Artikel Popular

Friday, June 15, 2012

Ekonomi Terbesar Dunia

JUMAAT,  15 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Ekonomi terbesar dunia menyaksikan persaingan antara China dengan Amerika Syarikat.  Selepas mengetepikan Jerman dan seterusnya Jepun, China kini menduduki tempat kedua di belakang Amerika.  Sama ada negara itu dapat mengatasi Amerika ataupun tidak, setakat ini masih diperdebatkan, meskipun persaingan antara kedua-duanya mula memasuki rantau Pasifik, termasuk Laut China Selatan.  Pastinya, kekuatan China berhubung kait dengan keajaiban Asia yang menurut pemerhatian sebuah makalah dalam Foreign Policy kelihatan berakhir.

Dalam carta hariannya,  The Economist menyatakan bahawa Amerika merupakan kuasa ekonomi dunia sejak tahun 1871.  Negara itu menyumbangkan kira-kira 30 peratus secara purata Keluaran Dalam Negara Kasar Dunia (KDNK) dunia sejak tahun tahun 1960 dan menyumbangkannya 22 peratus pada tahun 2011 (pada kadar pertukaran asing).  

Sementara China hanya menyumbang 10 peratus, tetapi bahagiannya daripada KDNK dunia meningkat dengan begitu cepat, daripada hanya 1.8 peratus pada tahun 1991. Memetik tinjauan pendapat  terbaharu yang dijalankan di 21 buah negara oleh Pew Research Centre, menunjukkan tanggapan beberapa buah negara bahawa Amerika tidak lagi cemerlang di peringkat dunia, adalah dengan itu, terlalu awal.  Kuasa itu ditanggapi semakin beranjak ke China; pada tahun 2008, hanya sebuah negar yang menganggap China dari segi ekonomi lebih kuat berbanding dengan Amerika, kini 11 buah negara yang mempunyai pendirian demikian.  

Meskipun tanggapan masih berbelah bahagi antara penduduk di kedua-dua buah negara itu, berdasarkan trend semasa, China akan mengatasi Amerika sekitar tahun 2018.

Tinjauan pendapat itu sebenarnya tertumpu pada dasar Presiden Barack Obama yang merosot dengan ketara sejak beliau menjadi Presiden, manakala keyakinan keseluruhan terhadap beliau dan sikap terhadap Amerika Syarikat jatuh secara sederhana sebagai akibatnya.  Tinjauan ini juga mendapat liputan dalam The Guardian dan Spiegel International Online


2 comments:

  1. SOALAN....2008 KER 2018?

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas perhatian. Sebenarnya tahun 2018. Silap taip. Boleh sahkan dengan sumber asal yang dipautkan oleh tulisan ini.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...