Artikel Popular

Tuesday, June 19, 2012

Pilihan Raya Greece: Sekadar Keredaan Sementara

SELASA, 19 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kemenangan parti konservatif, Demokrasi Baru dalam Pilihan Raya Parlimen Greece pada Ahad lalu, mengatasi parti sayap kiri, Syriza, menandakan "kemenangan" kepada pihak yang propelan penyelamat dan jimat-cermat, tetapi bukannya bermakna berakhirnya tragedi Greece.

Presiden Barack Obama menyambut keputusan pilihan raya itu sebagai memberikan harapan terhadap krisis zon euro yang mengancam melemahkan pemulihan Amerika Syarikat dan peluang beliau untuk dipilih semula. Sebagaimana keruntuhan Lehman Brothers pada September 2008 menghempap John McCain dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, ribut Eropah boleh menjejaskan peluang Barack untuk kekal di Rumah Putih untuk tempoh satu penggal lagi.  

Ribut yang tidak menunjukkan tanda reda dengan segera membangkitkan keriangan bukan sahaja terhadap Mitt Romney dan Republikan, tetapi juga sejarawan neokonservatif, Niall Ferguson dalam kolumnya.  Tindak-tanduk Ferguson ini mudah difahami kerana pada matanya, Obama (juga ahli ekonomi Paul Krugman), tidak pernah elok, ada-ada sahaja cacat  cela yang mendorong dia untuk melemparkan kritikan. 

Nasib Obama boleh jadi terletak dalam tangan Eropah - memetik Dana Milbank yang menulis dalam The Washington Post.  "Sesetengah orang fikir bahawa Ohio akan menentukan Pilihan Raya Presiden, manakala yang lain memerhatikan Florida atau North Carolina atau Wisconsin."  Akan tetapi, jika anda benar-benar mahu mengetahui siapakah yang memenangi Rumah Putih November ini, jelas Milbank, "anda sepatutnya bertanyakan orang Eropah.  Mereka tidak layak untuk mengundi, tetapi mereka mungkin mengundi memutuskan, dan bagi Presiden Obama, kelihatan muram."

Obama nampaknya sedar dan akur bahawa ribut Eropah dapat menumbangkan dirinya, lalu  dalam sidang akhbar di Rumah Putih pada 8 Jun lalu.  Bagi beliau, situasi di Eropah "bukan sekadar krisis hutang," dan setiap negara mesti meneruskan strategi untuk pewujudan pekerjaan, dan bukannya jimat-cermat. 

Balik kepada keputusan pilihan raya  Greece, yang sebenarnya menurut Joanna Kakissis dalam Time,  seakan-akan berlaku semula deja vu kerana Demokrasi Baru yang memenangi pilihan raya itu, sekali lagi, tidak cukup untuk membentuk kerajaan, mengulangi apa yang berlaku pada pilihan raya awal Mei lalu. Tanpa tunjang politik, Antonis Samaras, pemimpin parti itu dijangkakan menghadapi tugas yang berat untuk menyatukan Greece dan membentuk kerajaan.  Dengan kebangkitan Syriza dan Fajar Keemasan, dikatakan status quo Greece dipinda untuk selama-lamanya.  Undi untuk kesengsaraan dan  bukannya untuk malapetaka.

Keputusan  itu untuk seketika menolak kemungkinan   "Grexit" yang baik untuk euro. Pasaran global yang cemas dengan jangkaan Greece meninggalkan zon euro, nampaknya tenang, tetapi digegarkan pula oleh ketakutan hutang Sepanyol.  Pilihan raya Greece yang dianggap penting, hujah Derek Thompson dalam The Atlantic "tidak mengubah apa-apa sama sekali kerana Sepanyol ekonomi yang lebih besar daripada Greece kini bergelut dengan krisis hutang."  Kini, krisis zon euro beranjak ke Sepanyol.

Pilihan raya Greece, seperti yang dibahaskan oleh Anthony Faiola dan Howard Schneider dalam The Washington Post, tidak menenangkan ketakutan terhadap keteguhan kewangan Eropah.  Dengan menumpukan perhatian terhadap Eropah dan G-20 yang bersidang di Mexico,  Lawrence Summers yang menulis dalam akhbar yang sama,  mengesyorkan supaya malapetaka global dielakkan.

Ketua Bank Dunia, Robert Zoellick yang akan menamatkan perkhidmatannya, mengingatkan dalam wawancara dengan The Observer, bahawa negara membangun mesti bersiap sedia untuk krisis kewangan yang teruk sekiranya zon euro gagal mengatasi masalah semasa mereka. Menurut beliau, keruntuhan euro boleh mencetuskan krisis global.

Sementara itu, Bank Dunia sendiri mengingatkan bahawa krisis zon euro memberikan ancaman yang sangat besar terhadap ekonomi membangun jika dibandingkan dengan krisis kewangan  tahun 2008 dan telah pun mempunyai impak negatif terhadap kewangan perdagangan dan pengiriman wang. 

Zon euro, menurut pertimbangan Perdana Menteri British David Cameron, menghadapi risiko kebekuan ekonomi yang berpanjangan akibat krisis yang tidak diselesaikan atau pepercahan yang diakibatkan oleh kegagalan untuk menangani kegagalan ekonomi yang mendasarinya. 

Merentas Atlantik, mara ke Pasifik, tidak ada benua yang terselamat daripada ribut yang terus mengganas, atau memetik Nouriel Roubini yang mempunyai perspektif yang lebih luas, "ribut sempurna global" bahawa kemuraman ekonomi mara dari setiap pelosok: zon euro, Amerika Syarikat, China, dan tempat-tempat lain.  Sesungguhnya, ekonomi global tahun 2013 terhumban ke dalam persekitaran yang sangat sukar untuk mencari perlindungan.

Paul Krugman melalui  kolumnya dalam The New York Times, menyatakan Greece sebagai mangsa, tetapi sering dipersalahkan.  Sesetengah tuduhan itu betul, sesetengahnya silap.  Betul berlaku  kegagalan besar dalam ekonomi Greece, politiknya, dan tanpa ragu-ragu lagi masyarakatnya. Akan tetapi, kegagalan itu bukannya yang menyebabkan krisis yang memusnahkan Greece, dan mengancam untuk merebak ke seluruh Eropah. 

Krugman mengakui bahawa Greece sesungguhnya berleluasa dengan rasuah dan banyak berlaku pengelakan cukai, dan kerajaan Greece mempunyai kegemaran hidup di luar kemampuan, tetapi beliau menegaskan salahkan euro mengapa negara dalam kesusahan yang amat sangat.

Justeru, pilihan raya  Greece belum pasti terjamin bahawa krisis akan berakhir kerana akar umbi masalah terletak pada euro, mata wang bersama yang digunakan oleh 17 buah negara Eropah. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...