Artikel Popular

Monday, June 25, 2012

Mengikuti Tinjauan Pendapat

ISNIN, 25 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Meskipun secara rasmi belum dipastikan siapa lawan siapa dalam Pilihan Raya Presiden Amerika tahun 2012 - yang jelas antara  Barack Obama dengan Mitt Romney, kerancakan kempen sudah kelihatan.  Selain usaha untuk pendanaan di kedua-dua belah pihak, tinjauan pendapat (poll) mula mencurah-curah

Tinjauan pendapat yang cukup terperinci dikemukakan oleh Pew Research Center, yang menunjukkan Barack Obama masih mendahului Romney, manakala The Economist menunjukkan bahawa persaingan semakin sengit di negeri-negeri yang Obama fikir beliau selamat.  Tinjauan  Pew itu dikatakan memberikan kelebihan kepada Romney daripada pembabitan Republikan. 

The Huffington Post yang menyediakan papan pemuka Pilihan Raya Presiden 2012, baru-baru ini melalui tulisan Mark Blumenthal mempersoalkan pengkaedahan tinjauan pendapat Gallup yang didapati kurang menyokong Presiden Barack Obama. Dengan perlumbaan Presiden antara Mitt Romney dengan Barack Obama memasuki gear tinggi, maka ahli politik, wartawan, dan dan pendapat awam meneliti setiap tinjauan baru.  "Antara banyak tinjauan pendapat yang dikeluarkan setiap hari,"tulis Blumenthal, "tinjauan pendapat Gallup, diakui kajian yang paling dipercayai di dunia, hakikatnya disamakan dengan tinjauan pendapat awam."

Namun, hujah beliau, sepanjang beberapa tahun lalu, penagih tinjauan pendapat menyedari bahawa sesuatu yang menimbulkan rasa ingin tahu bahawa tinjauan pendapat Gallup menghasilkan keputusan kelihatan sedikit, tetapi secara konsisten lebih negatif terhadap Presiden Obama jika dibandingkan dengan tinjauan pendapat yang dikeluarkan oleh firma lain.  Walau bagaimanapun, hujah Blumenthal tidak mudah diterima, dan bahkan beliau dipersoalkan seolah-olah terasing. 


Tatkala perlumbaan Presiden dianggap sengit, tinjauan pendapat Bloomberg baru-baru ini menunjukkan Barack Obama jauh mendahului Romney dengan 53 peratus berbanding dengan 40 peratus, meskipun orang ramai memberikan markah yang rendah untuk Obama dari segi cara beliau menangani ekonomi dan defisit.  Sementara bagi Romney, menurut kajian itu, bekas Gabenor Massachusetts perlu membaiki kerosakan yang dilakukan terhadap imej beliau semasa pemilihan awal Republikan. Selain itu, Romney dianggap terpisah daripada para pengundi. 


Pastinya, hasil tinjauan pendapat yang menunjukkan Obama jauh meninggalkan pencabarnya, Romney sukar dipercayai, seperti yang dibangkitkan dalam Los Angeles Times dan boleh dipersoalkan, tulis Mark Blumenthal. Selepas itu, Bloomberg muncul dengan liputan bahawa Obama mendahului mendahului secara berbeza-beza  dalam tiga tinjauan pendapat, tetapi tidak ada satu pun yang mengatakan yang terbaik, yang menyenangkan hati Rumah Putih. Sementara analisis The Huffington Post, berdasarkan pelbagai tinjauan pendapat, Obama mendahului Romney hanya kurang daripada satu titik perpuluhan. 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...