Artikel Popular

Sunday, June 17, 2012

Pilihan Raya Greece: Pungutan Suara terhadap Euro?

AHAD, 17 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada hari ini berlangsung sekali lagi pilihan raya di Greece sebuah negara yang pecah,  setelah keputusan pilihan raya pada awal Mei lalu gagal membentuk kerajaan.   Pilihan raya ini membangkitkan tiga persoalan penting, menentukan masa depan Eropah, dan  menggegarkan euro.   Negara itu dikatakan memerlukan tunjang politik, sama ada melalui sebuah parti yang memperoleh majoriti di Parlimen ataupun melalui pembentukan kerajaan campuran.

"Apa yang berlaku pada 17 Jun apabila rakyat Greece keluar mengundi" tulis Helena Smith dalam The Guardian, dalam pilihan raya yang menjadi satu yang sangat signifikan terhadap benua Eropah sejak Perang Dunia Kedua, akan memberikan impak yang tidak dapat dikekang oleh sempadan negara mereka yang dibebani hutang."  Tambah Helena, "Seluruh Kesatuan Eropah akan terjejas; pasaran dunia akan jatuh."

Plihan raya itu dianggap sebagai pungutan suara atau referendum terhadap euro,  seperti yang dibahaskan oleh Joanna Kakissis  dalam Time bahawa rakyat Greece yang mengundi pada hari Ahad yang dapat menentukan, sama ada negara itu kekal dalam zon euro dan mungkin masa depan kesatuan mata wang itu sendiri, ataupun meninggalkan zon itu. "Banyak orang melihat pilihan raya sebagai pungutan suara terhadap euro, zon mata bersama 17 buah negara, termasuk Greece.  Yang lain pula berkata, pilihan antara harapan untuk alternatif langkah jimat-cermat yang menyakitkan yang dilaksanakan oleh negara dan takut bahawa alternatif tersebut akan memaksa Greece ke dalam kehidupan yang diturunkan nilai dengan mata wangnya sebelum ini, iaitu drachma."

Greece, seperti yang diperingatkan oleh bekas Perdana Menterinya, George Papandreou, "memerlukan kerajaan pro-Eropah."  Namun, Alexis Tsipras daripada Parti Syriza,  yang terserlah dalam pilihan raya lalu, yang merupakan calon popular  kali ini, mempunyai pertaruhan yang besar:  "euro dalam tangannya."  Beliau, seperti yang diketahui, menolak langkah jimat-cermat, dan dengan itu, tidak mudah terhadap Brussels dan Berlin, meskipun beliau  tidak  bersetuju supaya negaranya meninggalkan euro. 

Apa-apa juga keputusan pilihan raya ini, hujah  Patrick Cockburn dalam Independent,  "langkah jimat-cermat dan pembaharuan yang dipersetujui dengan Kesatuan Eropah pada tahun lalu sebagai harga untuk pinjaman 240 bilion euro telah pun mati.  Ahli politik dan banker di negara-negara lain di Eropah yang hampir naik histeria terhadap kebangkitan pantas dan berkemungkinan berjaya dalam pilihan raya ini, iaitu parti kiri radikal, Syriza." 

Menyedari betapa genting dan runcingnya pilihan raya itu  para penggubal dasar Eropah dan global, dilaporkan membuat persiapan terhadap kemungkinan malapetaka kewangan, yang menentukan masa depan mata wang tunggal itu. 

Malam dalam "Euro 2012" Greece melakukan kejutan menyingkirkan  Rusia dengan kemenangan 1-0  untuk membolehkan negara itu mara ke pusingan suku akhir.  Apakah rakyat Greece juga akan melakukan kejutan?


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...