Artikel Popular

Monday, June 25, 2012

Krisis Zon Euro Terus Memburu Mangsa

ISNIN, 25 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Greece akhirnya  berjaya mengadakan pilihan raya dan  membentuk kerajaan, dan dengan itu, seakan-akan mengelak kebuntuan politik, serta mengelakkan kemungkinan negara itu meninggalkan zon euro.  Namun, tidak ada tanda-tanda bahawa krisis zon euro itu akan reda. Semua sistem pelan penyelamat di bawah matahari ini,  seperti yang ditegaskan oleh Roger Bootle, tidak dapat menjadikan zon euro berfungsi.  

Seperti biasa, Jerman diharapkan menyelamatkan zon euro, manakala Jerman pula mengingatkan Greece jangan lagi meminta pertolongan dan mula memotong belanjawan. Dikatakan Jerman mempunyai alasan yang kukuh memastikan zon euro kekal kerana zon mata wang itu berfungsi baik, negara mendapat banyak manfaat. Sementara Canselor Angela Merkel yang sentiasa kelihatan keberatan, dicadangkan supaya memilih antara Eropah dengan jimat-cermat. George Soros sekali menggesa Jerman bertindak menyelamatkan zon euro dengan segera sambil mengkritik sikap negara yang kononnya "tidak dapat berbuat apa-apa."

Hanya kalaupun ada berita gembira di tengah-tengah keghairahan para pemimpin Eropah melaksanakan jimat-cermat, ialah komitmen yang ditunjukkan oleh empat pemimpin untuk memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kesatuan Eropah sebanyak satu peratus.

Tatkala para pemimpin utama Eropah masih terhegeh-hegeh dan masih mengharapkan antara satu sama lain untuk mula bertindak, kesan krisis itu dijangkakan merebak tanpa sempadan. Bahkan, negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) yang ekonomi masing-masing dianggap "stabil" secara relatifnya jika dibandingkan dengan banyak negara Eropah dan Amerika Syarikat, dipercayai menerima kesan krisis zon euro itu

Selain krisis zon euro yang kesannya merebak ke benua lain, langkah jimat-cermat yang dilaksanakannya juga meninggalkan kesan terhadap dunia miskin, seperti yang dilaporkan oleh The Guardian. Aliran bantuan dari Eropah ke negara miskin di dunia jatuh sebanyak 700 juta euro pada tahun 2011, kejatuhan pertama untuk hampir satu dekad kerana krisis dalam mata wang tunggal memaksa 14 buah negara anggota memotong bantuan pembangunan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...