Artikel Popular

Saturday, June 2, 2012

Jumaat yang Panjang untuk Barack Obama

SABTU, 2 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dengan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012 hanya tinggal enam bulan lagi, serang menyerang antara penjawat kini, Presiden Barack Obama dengan Mitt Romney pencabar daripada Republikan semakin sengit.  

Romney yang mengesahkan pencalonannya dengan kemenangan dalam pemilihan awal di Texas dengan melancarkan  serangan terhadap Obama, meskipun penyokong kuat beliau, iaitu Donald Trump dilaporkan menjadi tumpuan dan seakan-akan  menjadi "duri dalam daging."   Sementara iklan Romney diperhatikan banyak kilasan, tetapi kurang isi.  Tentang ekonomi, beliau kadangkala kelihatan berkecamuk.

Obama dalam respons terhadap "api prairi hutang" yang dilemparkan oleh Romney, menyerang dengan kata-kata, "pai pengherotan yang menakutkan" - yang dianalisis dengan cukup menarik oleh  Lloyd Grove dalam The Daily Beast.  Sementara      kempen Obama melancarkan serangan melalui iklan tentang rekod Romney semasa berkhidmat sebagai ketua eksekutif di Bain Capital LLC dari segi pewujudan pekerjaan.  Kedua-duanya, iaitu Obama dan Romney, bahas Ezra Klein dalam Bloomberg,  ingin bercakap tentang Bain.  

Dalam serang menyerang itu wujud kekeliruan, siapa sebenarnya bercakap benar, misalnya dari segi rekod perbelanjaan Obama, seperti yang dibangkitkan dalam Los Angeles Times, dan kelihatan bercelaru dan hilang keutamaan.

Pasukan strateginya yakin bahawa Obama akan menewaskan Romney.  Namun, bagi Barack Obama, ada sesuatu yang merimaskan pada setiap hari Jumaat minggu pertama setiap bulan yang bermakna ada lima kali lagi yang beliau terpaksa hadapi, iaitu laporan pengangguran bulanan.  Jabatan Buruh negara itu dalam laporan Jumaat semalam, memaklumkan bahawa pada bulan Mei, majikan mewujudkan hanya 69,000 pekerjaan, terendah pada tahun ini.  Kadar pengangguran meningkat kepada 8.2 peratus daripada 8.1 peratus pada bulan April, peningkatan pertama dalam tempoh 11 bulan.  Berikutan angka pengangguran itu dan data pembuatan yang lemah dari Eropah, pasaran global dilaporkan menjunam, manakala  saham Amerika Syarikat jatuh teruk dengan Indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) jatuh  212.26 mata (1.71 peratus) kepada 12,181.19 mata. 

Apabila pasaran buruh yang mengambil langkah mundur, bagi Obama,  ini boleh menjejaskan peluang beliau untuk dipilih semula, seperti yang dibahaskan oleh John Cassidy.  Beliau, menurut analisis, memerlukan purata kira-kira 150,000 pekerjaan sebulan demi mencerahkan peluangnya dipilih semula. Jika terlalu  kurang daripada jumlah itu bermakna beliau dalam kesusahan. Angka pekerjaan yang terbaharu itu menyebabkan Washington betul-betul kepanasan, dan  mengingatkan Obama bahawa beliau tidak boleh asyik menyerang, tetapi beliau perlu berusaha lebih banyak lagi.

Republikan menyambut data yang muram ini dengan penuh keriangan dan berasa selesa,  membuktikan kegagalan Pentadbiran Obama yang melaksanakan rangsangan pada tahun 2009. Dari sudut pandangan ekonomi, tegas Cassidy, ini mengelirukan.  Dasar Obama yang membantu mencegah Kemelesetan Besar.  Sejak musim bunga 2010, pekerjaan meningkat lebih empat juta, dan jika Republikan dalam Kongres tidak meluluskan Akta Pekerjaan Amerika Pentadbiran, pastinya banyak lagi rakyat Amerika yang bekerja.  Tegas Cassidy lagi, 59 mata rancangan ekonomi Romney hanya sedikit atau tidak ada impak terhadap kadar pengangguran, bahkan beliau boleh membawa Amerika ke dalam satu lagi  kemelesetan.


