Artikel Popular

Friday, June 22, 2012

Krisis Euro Negara Miskin Tanggung Beban

JUMAAT, 22 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pilihan Raya Greece dan kejayaan Antonis Samaras membentuk kerajaan campuran, nampaknya masih gagal meredakan krisis euro. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dilaporkan memaklumkan pelan induk untuk menyelamatkan euro yang tenat itu.  

Sementara Perdana Menteri Italy, Mario Monti mengingatkan rakan-rakan sejawatannya dalam Kesatuan Eropah bahawa mereka hanya mempunyai masa seminggu untuk menyelamatkan zon euro, lebih pendek masanya berbanding dengan masa yang diberikan oleh George Soros sebelum ini, iaitu tiga bulan.  Menjelang sidang kemuncak Eropah pada 28 dan 29 Jun ini, The Economist mendedahkan bahawa benua itu cuba berurusan dengan satu masalah krisis euro pada satu masa.  Pendekatan ini berkesudahan dengan kegagalan. 

Kesan krisis euro yang berpanjangan dijangkakan membawa kesan yang cukup dalam dan memberikan pukulan yang cukup jauh.  Presiden Barack Obama yang mencuba nasib untuk penggal kedua diilbaratkan  "telur di hujung tanduk" akibat krisis yang melanda Eropah itu.

Kajian yang dipetik oleh Time,  menunjukkan bahawa jika zon euro berkecai, negara miskin akan kehilangan AS$30 bilion dari segi  perdagangan dan hasil.   Sementara kajian oleh Institut Pembangunan Seberang Laut (ODI), yang dipetik oleh  Larry Elliott dalam The Guardian, bahawa negara miskin menanggung kerugian hingga AS$238 bilion dari segi perdagangan, bantuan, dan pelaburan.

Menurut ODI,  kejatuhan satu peratus dalam permintaan eksport global boleh menjejaskan pertumbuhan di negara miskin sebanyak hingga 0.5 peratus, dengan Mozambique, Kenya, Niger, Cameroon, Cape Verde, dan Paraguay, lebih berisiko akibat krisis zon euro.  Banyak negara membangun, termasuk wilayah paling miskin di dunia, iaitu Afrika Sub-Sahara, menikmati pertumbuhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebahagiannya kerana permintaan yang kuat terhadap bahan mentah dan komoditi negara berkenaan dari China dan negara yang berkembang pesat lain.

Pastinya, yang diketengahkan oleh ODI bukannya sesuatu yang baru sama sekali kerana sebelum ini, Bank Dunia  pernah mengingatkan bahawa krisis zon euro mengancam pasaran sedang muncul dan menjejaskan pertumbuhan dunia membangun.  Robert Zoellick yang menamatkan perkhidmatannya di Bank Dunia juga pernah mengingatkan bahawa keruntuhan euro boleh mencetuskan krisis global dan membawa kesan yang teruk terhadap negara membangun.

Justeru, jika masih ada pemimpin Malaysia yang mengatakan negara ini terselamat daripada krisis zon euro, eloklah pemimpin berkenaan berfikir semasak-masaknya. Jangan sekali-kali mengikut telatah John McCain ketika keruntuhan Lehman Brothers pada September 2008 - ketika itu beliau rancak berkempen untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat:  "Fundamental ekonomi Amerika adalah kukuh." Akhirnya terbukti bahawa kedua-duanya tidak kukuh, iaitu McCain tewas dan Amerika terjebak dalam krisis kewangan dan kemelesetan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...