mempunyai kapasiti yang kurang dari segi kedua-duanya, iaitu material dan masa  - untuk bekerjasama terhadap kejutan geopolitik dan bahawa pastinya, akan berlaku ketika krisis ini.  Kuasa besar benar-benar sibuk dengan masalah domestik dan akan amat sukar untuk menumpukan masa terhadap masalah yang kepentingan nasional mereka tidak terancam secara langsung.

Akibat krisis pandemik COVID-19, kebanyakan hujah  bahawa dunia yang kita masuki    akan dari segi fundamental berbeza daripada dunia yang wujud sebelum ini.  Sesetengahnya meramalkan pandemik akan melahirkan tatanan baharu dunia yang diterajui oleh China; hujah lain percaya bahawa pandemik ini akan mempercepatkan kematian kepimpinan China.  Sesetengah berkata pandemik akan menamatkan globalisasi; yang lain berharap pandemik ini akan membawa era baharu kerjasama global. Dan yang lain masih mengunjurkan bahawa pandemik ini akan meruap nasionalisme, melemahkan perdagangan bebas, dan membawa kepada pertukaran rejim di pelbagai negara.

Akan tetapi, hujah Richard Haass, dunia berikutan pandemik mustahil berbeza secara radikal daripada dunia yang mendahuluinya. Pandemik dan respons terhadapnya mendedahkan dan memperkukuh ciri asas geopolitik hari ini. Akibatnya, krisis ini menjanjikan kurang titik tolak berbanding dengan stesen laluan di sepanjang jalan yang dunia lalui sepanjang dua dekad lalu. Haass yang muncul dengan ”The Pandemic Will Accelerate History Rather Than Reshape it”, yang tidak pasti, bilakah  pandemik ini akan berakhir – sama ada enam bulan, 12 ataupun 18 bulan – menegaskan bahawa dunia yang akan muncul daripada krisis ini akan dapat dikenal pasti.  Kepimpinan Amerika yang merosot, kerjasama global yang tergagap-gagap, perbalahan kuasa besar: semua ini mencirikan persekitaran antarabangsa sebelum kemunculan COVID-19, dan pandemik ini menjadikan kesemua itu lebih nyaring  dan bukannya melegakan.  Kesemua itu berkemungkinan bahkan, menjadi  sifat yang lebih menonjol dunia yang menyusul.

Sebagaimana Bremmer, Haass juga memberikan tumpuan terhadap kekurangan kepimpinan Amerika Syarikat, yang merupakan satu ciri krisis semasa ini. Amerika Syarikat tidak mengerahkan dunia dalam usaha kolektif untuk menghadapi, sama ada virus ataupun kesan ekonomi.  Amerika Syarikat juga tidak mengerahkan dunia supaya mengikut tuntunannya dalam menangani masalah sendiri.  Negara lain menjaga diri mereka sebaik mungkin yang mereka mampu atau beralih ke negara lain yang pernah mengalami puncak jangkitan, seperti China, untuk bantuan.

Pada bulan-bulan awal kerebakan,  dengan beratus-ratus juta orang mengasingkan diri mereka di seluruh dunia, pandemik virus korona baharu benar-benar menjadi peristiwa global.  Dan meskipun implikasi geopolitiknya sepatutnya dianggap soal kedua berbanding dengan keselamatan dan kesihatan, dalam jangka panjang, terbukti kepentingannya, khususnya apabila melibatkan kedudukan global Amerika Syarikat. Tatanan global mempunyai kecenderungan untuk berubah secara beransur-ansur pada mulanya dan kemudian semuanya serentak. 

China yang merupakan saingan utama (juga seteru) Amerika Syarikat, dengan aset utama dalam mengejar kepimpinan globalnya dala menghadapi virus korona dan secara lebih luas ditanggapi kekurangan  dan fokus ke dalam dasar Amerika Syarikat. Kejayaan muktamad pencarian China akan banyak bergantung pada apa yang berlaku di Washington berbanding dengan apa yang berlaku di Beijing.

Sehubungan dengan itu, dalam “The Coronavirus Could Reshape Global Order”,  Kurt M. Campbell dan Rush Doshi, menegaskan dalam krisis semasa, Washington masih dapat mengubah arus sekiranya Washington  terbukti mampu melakukan apa yang diharapkan sebagai pemimpin:  mengurus masalah di negara sendiri, membekalkan barang awam global, dan menyelaraskan respons global. Yang pertama daripada tugas itu, iaitu menghentikan merebaknya penyakit dan melindungi penduduk yang rentan di Amerika Syarikat adalah paling segera dan keseluruhannya persoalan tadbir urus domestik berbanding dengan geopolitik.  Akan tetapi, bagaimana Washington melakukannya akan mempunyai implikasi geopolitik, dan bukan hanya setakat mewujudkan semula atau tidak mewujudkan semula keyakinan terhadap respons Amerika Syarikat.

Sementara itu,  Francois Heisbourg dalam “From Wuhan to the World: How the Pandemic Will Reshape Geopolitics”,   menjelaskan dalam sesetengah cara, COVID-19 menaikkan nasionalisme.  Namun begitu, pandemik ini juga mempunyai beberapa kesan pemecahan bangsa (nation-splitting).  Catalonia dan Madrid bertelagah tentang  bidang kuasa yang melaksanakan peraturan pengurungan.  Di Amerika Syarikat dan Belgium, pertikaian meletus antara pihak berkuasa persekutuan dengan negeri berhubung dengan peruntukan PPE.  Orang Sicili selalunya tidak mengalu-alukan “pelarian-korona” Lombardi.

Pandemik memberikan asas baharu kepada sempadan.  Namun begitu, perkembangan ini tidak sepatutnya dilihat sebagai pengesahan prima facie tentang keperdanaan baharu untuk bangsa.  Apabila Jerman menapis kemasukan di sempadannya dengan Perancis begitu juga sebaliknya, dua penduduk nasional tidak melihatnya sebagai penolakan terhadap Eropah. 

Berhubung dengan pengubah permainan geopolitik dalam pembikinan, kajian itu menyatakan setiap krisis membuka kemungkinan untuk perubahan. Hal ini demikian kerana krisis mengatur semula keutamaan, menahan  sesetengah kegiatan, manakala mendorong yang lain, melumpuhkan pelaku, manakala memperkasa yang lain, mendedahkan keretanan, dan menggerakkan sehingga sekarang sumber dan kemampuan yang tidak diketahui.  Meskipun krisis mungkin tidak mengubah segala-galanya, krisis pastinya membuka potensi untuk berubah dengan menghasilkan apa yang kita sebut pengubah permainan: bidang yang keputusan belum lagi diambil, dan apabila trajektori masa depan adalah oleh itu, masih belum pasti.  Demikian juga istilah sah di persimpangan, atau titik keputusan. 

 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...