Artikel Popular

Sunday, June 10, 2012

Tidur Sekatil Badan Sihat

AHAD, 10 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Marahkan nyamuk, kelambu dibakar.  Marahkan isteri (atau suami) katil ditinggalkan,.  Setelah membaca tulisan Alexandra Sifferlin dalam Time, bahawa berkongsi katil menjadikan pasangan sihat, mungkin si suami (atau isteri) terpaksa berfikir semasak-masaknya sebelum  tidur asing-asing, walau apa-apa pun alasannya. 

"Tidur yang lebih baik membawa kesihatan yang lebih baik, dan kajian baru membayangkan bahawa pentingnya menyediakan tempat tidur untuk pasangan anda."  Dapatan baru mencabar kajian sebelum ini  yang menunjukkan orang mundar-mandir ke sana ke mari atau tidak dapat tidur nyenyak apabila seseorang yang lain berkongsi katil mereka.  

Kajian jangka panjang baru-baru ini oleh Wendy M. Troxel, penolong profesor psikiatri di University of Pittsburgh, yang mendapati bahawa wanita dalam hubungan yang stabil biasanya mudah tidur dan kurang bangun tengah malam berbanding dengan wanita bujang atau yang status hubungan berubah sepanjang tempoh kajian itu.  Kajian lain pada tahun 2010 mendapati bahawa dalam kalangan 29 pasangan, wanita tidur nyenyak apabila mereka mempunyai sedikit interaksi negatif dengan pasangan mereka pada waktu siang; pada hari yang wanit melaporkan lebih harmoni dalam hubungan mereka, lelaki juga tidur nyenyak. 

Sifferlin  memetik Andrea Petersen yang menulis  dalam The Wall Street Journal bahawa kajian baru mendapati faedah berkongsi katil.  Pasangan mungkin mendapat faedah hanya sekadar tidur di atas katil yang sama. Bahkan, sesetengah ahli sains percaya bahawa tidur dengan pasangan mungkin merupakan alasan utama mengapa orang dengan hubungan yang erat cenderung mempunyai kesihatan yang lebih baik dan hidup lebih lama.

Justeru, jika marah atau merajuk sekalipun, jangan biarkan pasangan tidur keseorangan dengan kesihatan anda yang lebih baik!  Bagaimana pula tidur sebatal? (Tidur sebatal sampul berbunga, kalau tidak silap, lagu Rafeah Buang.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...