Artikel Popular

Thursday, June 7, 2012

Bumi Ketidaksamaan

KHAMIS, 7 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kebelakangan ini, ketidaksamaan pendapatan sering diperdebatkan dan terus mendapat perhatian; sebahagiannya adalah kerana kemunculan gerakan Menduduki Wall Street. Ketidaksamaan pendapatan boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi, seperti yang pernah diperingatkan oleh Presiden Barack Obama.  Juga boleh membawa kepada keruntuhan, mencetuskan krisis ekonomi,  dan menyumbang kepada kemelesetan besar.  

Pada awal Disember tahun lalu, Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengeluarkan laporan ketidaksamaan pendapatan di  negara maju. Sememangnya, kini tidak sukar untuk mengikuti penulisan tentang ketidaksamaan pendapatan, antaranya perangkap ketidaksamaan oleh Kemal Dervis.

Selepas muncul dengan "masalah satu peratus" dalam Vanity Fair, Joseph Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi menulis dalam Social Europe Journal, juga tentang ketidaksamaan pendapatan.  Dalam makalah  "harga ketidaksamaan" itu, Stiglitz membahaskan bahawa orang Amerika gemar memikirkan negara mereka sebagai bumi peluang, dan orang lain juga melihatnya begitu juga.  Akan tetapi, hujah beliau, sementara kita semua memikirkan contoh orang Amerika yang mara ke atas atas usaha mereka sendiri, apa yang benar-benar penting ialah statistik:  pada takat mana, peluang kehidupan individu bergantung pada pendapatan dan pendidikan ibu bapa mereka? 

Sekarang, angka ini menunjukkan bahawa impian Amerika merupakan mitos.  Wujud kurang kesamaan peluang di Amerika Syarikat kini jika dibandingkan dengan yang wujud di Eropah, atau sesungguhnya, di mana-mana negara perindustrian maju yang mempunyai data. 

Satu alasan bahawa Amerika mempunyai tahap tinggi ketidaksamaan dalam kalangan negara maju, dan jurang Amerika dengan negara berkenaan semakin melebar. Tulis Stiglitz,  "Dalam 'pemulihan' 2009-2010, golongan satu peratus yang memperoleh pendapatan di Amerika Syarikat menguasai 93 peratus pertumbuhan pendapatan." Jelas beliau lagi, "Petunjuk ketidaksamaan lain, seperti kekayaan, kesihatan, dan jangkaan hayat adalah buruk atau bahkan teruk. Trend yang jelas ialah satu penumpuan pendapatan dan kekayaan pada golongan atasan, menyingkirkan golongan kelas menengah, dan meningkatkan kemiskinan dalam kalangan bawahan."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...