Artikel Popular

Wednesday, June 6, 2012

Kapitalisme dan Keynesian dan Pilihan Raya Presiden AS

RABU, 6 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012, yang melibatkan perbelanjaan yang besar untuk syarikat perunding, meskipun ada kalanya tertumpu pada isu remeh, seperti sijil kelahiran Presiden Barack Obama, sehingga melihatkan kebodohan, seperti yang berlaku di Arizona, isu besar, seperti dasar luar, dan terutamanya ekonomi  mendapat perhatian. Sementara dasar ekonomi Barack Obama gagal mengurangkan kadar pengangguran, dasar ekonomi Mitt Romney yang merancang untuk mengurangkan perbelanjaan seandainya beliau berjaya ke Rumah Putih, menurut Joseph Stiglitz,  akan membawa Amerika Syarikat ke dalam kancah kemelesetan.

Isu ekonomi yang pastinya menarik perhatian ialah tentang kapitalisme yang mengalami  krisis identiti,   menjadi hangat apabila kempen Obama menyerang Bain Capital yang Mitt Romney pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Tumpuan kempen terhadap ekonomi,  mencetuskan perang kelas antara kedua-dua belah pihak. 

Serangan  terhadap Bain Capital menyebabkan Obama dituduh oleh Republikan, termasuk daripada Romney sendiri, sebagai menyerang kapitalisme.  Bahkan, Obama dituduh sebagai sosialis. Namun, seperti yang ditegaskan oleh Ian Bremmer dalam Time, Obama tidak menentang kapitalisme, tetapi beliau tidak cukup kuat  mempertahankannya.  Sementara Robert Reich, pergi lebih jauh mempertahankan tindakan Obama yang  sepatutnya menyerang kapitalisme kasino. Maksudnya menyerang jenis kapitalisme tertentu yang Romney dan JPMorgan, kedua-duanya amalkan:  Menggunakan duit orang lain untuk mengautkan keuntungan, jika mereka silap, boleh mencetuskan kekacauan terhadap ekonomi. 

Melihat sengitnya perdebatan ini, maka "peranan kapitalisme Amerika," bahas Robert J. Samuelson, "dihadapkan ke muka pengadilan," manakala E.J.  Diodne menganggap "kapitalisme sebagai pilihan."

Selain menuduh Barack Obama antikapitalisme, Mitt Romney juga mendakwa Obama mengamalkan kapitalisme kroni, antaranya kerana  beliau  menyelamatkan industri automotif negara itu daripada jatuh muflis, seperti yang pernah dibangkitkan oleh Romney semasa pemilihan awal calon Presiden daripada Republikan. Walau bagaimanapun, berikutan kritikan daripada pelbagai pihak, akhirnya Romney menjelaskan pendiriannya bahawa beliau akan melaksanakan pelan penyelamat untuk industri auto selepas industri itu jatuh muflis.  Berbanding dengan tindakan Obama yang menyelamatkan industri yang tenat itu sebelum jatuh muflis.  

Oleh sebab pilihan raya kali ini berlangsung ketika pertumbuhan ekonomi masih lemah dan pengangguran masih tinggi, tidak  dapat tidak, menyaksikan "kebangkitan Keynes dari kuburan."   Meskipun Romney bersama-sama konco-konconya dalam Republikan sering melaungkan pemotongan belanjawan demi mengurangkan defisit, beliau dikatakan rapat dengan Keynesian.  Beliau diperhatikan beberapa kali tersasul kepada Keynesian dengan mengatakan pengurangan defisit akan membawa ekonomi ke dalam kemelesetan.  Ketersasulan Romney ini yang seakan-akan membayangkan beliau Keynesian,  juga dikesan oleh Michael Tomasky yang mengulas hal itu dalam The Daily Beast


Dalam blog The Washington Post, Ezra Klein menulis, "kes Keynesian untuk Romney."  Klein memetika wawancara  dalam Time berhubung dengan pemotongan belanjawan pada thun 2013 apabila  Romney menegaskan:  ""Langkah ini akan menyusutkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih lima peratus.  Menurut takrif, mencampakkan kita ke dalam kemelesetan atau depression."  Anda tidak mendapatkan takrif yang jelas tentang belanjawan Keynesian daripada Obama, ulas Klein yang juga memetik Joe Weisenthal daripada Business Insider bahawa "Anggot Republikan adalah prodefisit, dan pengembangan prohak kelayakan di bawah Bush dan Reagan.  Pemotongan defisit hanya menjadi sebahagian ideologi parti itu semasa Obama."


Jika dibandingkan apa-apa sahaja yang Obama berkemungkinan dapat daripada anggota Republikan dalam Kongres, hujah Klein, "adalah bahawa, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek, lebih banyak pengembangan, iaitu pendekatan Keynesian."


Namun, tidak tepat untuk mengatakan bahawa Presiden Barack Obama bukan Keynesian jika dibandingkan dengan Romney.  Seperti yang dibahaskan oleh John Cassidy dalam blog The New Yorker, "Reagan, Bush, dan Obama: Kita semua Keynesian" - memetik kata-kata Presiden Richard Nixon yang diungkap secara meluas, terutamanya ketika berlaku kemelesetan ekonomi baru-baru ini.  "Dalam dunia sebenar," tulis Cassidy, "jarang-jarang mengganggu ahli ekonomi dan para pengundi konservatif, kedua-dua parti, iaitu Republikan dan Demokratik (dan semua Presiden) ialah Keynesian."


Dalam masa kira-kira enam bulan lagi, pastinya lebih banyak debat dan polemik tentang ekonomi dalam kempen Pilihan Raya Presiden.  Jika Obama dan Romney bertarung di medan ekonomi, dari segi prestasi, jelas kedua-duanya mempunyai rekod yang lemah: Obama sebagai  Presiden, Romney  sebagai gabenor yang diserang oleh kempen Obama.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...