Artikel Popular

Wednesday, June 13, 2012

Seluar Dalam Jejaskan Kesuburan Lelaki

KHAMIS, 14 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Beberapa tahun lalu, iaitu pada tahun 2005, ketika menginap di sebuah hotel di Kuantan, dalam bersiap-siap untuk pulang ke Kuala Lumpur, saya sempat menonton program pagi saluran televisyen tempatan.  Doktor yang muncul untuk program itu berbicara tentang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Saya masih ingat lagi apabila doktor itu memberitahu bahawa lazimnya orang kita, iaitu orang lelaki jika ditanya oleh doktor, seboleh-bolehnya cuba menafikan bahawa dia  menghidap penyakit itu.  Namun, apabila diberitahu bahawa penyakit itu boleh menjejaskan tenaga syawat, maka cepat-cepat individu berkenaan berasa bimbang dan meminta melakukan pemeriksaan.


Pada suatu ketika dahulu, seorang kawan saya, yang mempunyai dua orang isteri, menghadapi masalah dengan isteri keduanya untuk mendapatkan anak. Oleh sebab dengan isteri pertama dia mempunyai dua orang anak, maka masalah dijangkakan berpunca daripada isteri keduanya.  Justeru, banyak juga kerap juga dia membawa isteri keduanya berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan, tetapi tetap tidak berhasil.  Akhirnya, dia sendiri menjalankan pemeriksaan dan didapati bahawa kesuburannya rendah.  Hal ini berpunca daripada kegemarannya merokok dan minum minuman keras.  Gaya hidupnya yang gemar berfoya-foya, usung perempuan ke sana ke mari juga disyaki menyebabkan kesuburannnya rendah.


Lazimnya, merokok, minum alkohol, menggunakan dadah rekreasi, dan berat badan yang berlebihan merupakan faktor yang boleh menjejaskan kesuburan lelaki - ini tidak dinafikan sama sekali.  Akan tetapi, menurut The Independent, penyelidikan mendapati bahawa mengubah gaya seluar dalam dapat meningkatkan peluang lelaki untuk mendapatkan anak. 


Memetik Allan Pacey, pensyarah kanan dalam bidang andrologi di University of Sheffied bahawa, "Tidak perlu lelaki jadi sami hanya semata-mata kerana mereka ingin menjadi ayah.  Akan tetapi, jika mereka menggunakan hadapan-Y yang ketat, maka tukar kepada seluar dalam yang longgar untuk beberapa bulan mungkin ini idea yang bagus."


Untuk menjadikan sperma sihat, testikel perlu satu atau dua darjah di bawah suhu badan.  Hadapan-Y yang ketat mempunyai risiko menterbalikkan apa yang berjuta-juta tahun evolusi telah capai. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...