Rumah Putih  dikatakan juga bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan serangan Romney dan Republikan terhadap dasar ekonomi Obama.  Bagi Romney untuk menggasak Obama dari segi pewujudan pekerjaan, hujah Michael Tomasky dalam The Daily Beast, bukanlah sesuatu kekuatan kerana kerana kegagalan ekonomi beliau di Massachusetts. Rekod Romney sebagai gabenor  juga digunakan oleh Obama untuk menyerang beliau. Pasukan Obama dilaporkan beranjak daripada Bain kepada Romney sebagai gabenor.


Lagipun, sistem politik yang disfungsi tidak mampu menyelesaikan masalah pengangguran, dan dengan itu, Republikan turut dipersalahkan.  Bahkan, data terbaharu itu, bahas R.A. dalam The Economist,  tidak memberikan kekuatan mutlak kepada Romney kerana untuk pertama kali era Obama, guna tenaga bukan ladang adalah lebih 133 juta.  Tanpa rangsangan fiskal yang dilaksanakan oleh beliau, keadaan pastinya lebih teruk, namun mustahil  para pengundi berasa banyak bersimpati. 


Pengangguran di Amerika Syarikat pada zaman krisis sekarang, seperti yang pernah dibahaskan oleh Paul Krugman dalam The Huffington Post, memang teruk.  Namun, pernah dihujahkan bahawa menurut laporan, juga analisis The Wall Street Journal, jika kerajaan tidak memotong pekerjaan sejak krisis kewangan, kadar pengangguran pada bulan April ialah 7.1 peratus.


Menyedari data nasional tentang pekerjaan adalah muram, Presiden dikatakan mengambil pendekatan ekonomi mengikut negeri.  Setakat ini, beliau turun padang ke Ohio, Michigan, dan Nevada.  Mungkin berita baik bagi Obama, banyak negeri penting untuk Pilihan Raya Presiden November, menurut The Economist berkeadaan  yang lebih baik; sama ada Presiden dapat mengeksploitasikannya  itu merupakan perkara lain.



Pastinya, medan pertarungan tidak terbatas pada ekonomi, beberapa medan lain telah pun terbuka luas, antaranya dasar luar yang dikatakan Obama mempunyai kelebihan. Demikian  dasar beliau dalam menangani keganasan, seperti  yang didedahkan,  terlalu agresif sehingga mengorbankan orang awam.  Imej dasar luar beliau beralih daripada merpati kepada lelaki yang keras.


Sebaliknya, Romney, meskipun mempunyai pasukan penasihat dasar luar,  antaranya dianggotai oleh Robert Kagan yang teori beliau  "ditawan" oleh Obama, agak lemah dalam bidang ini.  Pendirian beliau tentang Iran, misalnya dikritik oleh Senator John Kerry, bekas calon Presiden tahun 2004.  Romney juga dikritik oleh bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Colin Powel tentang pendirian dasar luarnya kerana puak neokonservatif mengelilingi beliau


Masih ada lima  Jumaat  sebelum Pilihan Raya Presiden yang Obama terpaksa hadapi: data kadar pengangguran yang degil,  enggan menyurut. Mungkin beliau terpaksa menempuh  Jumaat yang panjang itu dengan resah dan gelisah yang perlu  diselubungi dengan ketabalan dan kecekalan. Oleh sebab tidak banyak berita gembira dari hari Jumaat, maka pastinya Obama dan pasukannya lebih bersedia bukan sahaja untuk menghadapinya, tetapi untuk bertindak menyerang pihak lawan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...